Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Pakar Australia periksa dokumen tandatangan Najib 10 Februari

KUALA LUMPUR, 23 JAN: Seorang pakar dari Australia yang dilantik bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bagi menganalisis tandatangan di 13 dokumen SRC International Sdn Bhd yang dipertikaikan, dijangka dibuat pada minggu 10 Februari ini.

Tarikh baharu ditetapkan selepas peguam pembelaan Najib, Harvinderjit Singh memberitahu Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bahawa pakar itu hanya dapat tiba pada minggu berkenaan.

“Saya tidak nampak sebarang kelewatan kepada perbicaraan. Pemeriksaan akan mengambil masa dua hari. Satu laporan dijangka akan disiapkan dalam tempoh seminggu selepas analisis,” kata peguam itu.

Sebelas daripada dokumen itu ditandakan sebagai bukti pihak pendakwaan, manakala dua lagi ditandakan sebagai bukti pihak pembelaan yang akan diserahkan semasa perbicaraan.

Semalam Hakim Mohd Nazlan membenarkan permohonan Najib untuk memanggil pakarnya sendiri atas alasan pihak tertuduh berhak mendapatkan dan mengetengahkan bukti relevan terhadap pembelaan yang dipilih.

Semasa perbicaraan sebelum ini, Najib membangkitkan persoalan berhubung ketulenan tandatangannya, memandangkan beliau mendakwa tidak pernah ditunjukkan salinan asal dokumen yang dipertikaikan itu.

Sebelum ini, mahkamah menetapkan tarikh pemeriksaan sebelum 3 Februari.

Terdahulu, semasa pemeriksaan balas oleh ketua pendakwaan Datuk V. Sithambaram, Najib tidak bersetuju dengan cadangan Tan Sri Mohamed Apandi Ali adalah salah apabila membersihkan nama (Najib) daripada sebarang perbuatan salah berkaitan RM2.6 bilion dipindahkan ke dalam akaun peribadinya.

Semasa ditanya Sithambaram sama ada beliau berhasrat memanggil Mohamed Apandi sebagai saksi, Najib berkata perkara itu sedang dipertimbangkan ditimbangkan oleh pihak pembelaan.

Najib membela diri terhadap tujuh tuduhan menyalahgunakan dana SRC International Sdn Bhd sebanyak RM42 juta, yang terdiri daripada tiga tuduhan pecah amanah, tiga tuduhan pengubahan wang haram dan satu tuduhan menyalahgunakan kedudukan yang berkaitan dengan dana SRC.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan bersambung 3 Februari dengan Sithambaram meneruskan pemeriksaan balas terhadap Najib.

Sebelum perbicaraan berakhir, Sithambaram mengucapkan terima kasih kepada Najib atas kerjasama semasa pemeriksaan balas dan mengucapkan Selamat Tahun Baharu Cina kepada semua yang meraikan sambutan itu.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Permohonan Najib dapatkan salinan klip audio didengar 24 Februari

KUALA LUMPUR, 23 JAN: Mahkamah Tinggi menetapkan 24 Februari untuk mendengar permohonan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bagi mendapatkan dan memeriksa salinan rakaman audio perbualan yang didedahkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), baru-baru ini.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Izzat Fauzan berkata permohonan itu akan didengar di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

“Pihak pemohon (Najib) memfailkan notis usul pada 15 Januari lalu untuk mendapatkan salinan semua rakaman audio yang didedahkan semasa sidang media oleh Latheefa Koya (Ketua Pesuruhjaya SPRM) baru-baru ini,” katanya kepada media selepas pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Mahyudin Mohmad Som hari ini.

Beliau yang mewakili pendakwaan selaku responden dalam permohonan itu berkata mahkamah turut menetapkan 6 Februari untuk pihak responden memfailkan afidavit balasan.

Peguam Zahria Eleena Ahmad Reza mewakili Najib.

Najib dalam permohonannya memohon perintah mahkamah supaya pihak pendakwaan atau SPRM atau mana-mana entiti lain yang mempunyai pemilikan untuk membenarkan pemohon memeriksa salinan sebenar rakaman audio terbabit.

