Categories
AGENDA NASIONAL

Neelofa, suami dilepas kes langgar SOP di Nilai

SEREMBAN, 1 DIS: Selebriti Noor Neelofa Mohd Noor dan suaminya Muhammad Haris Mohd Ismail dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini daripada pertuduhan melanggar tatacara operasi piawai (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Nilai pada Mei lepas.

Majistret Mohd Firdaus Saleh mengeluarkan perintah itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Aling memaklumkan kepada mahkamah bahawa Jabatan Peguam Negara telah mempertimbangkan representasi yang dikemukakan oleh Noor Neelofa dan suami berhubung pertuduhan itu.

Mahkamah kemudian menetapkan 21 Disember bagi perintah dilepas dan dibebaskan (DNA) daripada pertuduhan itu.

“Dimaklumkan bahawa representasi tersebut telah dipertimbangkan oleh Peguam Negara (Tan Sri Idrus Harun) dan  saya memohon supaya kedua-dua kes ini di DNAA terlebih dahulu bagi membolehkan tindakan lain diambil terhadap kedua-dua OKS (orang kena saman),” kata Nor Azizah.

Pada 21 Oktober lepas, Noor Neelofa dan Muhammad Haris telah mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara, memohon pertuduhan terhadap mereka berkaitan pelanggaran SOP PKPB tersebut ditarik balik.

Sementara itu, peguam pasangan tersebut, Tan Sri Muhammad Shafie Abdullah ketika ditemui kemudiannya berkata pihak pendakwaan hari ini menarik balik semua pertuduhan iaitu dua pertuduhan terhadap Muhammad Haris dan satu pertuduhan terhadap Noor Neelofa.

“Satu proses kompaun akan berlaku sama ada hari ini atau esok. Kami akan kembali pada 21 Disember ini supaya DNAA dijadikan DNA (dilepaskan dan dibebaskan).

“Kami gembira, sungguhpun ketiga-tiga pertuduhan ini boleh lawan, mungkin dengan cara senang boleh menang tetapi ia akan berlarutan, keadaan Noor Neelofa yang sedang hamil tidak sesuai untuk kita menjalankan kes ini,” katanya kepada pemberita.

Pasangan itu turut diwakili peguam Haresh Mahadevan dan Ramzani Idris.

Pada 20 Mei lepas, Noor Neelofa dan Muhammad Haris mengaku tidak bersalah atas tuduhan mengikut Peraturan 19, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan (Kawalan Pergerakan Bersyarat (No 4) (Pindaan) (No 12) 2021.

Muhammad Haris, 26, didakwa atas dua pertuduhan iaitu gagal mematuhi SOP PKPB dengan tidak membuat imbasan aplikasi MySejahtera untuk daftar masuk atau menulis secara manual serta tidak memakai pelitup muka di sebuah kedai karpet di Kawasan Perindustrian Nilai 3.

Noor Neelofa, 32, pula dituduh tidak membuat imbasan aplikasi MySejahtera untuk daftar masuk di premis itu atau menulis secara manual pada masa dan tarikh sama.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Kisah tragis, kembar terpisah 20 tahun akibat cuai

KUALA LUMPUR, 27 JUN: Bagaikan kisah dalam sinetron, dua keluarga terpaksa melalui kisah tragis apabila tiga bayi yang dilahirkan 20 tahun lepas, rupa-rupanya tertukar dipercayai akibat kecuaian petugas kesihatan sebuah hospital di Kota Bharu, Kelantan.

Lebih memeritkan, kejadian itu hanya disedari apabila Adryani Iwani Ibeni Yanin, 20, ‘kembarnya’ Adryana Iwani, 20, dan kembar sebenarnya Noratirah Husin, 20, telah dewasa dan disahkan September tahun lepas selepas ujian asid deoksiribonukleik (DNA) dilakukan.

