Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Jawatankuasa Orang Asli guna WhatsApp hebah program vaksin

PETALING JAYA, 12 OGOS: Jawatankuasa Pengurusan Keselamatan Kampung Orang Asli Desa Temuan menggunakan aplikasi WhatsApp bagi menghebahkan program vaksin.

Pengerusinya Mohd Nizar Mohd Shahbi berkata makluman dari rumah ke rumah turut dibuat bagi memastikan tiada penduduk tercicir daripada menerima suntikan.

“Program ini mendapat reaksi positif penduduk kerana lokasi pemberian vaksin hampir dengan perkampungan dan mereka tidak perlu keluar,” katanya ditemui di pusat pemberian vaksin (PPV) Dewan Desa Temuan Bukit Lanjan di sini semalam.

Program yang turut dihadiri Ahli Dewan Negeri Bukit Lanjan Elizabeth Wong dibuat bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Orang Asli.

Sementara itu, salah seorang penduduk Masmona Mustafa, 29, bersyukur menerima vaksin setelah sekian lama menunggu selain memuji proses suntikan yang mudah.

“Apabila dapat tahu ada program vaksin saya tidak sabar dan datang dengan anak buah, namun anak buah tidak divaksin kerana belum cukup 18 tahun,” kata ibu beranak tiga.

Setakat ini, lebih 10,000 penduduk Orang Asli di daerah Gombak dan Petaling dari 12 perkampungan selesai menerima sekurang-kurangnya satu dos suntikan.