Pada 8 Januari lalu, SPRM memutarkan rakaman audio perbualan yang didakwa kebocoran maklumat daripada Jabatan Peguam Negara kepada Najib semasa menjadi Perdana Menteri dan perbualan lain berkaitan siasatan terhadap 1Malaysia Development Berhad dan SRC International Sdn Bhd.

Klip audio itu dipercayai perbualan membabitkan isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor, bekas ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Dzulkifli Ahmad, seorang tokoh asing dan beberapa individu lain.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Mahkamah benar Najib panggil pakar tulisan sahkan tandatangan

KUALA LUMPUR, 22 JAN: Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan permohonan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk memanggil pakar tulisan bagi mengesahkan kesahihan tandatangannya dalam beberapa dokumen berhubung dengan perbicaraannya melibatkan SRC International Sdn Bhd.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali menyatakan bahawa di bawah undang-undang seseorang tertuduh layak mendapatkan dan membawa mana-mana bukti utama mengikut pilihannya dalam pembelaan.

Hakim itu berkata walaupun sekiranya asas permohonan itu sudah lepas atau baru dihasilkan oleh tertuduh ini bukanlah satu alasan sah untuk mengetepikan tertuduh daripada bukti utama dalam pembelaannya.

“Namun, pemberat patut diberikan kepada bukti pakar ini sekira ia dikemukakan termasuk mengenai sama ada kredibiliti bukti tertuduh terjejas selepas ini, adalah menjadi hak mahkamah untuk menentukannya pada akhir kes ini,” katanya.

Hakim Mohd Nazlan berkata, nilai keterangan terhadap bukti yang dihasratkan itu menjadi isu yang perlu ditentukan pada akhir kes ini.

Beliau berkata, bagi memastikan penilaian terhadap bahan bukti tidak akan menjejaskan prosiding kes ini pihak pembelaan hendaklah menyusun bagi penilaian oleh pakar dilakukan pada minggu hadapan, bagi satu tempoh tidak lebih dua hari sebelum perbicaraan disambung, selepas esok, pada 3 Februari 2020.

Beliau berkata, tempatnya akan dilakukan dalam bangunan mahkamah ini yang akan diberitahu lebih lanjut oleh Timbalan Pendaftar dan dengan kehadiran para wakil pendakwaan, pembelaan dan mahkamah.

Hakim Mohd Nazlan juga membenarkan pendakwaan memanggil seorang saksi penyangkalan seperti diperuntukkan di bawah Seksyen 425 Kanun Tatacara Jenayah sekiranya mereka berhasrat berbuat demikian.

Pada Isnin, Timbalan Pendakwa Raya Datuk V. Sithambaram berhujah bahawa mahkamah hendaklah menolak permohonan bekas Perdana Menteri itu kerana ia jelas menunjukkan bahawa ia adalah satu pandangan yang selepas dan satu muslihat untuk melewatkan prosiding.

Pada 9 Disember ketua peguam Najib, Muhammad Shafee memberitahu mahkamah bahawa pasukan pembelaan akan memanggil seorang pakar tulisan dari Australia untuk mengkaji kesahihan beberapa dokumen yang terdapat tandatangan Najib yang telah dikemukakan ke mahkamah.

Pada tahun lepas Mahkamah Tinggi memerintah Najib, 67, agar membela diri atas tujuh pertuduhan penyelewengan RM42 juta melibatkan dana SRC International Sdn Bhd, termasuk tiga kes pecah amanah (CBT), tiga kes pengubahan wang haram dan satu kes menyalahguna kuasa dalam dana SRC.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

SRC: Najib tidak lapor polis dakwa tandatangan palsu

KUALA LUMPUR, 7 JAN: Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini, beliau tidak membuat laporan polis berhubung apa yang didakwanya bahawa tandatangannya dipalsukan dalam minit mesyuarat pemegang saham SRC International Sdn Bhd.

Najib, 67, bagaimanapun, berkata beliau tidak membangkitkan perkara itu dengan peguam belanya.

Beliau berkata demikian semasa pemeriksaan balas oleh Timbalan Pendakwa Raya ad-hoc Datuk V. Sithambaram sama ada beliau membuat laporan polis berhubung dakwaan tandatangan beliau dalam minit itu telah dipalsukan.

