Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

MDHS, wakil rakyat bincang pembangunan isu rakyat

SHAH ALAM, 21 OGOS: Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) mengadakan perbincangan dengan wakil rakyat di Hulu Selangor berkaitan isu rakyat di samping mengeratkan ukhuwah.

Yang dipertuanya berkata perkara berkenaan menyentuh pembangunan di daerah itu terutama dalam sektor pelaburan, ekonomi, sosial dan pelancongan selain aduan rakyat yang akan ditangani mengikut bidang kuasanya.

“Perbincangan ini diharapkan dapat menghasilkan natijah yang baik kepada rakyat dan MDHS bertanggungjawab menyelesaikan masalah dihadapi bersama Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Negeri (ADN),” kata Dr Mohd Azhar Mohamed Ali dalam kenyataan.

Beliau berkata majlis minum petang pada Rabu lalu dihadiri Ahli Parlimen Hulu Selangor, June Leow Hsiad Hui dan ADN Kuala Kubu Bharu, Lee Kee Hiong serta ketua jabatan MDHS.

“Kerjasama yang baik di antara MDHS dan wakil rakyat dapat menghasilkan impak positif demi kemajuan daerah Hulu Selangor,” katanya.

Categories
PBT SELANGOR

YDP baharu azam majukan Hulu Selangor, tarik pelaburan

SHAH ALAM, 3 OGOS: Dr Mohd Azhar Mohamed Ali bertekad terus memajukan Hulu Selangor sekali gus menarik pelaburan ke daerah berkenaan.

“Fokus utama adalah pembangunan di daerah ini. Walaupun telah wujud bandar baharu seperti Bandar Sungai Buaya, Bukit Beruntung, Bukit Sentosa dan Hulu Bernam namun kawasan ini masih perlu dimajukan.

“Malah, kebanyakan pemaju telah beralih ke daerah pinggiran, MDHS perlu ambil kesempatan untuk menarik pelabur masuk ke Hulu Selangor dan membangunkan daerah ini,” katanya selepas majlis mengangkat sumpah sebagai yang dipertua (YDP) Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) yang baharu berkuat kuasa hari ini.

Dr Mohd Azhar Mohamed Ali mengangkat sumpah sebagai yang dipertua kelapan Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) hari ini. Foto ihsan MDHS

Majlis berlangsung di Dewan Merdeka, Kuala Kubu Bharu disaksikan Orang Besar Daerah Hulu Selangor, Yang Dimuliakan Raja Dato’ Muzaffar Raja Redzwa; Timbalan YDP MDHS, Awaluddin Zakaria dan ahli majlis serta kakitangan pihak berkuasa tempatan itu.

Pelantikan Dr Mohd Azhar sebagai YDP kelapan bagi menggantikan Shukri Mohamad Hamin yang berpindah ke Pejabat Tanah dan Daerah Gombak sebagai Pegawai Daerah.

Pada majlis sama, MDHS turut melantik dua ahli majlis baharu dari KEADILAN iaitu Lim Poh Kuan dan Salmah Ali berkuat kuasa 1 Ogos sehingga 21 Disember 2022.