Categories
NASIONAL

Rombakan EXCO Johor bakal dimuktamad minggu ini

ISKANDAR PUTERI, 17 APRIL: Rombakan barisan EXCO Kerajaan Johor dijangka dimuktamadkan menjelang akhir minggu ini, kata Menteri Besarnya, Dr Sahruddin Jamal.

Beliau berkata, penyusunan barisan EXCO masih diperincikan lagi.

“Seperti yang saya cakap, saya akan memilih EXCO yang saya selesa bekerja dengan mereka. Insya-Allah kita akan lihat nama itu (senarai baharu). Nanti saya umumkan beberapa hari lagi sebelum minggu hadapan,” katanya kepada pemberita di Kota Iskandar di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya status rombakan barisan EXCO kini serta sama ada akan terdapat pengguguran atau nama baharu dalam senarai berkenaan.

Dr Sahruddin, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepong itu turut mengesahkan tiada tambahan portfolio kepada 11 portfolio termasuk yang dipegang menteri besar kini.

Semalam, sebuah portal melaporkan barisan EXCO Kerajaan Johor yang baharu akan menyaksikan pengguguran dua EXCO lama iaitu Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur dan Pengangkutan, Mazlan Bujang dan Tan Hong Pin, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Sains dan Teknologi.

Mazlan adalah ADUN Puteriwangsa daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Tan merupakan ADUN Skudai daripada DAP.

Dr Sahruddin mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Johor ke-17 di Istana Bukit Serene, pada Ahad lalu menggantikan Datuk Osman Sapian yang meletak jawata, pada 8 April lalu.

Sehari sebelum itu, Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar menetapkan syarat supaya menteri besar Johor yang baharu membuat rombakan kepada barisan EXCO Kerajaan Negeri. –BERNAMA

 

Categories
NASIONAL

Exco Johor terpalit rasuah letak jawatan

SHAH ALAM, 20 APRIL: Datuk Abd Latif Bandi yang menghadapi pertuduhan rasuah secara rasmi meletak jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor.

Perkara itu dinyatakan menerusi kenyataan media dikeluarkan peguamnya, hari ini.

Dalam kenyataan itu, beliau turut merakam penghargaan kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar dan Menteri Besar, Datuk Seri Khaled Nordin kerana memberi kepercayaan kepadanya untuk menjadi sebahagian daripada pentadbiran.

Kenyataan terbabit turut memaklumkan Abd Latif berjaya mengumpulkan wang RM2 juta untuk membayar ikat jamin dan dibebaskan.

Abd Latif, 51 dikenakan jaminan RM2 juta selepas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Johor Bharu, semalam atas pertuduhan terlibat dalam rasuah lebih RM30.3 juta antara 2013 dan 2016.

Categories
NASIONAL

Exco Johor mengaku tidak bersalah pertuduhan rasuah

JOHOR, 19 APRIL: Exco Kerajaan Johor, Datuk Abd Latif Bandi yang dihadapkan ke mahkamah atas 33 pertuduhan membabitkan rasuah RM30.3 juta mengaku tidak bersalah.

Abd Latif, 51, bersama perunding hartanah, Amir Shariffuddin Abd Raub, 44, tidak mengaku bersalah apabila pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Fauzi Mohd Nasir.

Mengikut kertas pertuduhan, Abd Latif didakwa bersubahat dengan Amir Shariffuddin untuk menerima rasuah daripada beberapa individu bagi mendapatkan kelulusan pelepasan sejumlah rumah lot Bumiputera kepada pembeli awam.

Selain itu, dia didakwa terlibat dalam pengurangan bayaran wang sumbangan Tabung Perumahan Negeri Johor bagi Projek Eco Botanic, Pulai.

Amir Shariffuddin pula dituduh menerima rasuah daripada beberapa individu sebagai upah untuk dirinya dan Abd Latif melakukan apa-apa transaksi yang sebenarnya dengan badan awam iaitu mendapatkan kelulusan pelepasan sejumlah rumah lot Bumiputera itu dan pengurangan bayaran wang sumbangan tabung berkenaan.

exco-johorKesemua kesalahan didakwa dilakukan antara 13 November 2013 hingga 19 Oktober 2016 di Maybank Islamic Bhd, cawangan Larkin Perdana, di sini.

Amir Shariffuddin Abd Raub dibawa anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke Mahkamah Sesyen.

Kesemua pertuduhan itu dilakukan di bawah Seksyen 28 (1)(c) Akta SPRM 2009 yang dibacakan bersama Seksyen 16 (a)(B) dan Seksyen 24 akta sama.

Jika disabit kesalahan, kedua-dua tertuduh boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang tinggi.

*SUMBER: BERNAMA