Sithambaram: Adakah anda memaklumkan kepada peguam bela anda bahawa dokumen (yang Najib dakwa mengandungi tandatangannya yang dipalsukan) tidak sepatutnya wujud?

Najib: Kami ada membincangkannya, ya.

Sithambaram: Oleh kerana dokumen itu tidak wujud, adakah anda buat laporan polis?

Najib: Tidak, berikutan perbicaraan sedang dijalankan.

Terdahulu, Najib mendakwa dokumen itu mungkin dipalsukan kerana beliau tidak ditunjukkan sebarang minit mesyuarat SRC International untuk ditandatangani.

Ditanya sama ada beliau melantik mana-mana pakar untuk memeriksa ketulenan tandatangan yang didakwa miliknya pada dokumen itu, Najib berkata beliau tidak ingat waktunya yang tepat.

Pada peringkat itu, Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali mencelah dengan bertanya Najib soalan yang sama (berhubung pelantikan pakar): “Adakah ini semasa pendakwaan kes?”

Najib menjawab: “Ya”.

Najib membela diri terhadap tujuh pertuduhan menyelewengkan RM42 juta dana SRC International, membabitkan tiga pertuduhan jenayah pecah amanah, tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan menyalahgunakan kedudukannya berkaitan dana SRC.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Najib tarik semula permohonan cabar lantikan peguam wakili LHDN

KUALA LUMPUR, 19 DIS: Peguam Datuk D.P. Naban akan terus mewakili Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dalam saman untuk menuntut cukai pendapatan berjumlah RM1.69 bilion daripada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Ini setelah pasukan pembelaan Najib menarik balik permohonan mencabar pelantikan Naban daripada mewakili LHDN.

Peguam Muhammad Farhan Muhammad Shafee, yang mewakili Najib, memberitahu media bahawa mereka telah menerima surat pelantikan Naban pada 11 Disember 2019.

“Oleh kerana kami menerima surat pelantikan dan selepas kami meneliti surat berkenaan, kami memutuskan untuk menarik balik permohonan supaya peguam itu menarik diri,” katanya selepas pengurusan kes dalam kamar di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ahmad Bache.

Beliau berkata setelah meneliti surat lantikan tersebut, mereka tidak mendapati sebarang konflik kepentingan dalam pelantikan Naban untuk bertindak bagi pihak LHDN.

Muhammad Farhan berkata menurut surat itu, Naban dilantik mengikut Seksyen 24 (3) Akta Prosiding Kerajaan 1956.

Beliau berkata mahkamah menetapkan 7 Jan untuk pengurusan kes bagi menentukan tarikh perbicaraan permohonan penangguhan prosiding yang dipohon Najib dan permohonan LHDN untuk ringkasan penghakiman terhadap Najib.

Pada 8 Ogos lepas, Najib, 66, memfailkan permohonan untuk menangguhkan prosiding tuntutan cukai pendapatan sebanyak RM1.69 bilion oleh LHDN terhadapnya, sementara menunggu rayuan mengenai penilaian cukai kepada LHDN.

Bagaimanapun, LHDN dalam afidavit sokongannya menyatakan Najib masih perlu membayar RM1.69 bilion kepada LHDN walaupun sudah memfailkan rayuan penilaian semula bagi tuntutan itu.

Berdasarkan salinan afidavit sokongan yang ditandatangani Penolong Pengarah Kawalan Unit LHDN, Hisyamuddin Mohd Hassan, Seksyen 103 Akta Cukai Pendapatan 1967 memperuntukkan bahawa seseorang yang merayu terhadap penilaian itu masih perlu membayar taksiran yang dikemukakan.

