Categories
SELANGOR

Tekad angkat bidang pendidikan setaraf antarabangsa

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 16 MEI: Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Dr Shaharuddin Badaruddin menyifatkan pengalaman 33 tahun dalam bidang pendidikan serta pembabitannya dalam badan bukan kerajaan boleh mengangkat bidang pendidikan negeri itu setaraf antarabangsa.

Katanya, pihaknya turut merancang melakukan beberapa perkara berkaitan aspek pendidikan, selain turut menumpukan kepada sekolah-sekolah Agama dan Fardu Ain (Kafa) serta tahfiz.

“Buat masa ini, saya merancang melakukan beberapa perkara berkaitan aspek pendidikan, selain turut menumpukan kepada sekolah-sekolah Agama dan Fardu Ain (Kafa) serta tahfiz.

“Kita akan melihat secara teliti bagi memastikan tahap pendidikan tersebut setinggi bangsa lain,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Angkat Sumpah Simpan Rahsia Rasmi Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN), di SUK, di sini.

Selain itu, Shaharuddin turut menyifatkan portfolio digalasnya mencabar kerana penggabungan hal ehwal agama Islam dan pendidikan.

Bagaimanapun, katanya, ia tidak menghalangnya untuk meneruskan tanggungjawab dipikul dan bertekad melakukan sebaiknya.

“Saya percaya pengalaman sebagai pensyarah di Universiti Teknologi Mara (UiTM) selama 30 tahun dan juga sebagai Timbalan Naib Canselor di Universiti Selangor (Unisel) sebelum ini membantu memudahkan penugasan.

“Mala, pembabitan saya sebagai sukarelawan serta dakwah juga akan memberi kelebihan dalam memegang portfolio ini,” katanya.

Pada Pilihanraya Umum ke-14 (PRU14) baru-baru ini, Shaharuddin memenangi kerusi DUN Seri Setia dengan majoriti 19,372.

Beliau menewaskan calon dari Barisan Nasional (BN), Datuk Yusoff M Hanif dengan 29,250 undi.

Categories
NASIONAL

Panelis Wacana Sinar Sependapat Manifesto PR Lebih Memahami Kehendak Rakyat

wacana sinar manifesto apr 30 01

SHAH ALAM, 1 MEI: Tiga panelis Wacana Sinar sependapat Manifesto Pakatan Rakyat lebih baik dan mampu memenuhi harapan rakyat berbanding manifesto yang dikeluarkan BN dalam kempen pilihan raya umum kali ini.

Menurut Ketua Kluster Etnisiti dan Pekerjaan, Institut Kajian Etnik (Kita), Prof Dr Mansor Mohd Noor, idea yang diterjemahkan ke dalam manifesto Pakatan tersebut diadaptasi dari keluhan rakyat kebanyakkan.

“PR dia dengar dari rakyat, dia letaklah. BN, datang dari atas, yang berkuasa  menjalankan projek besar yang sebenarnya dia tidak mencecah pada kehendak rakyat,” kata Dr Mansor

Manakala Prof Madya Dr Shaharuddin Badaruddin menjelaskan keputusan kajian Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (Umcedel) baru-baru ini turut mempunyai signifikan dengan pendapat tersebut.

Beliau yang merupakan salah seorang anggota Felo Penyelidik Umcedel berkata kajian itu mendapati 42 peratus daripada 1,407 responden bersetuju dengan manifesto Pakatan.

Manakala 36 peratus bersetuju dengan manifesto BN dan 22 peratus tidak pasti. dr mansor mohd noor apr 30 01

“Apa kehendak rakyat itulah yang mendorong PR mengemukakan manifestonya,” kata Dr Shaharuddin yang juga pensyarah Fakulti Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Manakala pensyarah Jabatan Ilmu Wahyu dan Ilmu Kemanusiaan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Dr Maszlee Malik berkata manifesto yang dirangka BN didasari idealogi kapitalis.

“BN lebih kepada kapitalis kronisme, BN punya idea hanya untuk kekal berkuasa, itu sahaja,” katanya.

Dr Maszlee menambah lagi, manifesto BN yang bertajuk ‘Menepati Janji Membawa Harapan’ bukan sahaja dikatakan meniru beberapa dasar yang dibawa Pakatan, malah menggunakan tajuk yang turut dianggap memplagiat tajuk manifesto PR.

Wacana Sinar siri ke 19 yang diadakan di Auditorium Karangkraf di sini itu dikendalikan oleh Ketua Eksekutif Institut Bagi Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas), Wan Saiful Wan Jan.