Adryani Iwani berkata kejadian itu mula terbongkar semasa dia berada di tingkatan empat sewaktu mengikuti kem motivasi apabila secara tidak sengaja berjumpa dengan pelajar dari sekolah lain yang mendakwa mukanya seiras dengan rakan sekolah mereka, Noratirah.

“Saya kemudian meminta gambar Noratirah daripada pelajar itu sebelum dia berkongsi akaun Instagram Noratirah yang dikatakan seiras dan sebaya dengan saya.

“Apabila saya maklumkan perkara itu kepada kakak, dia mengiakan persamaan ketara wajah kami, namun mama (panggilan untuk ibu) berpandangan sebaliknya menyebabkan saya tidak ambil peduli selepas itu dan menganggapnya seperti pelanduk dua serupa,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Bagaimanapun bagaikan telah ditakdirkan, mereka akhirnya bertemu buat kali pertama secara bersemuka di Karnival Jom Masuk U di sebuah pasar raya di Kota Bharu pada Mac 2019 menyebabkan masing-masing terpana apabila melihat persamaan yang ketara dari segi wajah dan tubuh badan.

“Saya terkejut, sebelum ini hanya dengar daripada kawan-kawan kata ada orang muka sama dengan saya, sekali tengok, eh…betullah ada orang muka serupa dengan saya. Belum pernah lagi saya berhadapan dengan perkara sedemikian,” katanya.

Menurutnya, akibat terlalu terkejut masing-masing hanya berpandangan antara satu sama lain dan berlalu tanpa menyapa, namun perkara itu disedari oleh rakan-rakan yang lain.

Katanya, kejadian itu tidak berakhir di situ dan ia berlarutan hingga Ogos tahun lepas apabila seorang rakannya memaklumkan tarikh lahirnya sama dengan Noratirah iaitu pada 19 Ogos selepas dia memuat naik dalam media sosial gambar majlis sambutan hari lahirnya yang diadakan di rumah.

Menurutnya, Noratirah kemudian menghubunginya melalui Instagram dan bertitik tolak daripada itu, banyak perkara dibincangkan dan mendapati terlalu banyak persamaan untuk disifatkan sebagai kebetulan menyebabkan mereka mengambil keputusan untuk melakukan ujian DNA.

“Selepas berbincang, kedua-dua keluarga sepakat melakukan ujian DNA di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan bagi mengenal pasti sama ada terdapat pertalian antara kami,” katanya.

Pelajar Diploma Kejururawatan berkenaan menjelaskan, ujian DNA itu dilakukan menggunakan sampel darah melibatkan dirinya, ibunya Siti Aminah Ismail, 66, Adryana Iwani, Noratirah dan ‘bapa’ Noratirah, Husin Omar.

“Apabila keputusan keluar, kami amat terkejut terutama mama yang terduduk dan menangis setelah mengetahui keputusan ujian DNA ialah 99.99 peratus menunjukkan saya dan Noratirah ialah pasangan kembar, anak kepada Ibeni Yanin Mohd Salleh dan Siti Aminah.

“Adryana Iwani yang sebelum ini didaftarkan sebagai pasangan kembar saya pula ialah anak kandung kepada Husin Omar dan Rahmah Isa (telah meninggal dunia pada 2018) yang sebelum itu telah membesarkan Noratirah,” katanya.

Sementara itu, kakak Adryani Iwani, Ayu Haryani, 42, pula berkata ibu mereka memaklumkan, doktor yang bertugas tidak pernah memaklumkan sama ada kembar yang dilahirkan ketika itu adalah kembar seiras atau sebaliknya.

“Tetapi disebabkan tag nama di kaki kedua-dua mereka nama mama, jadi keluarga kami tidak pernah terfikir tentang perkara itu dan beranggapan mereka kembar tidak seiras,” katanya.

Ayu Haryani berkata berdasarkan rekod pada sijil kelahiran, Noratirah dilahirkan pada 1.14 pagi, diikuti Adryana Iwani pukul 1.27 pagi dan kemudian Adryani Iwani 1.34 pagi.