Pada 25 Jun lepas, kerajaan melalui LHDN memfailkan saman terhadap Najib bagi menuntut bekas menteri kewangan itu membayar RM1.69 bilion cukai pendapatan LHDN yang masih terhutang bagi Tahun Taksiran 2011 hingga 2017.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Mahkamah Tinggi benar Najib semak dokumen Justo kepada SPRM

KUALA LUMPUR, 13 DIS: Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan permohonan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk memeriksa 17,000 keping dokumen diserahkan Xavier Andre Justo kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam siasatan berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Permohonan itu berkaitan perbicaraan rasuah yang sedang dihadapi Najib melibatkan dana 1MDB berjumlah RM2.3 bilion dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Dalam permohonan itu, Najib memohon perintah mahkamah untuk memaksa pihak pendakwaan atau mana-mana entiti lain yang memiliki, menjaga dan mengawal dokumen yang diserahkan Justo kepada SPRM berkaitan usaha sama 1MDB dengan PetroSaudi International Ltd, sama ada dalam bentuk fizikal atau dimuat turun daripada peranti storan digital, untuk diperiksanya.

Hakim Collin Lawrence Sequerah membuat keputusan itu selepas mendengar hujahan daripada peguam mewakili Najib, Al Firdaus Shahrul Naing dan Timbalan Pendakwa Raya Kanan Datuk Seri Gopal Sri Ram.

Hakim Sequerah dalam penghakimannya berkata permohonan oleh pemohon (Najib) bukan dibuat secara suka-suka kerana bahan yang dimohon adalah relevan dengan pertuduhan dalam perbicaraan 1MDB yang sedang dihadapinya.

“Saya juga mendapati terdapat asas yang mencukupi bahawa dokumen berkenaan adalah relevan dengan pemohon dan pembelaannya,” kata hakim.

Berhubung Seksyen 124 Akta Keterangan, Hakim Sequerah berkata dakwaan berhubung keistimewaan responden (pendakwa raya) boleh disemak oleh mahkamah dan dengan itu perkara berkenaan tidak diambil kira sebagai muktamad.

“Saya tidak menemukan apa-apa untuk menunjukkan bahawa kepentingan awam mungkin terjejas daripada pendedahan bahan-bahan itu,” katanya.

Selepas hakim menyampaikan keputusan itu, Sri Ram memberitahu mahkamah pihak pendakwaan akan menyerahkan 17,000 dokumen itu menerusi ‘thumb drive’ kepada pasukan pembelaan.

Hakim Sequerah mengarahkan pihak pendakwaan untuk menyerahkan dokumen itu kepada pihak pembelaan dalam tempoh tiga minggu dari hari ini.

Najib, 66, sebagai pemohon memfailkan notis usul pada 16 Oktober dengan menamakan pendakwa raya sebagai responden.

Dalam permohonan itu, Najib antara lain memohon mahkamah untuk memaksa pihak pendakwaan atau mana-mana entiti lain yang memiliki dan mengawal dokumen berkenaan untuk menyerahkannya kepada beliau.

Najib memfailkan permohonan itu atas alasan dokumen yang dimohon adalah relevan dan dapat membantu pembelaan pemohon, yang mungkin telah digugurkan atau ditahan daripada dikeluarkan yang bercanggah dengan Seksyen 51A Kanun Prosedur Jenayah.

Beliau berkata pemeriksaan atau pengeluaran dokumen itu adalah tidak bercanggah dengan kepentingan awam, dan sebaliknya tidak mendedahkan dan menolak untuk ia diperiksa adalah menafikan hak pemohon untuk mendapat perbicaraan adil.

Dalam afidavit disahkan Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM (Operasi) Datuk Seri Azam Baki, menyatakan dokumen berkenaan diterima secara rahsia rasmi dan dilindungi di bawah Seksyen 124 Akta Keterangan.

Mahkamah menetapkan 7 Januari untuk pengurusan kes bagi pihak-pihak mengemas kini berhubung penyerahan dokumen itu.

Sementara itu, bagi kes 1MDB, Hakim Sequerah menetapkan 13 hingga 16 Januari dan 20 Januari untuk sambung bicara.

Mahkamah turut menetapkan 3 hingga 6 Februari, 10 hingga 13 Februari, 17 hingga 20 Februari, 9 hingga 12 Mac, 16 hingga 19 Mac, 23 hingga 26 Mac dan 30 Mac.

Tarikh lain yang ditetapkan adalah 2 April, 4 hingga 6 Mei, 1 hingga 4 Jun, 8 hingga 11 Jun, 20 hingga 23 Julai, 27 hingga 30 Julai dan seluruh Ogos kecuali Jumaat.

