Categories
AGENDA NASIONAL

Lima daripada 23 cadangan tambah baik operasi LRT Kelana Jaya dilaksana

KUALA LUMPUR, 23 SEPT: Lima langkah jangka pendek daripada 23 cadangan menambah baik operasi Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya telah dilaksanakan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) susulan insiden pelanggaran melibatkan tren di laluan berkenaan Mei lepas.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata kesemua penambahbaikan yang dicadang Jawatankuasa Siasatan Kementerian Pengangkutan turut berjaya dilaksanakan dalam tempoh tiga bulan seperti ditetapkan.

“Ini termasuk menetapkan dua hostler atau pemandu bagi mengendalikan tren secara manual ketika di dalam terowong dengan pemandu kedua akan berperanan sebagai pegawai keselamatan dan pematuhan, ” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Wee terdahulu mengunjungi Kompleks Rapid Rail Subang dan diberi taklimat terkini mengenai pelaksanaan 23 cadangan berkenaan.

Menurutnya setiap pemandu juga kini dibekalkan lampu suluh berkuasa tinggi dan senarai semak yang turut disediakan di pusat kawalan operasi bagi kegunaan dan panduan dalam mengendalikan tren secara manual ketika berdepan situasi kritikal.

Beliau berkata penambahbaikan lain ialah penubuhan Jawatankuasa Pengawasan (Sighting Committee) untuk menjalankan audit terhadap tanda arah atau penanda landasan dan Jawatankuasa Keselamatan untuk melaporkan audit keselamatan kepada pengurusan kanan Prasarana dan Rapid Rail.

Wee berkata pada masa sama Rapid Rail sebagai pengendali perkhidmatan rel Prasarana juga melaporkan kemajuan yang baik dalam pelaksanaan 11 langkah jangka sederhana yang perlu dilaksanakan dalam tempoh antara tiga ke enam bulan.

“Sukacita diumumkan bahawa 73 peratus daripada kerja-kerja berkaitan telah pun selesai dan dijangka dapat disiapkan pada tarikh ditetapkan iaitu 9 Dis.

“Mengenai tujuh langkah jangka panjang pula, Prasarana bekerjasama dengan pihak berkepentingan dan pihak berkuasa berkaitan seperti Agensi Pengangkutan Awam Darat untuk melaksanakannya secara progresif kerana terdapat perkara yang memerlukan pelaburan dan kepakaran teknikal tambahan,” katanya.

Wee turut berpuas hati dengan prestasi Prasarana dalam mendorong Rapid Rail melaksanakan penambahbaikan tambahan termasuk mengehadkan kelajuan maksimum tren yang dikendalikan secara manual kepada 20km sejam dan menambah kekerapan latihan kecekapan bagi pemandu dan eksekutif kawalan.

Selain itu, “Manual Route Reservation” (Automatic Train Protection) turut ditingkatkan manakala “Buffer Zone” (Automatic Train Protection) ditambah untuk melindungi tren yang kehilangan isyarat komunikasi supaya tren lain yang berhampiran akan berhenti pada jarak yang lebih jauh.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Insiden LRT: Tiga mangsa kritikal tunjuk perkembangan baik

KUALA LUMPUR, 31 MEI: Tiga mangsa insiden kemalangan Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya Isnin lepas yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini, semalam menunjukkan perkembangan yang baik berbanding sebelum ini, kata Menteri Pengangkutan​ Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

“Pada pagi ini (30 Mei), sekali lagi Pasukan Perubatan HKL memaklumkan perkembangan terkini mengenai tiga pesakit tersebut. Syukur apabila dimaklumkan bahawa ketiga-ketiga pesakit menunjukkan progress (perkembangan) yang baik dan keadaan lebih stabil berbanding sebelum ini,” katanya dalam hantaran menerusi laman Facebooknya.

Wee berkata seorang pesakit wanita berusia 37 tahun yang telah menjalani pembedahan otak pada awal pagi 25 Mei lepas, kini beransur pulih dan berada dalam pemantauan rapi pakar perubatan.

Katanya, seorang pesakit lelaki berusia 52 tahun turut menunjukkan proses pemulihan yang memuaskan.

“Beliau akan menjalani pembedahan tulang belakang pada 31 Mei. Prasarana akan menanggung segala kos perubatan berjumlah RM24,000 untuk membeli plat titanium, skru dan rod titanium serta perkakas lain untuk tujuan pembedahan spine tersebut,” katanya.

Sementara itu, Wee berkata keadaan seorang lagi pesakit wanita berusia 26 tahun juga bertambah baik dan akan menerima rawatan lanjut oleh pakar telinga, hidung dan tekak (ENT) dan oftalmologi.

