Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

KEADILAN yakin pertahan kerusi DUN Sungai Kandis

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 21 JUL: KEADILAN melaungkan keyakinan untuk mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.49 Sungai Kandis berdasarkan rekod cemerlang pada Pilihan Raya Umum (PRU) sebelum ini.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, dengan calon berkaliber diletakkan KEADILAN, mereka percaya ‘mood’ pengundi akan kekal menyokong Pakatan Harapan (PAKATAN) walaupun hampir dua bulan PRU-14 berakhir.

“Kita rasa tiada isu besar Negeri dan Persekutuan yang boleh dimanipulasi lawan

“Kita letak calon berkaliber. Resepi itu menyaksikan KEADILAN ada harapan untuk menang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media di perkarangan luar Pusat Penamaan Calon PRK N.49 Sungai Kandis di Dewan Teratai Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Seksyen 19.

Menurutnya, KEADILAN akan cuba sekurang-kuranya menyamai majoriti PRU-14 atau lebih tetapi bergantung kepada peratusan keluar mengundi pada 4 Ogos nanti.

Kerusi DUN Sungai Kandis kosong selepas penyandangnya, Allahyarham Mat Shuhaimi Shafiei meninggal dunia pada 2 Julai lalu akibat kanser limfoma.

Pada PRU lalu, Mat Shuhaimi memenangi kerusi DUN Sungai Kandis selepas memperoleh 23,998 undi dalam pertembungan empat penjuru menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Kamaruzzaman Johari (11,518); calon Pas, Mohd Yusof Abdullah (7,573) dan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM), Hanafiah Husin (76).

Categories
SELANGOR

PRK Sungai Kandis: KEADILAN Negeri siap siaga

OLEH AFIX REDZUAN

SUNGAI KANDIS, 13 JUL: Jentera KEADILAN sudah mula digerakkan sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N.49 Sungai Kandis yang bakal berlangsung 4 Ogos depan.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, beliau sudah bermesyuarat dengan KEADILAN cabang Kota Raja dan menyerahkan kepada pimpinan diperingkat Pusat untuk membuat keputusan khususnya mengenai senarai calon yang dikemukakan.

“Kita sudah mula mengaktifkan semua cabang dan aktivis di sini. Minggu hadapan saya akan bertemu pimpinan tempatan.

“Diharapkan sebelum hari penamaan calon kita akan dapat melancarkan jentera pilihan raya.

“Kita sudah mengemukakan pandangan dan terpulang kepada penilaian pusat. Di pihak saya sekarang menumpukan kepada bagaimana menggerakkan operasi seperti yang dilakukan lima bulan lepas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media sejurus selesai Majlis Penyerahan Insentif Haji Muassasah Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis dan Majlis Mesra Rakyat Aidilfitri yang berlangsung di Masjid An-Naim, Kampung Batu 7, Jalan Kebun, semalam.

Menurutnya, soal calon tempatan yang meniti di bibir penduduk juga turut diberikan penilaian setiap kali menghadapi PRK selain memastikan calon ditampilkan mempunyai kriteria boleh menang tanpa mengira soal gender.

Pada 9 Julai lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 4 Ogos depan sebagai hari mengundi manakala penamaan calon diadakan pada Sabtu, 21 Julai bagi PRK Sungai Kandis.

Kerusi DUN Sungai Kandis kosong selepas penyandangnya, Allahyarham Mat Shuhaimi Shafiei meninggal dunia pada 2 Julai lalu akibat kanser limfoma.

Pada PRU ke-14, Mat Shuhaimi memenangi kerusi DUN Sungai Kandis selepas memperoleh 23,998 undi dalam pertembungan empat penjuru menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Kamaruzzaman Johari (11,518); calon Pas, Mohd Yusof Abdullah (7,573) dan calon Parti Rakyat Malaysia (PRM), Hanafiah Husin (76).

 

Categories
SELANGOR

Pertembungan empat penjuru di Sungai Kandis?

OLEH NAZLI IBRAHIM

KLANG, 27 APR: Pertembungan sengit bakal berlaku bagi kawasan pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) N.49 Sungai Kandis apabila perebutan kerusi itu dijangka membabitkan pertembungan empat penjuru.

Pengarah Pilihan Raya KEADILAN Sungai Kandis, Jamberi Amri berkata, bagaimanapun jentera pilihan raya KEADILAN Sungai Kandis sudah membuat persediaan rapi berhadapan sebarang kemungkinan.

“Kita menjangkakan pertarungan sengit berlaku di sini nanti,” katanya pada program Pelancaran Bilik Gerakan dan Jentera Pilihan Raya N49 Sungai Kandis, di sini, semalam.

Beliau bagaimanapun tidak menjelaskan parti mana dijangka bertanding di kawasan itu.

Sementara itu, KEADILAN meletakkan Shuhaimi Shafiei di kerusi itu selepas kerusi Sri Muda yang disandangnya sebelum ini ‘hilang’ dalam persempadanan baru Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Selain, KEADILAN, parti yang disebut-sebut bertanding di kerusi yang 70 peratus pengundi Melayu ini nanti adalah PAS dan Barisan Nasional (BN).