Categories
NASIONAL

Cip lokasi jemaah haji diuji tahun ini

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 5 MEI: Teknologi cip khas mengesan lokasi jemaah haji di Tanah Suci mula diuji penggunaannya pada musim haji tahun ini.

Pengurus Besar Kanan Lembaga Tabung Haji (TH), Datuk Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, cip berkenaan bakal dipasang pada lencana pengenalan diri 480 jemaah, pada peringkat permulaan.

Beliau berkata, pemantauan penggunaan cip itu dikendalikan 15 kakitangan teknologi maklumat (IT) daripada anak syarikat TH, Theta Edge Bhd.

“Ini merupakan projek perintis menguji keberkesanan penggunaannya pada tahun ini.

TH Syed Saleh“Melalui teknologi itu, kita dapat mengesan mereka sekiranya berlaku kecemasan,” katanya dipetik Bernama.

Syed Saleh berkata, TH juga bakal menambah jumlah petugas kepada 630 berbanding 600 sebelum ini, bagi memenuhi keperluan jemaah yang semakin bertambah.

“Kuota haji rakyat Malaysia tahun ini juga sudah ditambah kepada 30,200 berbanding 27,900 sebelumnya.

“Kita juga membuat perancangan lain berdepan peningkatan jumlah jemaah, seperti menyediakan bangunan penginapan di Makkah dan Madinah, pesawat dan pembimbing jemaah,” katanya.

Sejak 2012, TH banyak membangunkan penggunaan teknologi termasuk dari segi keselamatan dan pengiraan jumlah jemaah haji yang lebih tepat.