Categories
AGENDA NASIONAL

Vaksin tidak ubah DNA, hasilkan antibodi elak jangkitan virus

SHAH ALAM, 16 JUN: Suntikan vaksin menghasilkan antibodi bagi mengelak jangkitan virus, bukan mengubah unsur asid deoksiribonukleik (DNA) dalam tubuh manusia.

Pengarah Pasukan Petugas Operasi Selangor Dr Muhammad Farhan Rusli berkata penghasilan vaksin juga bukan perkara baharu, sebaliknya kajian sudah dijalankan sejak 15 tahun lalu.

Dalam keratan paparan video di Facebook, beliau menjelaskan suntikan pelalian digunakan meluas selepas beberapa negara dilanda wabak sindrom pernafasan akut teruk (SARS).

“Vaksin yang dimaksudkan sesuatu yang tidak ubah DNA, ia hanya menjadikan badan kita mendapatkan reaksi untuk menghasilkan antibodi. Apabila dijangkiti virus yang betul, kita dapat mengelak diri daripada dijangkiti kuman atau virus Covid-19.

“Penghasilan vaksinasi sebenarnya bukanlah dijalankan dengan begitu cepat, sebenarnya dalam tempoh 15 tahun kita sudah mengkaji…daripada zaman kita dikenalkan oleh SARS jadi di situ vaksin untuk SARS juga telah dijadikan penyelidikan,” katanya.

Dr Farhan turut menafikan vaksin Covid-19 mengandungi mikrocip, selain menyifatkan dakwaan itu mitos paling besar dan tidak berasas.

“Ia tidak mendatangkan apa-apa manfaat kepada kita jika mikrocip dimasukkan ke dalam badan. Ia tidak dapatkan apa-apa hasil, ini adalah satu mitos yang besar,” katanya.

Setakat ini, seramai 4,904,109 individu selesai menerima suntikan vaksin dos pertama dan kedua di seluruh negara dengan Selangor mencatatkan angka tertinggi iaitu 187,443 orang.

Pautan video: https://web.facebook.com/MediaSelangor/videos/491757988767028/