Menurutnya, apabila diketahui keputusan ujian DNA, ibu mereka tidak dapat menerimanya dan pada peringkat awal, perkara itu juga tidak didedahkan kepada sesiapa pun kerana risau ia memberi kesan psikologi terutama kepada Adryana Iwani.

Katanya, walaupun keputusan ujian DNA sudah diketahui, Ayu Haryani berkata keluarganya itu tetap menganggap Adryana Iwani sebahagian daripada sembilan adik-beradiknya dan akan memintanya untuk terus tinggal bersama memandangkan adik-beradik kandungnya yang lain semuanya sudah berkahwin.

“Ibu kandungnya pula sudah tiada manakala ayahnya meninggal dunia selepas dua bulan ujian DNA diketahui,” katanya dan menambah mereka sekeluarga telah melantik peguam dan kini dalam proses mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang berkenaan.

Pada masa sama juga Noratirah yang sebelum ini tinggal bersama ‘ayahnya’ di Kampung Pulau Kundur, Kota Bharu telah berpindah tinggal bersama keluarga kandungnya di Kampung Langgar, Kota Bharu sejak Januari lepas.

— BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Vaksin tidak ubah DNA, hasilkan antibodi elak jangkitan virus

SHAH ALAM, 16 JUN: Suntikan vaksin menghasilkan antibodi bagi mengelak jangkitan virus, bukan mengubah unsur asid deoksiribonukleik (DNA) dalam tubuh manusia.

Pengarah Pasukan Petugas Operasi Selangor Dr Muhammad Farhan Rusli berkata penghasilan vaksin juga bukan perkara baharu, sebaliknya kajian sudah dijalankan sejak 15 tahun lalu.

Dalam keratan paparan video di Facebook, beliau menjelaskan suntikan pelalian digunakan meluas selepas beberapa negara dilanda wabak sindrom pernafasan akut teruk (SARS).

“Vaksin yang dimaksudkan sesuatu yang tidak ubah DNA, ia hanya menjadikan badan kita mendapatkan reaksi untuk menghasilkan antibodi. Apabila dijangkiti virus yang betul, kita dapat mengelak diri daripada dijangkiti kuman atau virus Covid-19.

“Penghasilan vaksinasi sebenarnya bukanlah dijalankan dengan begitu cepat, sebenarnya dalam tempoh 15 tahun kita sudah mengkaji…daripada zaman kita dikenalkan oleh SARS jadi di situ vaksin untuk SARS juga telah dijadikan penyelidikan,” katanya.

Dr Farhan turut menafikan vaksin Covid-19 mengandungi mikrocip, selain menyifatkan dakwaan itu mitos paling besar dan tidak berasas.

“Ia tidak mendatangkan apa-apa manfaat kepada kita jika mikrocip dimasukkan ke dalam badan. Ia tidak dapatkan apa-apa hasil, ini adalah satu mitos yang besar,” katanya.

Setakat ini, seramai 4,904,109 individu selesai menerima suntikan vaksin dos pertama dan kedua di seluruh negara dengan Selangor mencatatkan angka tertinggi iaitu 187,443 orang.

Pautan video: https://web.facebook.com/MediaSelangor/videos/491757988767028/

 

Categories
AGENDA JENAYAH NASIONAL

Polis: Ujian DNA tulang pinggul sah Anna Jenkins

GEORGE TOWN, 11 OGOS: Ujian asid deoksiribonukleik (DNA) ke atas tulang pinggul yang ditemukan di sebuah kawasan hutan berhampiran Jalan Batu Gantung, di sini pada 24 Jun lepas sepadan dengan DNA Anna Jenkins, warga Australia yang dilapor hilang di negeri ini, tiga tahun lepas.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Sahabudin Abd Manan berkata pihaknya menerima laporan daripada Jabatan Kimia berhubung ujian itu semalam dan mendapati sampel DNA diberikan anak lelaki wanita tersebut yang datang ke Pulau Pinang, Julai lepas didapati sama dengan DNA tulang pinggul berkenaan.

