Categories
AGENDA NASIONAL

Mahkamah: Najib setuju TIA diambil alih kerajaan Persekutuan

KUALA LUMPUR, 10 OKT: Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu Datuk Seri Najib Razak bersetuju supaya Terengganu Investment Authority Berhad (TIA), yang kemudian dinamakan semula sebagai 1Malaysia Development Berhad (1MDB), diambil alih Kerajaan Persekutuan.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, 49, berkata perkara itu disampaikan kepadanya oleh ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.

Saksi kesembilan pendakwaan itu berkata demikian semasa pemeriksaan balas oleh peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, yang mewakili Najib, pada hari ke-20 perbicaraan bekas perdana menteri itu membabitkan dana 1MDB.

Terdahulu, saksi itu dirujuk sepucuk yang dikeluarkannya kepada Najib pada 25 Jun 2009, yang mencadangkan supaya TIA diambil alih kerajaan Persekutuan.

Muhammad Shafee: Apakah tujuan surat ini?

Shahrol Azral: Pada masa itu, saya dalam tergesa-gesa melihat beberapa surat. Keadaan masa itu sangat kelam kabut kerana saya mahu Jho Low memperjelaskan kepada saya apakah yang menjadi hasrat perdana menteri (Najib).

“Kesudahannya, sebelum surat ini dikeluarkan, Jho Low datang semula berjumpa saya dan berkata Najib bersetuju dengan transformasi TIA kepada 1MDB di bawah kerajaan Persekutuan,” katanya.

Muhammad Shafee: Bolehkah saya bertanya, sebelum kamu keluarkan surat ini, adakah kamu bersetuju, berdasarkan apa yang saya tunjukkan kepada kamu dalam kertas kabinet dan dokumen lain, tidak pernah ada keputusan bertulis daripada PM atau kabinet tentang hasrat untuk meletak TIA di bawah kerajaan Persekutuan?

Shahrol Azral: Pada masa itu, saya tidak tahu apa-apa tentang keputusan kabinet itu dan kesemua perkara itu dimaklumkan kepada saya oleh Jho Low. Yang Arif, ini adalah sangat konsisten dengan bagaimana kami hanya diberi maklumat yang secukupnya untuk melaksanakan peranan kami dalam perkara ini.

“Sebagai contoh, malah keputusan kabinet yang berkaitan dengan TIA tidak pernah datang kepada kami menerusi saluran rasmi. Saya rasa sepatutnya, berdasarkan proses biasa, terdapat mesyuarat pasca kabinet dan jika ada perkara berkaitan TIA, CEO TIA akan diminta menghadiri mesyuarat itu secara rasmi, tetapi perkara itu tidak pernah berlaku,” katanya.

Ketika ditanya sama ada Jho Low diminta menghadiri mesyuarat kabinet itu, saksi itu menjawab “tidak”.

Najib, 66, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah bersambung, dengan Timbalan Pendakwa Raya Kanan dan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Gopal Sri Ram mengetuai pendakwaan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Najib arah percepat surat sokongan 1MDB-Aabar

KUALA LUMPUR, 30 SEPT: “Boss (Datuk Seri Najib Razak) will bulldoze, don’t worry”, kata ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low berhubung surat sokongan usahasama 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan Aabar Investment PJS (Aabar).

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, 49, ketika membacakan penyataan saksinya di Mahkamah Tinggi hari ini berkata beliau ada mempersoalkan kepada Jho Low sama ada pihak Kementerian Kewangan boleh mengeluarkan surat sokongan itu dalam masa yang amat singkat.

“Namun, Jho Low memberitahu saya bahawa “boss will bulldoze, don’t worry”, bermaksud yang Datuk Seri Najib akan memastikan yang surat sokongan ini akan dikeluarkan dalam masa tercepat.

“Jadi saya yakin dan percaya dengan apa yang Jho Low beritahu sebab ia sejajar dengan apa yang berlaku. Semuanya diatur dan sememangnya berlaku bahawa Datuk Seri Najib mahu ia disegerakan,” katanya.

Shahrol Azral berkata surat sokongan itu berhubung sokongan kewangan daripada pihak Kementerian Kewangan bagi suntikan sebanyak USD3 bilion ke dalam usahasama antara 1MDB dan Aabar.

“Disebabkan itulah, Datuk Seri Najib membuat catatan minit untuk tindakan Kementerian Kewangan sekaligus mengeluarkan surat sokongan bagi menjamin terbitan Bon USD3 bilion.

Nilai USD6 bilion ini ditetapkan oleh Jho Low secara usahasama 50:50 iaitu 1MDB perlu menyuntik separuh daripada nilai usahasama iaitu USD3 bilion.

“Pada hari yang sama saya tandatangani surat bertajuk ‘1MDB – Abu Dhabi and Malaysia USD6 Billion Strategic Acquisition Fund Between 1MDB and Aabar”, Datuk Seri Najib terus minit kepada Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP) ketika itu supaya mengambil tindakan segera.