Pihak pembelaan akan menyambung pemeriksaan balas ke atas saksi utama, bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Muhyiddin, Shafie dipecat kritik 1MDB luar Kabinet

KUALA LUMPUR, 10 DIS: Datuk Seri Najib Razak hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dipecat kerana membuat kenyataan berkaitan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di luar Kabinet.

Bekas perdana menteri itu berkata demikian semasa memberi keterangan membela diri terhadap tujuh pertuduhan berkaitan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd semasa pemeriksaan balas oleh Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas.

Thomas: Sememangnya diketahui umum bahawa kamu memecat mereka.

Najib: Saya pecat mereka kerana membuat kenyataan (berkaitan 1MDB) secara terbuka sedangkan ia sepatutnya dibuat dalam mesyuarat Kabinet.

Kepada soalan sama ada beliau memberi persetujuan bagi jaminan kerajaan bagi pinjaman kedua berjumlah RM2 bilion oleh SRC daripada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP), Najib, 66, berkata: “Saya memberi persetujuan tersirat sahaja.”

Pada 11 November lalu, Najib diperintah membela diri terhadap tiga tuduhan pecah amanah (CBT), tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan salah guna kedudukan berkaitan dengan dana SRC International setelah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap bekas perdana menteri itu.

Dalam pada itu, Najib mengaku menulis catatan tangan menyatakan ‘Bersetuju’ pada surat permohonan pinjaman SRC International berjumlah RM3.95 bilion kepada KWAP.

Beliau mencatatkan demikian pada surat SRC bertarikh 3 Jun 2011 yang dihantar kepadanya.

Ketika ditanya Thomas tujuan SRC memberikan surat itu terus kepadanya (Najib) dan bukan kepada KWAP, Najib berkata pihak SRC mungkin ingin mencari jalan pintas untuk permohonan mereka diluluskan KWAP.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung esok.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Rosmah pilih sendiri jam tangan RM466,330

KUALA LUMPUR, 10 DIS: Jam tangan mewah bernilai RM466,330 yang dibeli Datuk Seri Najib Razak di Honolulu, Amerika Syarikat sebagai hadiah ulang tahun kelahiran Datin Seri Rosmah Mansor, dipilih sendiri oleh isteri bekas perdana menteri itu.

Najib, 66, memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini pembelian jam tangan itu bertujuan menebus rasa bersalah memandangkan percutian bersama keluarga terpaksa ditangguh dan kebetulan ulang tahun kelahiran isterinya ialah pada bulan berkenaan.

Beliau berkata demikian semasa memberi keterangan membela diri terhadap tujuh pertuduhan berkaitan RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd semasa pemeriksaan utama oleh peguamnya Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

Najib berkata jam itu dibeli pada 22 Disember 2014 itu disebabkan beliau perlu pulang segera ke Malaysia selepas Kelantan dilanda banjir teruk.

Menurut Najib, setiap tahun percutian bersama keluarganya mengambil masa antara 10 hari hingga dua minggu, namun pada 2014 percutian terpaksa dipendekkan susulan mendapat berita banjir luar biasa di Kelantan.

“Keluarga saya begitu sedih bahawa saya terpaksa tinggalkan mereka dan balik ke Malaysia serta-merta padahal percutian hujung tahun itu ialah bagi meraikan ulang tahun isteri.

“Saya kemudian mengambil keputusan untuk membeli sesuatu yang dipilih isteri,” katanya.

Pada 11 Nov lepas, Najib diperintah membela diri terhadap tiga tuduhan pecah amanah (CBT), tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan salah guna kedudukan berkaitan dengan dana SRC International setelah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap bekas perdana menteri itu.

Perbicaraan berlangsung di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Jam mewah RM466,330 sempena ulang tahun kelahiran Rosmah

KUALA LUMPUR, 9 DIS: Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa beliau menghadiahkan seutas jam tangan berharga RM466,330.11 kepada Datin Seri Rosmah Mansor sebagai hadiah hari ulang tahun kelahiran isterinya pada Disember.

Najib, 66, berkata jam tangan itu dibayar menggunakan kad kreditnya di butik eksklusif Chanel di Honolulu, Amerika Syarikat, pada 22 Disember 2014.

