Categories
NASIONAL

Rombakan EXCO Johor bakal dimuktamad minggu ini

ISKANDAR PUTERI, 17 APRIL: Rombakan barisan EXCO Kerajaan Johor dijangka dimuktamadkan menjelang akhir minggu ini, kata Menteri Besarnya, Dr Sahruddin Jamal.

Beliau berkata, penyusunan barisan EXCO masih diperincikan lagi.

“Seperti yang saya cakap, saya akan memilih EXCO yang saya selesa bekerja dengan mereka. Insya-Allah kita akan lihat nama itu (senarai baharu). Nanti saya umumkan beberapa hari lagi sebelum minggu hadapan,” katanya kepada pemberita di Kota Iskandar di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya status rombakan barisan EXCO kini serta sama ada akan terdapat pengguguran atau nama baharu dalam senarai berkenaan.

Dr Sahruddin, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepong itu turut mengesahkan tiada tambahan portfolio kepada 11 portfolio termasuk yang dipegang menteri besar kini.

Semalam, sebuah portal melaporkan barisan EXCO Kerajaan Johor yang baharu akan menyaksikan pengguguran dua EXCO lama iaitu Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur dan Pengangkutan, Mazlan Bujang dan Tan Hong Pin, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Sains dan Teknologi.

Mazlan adalah ADUN Puteriwangsa daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Tan merupakan ADUN Skudai daripada DAP.

Dr Sahruddin mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Johor ke-17 di Istana Bukit Serene, pada Ahad lalu menggantikan Datuk Osman Sapian yang meletak jawata, pada 8 April lalu.

Sehari sebelum itu, Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar menetapkan syarat supaya menteri besar Johor yang baharu membuat rombakan kepada barisan EXCO Kerajaan Negeri. –BERNAMA

 

Categories
NASIONAL

Insiden Pengerang: MB bawa cadangan penduduk ke Mesyuarat EXCO

KOTA TINGGI, 16 APRIL: Kerajaan Johor akan membawa cadangan penduduk kampung berdekatan projek Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC), terutama yang terjejas dengan letupan dan kebakaran di situ baru-baru ini, ke mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) untuk dibincangkan.

Menteri Besar Johor, Dr Sahruddin Jamal berkata, kerajaan negeri mengambil maklum kebimbangan dan cadangan penduduk yang terkesan dengan insiden itu termasuk yang menyuarakan hasrat untuk berpindah.

“Berhubung sebarang isu, sama ada soal pemindahan, semua kita akan bawa ke MMK dan berbincang juga dengan Petronas serta pihak berkaitan, penyelesaian terbaik yang boleh diambil,” katanya ketika berucap di Masjid Kampung Lepau, di sini, semalam.

Katanya, kerajaan negeri akan cuba membantu penduduk yang terjejas sebaik mungkin dan meminta supaya mereka bersabar.

Pada masa sama, Dr Sahruddin turut berharap Petronas membuat “engagement” bersama penduduk supaya memahami masalah dihadapi mereka terutama yang tinggal berhampiran dengan projek berkenaan.

Kampung Lepau, yang terletak kira-kira satu kilometer dari projek berkenaan adalah antara yang terjejas akibat insiden letupan dan kebakaran di kompleks berkenaan, pada 12 April lalu.

Kediaman penduduk turut mengalami kerosakan susulan insiden berkenaan termasuk siling jatuh, retak pada dinding rumah dan pintu kaca pecah.

Kampung itu mempunyai 67 rumah dan lebih 100 penduduk. -BERNAMA

Categories
NASIONAL

Azmin ucap tahniah MB Johor yang baharu

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 14 APR: Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali mengucapkan tahniah atas pelantikan Dr Sahruddin Jamal sebagai Menteri Besar Johor yang baharu.

Katanya, beliau yakin hubungan kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Johor akan terus kukuh.

“Tahniah kepada YAB Dr Sahruddin Jamal di atas pelantikan sebagai Menteri Besar Johor ke-17.

“Saya yakin hubungan kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri Johor akan terus kukuh,” katanya menerusi laman twitternya, @AzminAli

Dr Sahruddin selaku Ahli Dewan Negeri Bukit Kepong mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Johor ke-17 di Istana Bukit Serene, Johor Bahru, hari ini.