Ia jelas menunjukkan Datuk Seri Najib mahu hal ini diuruskan dengan segera memandangkan selepas sahaja saya tandatangan, beliau terus meminitkan kepada KSP,” katanya.

Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan empat kesalahan rasuah di Cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di sini antara 24 Februari 2011 dan 19 Disember 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan wang haram antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013, di tempat sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Jho Low proksi Najib isu pembelian IPP dan jaminan IPIC

KUALA LUMPUR, 26 SEPT: Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa ahli perniagaan dalam buruan, Jho Low adalah proksi kepada Datuk Seri Najib Razak dalam menguruskan isu berkaitan pembelian pengeluar tenaga bebas (IPP) serta bon yang dijamin International Petroleum Investment Co (IPIC).

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi berkata, sepanjang proses pengumpulan dana bagi pembelian Tanjong Energy Holdings Sdn Bhd (TEHSB), perbualan antaranya dan Jho Low serta nota maklumat daripada ahli perniagaan itu melalui e-mel kepadanya, membuatkan beliau yakin Najib mengetahui dan menyokong penuh usaha itu.

“Saya percaya walaupun idea asal untuk membeli syarikat TEHSB ini datangnya dari saya berdasarkan perbualan saya dengan Ketua Pegawai Eksekutif Mubadala Infrastructure Partners, Phillip K Haddad; Jho Low dan Datuk Seri Najib telah mengambil peluang untuk ‘scale-up’ (memperbesarkan) idea ini dengan membeli IPP lain di Malaysia seperti Genting dan YTL.

“Pembelian IPP lain ini akan mewujudkan alasan untuk nilai ‘fund-raising’ (pengumpulan dana) yang lebih tinggi.

“Saya ada terlibat dalam perbincangan awal dengan Genting dan YTL. Ini adalah salah satu justifikasi yang diberi oleh Jho Low apabila saya bertanya mengenai terbitan bon yang amat besar berbanding keperluan untuk membeli IPP TEHSB dan Genting Sanyen,” katanya.

Saksi kesembilan yang juga saksi penting pendakwaan itu berkata demikian semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram pada hari ke-14 perbicaraan kes Najib yang didakwa atas empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang sama.

Saksi itu berkata, Jho Low juga menyarankan 1MDB menerbitkan bon-bon US$1.75 bilion itu secara sekali gus dan dinamakan ‘Project Magnolia’.

“Jho Low berkata kepada saya, ‘do it quickly before IPIC changes their mind on the guarantee because of politics in Abu Dhabi’ (buatlah dengan segera sebelum IPIC menukar fikiran berkenaan jaminan itu disebabkan keadaan politik di Abu Dhabi) dan dia memberitahu saya secara peribadi sekitar Mei 2012.

“Saya juga percaya yang idea ‘funding’ (pembiayaan) melalui terbitan bon yang dijamin oleh IPIC dicetuskan oleh Jho Low dan Pengarah Goldman Sachs (Malaysia) Sdn Bhd, Tim Leissner dengan sokongan Datuk Seri Najib kerana tanpa sokongan beliau, amat mustahil untuk 1MDB mendapatkan jaminan dari pihak IPIC,” katanya.

Terdahulu, Goldman Sachs selaku perunding kewangan bagi 1MDB mencadangkan bagi pembiayaan pembelian TEHSB ditanggung melalui pinjaman penyambung bersindiket daripada Maybank dan RHB berjumlah RM6.17 bilion serta selebihnya hasil daripada terbitan bon yang dijamin oleh IPIC sejumlah US$1.75 bilion yang diterbitkan oleh 1MDB Energy Limited (1MEL) iaitu syarikat yang terletak di pesisir Labuan milik 1MDB.

“Tim Leissner menjelaskan justifikasi harga RM10.6 bilion secara terperinci kepada ahli lembaga pengarah, namun ia terlalu teknikal dan rumit tetapi kami tidak mempersoalkan harga tersebut kerana percaya mereka telah mendapatkan pandangan Perdana Menteri melalui Jho Low kerana perolehan IPP ini melibatkan kos yang tinggi dan melibatkan dasar tenaga negara.

“Kedua-dua pinjaman dan terbitan bon ini menjadikan keseluruhan dana untuk proses pengambilalihan ini adalah lebih kurang RM11.4 bilion,” katanya.

Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan empat kesalahan rasuah di Cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di sini antara 24 Feb 2011 dan 19 Dis 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan haram antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013, di tempat sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung Isnin depan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Jho Low penasihat khas tidak rasmi Najib

KUALA LUMPUR, 3 SEPT: Mahkamah Tinggi diberitahu hari ini bahawa Low Taek Jho atau Jho Low adalah penasihat khas tidak rasmi kepada Datuk Seri Najib Razak dalam menjalankan tugas khas belakang tabir termasuk menguruskan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Bekas pegawai khas kepada bekas perdana menteri itu, Datuk Amhari Efendi Nazaruddin berkata, selain menguruskan syarikat itu, Jho Low turut menjalankan tugas khas belakang tabir yang tidak diketahui pihak luar.

