Categories
NASIONAL

Waran tangkap Yusuf Al-Qaradawi biadap, tak logik

Oleh: NURUL FARINA NAZLAN

SHAH ALAM, 23 DIS: Waran tangkap yang dikeluarkan Polis Antarabangsa (Interpol) terhadap sarjana Islam, Dr Yusuf Al-Qaradawi bersifat biadap dan tidak logik.

Pengerusi Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama (BIPPA) PKR, Dr Muhammad Nur Manuty berkata,impak besar sama ada positif atau negatif akan berlaku jika Interpol meneruskan hasrat menahan Al-Qaradawi.

qaradawiKatanya, kenyataan yang jelas jika Al-Qaradawi ditahan adalah kerana Interpol termakan dengan pujuk rayu rejim kudeta Mesir, Al-Sisi dan pemimpin kuasa besar lain.

“Sumbangan Al-Qaradawi sangat besar dalam bidang dakwah, pemikiran dan pengembangan institusi Islam. Malah, beliau mendapat banyak gelaran daripada negara Islam seluruh dunia.

“Sungguh malang, jika umat Islam berdiam diri dan tidak melakukan sebarang tindakan atas waran tangkap yang dikeluarkan Interpol itu,” katanya dalam sesi temuramah khas bersama Selangor Kini, di sini, hari ini.

Sehubungan itu, Dr Muhammad berkata, kerajaan Pakatan Rakyat khususnya di Selangor harus mencari jalan bersama individu muslim dan badan bukan kerajaan Islam untuk melobi, selain berikhtiar di peringkat tempatan juga antarabangsa bagi menunjukkan simpati serta memberi sokongan kepada Al-Qaradawi.

IMG_0596aBeliau juga menyifatkan Al Sisi bersifat kuku besi dan memberikan tekanan luar biasa, selain bersekongkol dengan Amerika Syarikat sehingga gagal membezakan individu yang ganas atau bukan.

“Mereka bersikap monolifik dalam melihat gerakan Islam dan melabelkan Al-Qaradawi sebagai pengganas. Jelas bahawa Al-Qaradawi pendukung Ikhwanul Muslimin atau digelar sebagai Faqihul Muslimin iaitu ulamak Ikhwan kerana ditarbiah sejak 1950an lagi.

“Kita berharap dengan perbincangan yang diadakan secara rasmi dengan beberapa pihak akan dapat menyelesaikan isu ini dalam masa sehari dua lagi,” katanya.

Categories
KENYATAAN MEDIA

Tangkap pemimpin Zionis bukan Dr Yusuf Al-Qaradawi

Oleh: Barisan kepimpinan Majlis Permuafakatan Mahasiswa Selangor (MPMS)

Beberapa hari yang lepas, Agen Polis Antarabangsa (Interpol) telah mengeluarkan waran tangkap ke atas Sheikh Dr. Yusuf Al-Qardhawi yang merupakan Pengerusi Kesatuan Ulama Islam Sedunia.

Dipercayai ianya dikeluarkan atas arahan oleh Presiden Kudeta Mesir, Abdul Fattah Al-Sisi yang mendakwa Dr. Yusuf terlibat secara langsung dalam insiden yang berlaku di negara kelahirannya itu.

al-QaradawiSehingga sekarang, negara-negara Muslim masih diam membisu dalam hal ini termasuklah badan dunia seperti OIC dan PBB.

Di peringkat MPMS, kami mendesak agar Kerajaan Malaysia di bawah pimpinan Dato Seri Najib Razak segera menyatakan pendirian dan tindakan berkaitan dengan isu ini.

Sebagaimana yang diketahui, tokoh ulama tersohor ini pernah dianugerahkan sebagai Tokoh Maal Hijrah tahun 2009 yang lalu oleh kerajaan Malaysia sendiri. Bertitik tolak dari itu, maka tiada alasan untuk kerajaan berdiam diri dan tunduk membisu terhadap isu ini.

Selain itu, kami melihat isu ini tidak lebih dan kurang sebagai plot terancang oleh rejim pemerintah yang pro Amerika dan dibantu oleh rejim Zionis di rantau Timur Tengah yang tidak senang dengan kemaraan gerakan Islam di negara masing-masing.

Mengapa waran yang sama tidak dikeluarkan ke atas pimpinan Zionis Israel yang terang-terangan melakukan jenayah ke atas warga Palestin sejak berpuluh-puluh tahun yang lampau, sedangkan Dr. Yusuf yang belum tentu lagi dibuktikan sebagai penjenayah menerima waran dengan begitu mudah.

Apa yang lebih sadis, tokoh yang dikenali umum dengan taraf keilmuan yang begitu tinggi ini sudah menjengah usia 88 tahun serta mengalami pelbagai kompilasi penyakit tidak diberi hak untuk pembelaan dan penafian berhubung dengan tuduhan yang dilemparkan tersebut.

Sejarah membuktikan bahawa Mesir semasa di bawah zaman Gamal Abdel Nasser begitu rakus sekali dalam menekan Ikhwanul Muslimin hinggakan tokoh ulung mereka, Syed Qutb yang merupakan pengarang ‘Fi Zilal Quran’ dihukum gantung tanpa pembuktian yang sahih dan tradisi ini diwarisi oleh pemimpin mereka selepas itu.

Adakah masyarakat dunia tidak menghadam sejarah ini? Inikah demokrasi dan hak asasi manusia yang diimani oleh negara-negara Barat?Sedangkan sudah terang lagi bersuluh Al Sisi merupakan seorang pimpinan yang merampas kuasa secara tidak demokratik.

Akhir sekali sebagaimana kerajaan Malaysia mengutuk tindakan kejam IS ke atas orang awam yang bertentangan dengan ajaran Islam, perkara yang sama juga perlu dilakukan ke atas tindakan Interpol ini yang jelas sekali bertentangan dengan prinsip kemanusiaan dan hak asasi manusia.

Kepada seluruh rakyat Malaysia khususnya yang beragama Islam, ayuh kita bersama-sama bersolidariti menentang kebaculan ini dan mendoakan semoga Dr. Yusuf Al-Qardhawi diberi kesihatan yang baik serta keistiqamahan dalam meneruskan perjuangannya.