Categories
EXCO SELANGOR

Denggi: 819 kompaun dikeluar kepada pemilik kediaman, premis perniagaan

SHAH ALAM, 14 JULAI: Sebanyak 819 kompaun dikeluarkan kepada pemilik kediaman dan premis perniagaan kerana menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes, kata EXCO kesihatan.

Dr Siti Mariah Mahmud berkata Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) merekodkan jumlah tertinggi dengan 385 kompaun, Majlis Perbandaran Klang (156) dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (135).

“Kompaun dikeluarkan Jabatan Kesihatan Selangor menerusi pejabat kesihatan daerah dan pihak berkuasa tempatan (PBT). Operasi pemantauan dan pencegahan denggi terus dilakukan dari semasa ke semasa.

“Tindakan tegas diambil terhadap pihak yang enggan memberi kerjasama serta masih berdegil. Kes denggi tinggi berikutan pertambahan bilangan penduduk dan ia semakin membimbangkan apabila masyarakat mengabaikan aspek kebersihan,” katanya.

Beliau menjawab soalan Ahli Dewan Negeri Subang Jaya Michelle Ng Mei Sze yang bertanya bilangan kompaun dan kes denggi di Selangor sepanjang tahun ini.

Dr Siti Mariah berkata bilangan kes denggi pada Januari ialah 9,415, Februari (6,797), Mac (4,782), April (3,118), Mei 2,831) dan Jun (3,188).

“Statistik menunjukkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah mengurangkan kes denggi apabila bilangan mereka dijangkiti menurun pada Mac sehingga Jun,” katanya.

Categories
EXCO SELANGOR

Denggi Selangor turun banding tahun lalu, catat 25 kematian

SHAH ALAM, 29 APRIL: Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu turut menyumbang kepada penurunan kes denggi berbanding tahun lalu bagi tempoh sama, kata EXCO kesihatan.

Dr Siti Mariah Mahmud berkata pelaksaan PKP menyebabkan orang ramai duduk rumah dan tidak pergi ke kawasan berisiko.

“Dalam tempoh kawalan pergerakan ini, Kerajaan Selangor juga tidak dapat melakukan gotong-royong dan aktiviti kebersihan seperti biasa.

“Walaupun aktiviti tersebut tiada, namun jumlah kes tetap berkurang berbanding tahun lalu dan ini bermakna tahun ini lebih baik,” katanya kepada SelangorKini.

Bagaimanupun, Dr Mariah mengesahkan terdapat 25 kematian berkaitan denggi dan jumlah itu meningkat lima kes berbanding tahun lalu.

Berdasarkan statistik dikeluarkan Pusat Kesiagaan dan Tindakan Krisis (CPRC) yang dikongsi Kementerian Kesihatan hari ini, Selangor mencatatkan kematian denggi tertinggi sepanjang tahun ini.

Statistik juga menunjukkan sebanyak 23,402 kes denggi dilaporkan di negeri ini berbanding tahun lalu 25,095 kes bagi tempoh sama antara Januari hingga 25 April.

Categories
EXCO SELANGOR

EXCO: Kes denggi turun, tiada kematian 

SHAH ALAM, 3 APRIL: Kes denggi di Selangor menurun dan tiada kematian dilaporkan sehingga bulan lalu, kata EXCO kesihatan.

Dr Siti Mariah Mahmud berkata pihaknya juga belum menerima maklumat peningkatan kes di Subang Jaya seperti dilaporkan Ahli Dewan Negerinya, Michelle Ng Mei Sze.

“Jika benar berlaku peningkatan pihak berkuasa tempatan diminta ambil tindakan segera dengan melakukan proses penyemburan di lokasi pembiakan Aedes,” katanya kepada SelangorKini.

Bagaimanapun, beliau menasihatkan masyarakat menggunakan masa terluang sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk membersihkan halaman rumah masing-masing.

“Ibu bapa juga perlu bijak gunakan masa terluang sepanjang PKP dengan mengajak anak-anak bersihkan rumah dan pastikan tiada tempat Aedes membiak di kawasan kita,” katanya.

Baru-baru ini, Michelle memuat naik di Facebooknya senarai lokasi panas denggi daripada Majlis Perbandaran Subang Jaya bagi tempoh 22 hingga 28 Mac lalu iaitu di USJ 15, USJ 1, Taman Subang Mas, Batu Tiga, Taman Kinrara dan Taman Perindustrian Puchong dengan jumlah keseluruhan 316 kes.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Dua minggu, 306 kes denggi dicatat di Selangor

SHAH ALAM, 12 JAN: Trend peningkatan wabak denggi bukan hanya berlaku di Selangor malah di seluruh negara, kata Exco Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga negeri.

Dr Siti Mariah Mahmud berkata, sebanyak 306 kes denggi dicatatkan setakat semalam di Selangor menjadikan kes terkumpul mangsa terkena denggi di negeri ini dalam tempoh dua minggu meningkat kepada 3,708 sejak 29 Disember 2019.

“Dalam dua minggu ini, kes denggi meningkat di seluruh negara dan ia bukan hanya di Selangor kerana negeri-negeri lain juga banyak kes denggi sekarang ini,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Katanya, Kerajaan Negeri sudah berusaha dengan pelbagai cara bagi menangani wabak denggi tetapi trend wabak ini terus meningkat yang mungkin berpunca daripada musim hujan.

Katanya, pihaknya menjangka penularan wabak denggi akan terus meningkat bagi tempoh beberapa minggu akan datang.

Oleh itu, Mariah menyeru setiap pihak berkuasa tempatan (PBT), pemimpin komuniti dan penduduk supaya lebih peka menjaga kebersihan di kediaman masing-masing.

“Kes denggi dicatatkan paling tinggi berlaku di daerah Petaling, jadi kita mahu PBT dan Jabatan Kesihatan Negeri terus memerangi masalah ini dengan lebih berkesan.

“Peruntukan tambahan sebanyak RM1 juta sudah disalurkan, oleh itu program ‘back to basic’ seperti memusnahkan tempat pembiakan di tapak terbengkalai perlu lebih efektif,” katanya.

Statistik Bilik Gerakan Denggi Kebangsaan (CPRC), Kementerian Kesihatan memaklumkan selain Selangor yang mencatatkan 306 kes setakat semalam, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (27 kes) dan Johor (26 kes).

Menerusi Belanjawan #Selangor2020, Kerajaan Negeri memperuntukan RM5 juta bagi memastikan negeri ini bebas denggi merangkumi aktiviti pencegahan dan kawalan.