Katanya, ia membabitkan banyak perkara termasuk program antarabangsa, lawatan kerja, cadangan perniagaan dan dasar serta kerja kebajikan.

“Setiap arahan diberikan Jho Low perlu dilaksanakan kerana saya percaya beliau mendapat persetujuan terlebih dahulu daripada Najib.

“Saya tidak pernah mempersoalkan setiap arahan itu, namun ada kalanya dan bila perlu, Datuk Azlin Alias, yang ketika itu bekas Ketua Setiausaha Sulit Najib atau saya sendiri pernah bertanya semula kepadanya (Najib) berhubung arahan itu untuk mendapatkan kepastian.

“Pada kebanyakan masa, saya dimaklumkan Najib bahawa arahan yang diberikan Jho Low dipersetujui olehnya dan Datuk Azlin juga pernah memaklumkan kepada saya bahawa setelah diperiksa, arahan yang Jho Low berikan sentiasa dipersetujui Najib dan kami diminta membuat tindakan susulan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membacakan penyataan saksinya pada pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib.

Amhari Efendi, 43, yang ketika itu bertugas di Bahagian Ekonomi di Pejabat Perdana Menteri (PMO) berkata, Jho Low juga adalah pencatur dalam urusan pelaburan, rundingan antara kerajaan atau G to G serta pencatur politik Najib termasuk dana yang diperoleh bekas perdana menteri berkenaan.

Beliau yang kini tidak bekerja memaklumkan bahawa Jho Low akan mengarahkannya dan Datuk Azlin dalam melaksanakan arahan Najib.

“Selain itu, ada juga individu lain yang turut dikenali Jho Low di PMO yang akan mengambil tindakan terhadap arahannya serta kebanyakan arahan ini akan dilaksanakan,” katanya yang turut memaklumkan walaupun Jho Low masih muda, tetapi beliau mempunyai karisma dan kuasa luar biasa.

Saksi pendakwaan kelapan itu turut menjelaskan sepanjang berkhidmat dengan Najib, beliau selalu berjumpa dengan Jho Low bagi membincangkan beberapa perkara termasuk perkara sulit.

“Ada masa, arahan khas membabitkan perkara sulit kepada Datuk Azlin atau saya turut datang daripada Jho Low dan saya pasti arahan itu kebanyakannya disampaikan atau diketahui serta dipersetujui Najib sendiri.

“Saya katakan begitu kerana kebanyakan masa, Datuk Azlin atau saya akan semak semula arahan diterima daripada Jho Low dan Najib, kami dapati beliau (Najib) sedia maklum serta mengetahuinya dan ada masanya beliau bersetuju serta mengarahkan kami untuk melaksanakannya,” katanya.

Amhari Efendi, yang juga seorang daripada saksi penting berkata demikian ketika memberi keterangan pada hari ketiga perbicaraan kes Najib yang didakwa menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang sama.

Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan empat kesalahan rasuah di Cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di sini antara 24 Feb 2011 dan 19 Dis 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan haram antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013, di tempat sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Pendakwaan bakal buktikan Najib cuba lindungi perlakuan jenayah

KUALA LUMPUR, 28 OGOS: Pihak pendakwaan dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) akan membuktikan Datuk Seri Najib Razak dan Low Taek Jho atau Jho Low mengambil langkah untuk menutup jejaknya selepas skandal 1MDB terbongkar, pada awal Julai 2015.

Bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Gopal Sri Ram yang dilantik sebagai Timbalan Pendakwa Raya Kanan dalam kenyataan pembukaan perbicaraan kes 1MDB Najib berkata, dokumen palsu dihasilkan kononnya sumbangan daripada Putera Arab Saudi.

“Antaranya adalah surat dan empat cek, setiap satu berjumlah US$25 juta yang ditulis oleh seseorang yang dikatakan penderma Arab. Tetapi cek berkenaan bukan bermaksud untuk ditunaikan dan tidak pernah ditunaikan.

“Pihak pendakwaan juga akan mengemukakan bukti yang menunjukkan tertuduh mengambi langkah aktif untuk mengelakkan keadilan. Beliau juga mengganggu perjalanan penyiasatan kes ini yang dikenali sebagai Skandal 1MDB.

“Beliau juga mengambil langkah aktif untuk menutup perlakuan jenayahnya. Pihak pendakwaan akan mengemukakan semua bukti ini untuk menunjukkan bahawa tertuduh mempunyai mens rea (niat untuk jenayah),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan kenyataan itu di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah pada hari pertama perbicaraan kes 1MDB Najib.

Menjelaskan berhubung kes itu, Sri Ram berkata, wang dalam kes itu adalah daripada sebuah syarikat, 1Malaysia Development Berhad, lebih dikenali sebagai 1MDB yang dahulunya dikenali sebagai Terengganu Investment Authority or TIA.

Beliau berkata, tertuduh memainkan peranan penting dalam pertukaran nama kepada 1MDB dan menyebabkan pindaan dibuat dalam artikel syarikat untuk meletakkan beliau sebagai kawalan tunggal berhubung perkara penting berkaitan perniagaan dan hal ehwal syarikat.