Ahli Parlimen Pekan itu mendedahkan perkara berkenaan semasa memberi keterangan membela diri terhadap tujuh pertuduhan menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd semasa pemeriksaan utama oleh peguamnya Rahmat Hazlan.

Najib juga memberitahu mahkamah beliau membelanjakan RM127,017.46 di Shangri-La Hotel di Bangkok, Thailand, pada Januari 2015 melalui kad kreditnya untuk percutian peribadinya di negara itu.

“Meskipun perjalanan itu percutian peribadi, saya turut mengambil peluang untuk bertemu dengan rakan sejawat Thailand saya, Prayut Chan-o-Cha, untuk membincangkan bagaimana kerajaan Thailand dapat membantu kita berkenaan dengan banjir teruk yang kita hadapi.

“Pembayaran RM120,000 di Hotel Shangri-La meliputi penginapan saya dan kakitangan sokongan yang menemani saya dalam perjalanan ini, termasuklah perbelanjaan di luar jangkaan dan yang diperlukan sepanjang perjalanan ini,” katanya.

Beliau berkata, transaksi di Shangri-La itu selepas lawatannya ke Kota Bharu, Kelantan, untuk memeriksa keadaan banjir di sana, dan beliau terus menyambung percutian peribadi di Bangkok.

Katanya, ia menjadi haknya untuk menuntut kembali perbelanjaan daripada kerajaan memandangkan beliau membuat kerja sewaktu percutiannya.

“Tetapi, saya memilih untuk menanggung kesemua perbelanjaan atas diri sendiri memandangkan saya tidak mahu merumitkan perkara dan telah melakukan budi bicara saya dengan sewajarnya,” katanya.

Mengenai RM3,282,734.16 yang dikenakan oleh sebuah kedai tukang emas di Sardinia, Itali, pada 8 Ogos 2014, Najib berkata perbelanjaan itu dilakukan untuk membeli barang kemas sebagai hadiah kepada isteri seorang kenamaan Timur Tengah.

Pada 11 November lalu, Najib diperintah membela diri terhadap tiga tuduhan pecah amanah (CBT), tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan salah guna kedudukan berkaitan dengan dana SRC International setelah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap bekas perdana menteri itu.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali sedang berlangsung.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

11.11 penentu Najib bela diri dalam kes SRC

KUALA LUMPUR, 9 NOV: Selain daripada jualan dalam talian terbesar selama sehari pada 11.11, pandangan akan tertumpu kepada Datuk Seri Najib Razak apabila Mahkamah Tinggi di sini menyampaikan keputusannya dalam kes berprofil tinggi bekas perdana menteri itu yang berdepan tujuh pertuduhan menyeleweng RM42 juta daripada dana SRC International Sdn Bhd.

Najib, 66, berkhidmat sebagai perdana menteri keenam Malaysia dari April 2009 hingga Mei 2018, dan merupakan perdana menteri pertama di negara ini yang menghadapi pertuduhan di mahkamah.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali dijadual mengumumkan keputusannya pada jam 10 pagi.

Mahkamah akan menentukan sama ada untuk memerintahkan Najib membela diri, atau membebaskannya daripada tiga pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT), satu pertuduhan menyalahgunakan kuasa dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC.

Sekiranya Najib diperintahkan membela diri, beliau perlu menjawab pertuduhan terhadapnya.

Ahli Parlimen Pekan itu mempunyai tiga pilihan untuk membela diri.

Pilihan itu adalah memberi keterangan bersumpah dari tempat duduk saksi, yang mana beliau tertakluk kepada pemeriksaan balas oleh pihak pendakwaan; keterangan tidak bersumpah dari kandang tertuduh (memberi keterangan dari kandang tertuduh); dan pilihan terakhir adalah berdiam diri.

Keterangan dari tempat duduk saksi akan lebih meyakinkan mahkamah berbanding dua pilihan lagi. Jika tertuduh memilih untuk berdiam diri, mahkamah tiada pilihan melainkan mensabitkan tertuduh.