Beliau turut menzahir penghargaan kepada pasukan pakar perubatan HKL kerana bertungkus-lumus memberi rawatan terbaik kepada tiga mangsa insiden terbabit.

“Dalam masa sama, saya juga telah berkomunikasi dengan keluarga tiga pesakit berkenaan tengah hari tadi (30 Mei). Saya dan seluruh warga Kementerian Pengangkutan sentiasa mendoakan agar kesemua pesakit pulih sepenuhnya,” katanya.

Dalam kejadian pada 8.33 malam, Isnin lepas (24 Mei), sebuah tren yang tidak membawa penumpang telah bertembung dengan sebuah lagi tren yang membawa 213 orang penumpang di dalam terowong antara stesen LRT Kampung Baru dan KLCC.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

LRT laluan Kelana Jaya masih beroperasi satu landasan

KUALA LUMPUR, 28 MEI: Perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya yang beroperasi hari ini masih menggunakan satu landasan memandangkan kerja-kerja pembaikan dan pemasangan antara Stesen KLCC sehingga Kampong Baru masih belum selesai.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata hasil pemeriksaan fizikal oleh pegawai Bahagian Penguatkuasaan Rel dan Bahagian Perancangan Rel Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) pada 1.19 pagi sehingga 4.30 pagi tadi mendapati laluan kecemasan di sebelah kanan di lim rel 1447 tidak stabil akibat kesan pelanggaran iaitu patah di bahagian tapak dan perlu tindakan pembaikan segera.

Di samping itu, beliau berkata pasukan pemeriksaan APAD juga mengarahkan penggantian kabel pengesan haba yang rosak bermula di segmen terowong 126 sehingga segmen terowong 96 sepanjang 28.5 meter bagi memastikan sistem pengesanan kebakaran di dalam terowong berfungsi dengan baik selain tiga Rail Clip tidak dipasang pada bahagian rel, bagaimanapun Rapid Rail telah memasangnya serta-merta.

“Pihak Rapid Rail memaklumkan bahawa kerja-kerja penggantian akan dilakukan dalam tempoh terdekat. Ini adalah komponen keselamatan kritikal operasi utama bagi perkhidmatan LRT.

“Pihak APAD akan memeriksa semula sebaik sahaja pihak Rapid Rail menyempurnakan kerja pembaikan dan pemasangan yang disyaratkan. APAD akan memastikan aspek keselamatan diutamakan sebelum kelulusan pemulihan operasi diberi kepada Rapid Rail,” katanya dalam hantaran Facebooknya hari ini.

Wee memaklumkan pemerhatian terhadap pengujian rollover train yang bermula pada jam 3.08 pagi tadi mendapati simulasi pergerakan tren berada dalam kedaan baik.

Dalam kejadian jam 8.45 malam Isnin lepas, sebanyak 47 penumpang dilaporkan cedera parah manakala 166 mengalami kecederaan ringan, apabila sebuah tren membawa penumpang dan sebuah tren rosak yang sedang dipandu uji, bertembung di dalam terowong antara stesen LRT Kampung Baru dan KLCC.

Sementara itu, tinjauan Bernama mendapati kekerapan operasi rel LRT Laluan Kelana Jaya mengikut jadual terkini di mana setiap 10 minit bagi waktu puncak dan 30 minit waktu biasa.

Seorang pengguna, Besek Sarina Bachok, 42, yang menggunakan perkhidmatan itu untuk ke pejabat dari Stesen Gombak ke Stesen Masjid Jamek berkata kekerapan waktu menunggu ketibaan tren pada hari ini lebih cepat berbanding semalam.

“Tadi saya naik tren jam 7.40 pagi tapi tren yang sebelum itu pun sudah ada dalam 10 minit berbanding semalam lebih 30 minit barulah tiba dan waktu berhenti di setiap stesen pun tidak lama.

“Keadaan dalam tren juga tidak bersesak, mungkin keadaan akan berubah apabila waktu petang kerana lebih ramai yang akan menggunakannya,” katanya kepada Bernama.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Tempoh perbaharui lesen memandu, LKM dilanjut 1 April hingga 31 Mei

PUTRAJAYA, 26 MAC: Pengecualian memperbaharui lesen memandu (LM) dan Lesen Kenderaan Motor (LKM) bagi pemilik kenderaan persendirian dilanjutkan mulai 1 April hingga 31 Mei, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

“Namun para pemandu hendaklah memastikan kenderaan mereka memiliki perlindungan insurans yang sah dan menunjukkan salinan sijil perlindungan (ecover note insurans) mereka kepada anggota penguatkuasa trafik sekiranya diminta,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Berikutan itu, Wee berkata individu yang LM dan LKM mereka telah tamat tempoh antara 1 Februari sehingga 31 Mac 2021 hendaklah memperbaharui LM dan LKM masing-masing dalam tempoh 60 hari bermula 1 April sehingga 31 Mei 2021.