“Maksudnya, beliau adalah plenipotensiari (berkuasa mutlak). Tambahan lagi, beliau adalah pengerusi lembaga penasihat syarikat.

“Beliau menggunakan kedudukannya sebagai perdana menteri dan menteri kewangan untuk melakukan tindakan tertentu dan mempengaruhi ahli lembaga pengarah 1MDB untuk melakukan transaksi tertentu yang tidak wajar dengan tergesa-gesa.

“Tujuan utama tertuduh adalah untuk kepuasan diri. Beliau berjaya mencapai matlamat itu,” katanya.

Sri Ram juga berkata ‘lakonan terperinci’ dilakukan dalam beberapa fasa membabitkan beberapa watak.

Katanya, tertuduh memainkan peranan penting yang bermatlamat untuk memperkayakan dirinya.

Beliau berkata, walaupun kes itu mempunyai empat fasa, kejadian berkenaan dengannya, dianggap sebagai sebahagian daripada cerita berturut-turut kerana rancangan yang dirancang oleh tertuduh untuk memperkayakan dirinya.

“Watak penting dalam ‘lakonan’ ini adalah seorang lelaki bernama Low Taek Jho atau Jho Low. Dia adalah pelarian keadilan. Dia terlibat dalam TIA dan kemudian 1MDB,” katanya.

Sri Ram berkata, pihak pendakwaan akan membuktikan tertuduh melalui kata-kata dan kelakuannya jelas kepada pegawai 1MDB, lembaga syarikat itu dan lain-lain bahawa Jho Low adalah individu yang dipercayainya.

“Pada hakikatnya, Jho Low adalah imej yang mencerminkan tertuduh. Pihak pendakwaan akan mengemukakan fakta yang menunjukkan Jho Low dan tertuduh bertindak sebagai ‘satu’ pada setiap masa,” kata Sri Ram.

Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan kesalahan itu di Cawangan AmIslamic Bank Berhad, No. 55, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di sini antara 24 Feb 2011 dan 19 Dis 2014 manakala bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Najib didakwa melakukan kesalahan itu di bank yang sama antara 22 Mac 2013 dan 30 Ogos 2013.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Perbicaraan kes 1MDB Najib ditangguh 26 Ogos

KUALA LUMPUR, 19 OGOS: Perbicaraan berprofil tinggi yang dinanti-nantikan membabitkan Datuk Seri Najib Razak yang berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Ia termasuk 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan wang sama, ditangguhkan sehingga Isnin depan (26 Ogos).

Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah menangguhkan perbicaraan kes 1MDB Najib, juga dikenali sebagai perbicaraan ‘1MDB-Tanore’ yang dijadual bermula hari ini, selepas membenarkan permohonan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Gopal Sri Ram kerana pihak pendakwaan baru menyerahkan 15 berkas dokumen dan pernyataan saksi kepada pihak pembelaan.

Sri Ram yang dilantik sebagai Timbalan Pendakwa Raya Kanan, berkata ia juga untuk memberi laluan kepada perbicaraan kes SRC International Sdn Bhd diselesaikan terlebih dahulu.

Pihak pendakwaan dalam perbicaraan kes SRC hampir menamatkan kes itu dengan saksi terakhir pendakwaan masih belum selesai memberi keterangan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Najib, 66, berdepan tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salah guna kuasa dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Sebelum ini, Hakim Sequerah menetapkan 19 hingga 29 Ogos; bulan September dan Oktober kecuali pada Jumaat; dan dua minggu pertama November bagi perbicaraan kes 1MDB bekas perdana menteri itu.

Pihak pendakwaan telah memohon supaya perbicaraan itu ditangguhkan bagi kali keempat untuk memberi laluan kepada perbicaraan kes SRC Najib.

Pada  18 Julai, Hakim Justice Sequerah menolak notis usul pendakwa raya untuk menangguhkan perbicaraan itu.

Pada 8 Julai, Hakim Sequerah menolak permohonan lisan Peguam Negara  Tommy Thomas untuk menangguhkan kes  1MDB yang dijadualkan pada 19 Ogos sehingga kes  SRC diselesaikan.

Pada 30 April, pihak pendakwaan memfailkan usul pertama untuk menangguhkan perbicaraan kes 1MDB yang telah ditetapkan selama  14 hari dari 15 April hingga  3 Mei. Hakim membenarkan permohonan itu dan menjadualkan semula kes berkenaan dari  14 Mei hingga 21 Jun.

Pada 2 Mei, pihak pendakwaan memohon satu lagi penangguhan menerusi permohonan lisan. Mahkamah membenarkan penangguhan itu dan menjadualkan semula perbicaraan kepada 19 Ogos.

Pada 20 September  2018,  Najib didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah  RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan  21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan wang sama.