Hakim Mohd Nazlan sebelum ini menetapkan 3 dan 4 Disember, 9 hingga 12 Disember, dan 16 hingga 19 Disember untuk Najib membela diri jika mahkamah mendapati pihak pendakwaan telah mewujudkan kes prima facie terhadap tertuduh.

Pada 22 dan 23 Oktober lalu, mahkamah mendengar penghujahan panjang lebar daripada pasukan pendakwaan dan pembelaan. Pendakwaan, pada 27 Ogos lepas, menutup kes selepas perbicaraan selama 58 hari dan memanggil 57 saksi untuk memberi keterangan.

Pasukan pendakwaan diketuai Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas selain dianggotai Timbalan Pendakwa Raya Datuk V.Sithambaram, manakala Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah pula mengetuai kumpulan peguam bela.

Semasa perbicaraan, pendakwaan mengemukakan lebih 750 barang kes termasuk dokumen bank berkaitan akaun bank Najib; dokumen berkaitan transaksi tunai; minit mesyuarat dan perbualan dalam Blackberry Messenger berkaitan transaksi oleh Najib.

Saksi yang dipanggil memberi keterangan termasuk pengurus cawangan Ambank Jalan Raja Chulan R. Uma Devi, 40; bekas Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Amanah Persaraan (KWAP) Datuk Azian Mohd Noh, 66; Tan Sri Ismee Ismail, 54, seorang bekas anggota Lembaga Pengarah SRC; dan Pengarah Bukan Eksekutif SRC Datuk Suboh Md Yassin, 68.

Turut memberi keterangan ialah bekas Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan Tan Sri Dr Wan Abdul Aziz Wan Abdullah, 67; bekas Pengurus Perhubungan AmBank Joanna Yu Ging Ping, 48; bekas Menteri Kewangan II Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, 67; dan Penolong Pesuruhjaya Kanan (Bahagian Operasi Khas) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, yang juga pegawai penyiasat, Rosli Husain, 54.

Najib mula dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini pada 4 Julai 2018 untuk berdepan tiga pertuduhan CBT dan satu pertuduhan salah guna kuasa.

Pada 8 Ogos, beliau sekali lagi didakwa di Mahkamah Sesyen atas tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama daripada dana sama. Kesemua kes itu kemudiannya dipindahkan ke Mahkamah Tinggi dengan semua pertuduhan digabungkan dalam satu perbicaraan.

Beliau didakwa melakukan tujuh kesalahan itu antara 17 Ogos 2011 dan 10 Februari 2015.

Bagi pertuduhan CBT, Najib sebagai penjawat awam dan ejen, iaitu perdana menteri dan menteri kewangan Malaysia, serta Penasihat Emeritus SRC International Sdn Bhd (SRC), didakwa menyeleweng masing-masing RM27 juta dan RM5 juta daripada RM4 bilion kepunyaan SRC.

Beliau didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Kumpulan Ambank, No 55, Jalan Raja Chulan di sini, antara 24 Disember 2014, dan 29 Disember 2014.

Bagi pertuduhan ketiga, Najib didakwa menyeleweng RM10 juta daripada RM4 bilion kepunyaan SRC, di tempat sama antara 10 Februari 2015, dan 2 Mac 2015.

Ketiga-tiga pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan menyalahgunakan kedudukan, Najib sebagai perdana menteri dan menteri kewangan Malaysia didakwa menyalahgunakan kedudukannya untuk melakukan rasuah membabitkan sejumlah RM42 juta apabila beliau mengambil bahagian atau terlibat dalam keputusan untuk menyediakan jaminan kerajaan bagi pinjaman daripada KWAP kepada SRC International berjumlah RM4 bilion.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Perdana Menteri, Precinct 1, Putrajaya, Wilayah Persekutuan Putrajaya, antara 17 Ogos 2011 dan 8 Februari 2012.

Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum menurut Seksyen 24 akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai rasuah atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika disabitkan kesalahan.

