Categories
SELANGOR

50 pesakit kanser terima kerusi roda

OLEH SYAZWANI SUFIAN

PETALING JAYA, 28 OGOS: Seramai 50 penghidap kanser menerima sumbangan kerusi roda yang disampaikan isteri Dato’ Menteri Besar, Datin Seri Shamshida Taharin dalam Program Dr Yasmeen’s Grand Holistic Talk, semalam.

Penganjurnya, Dr Yasmeen Farouk Mohamed berkata, pemberian kerusi roda itu untuk pesakit kanser yang terpilih dalam kalangan mereka yang kurang berkemampuan.

“Saya melaksanakan program ini hampir 10 tahun dan setiap enam bulan kita akan memberikan fokus berlainan.

“Kali ini kita memberikan sumbangan kerusi roda kepada 50 pesakit kanser terpilih,” katanya kepada Selangor Kini.

Tambahnya lagi, program sama juga dilaksanakan bagi memberi sokongan moral dan nasihat kepada pesakit kanser.

“Apa yang saya tawarkan melalui program ini adalah tempat untuk pesakit kanser ini mendapatkan tentang cara-cara pemakanan yang sihat serta gaya hidup yang lebih sihat.

“Setakat ini kita mempunyai lebih 320 ahli terdiri daripada pesakit kanser dari tahap satu hingga empat,” katanya.

Yasmeen yang juga merupakan seorang penyelidik memaklumkan bahawa pemakanan yang sihat adalah perkara utama yang perlu di titik beratkan oleh pesakit kanser.

“Dengan menjaga pemakanan sebenarnya boleh memanjangkan lagi usia mereka dengan izin Allah. Badan kita adalah tanggungjawab kita sendiri.

“Bagi pesakit kanser, mereka perlu bersenam, banyakkan makan sayur dan buah setelah selesai menjalankan ‘chemotherapy’ selain kurangkan gula dalam makanan kerana ia boleh menyebabkan penyebaran kanser,” katanya.