Sebelum ini beliau yang juga Exco Kerajaan Negeri memegang portfolio Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian negeri.

Pada Pilihanraya Umum ke-14 (PRU14), Dr Sahruddin dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memenangi kerusi DUN Bukit Kepong, yang dahulunya dikenali sebagai DUN Bukit Serampang, dengan mengalahkan Mohd Noor Taib dari Barisan Nasional (BN) dengan meraih 11,665 undi.

Categories
NASIONAL

Dr Sahruddin angkat sumpah sebagai MB Johor ke-17

JOHOR BAHRU, 14 APR: Anggota Dewan Undangan Negeri Bukit Kepong (ADUN), Dr Sahruddin Jamal, mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Johor ke-17 di Istana Bukit Serene, di sini, hari ini.

Sebelum ini Dr Sahruddin merupakan anggota Exco Kerajaan Negeri yang memegang portfolio Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian negeri.

Dilahirkan pada 26 Mei 1975, beliau yang berusia 43 tahun merupakan doktor perubatan lulusan Sarjana Perubatan dari Universiti Hasanuddin, Makassar, Indonesia.

Sebelum menceburi bidang politik, beliau membuka kliniknya sendiri iaitu Klinik Dr Sahruddin di Bukit Pasir, Pagoh.

Dr Sahruddin berkahwin dengan seorang doktor iaitu Dr Nila Armila Mukdan dan dikurniakan tiga orang anak perempuan.

Pada Pilihanraya Umum ke-14 (PRU14), Dr Sahruddin dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memenangi kerusi DUN Bukit Kepong, yang dahulunya dikenali sebagai DUN Bukit Serampang, dengan mengalahkan Mohd Noor Taib dari Barisan Nasional (BN) dengan meraih 11,665 undi.

Beliau menewaskan calon BN itu dengan majoriti 1,273 undi.

Dr Sahruddin juga dilihat memainkan peranan instrumental ketika Johor menghadapi bencana pencemaran bahan kimia di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, selama dua minggu, bulan lepas.

Ketika itu, beliau memainkan peranan penting secara “hands-on” dan turun padang sejak hari pertama lagi (7 Mac) serta melihat sendiri keadaan di beberapa lokasi kejadian serta turut mempraktikkan ilmu perubatan beliau dengan memeriksa mangsa-mangsa yang terkena “Simptom Kim Kim”.

Anak kelahiran Muar itu turut menjadi perhatian apabila menjadi wakil rasmi Menteri Besar sebelum ini Datuk Osman Sapian pada Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura yang berlangsung di Putrajaya (9 April), sehari selepas Osman bertemu dengan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Pertemuan bekas Menteri Besar itu dengan Dr Mahathir pada 8 April itu difahamkan berkenaan dengan status jawatan MB yang dijawat Osman ketika itu.

Kehadiran Dr Sahruddin dalam pemukiman tersebut turut menguatkan lagi khabar angin bahawa beliau adalah antara calon Menteri Besar Johor yang baharu.

Pelantikan Dr Sahruddin sebagai Menteri Besar, turut menandakan kesepakatan kepimpinan Pakatan Harapan (PH) yang tetap dengan pendirian meneruskan tampuk pimpinan negeri Johor kepada Bersatu Johor.

Pada PRU lepas, PH memenangi 36 kerusi DUN manakala BN 19 kerusi dan PAS satu kerusi.

Daripada 36 kerusi itu, DAP memiliki 14 kerusi, Amanah sembilan kerusi, PKR sebanyak lima kerusi manakala Bersatu sebanyak lapan kerusi.

Bagaimanapun, Bersatu menambah tiga lagi kerusi DUN dengan penyertaan tiga ADUN Bebas yang merupakan bekas ADUN BN (UMNO) iaitu ADUN Endau (Alwiyah Talib) pada September tahun lepas dan ADUN Sedili, Rasman Ithnain dan ADUN Johor Lama, Rosleli Jahari pada November.

Ini menjadikan komposisi DUN Johor kepada PH 39 kerusi, BN 16 kerusi dan PAS satu kerusi.

SUMBER: BERNAMA