Najib, yang diwakili sepasukan peguam diketuai Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, mengaku tidak bersalah terhadap kesemua  25 pertuduhan itu dan kes itu kemudian dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Mengenai empat pertuduhan rasuah,  Najib didakwa melakukan kesalahan itu di cawangan AmIslamic Bank Berhad, No. 55, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di sini antara 24 Feb 2011 dan  19 Dis 2014 mengikut Seksyen  23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia  (SPRM) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama.

Beliau berdepan hukuman penjara sehingga  20 tahun dan denda sehingga lima kali jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika didapati bersalah.

Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Najib didakwa melakukan kesalahan itu di bank sama antara  22 Mac 2013 dan  30 Ogos 2013.

Kesemua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA), yang memperuntukkan denda maksimum RM5 juta dan penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kerana konjunktivitis, perbicaraan SRC Najib ditangguh Isnin

KUALA LUMPUR, 14 OGOS: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menangguhkan perbicaraan kes SRC International Sdn Bhd, Datuk Seri Najib Razak ke Isnin depan kerana bekas perdana menteri itu mengalami konjunktivitis pada kedua-dua belah matanya.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali membenarkan permohonan peguam utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah menangguhkan perbicaraan itu atas alasan kesihatan Najib dan ia tidak dibantah oleh pihak pendakwaan.

Muhammad Shafee memohon penangguhan memandangkan anak guamnya mendapat cuti sakit tiga hari sehingga Jumaat.

“Yang Arif, pagi ini pada 7.45 pagi, saya terima panggilan daripada Datuk Seri Najib, yang jelas kedengaran tidak sihat dan beliau memaklumkan kepada saya, dia mengesyaki mengalami konjunktivitis di kedua-dua matanya.

“Ini mungkin berlaku semalaman kerana saya difahamkan oleh Dr Balqis, pakar mata dari Mid Valley, yang (jangkitan) itu dihadapi semalam,” katanya.

Muhammad Shafee juga berkata sijil sakit dan gambar keadaan mata Najib diterima melalui WhatsApp dan menunjukkan kepada Timbalan Pendakwa Raya Datuk V. Sithambaram.

“Di pihak pendakwaan, saya mengesahkan ia kelihatan sangat serius di kedua-dua mata. Disebabkan keadaan kesihatan tertuduh, pihak pendakwaan menyokong permohonan pihak pembelaan untuk penangguhan,” kata Sithambaram.

Mohd Nazlan bertanya sama ada Najib boleh sembuh pada Jumaat dan Muhammad Shafee menjawab doktor menasihati anak guamnya supaya tidak bersentuhan dengan sesiapa kerana keadaannya boleh berjangkit.

“Memandangkan alasan untuk permohonan penangguhan kerana masalah kesihatan dan tidak dibantah pihak pendakwaan, mahkamah tidak mempunyai pilihan selain untuk menangguhkan prosiding ini dan menetapkan kes pengurusan pada Isnin,” kata hakim.

Muhammad Shafee berkata pihak pembelaan masih memerlukan kira-kira dua hari untuk menyoal balas saksi terakhir pendakwaan, Penolong Kanan Pesuruhjaya (PKPj) Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM, Rosli Husain, 54.

Pihak pendakwaan sepatutnya meneruskan pemeriksaan utama ke atas Rosli pada hari ke-53 perbicaraan kes itu hari ini.

Pada 9 pagi Isnin, pihak pembelaan dan pendakwaan akan hadir di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah, hakim yang akan mengendalikan perbicaraan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) untuk mengetahui sama ada hakim akan melepaskan tarikh perbicaraan 1MDB untuk memberi laluan bagi kes SRC dihabiskan terlebih dahulu memandangkan mahkamah sekarang sedang mendengar keterangan saksi terakhir pendakwaan.

Perbicaraan kes 1MDB dijadual bermula pada Isnin.

Pengurusan kes SRC akan bermula pada 10 pagi selepas pihak berkenaan hadir di hadapan Hakim Sequerah.

Najib, 66, berdepan tiga pertuduhan pecah amanah jenayah, satu pertuduhan menyalah guna kedudukan dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Beliau juga menghadapi empat pertuduhan rasuah dan 21 tuduhan terlibat dalam aktiviti pengubahan wang haram membabitkan dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA

1MDB: Mahkamah Rayuan sahkan perbicaraan Najib bermula 19 Ogos

PUTRAJAYA, 5 OGOS: Mahkamah Rayuan hari ini mengesahkan keputusan Mahkamah Tinggi bahawa perbicaraan kes bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak atas dakwaan rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) akan bermula pada 19 Ogos.

Panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Abdul Rahman Sebli, Datuk Zabariah Mohd Yusof dan Datuk Hasnah Mohammed Hashim, dalam keputusan sebulat suara, menolak kedua-dua rayuan yang difailkan pihak pendakwaan serta pembelaan.

“Ini bukanlah kes yang patut dan sesuai untuk campur tangan mahkamah rayuan,” kata Hakim Abdul Rahman, yang mengetuai panel hakim itu.