“Berikutan keputusan DNA itu, polis meneruskan siasatan lanjut berhubung kes tersebut termasuk mengenal pasti punca wanita berkenaan mati dan pelbagai (aspek) lagi. Saya difahamkan anak lelaki mangsa masih berada di Pulau Pinang bagi mengikuti perkembangan (siasatan).

“Pasukan Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman juga akan ke lokasi penemuan tulang pinggul dan beberapa barangan milik mangsa untuk membina semula siasatan (berdasarkan bukti yang diperoleh) esok bagi menjalankan pemeriksaan lebih terperinci serta mengesan barang kes yang mungkin masih ada di situ yang boleh membantu siasatan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Penemuan tulang pinggul, longgokan pakaian dan barangan peribadi yang dipercayai milik mangsa ditemukan seorang lelaki yang melakukan kerja-kerja landskap menanam pokok di kawasan hutan berhampiran pada 4 petang, 24 Jun lepas.

Ia ditemukan berselerak kira-kira tiga kilometer dari lokasi terakhir wanita itu dilaporkan kelihatan di Jalan Scotland.

Mengulas lanjut, Sahabudin berkata polis juga tidak menolak kemungkinan memohon inkues kes itu jika pihaknya tidak dapat mengenal pasti punca sebenar kematian wanita tersebut.

Katanya, pemeriksaan lanjut polis di lokasi penemuan tulang pinggul itu pada 7 Ogos lalu, telah menemui seketul objek seperti tulang dan ia telah dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia di Petaling Jaya untuk dianalisa.

“Analisis bertujuan mengetahui sama ada ia juga tulang wanita tersebut. Kami masih menunggu keputusannya,” katanya.

Pada 13 Dis 2017, Jenkins, 65, dikatakan keluar dari bilik hotelnya untuk ke klinik gigi di Pulau Tikus dan meminta pekerja hotel memesan perkhidmatan e-hailing untuk ke sebuah rumah kebajikan di Batu Lancang selepas selesai rawatan.

Wanita itu meminta pemandu menurunkannya berdekatan lampu isyarat di Jalan Scotland dan demi keselamatan, pemandu menurunkan mangsa berhampiran sebuah sekolah.

Sejak itu dia dilaporkan hilang dan laporan polis dibuat oleh suaminya.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Belum ada keputusan DNA mangsa kebakaran

KUALA LUMPUR, 14 SEPT: Keputusan Asid deoksiribonukleik (DNA) pelajar tahfiz dan tenaga pengajar yang maut selepas terbabit dalam insiden kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah Jalan Keramat, di sini, hanya dapat dikenal pasti dalam tempoh beberapa hari lagi.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata, proses itu akan mengambil masa kerana membabitkan ramai mangsa.

“Bagi mengenal pasti identiti mangsa, DNA ibu bapa diperlukan dan pihak hospital baru menerimanya pagi tadi, jadi mereka akan menggunakan sepenuh masa untuk mengenal pasti identiti mayat dengan kerjasama Jabatan Kimia dan Jabatan Bencana.

“Setakat ini, semua identiti mangsa belum dikenal pasti,” katanya dalam sidang media di lobi Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Katanya, setakat ini seramai tujuh mangsa iaitu enam pelajar termasuk seorang warganegara Indonesia dan seorang orang awam masih dirawat di HKL.

“Kesemua mangsa sedang dirawat di Jabatan Kecemasan HKL membabitkan empat mangsa yang mengalami kecederaan serius, manakala tiga mangsa mengalami kecederaan ringan dan dirawat di Wad Pemerhati.

“Dua mangsa yang mengalami kecederaan serius sudah dipindahkan ke wad resusitasi di Jabatan Kecemasan,” katanya.

Categories
SELANGOR

LUAS bangun Sistem Pengurusan Sumber Air Bersepadu sejak 2012

Oleh: HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 12 NOV: Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) bertanggungjawab membangunkan Sistem Pengurusan Sumber Air Bersepadu (IWRMS) di negeri itu melalui belanjawan dalaman agensi berkenaan.

Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali, berkata pihak berkuasa itu menjalankan usaha terbabit sejak 2012 dan berterusan hingga kini.

“Pembangunan sistem itu dijalankan secara berperingkat bagi menambahbaik mutu penyampaian data.

IMG_5868“Untuk 2016, LUAS diperuntukkan RM475,000 iaitu untuk tujuan integrasi dan empangan RM175,000 dan pembinaan stesen baharu RM300,000.

“Bagaimanapun, ia menggunakan sumber dalaman iaitu belanjawan pembangunan LUAS,” katanya menjawab pertanyaan Yeo Bee Yin (DAP-Damansara Utama) dalam sesi penggulungan perbahasan belanjawan di sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini, hari ini.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri bersetuju dan akan mempertimbangkan cadangan Haniza Talha (KEADILAN-Taman Medan) berhubung pembinaan taman rakyat di atas tapak bekas lombong Sri Manja di DUN berkenaan.

“Kita ambil maklum cadangan itu tetapi dengan peruntukan sedia ada, akan buat dahulu taman rakyat di Shah Alam.

“Cadangan dibangkitkan bersesuaian dengan kepadatan penduduk di situ selain pendapatan keluarga yang sederhana dan mereka juga mahu kualiti hidup lebih baik,” katanya.

-NFN-

Categories
NASIONAL

Anwar: Bukti DNA dalam kategori sains, tidak boleh dipolitikkan

PUTRAJAYA, 4 NOV: Bukti DNA yang dihujahkan dalam Mahkamah Persekutuan bagi kes Fitnah II adalah dalam kategori sains dan tidak boleh dipolitikkan oleh sebarang pihak, tegas Ketua Umum Parti Keadilan rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar membidas ketua pasukan pendakwaan, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mempolitikkan fakta berkenaan keputusan DNA pengadu, Mohd Saiful Bukhari Azlan dalam perbicaraan kes berkenaan.

Anwar berkata, DNA itu yang menentukan kesahihan fakta dalam kes berkenaan dan bukannya boleh dibuat perkara mainan oleh Shafee.

anwar mahkamah“DNA itu sains bukannya politik, jadi ada fakta, boleh jadi ada yang sahih dan ada yang tidak. Politik itu tidak akan membantu melainkan pihak hakim tertinggi terkeliru,” katanya yang dipetik dari Keadilan Daily.

Ditanya pandangan beliau berkenaan keputusan Mahkamah Rayuan yang mendengar perbicaraan kes itu dalam masa singkat sedangkan Mahkamah Persekutuan mengambil masa yang panjang untuk mendengar hujah dari peguam dan pendakwa raya, Anwar berkata,

“Hakim Mahkamah Persekutuan memberikan perhatian teliti terhadap hujah yang dikemukakan, berbeza dengan keputusan Mahkamah Rayuan sebelum ini,” katanya selepas selesai perbicaraan yang ditangguhkan semalam.

Perbicaraan rayuan kes Fitnah II yang memasuki hari ke-6 bersambung hari ini selepas bermula pada 28 Oktober lalu dan Shafee akan meneruskan hujah pada pagi ini yang dijangka tamat pada jam 11 pagi.

anwarPenggulungan hujah pasukan pembelaan pula akan berlangsung sejurus selepas itu dan perbicaraan dijangka tamat pada petang ini atau esok.

Semalam, Shafee dilapor media mempertahankan kredibiliti Saiful sebagai saksi.

Shafee juga memberitahu Mahkamah Persekutuan walaupun jika penangkapan Anwar menyalahi undang-undang dan cara polis mengambil sampel Anwar dari lokap melalui ‘tipu daya’ namun, katanya bukti DNA itu masih boleh diterima dengan memetik satu kes undang-undang di beberapa negara termasuk Malaysia.