Categories
AGENDA NASIONAL

Rasuah: Pegawai penguji cerucuk ditahan disyaki terima lebih RM25,000

KUALA LUMPUR, 11 OGOS: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor menahan seorang penguji cerucuk berlesen kerana disyaki meminta dan menerima rasuah bernilai lebih RM25,000.

Menurut sumber, suspek lelaki berusia 35 tahun itu ditahan di pejabat SPRM Selangor pada kira-kira 1 petang tadi selepas hadir memberi keterangan.

“Siasatan awal mendapati suspek telah meminta dan menerima wang suapan daripada sebuah syarikat sebagai insentif untuk meluluskan ujian cerucuk bagi sebuah projek di Kuala Langat, Selangor,” katanya kepada Bernama.

Pengarah SPRM Selangor Datuk Alias Salim mengesahkan tangkapan itu dan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

“Suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam pagi esok untuk mendapatkan perintah reman bagi membantu siasatan kes ini,” katanya.

-BERNAMA