Beliau berkata mahkamah tidak diyakinkan bahawa hakim yang berkenaan telah melaksanakan budi bicaranya atas prinsip yang salah dalam menolak permohonan untuk penangguhan.

“Yang arif hakim telah pun mengemukakan alasan beliau, dan kami berpendapat bahawa alasan yang beliau beri adalah sah,” katanya ketika mengesahkan keputusan Mahkamah Tinggi itu.

Hakim Abdul Rahman berkata hakim Mahkamah Tinggi turut menjelaskan kepada pihak berkenaan bahawa beliau bersedia untuk memenuhi jadual kedua-dua pihak apabila perlu.

“Selain itu, yang arif hakim sudah memberi kebebasan kepada pihak-pihak untuk memohon tarikh dikosongkan untuk perbicaraan kes SRC International Sdn Bhd diteruskan,” katanya.

Hakim Abdul Rahman berkata pendakwaan tidak boleh memilih untuk mengenakan pertuduhan berganda dan kemudian memilih untuk menangguhkannya; satu kes mesti diselesaikan terlebih dahulu sebelum kes yang satu lagi, dan menambah, mahkamah tidak boleh digunakan semata-mata sebagai repositori.

Pada 18 Julai, Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah menolak permohonan pendakwaan untuk menangguhkan perbicaraan itu, yang juga dikenali sebagai ‘perbicaraan Tanore’.

Pendakwaan mengemukakan permohonan kepada Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan ditangguhkan buat kali keempat sehingga selesai kes Najib berkaitan dana SRC International Sdn Bhd.

Najib, 66, berdepan empat pertuduhan di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana 1MDB, berjumlah RM2.28 bilion.

Anggota Parlimen Pekan itu didakwa melakukan kesalahan itu di AmIslamic Bank Bhd, No 55, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon, antara 2011 dan 2014.

Mengenai perbicaraan kes SRC yang sedang berjalan, Najib berdepan tujuh pertuduhan membabitkan dana SRC berjumlah RM42 juta iaitu tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salah guna kuasa dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram.

Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, yang mewakili Najib, memaklumkan mahkamah bahawa beliau mendapat arahan untuk memfailkan rayuan di Mahkamah Persekutuan.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Izzat Fauzan berkata pendakwaan akan turut merayu terhadap keputusan hari ini.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA

Peguam: Najib mengaku RM42 juta daripada SRC masuk akaun peribadi

KUALA LUMPUR, 29 JULAI: Seorang peguam memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa Datuk Seri Najib Razak mengaku dalam saman fitnah yang difailkan terhadap bekas Menteri Pengangkutan, Tun Dr Ling Liong Sik bahawa RM42 juta dari SRC International Sdn Bhd dimasukkan ke dalam akaun bank peribadinya.

Peguam Ranjit Singh, yang bertindak bagi pihak Dr Ling dalam saman itu berkata, bekas Perdana Menteri itu membuat pengakuan itu dalam satu afidavit sebagai respond kepada kenyataan pembelaan yang dikemukakan oleh anak guamnya.

Saksi pendakwaan ke-55 itu berkata demikian semasa pemeriksaan ketua oleh pendakwa ad-hoc Datuk V.Sithambaram pada perbicaraan hari ke-45 Najib berhubung penyelewengan wang RM42 juta milik dana SRC.

Semasa dibaca afidavit Najib, saksi berkata, Najib mengaku dalam afidavit sumpah bahawa wang RM42 juta itu adalah daripada SRC.

“Najib juga berkata antara 24 Disember 2014 dan 6 Februari 2015, sejumlah RM42 juta dipindahkan ke dalam akaunnya menerusi dua perantara.

“Bagaimanapun, Najib berkata beliau tidak ada pengetahuan peribadi bahawa wang itu dimasukkan ke dalam akaunnya menerusi dua pengantara iaitu Gandingan Mentari Sdn Bhd dan Ihsan Perdana Sdn Bhd.

Semasa satu majlis di Universiti Kolej Tunku Abdul Rahman di Kuala Lumpur pada 3 Oktober 2015, Dr Ling berkata, Najib tidak layak menjadi Perdana Menteri dan menggesa peletakan jawatannya selepas laporan akhbar yang mendakwa berlaku penyelewengan dana awam.

“Dia (Najib) ambil orang punya duit dan taruk dalam personal account. Mana boleh? Ini adalah asas bagi pandangan anak guam saya (Dr Ling) bahawa Najib tidak layak menjadi Perdana Menteri Malaysia,” kata peguam itu.

Ranjit juga berkata, Najib dalam afidavitnya berhubung saman itu menjawab bahawa AS$700 juta juga dimasukkan ke dalam akaunnya dari satu sumber dari luar negara adalah derma peribadi.

Saksi itu bagaimanapun menjelaskan bahawa Najib menarik balik samannya pada 22 Mei 2018 beberapa minggu selepas Pilihan Raya Umum ke-14.