“Jika LM atau LKM yang tamat tempoh bagi pengecualian pertama (1 Februari hingga 31 Mac 2021) hendaklah memperbaharui LM dan LKM masing-masing dalam tempoh 60 hari seperti yang dinyatakan, iaitu bermula 1 April sehingga 31 Mei 2021.

“Sekiranya gagal melakukannya, ia akan menjadi satu kesalahan dan tindakan yang berkaitan boleh dikenakan,” katanya.

Wee berkata individu yang tamat tempoh LM dan LKM antara 1 April sehingga 31 Mei 2021 pula hendaklah memperbaharui LM dan LKM masing-masing dalam tempoh 60 hari bermula 1 Jun sehingga 31 Julai 2021.

Beliau berkata pengecualian itu dibuat bagi mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) dalam usaha mengurangkan kesesakan di tempat awam.

Wee bagaimanapun berkata pengecualian itu tidak diberikan kepada pemilik kenderaan perdagangan dan pemegang Lesen Vokasional iaitu GDL dan PSV kerana perkhidmatan pembaharuan berkaitan mereka dibenarkan beroperasi sebagai perkhidmatan perlu sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Hukuman berat ke atas pemandu mabuk tunggu keputusan Dewan Negara

KUALA LUMPUR, 18 SEPT: Rang Undang-Undang (RUU) Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020 yang diluluskan Dewan Rakyat pada 26 Ogos lepas akan dibentangkan semula di Dewan Negara minggu hadapan untuk dilulus dalam usaha mengekang pemanduan di bawah pengaruh alkohol.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata sekiranya RUU itu diluluskan dan mendapat sokongan semua Senator, ia boleh diwartakan selepas tempoh yang ditetapkan dan dengan hukuman yang lebih berat, ia akan mencegah orang ramai daripada melakukan kesalahan itu.

“Kita tidak menyekat hak sesiapa untuk minum minuman keras tetapi yang penting ialah kalau hendak minum jangan memandu, itu mesej yang jelas.

“Melihatkan kepada statistik kemalangan dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini, semakin banyak kes yang melibatkan pemandu mabuk, berdasarkan soal selidik daripada 345,000 orang, sebanyak 94 peratus mahu pemandu mabuk dikenakan hukuman yang berat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Kempen #Celebrate Responsibly dan Sesi Dialog ‘Memandu Dalam Keadaan Mabuk: Dari Agenda Bersama ke Penyelesaian Bersama’ di Ibu Pejabat Sin Chew Daily, Petaling Jaya di sini, hari ini.

Akta sedia ada memperuntukkan hukuman penjara antara tiga hingga 10 tahun dan denda antara RM8,000 hingga RM20,000 jika disabitkan kesalahan.

Melalui pindaan, kadar denda yang dikenakan lebih tinggi sehingga RM150,000 dan tempoh penjara hingga 20 tahun serta penggantungan lesen memandu.

Wee berkata sudah tiba masanya kerajaan memberi peringatan dan mendidik masyarakat tentang akibat bahayanya memandu di bawah pengaruh alkohol.

“Pindaan itu juga bukan kami (kementerian) ambil dari mana-mana, kami mengikut standard ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO),” katanya.

Kempen #Celebrate Responsibly anjuran Sin Chew Daily dengan kerjasama Carlsberg Malaysia itu bertujuan memupuk kesedaran akan kepentingan bagi individu mengubah sikap agar tidak memandu dalam keadaan mabuk.

– BERNAMA

Categories
AGENDA GLOBAL

Tiada rancangan laksana pendaftaran, lesenkan basikal – menteri

KUALA LUMPUR, 16 SEPT: Kementerian Pengangkutan (MOT) berkata tiada rancangan di pihaknya untuk melaksanakan pendaftaran dan pelesenan setiap basikal di negara ini serta diletakkan nombor plat sepertimana kenderaan bermotor.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata perkara itu tidak pernah dibincangkan di peringkat kementerian, malah cadangan itu juga tidak pernah dibangkitkan kepada beliau.

“Banyak lagi faktor perlu diteliti dan dipertimbangkan oleh MOT bagi menjaga keselamatan pengguna jalan raya termasuk pejalan kaki.