Bagi tiga pertuduhan pengubahan wang haram, Najib didakwa menerima masing-masing RM27 juta, RM5 juta dan RM10 juta, hasil daripada aktiviti menyalahi undang-undang, menerusi sistem Pemindahan Dana dan Sekuriti secara Elektronik Masa Nyata (Rentas) ke dalam dua akaun AmIslamic Bank Berhad kepunyaannya yang bernombor 2112022011880 dan 2112022011906.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Kumpulan AmBank, No. 55, Jalan Raja Chulan di sini, antara 26 Dis 2014, dan 10 Februari 2015, mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Jika disabitkan kesalahan, bekas perdana menteri itu berdepan, bagi setiap pertuduhan, hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda sehingga lima kali jumlah atau nilai daripada hasil yang diperoleh secara tidak sah atau RM5 juta, mana lebih tinggi, yang boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Najib selesai beri keterangan isu Facebook pemimpin DAP

KUALA LUMPUR, 18 OKT: Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak selesai memberi keterangan hampir dua jam di Bukit Aman berhubung siasatan kes kenyataan berbaur fitnah yang dimuat naik di laman sosial Facebook ‘Nga Kor Ming Super Fans Page’.

Beliau sebelum itu dilihat memasuki Bukit Aman pada 11 pagi dengan menaiki sebuah kenderaan.

Ketika ditemui pemberita, Najib berkata beliau memberi kerjasama penuh kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan berhubung kes itu.

“Saya serah kepada polis untuk menilai dan membuat apa sahaja keputusan selanjutnya dan antara soalan yang ditanya adalah tujuan membuat hantaran yang dimuat naik,” katanya.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang D5 Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, SAC Mior Faridalathrash Wahid ketika dihubungi mengesahkan polis mengambil keterangan Najib hari ini.

Katanya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana memfitnah.

Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming sebelum ini dilapor menggesa polis menyiasat laman sosial Facebook ‘Najib Razak’ yang memuat naik hantaran didakwa berbaur fitnah pada 30 September lalu.

Najib menerusi perkongsian di Facebook dikatakan menggesa kerajaan Pakatan Harapan mengambil tindakan terhadap Kor Ming berhubung satu kenyataan didakwa berbaur hasutan terhadap Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah, yang dimuat naik melalui satu hantaran di akaun Facebook.

Pada 29 September lalu, tular di media sosial mengenai hantaran yang dimuat naik di Facebook ‘Nga Kor Ming Super Fans Page’ yang didakwa mengajak kaum Cina membuat protes terhadap Sultan Selangor berhubung keputusan tidak membenarkan penggunaan tanda jalan dwibahasa di Selangor.

Kor Ming bagaimanapun menafikan beliau serta DAP terbabit membuat hantaran itu dan menegaskan akaun tersebut sebagai akaun palsu yang menyamar mewakili dirinya serta parti itu.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Najib ke Bukit Aman, disiasat Facebook pemimpin DAP

KUALA LUMPUR, 18 OKT: Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini hadir memberi keterangan di Bukit Aman bagi membantu siasatan kes kenyataan berbaur fitnah yang dimuat naik di laman sosial Facebook ‘Nga Kor Ming Super Fans Page’.

Najib dilihat memasuki Bukit Aman kira-kira 11 pagi dengan menaiki sebuah kenderaan.

Semalam, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed mengesahkan yang Najib akan hadir hari ini bagi memberi keterangan.

Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming sebelum ini dilapor menggesa polis menyiasat laman sosial Facebook ‘Najib Razak’ yang memuat naik hantaran didakwa berbaur fitnah pada 30 September lalu.

Najib melalui perkongsian di Facebook dikatakan menggesa kerajaan Pakatan Harapan (PAKATAN) mengambil tindakan terhadap Kor Ming berhubung satu kenyataan didakwa berbaur hasutan terhadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, yang dimuat naik di Facebook.

Pada 29 September lalu, tular di media sosial mengenai hantaran yang dimuat naik di Facebook ‘Nga Kor Ming Super Fans Page’ yang didakwa mengajak kaum Cina membuat protes terhadap Sultan Selangor berhubung keputusan tidak membenarkan penggunaan tanda jalan dwi bahasa di Selangor.

Kor Ming bagaimanapun menafikan beliau serta DAP terbabit membuat hantaran itu dan menegaskan akaun berkenaan sebagai akaun palsu yang menyamar mewakili dirinya serta parti itu.

-BERNAMA