Pada 22 Mei 2018, Najib menarik saman fitnah yang dikemukakan terhadap Dr Ling berhubung satu penerbitan artikel dalam portal berita yang mendakwa bahawa bekas Perdana Menteri itu menyalahguna dana milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Mahkamah menggugurkan saman Najib tanpa kebebasan untuk memfailkan semula saman itu dan memerintahkan Najib membayar RM25,000 sebagai kos.

Ranjit berkata, Dr Ling juga menarik balik tuntutan balas beliau terhadap Najib pada 14 Disember 2015 tanpa kebebasan kepada bekas Presiden MCA untuk memfailkan yang baru.

Pada 27 Oktober Najib dalam kapasiti peribadinya mengemukakan saman terhadap Dr Ling selepas Dr Ling didakwa membuat kenyataan fitnah terhadap beliau dalam satu artikel yang disiarkan dalam portal baru, pada 3 Oktober 2015.

Dalam kenyataan tuntutannya, Najib berkata, Dr Ling secara salah dan berniat jahat mengeluarkan satu kenyataan fitnah pada satu majlis di Universiti Kolej Tunku Abdul Rahman di sini dengan mendakwa dia (Najib) telah menyalahguna wang awam untuk kepentingan peribadi.

Najib, 66, berhadapan tiga pertuduhan pecah amanah, satu kes menyalahguna kedudukannya dan tiga kes membabitkan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International berjumlah RM42 juta.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Berita kemasukan RM42 juta dalam akaun rosak reputasi Najib-Saksi

KUALA LUMPUR, 17 JULAI: Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa Datuk Seri Najib Razak menyatakan berita berhubung RM42 juta yang dimasukkan ke dalam akaun bank peribadinya merosakkan reputasi dan kariernya.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia People’s Foundation (YR1M), Ung Su Ling berkata, Najib menyatakan perkara itu kepadanya selepas laporan wang SRC International Sdn Bhd didakwa dimasukkan ke dalam akaun peribadi bekas perdana menteri berkenaan, pada 2015.

Ung, 51, yang merupakan saksi pendakwaraya yang ke-49 berkata demikian apabila ditanya peguam Harvinderjit Singh, yang mewakili Najib semasa perbicaraan SRC Najib, yang memasuki hari ke-39 hari ini.

Harvinderjit: Awak tahu bahawa hal mengenai akaun ini menjadi berita pada 2015?

Ung: Ya.

Harvinderjit: Adakah awak menemui segera Najib selepas itu?

Ung: Saya tidak mengatakan begitu segera. Kemudian pada tahun itu, ya. Ya, saya bertemu Najib.

Harvinderjit: Kefahaman saya ialah Najib terperanjat apabila wang itu berada dalam akaunnya dari Ihsan Perdana Sdn Bhd (IPSB)? Dia tidak mengetahui wang itu daripada IPSB?

Ung: Saya tidak begitu pasti apa yang dia cakapkan. Apa yang dia katakan ialah ia amat merosakkan reputasi dan kariernya. Ya, dia berkata dia tidak mengetahui bahawa wang berkenaan telah dipindah masuk. Tetapi saya tidak tahu atau ingat sama ada dia ada berkata bahawa dia tidak tahu wang itu daripada IPSB.

Ung berkata, dia juga meminta maaf kepada Najib selepas mengetahui bahawa wang RM42 juta yang dia arah dipindah masuk ke dalam akaun Najib. Ung juga menawarkan peletakan jawatannya dari YR1M.

Terdahulu, Pengarah Urusan IPSB, Datuk Dr Shamsul Anwar Sulaiman, yang juga saksi pendakwaraya yang ke-37 memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa Najib “terperanjat dan kecewa” sebaik diberitahu seseorang memasukkan wang ke dalam akaun bank peribadinya.

Dr Shamsul Anwar berkata, Najib tidak meminta dia membuat laporan polis atau kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dana yang dipindah masuk itu.

Terdahulu Ung berkata, dia mengenali ahli perniagaan buruan terkenal, Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low dan menemui ahli perniagaan itu antara 2000 atau 2001.

Beliau berkata, Jho Low, pada ketika itu, ialah pelajar Wharton School, University of Pennsylvania.

Ung berkata, Jho Low pernah sekali memberitahunya bahawa dia mahu pulang ke Malaysia untuk bekerja selepas tamat pengajiannya.

“Ini berlaku lama dahulu jadi ia mungkin tidak tepat. Dia menjalankan beberapa perniagaan yang dimulakannya dengan beberapa syarikat dotcom, yang kemudian dijualnya. Dia ingin melakukan perkara yang seumpama lagi.

“Saya diperkenalkan kepada beliau untuk melihat bagaimana dia boleh mencari peluang usahasama modal,” katanya.

Harvinderjit juga bertanya saksi berkenaan khidmatnya di Lotus Asset Management dan sama ada syarikat berkenaan menguruskan wang Jho Low yang mana dijawab Ung bahawa itu tidak benar dan syarikat berkenaan tidak pernah mengurus wang untuk Jho Low.

Ung bekerja di Lotus Asset Management sebelum menyertai Wynton Group pada 2004 dengan tiga individu lain.