Setakat ini, sebarang komen yang dibuat oleh MIROS (Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia) sebagaimana yang dilaporkan media hari ini tidak menjadi dasar sehinggalah melalui pelbagai proses seterusnya mendapat kelulusan menteri,” katanya dalam kenyataan yang disiarkan menerusi laman Facebook beliau hari ini.

Sebuah akhbar tempatan hari ini melaporkan setiap basikal di negara ini perlu didaftar, dilesen dan diletakkan nombor plat pendaftaran sama seperti kenderaan bermotor, demi menjaga keselamatan penunggang basikal daripada terdedah dengan kemalangan jalan raya.

Bagaimanapun, Ketua Pengarah MIROS Dr Khairil Anwar Abu Kassim dilaporkan sebagai berkata pihaknya sedang mengkaji keperluan berkenaan yang bertujuan meningkatkan keselamatan jalan raya sekali gus mengambil langkah awal supaya kadar kemalangan maut dapat dikurangkan.

Wee berkata agensi-agensi di bawah MOT perlu membuat kajian menyeluruh atau cadangan untuk analisis dan pertimbangan pengurusan kanan MOT termasuk Pejabat Menteri sebelum proses dimulakan bagi melaksanakan apa-apa dasar di bawah bidang kuasa MOT, dan semua pengumuman polisi pramatang adalah dilarang tanpa persetujuan Menteri.

“Dari segi keselamatan penunggang basikal, MOT melalui JPJ (Jabatan Pengangkutan Jalan) terus mempromosikan program advokasi keselamatan dengan penggemar sukan berbasikal dan persatuan-persatuan yang berkaitan secara berterusan, begitu juga dengan semua pengguna jalan raya lain.

“Program berkaitan keselamatan ini juga akan dibincangkan dan dikemas kini semasa mesyuarat Majlis Keselamatan Jalan Raya yang akan diadakan pada bulan ini,” katanya.

Beliau juga menasihati semua penunggang atau penggemar sukan berbasikal supaya mengutamakan keselamatan dan mematuhi peraturan jalan raya seperti peraturan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Akta 333 diteliti semula, hukuman berat pemandu sebabkan kematian

PUTRAJAYA, 4 MEI: Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) akan diteliti semula supaya mereka yang tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan kematian atau kecederaan pengguna jalan raya lain dikenakan hukuman lebih berat.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) diminta meneliti semula akta tersebut, yang turut membabitkan pelbagai pihak berkepentingan termasuk polis, Peguam Negara dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia.

Pada masa sama, katanya, Seksyen 45 dan 45A yang berkaitan menjaga kenderaan motor semasa berada di bawah pengaruh minuman memabukkan, atau dadah, atau dengan kepekatan alkohol melebihi had ditetapkan juga akan diteliti.

Ketika ini, Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan berkaitan memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah dan menyebabkan kematian atau kecederaan kepada mana-mana orang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang tiga tahun dan tidak lebih 10 tahun serta denda tidak kurang RM8,000 dan tidak lebih RM20,000.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Perintah kawalan: Perbaharui lesen memandu, insurans dalam talian

SHAH ALAM, 24 MAC: Urusan memperbaharui lesen memandu, lesen memandu kompeten (CDL) dan lesen kenderaan motor (LKM) boleh dilakukan dalam talian sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan, kata menteri pengangkutan.

Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata tindakan itu selaras penutupan kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Agensi Pengangkutan Awam Darat, Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan Sabah dan Sarawak termasuk perkhidmatan JPJ di pejabat pos bermula 20 sehingga 31 Mac ini.

“Perkhidmatan ini boleh dilakukan melalui laman sesawang MySikap JPJ atau perkhidmatan portal MyEG (hanya untuk perbaharui LKM).

“Orang awam yang tidak memiliki nombor identiti bagi mengakses MySikap JPJ boleh melaksanakan proses pembaharuan menerusi MyEG,” katanya seperti dilapor Harian Metro.

Ka Siong berkata orang ramai yang sudah memperbaharui CDL atau LKM melalui kedua-dua laman sesawang itu tidak perlu hadir ke kaunter untuk mendapatkannya secara fizikal.

“Bukti pembayaran fi melalui portal sudah memadai untuk digunakan sebagai bukti. Justeru, orang ramai diminta tidak tergesa-gesa mendapatkan lesen memandu atau pelekat LKM yang sudah diperbaharui.

“Kebenaran ini hanya untuk kegunaan sepanjang tempoh perintah kawalan sahaja dan perlu mendapatkannya selepas perintah ini ditarik semula,” katanya yang turut memaklumkan pembaharuan insurans boleh dibuat secara dalam talian.