Najib, 66, didakwa melakukan tiga kes pecah amanah, satu kes menyalahguna kedudukannya dan tiga kes pengubahan wang haram membabitkan SRC International dengan dana berjumlah RM42 juta.

Perbicaraan di hadapan hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Najib ‘ketua paling besar’, berpengaruh lulus pinjaman KWAP

KUALA LUMPUR, 10 JUN: Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak mempunyai pengaruh berhubung keputusan meluluskan pinjaman Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) kepada SRC International Sdn Bhd.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif KWAP, Datuk Azian Mohd Noh berkata, Najib yang juga bekas menteri kewangan ketika itu, merupakan ‘ketua paling besar’ beliau, justeru, mempunyai kuasa berhubung keputusan KWAP untuk meluluskan pinjaman kepada SRC International Sdn Bhd.

Azian, 66, yang juga saksi ke-38 pendakwaan, berkata demikian semasa pemeriksaan semula oleh timbalan pendakwa raya Datuk Ishak Mohd Yusoff pada hari ke-21 perbicaraan Najib.

Azian, yang kini bersara, berkata sungguhpun tidak terdapat pemaksaan yang sah, Najib masih mempunyai pengaruh pada tahap tertentu, disebabkan beliau adalah menteri kewangan dan hakikat bahawa Kementerian Kewangan Diperbadankan memiliki SRC International Sdn Bhd.

Ishak: Jelaskan apakah maksud ‘pemaksaan’ dan ‘pengaruh’ dalam keterangan Datuk sebelum ini?

Azian: Perkataan pemaksaan dan pengaruh memberi konotasi berbeza. Tidak ada sebarang pemaksaan yang sah tetapi saya tidak boleh mengatakan perkara yang sama bagi perkataan pengaruh. Anotasi dalam surat (permohonan pinjaman SRC International) datang daripada perdana menteri dan menteri kewangan yang bertanggungjawab ke atas KWAP.

“Beliau adalah ketua paling besar saya, jadi saya tidak boleh nafikan terdapat pengaruh pada tahap tertentu,” katanya.

Ishak: Mengapa selepas KWAP mempertimbang untuk memberi RM1 bilion, anda perlu berjumpa dengan perdana menteri dan memaklumkan KWAP hanya boleh memberi RM1 bilion sahaja?

Azian: Itu adalah permintaan daripada panel pelaburan… seorang daripada anggota panel pelaburan tapi saya tidak ingat yang mana satu.”

Najib, 66, berdepan tiga pertuduhan pecah amanah jenayah, satu pertuduhan menyalahgunakan kuasa dan tiga pertuduhan melakukan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Saksi: RM143 juta dimasukkan ke dalam akaun Ihsan Perdana

KUALA LUMPUR, 15 MEI: Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa RM143 juta dimasukkan ke dalam akaun syarikat Ihsan Perdana Sdn Bhd (IPSB) melalui sembilan transaksi.

Bekas Eksekutif Akaun Kanan IPSB, Aishah Ghazali berkata demikian ketika disoal balas peguam Farhan Read pada hari ke-18 perbicaraan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang berdepan tujuh pertuduhan berhubung penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Aishah, 37, bagaimanapun tidak pasti RM20 juta daripada jumlah wang itu dipindahkan daripada syarikat SRC International Sdn Bhd pada 15 Dis 2014.

Farhan: Saya senaraikan kemasukan wang ke dalam akaun IPSB. Pada 11 Disember 2014, sebanyak RM5 juta dan RM15 juta; 15 Disember (RM20 juta); 24 Dis (RM40 juta); 9 Januari 2015 (RM40 juta); 5 Februari (RM5 juta); 6 Februari (RM5 juta); 13 Februari (RM10 juta) dan 9 April 2015 berjumlah RM3 juta.

Aishah: Ya.

Farhan: Daripada RM143 juta itu, sebanyak RM20 juta dipindahkan daripada syarikat SRC International Sdn Bhd pada 15 Disember 2014?

Aishah: Tidak pasti.

Menjawab soalan lain, Aishah, yang kini Pengurus Akaun di Redtech Offshore Sdn Bhd, berkata mungkin RM123 juta daripada RM143 juta itu dipindahkan daripada syarikat Gandingan Mentari Sdn Bhd.

Saksi pendakwaan ke-36 itu, yang pernah bekerja di IPSB selama empat tahun, berkata beliau tidak tahu sama ada IPSB pernah berurusan dengan syarikat Gandingan Mentari.

Farhan: Boleh sahkan terdapat pengeluaran sebanyak RM118 juta daripada IPSB dari 2014 dan 2015?

Aishah: Ya

Farhan: Daripada RM118 juta, sebanyak RM42 juta dikeluarkan kepada Najib, RM76 juta kepada Mail Global Resources manakala RM1.5 juta masing-masing dipindahkan kepada Tazri Talib dan Mohamed Redzuan Adamshah?

Aishah: Ya.

Najib, 66, berdepan tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salah guna kedudukan dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Perbicaraan berlangsung di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

-BERNAMA