Categories
NASIONAL

Hadi: Tuduhan Kerajaan Mesir terhadap Qardhawi bodoh, zalim

Oleh: AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 3 JAN: Naib Ketua Kesatuan Ulama Sedunia, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan Polis Antarabangsa (Interpol) tidak boleh mengambil tindakan terhadap Syeikh Dr Yusuf Abdullah Al Qardhawi hanya kerana pertuduhan spontan yang dilemparkan Kerajaan Mesir.

Abdul Hadi berkata, tuduhan Kerajaan Mesir terhadap Presiden Kesatuan Ulama Sedunia itu disifatkan zalim dan bodoh tanpa merujuk kepada peraturan Interpol.

“Jika, kita merujuk kepada Undang-Undang Tubuh Interpol, mereka hanya boleh mengambil tindakan terhadap individu yang dianggap melakukan kesalahan jenayah dan tidak boleh bertindak dalam kesalahan politik yang ada kaitan dengan hak asasi manusia.

hadi“Ia mesti mendapat kerjasama dengan negara yang orang dituduh itu berada, sama ada rakyat negara itu atau mendapat suaka politik negara berkenaan,” katanya di Auditorium MBSA, di sini, semalam.

Beliau yang juga Presiden PAS meminta klausa Undang-Undang Tubuh Interpol yang menghalang seseorang itu ditahan dimasukkan bersama dalam memorandum bantahan yang akan dikemukakan badan bukan kerajaan (NGO) Islam Malaysia

Menurut laman web Interpol pada 5 Disember lalu, notis merah terhadap Qardhawi, 88, dikeluarkan selepas dikehendaki pihak berkuasa kehakiman Mesir bagi pendakwaan dan sabitan hukuman kerana dituduh menghasut, membantu pembunuhan antarabangsa, membantu banduan melepaskan diri dari penjara, aktiviti vandalisme serta kecurian.

Yusuf yang kini menetap di Qatar dituduh mempunyai kaitan dengan insiden kekecohan ahli kumpulan Ikhwan Muslimin di dalam penjara dan penentangan terhadap pemimpin diktator Mesir, Hosni Mubarak.

qaradawiAbdul Hadi berkata, serangan terhadap ulama seperti Qardhawi berpunca daripada permusuhan terhadap Islam sejak zaman dahulu, selain didorong dengan ketakutan terhadap Islam atau Islamophobia.

Tegas Abdul Hadi, kebangkitan rakyat cetusan Qardhawi mengakibatkan kuasa barat serta pemimpin Islam yang mempunyai kentingan peribadi kini bimbang dan takut.

“Percayalah Islam tidak boleh dimatikan. Bukan seorang Qardhawi.

“Kalau satu dahan pokok dicantas, sepuluh tunas akan tumbuh. Satu tunas dicantas, tumbuh sepuluh tunas yang baru.

“Satu Qardhawi dicantas akan tumbuh sepuluh lagi Qardhawi. Di sini, keyakinan kepada kepada Allah SWT dan kita jangan mengalah,” katanya.

-NFN-

Categories
NASIONAL

MB: Notis merah kepada Qardhawi fitnah, sengaja cetus ketakutan terhadap Islam

Oleh: AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 3 JAN: Notis merah yang dikeluarkan Polis Antarabangsa (Interpol) terhadap Pengerusi Kesatuan Ulama Sedunia, Syeikh Dr Yusof Abdulllah Al Qardhawi adalah fitnah yang direka bagi mencetuskan ketakutan terhadap Islam.

Dato’ Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali berkata, semangat kebangkitan rakyat yang dicetuskan Al Qardhawi berjaya membuktikan beliau bukan sahaja tokoh ilmuan Islam, bahkan mujahid berpengaruh di seluruh dunia.

Hal itu termasuk konsep wasatiyyah atau kesederhanaan yang dianjurkan beliau selari dengan roh Islam dalam semua aspek sehingga dikagumi masyarakat antarabangsa.

qaradawi“Malang sekali, tuduhan yang dilemparkan terhadap Syeikh Dr Yusuf Al Qardhawi ini sangat berat.

“Apatah lagi, tuduhan ini datangnya daripada rejim tentera yang merampas dan merobohkan demokrasi yang diperjuangkan rakyat Mesir,” katanya pada Perhimpunan Solidariti bersama Dr Yusuf Abdullah Al Qardhawi di Auditorium MBSA, semalam.

Tegasnya, Kerajaan Selangor tetap dengan pendirian bahawa tokoh sederhana dan pejuang demokrasi Islam itu berhak dan wajar dipertahankan.

Pada majlis sama, Mohamed Azmin turut menurunkan tandatangan bantahan terhadap notis merah yang dikeluarkan Interpol dan menggesa nama ilmuan Islam itu serta ulama lain digugurkan daripada senarai berkenaan.

azminInterpol menerusi laman web rasminya, pada 5 Disember lalu memaklumkan pengeluaran notis merah terhadap Yusuf Al Qardhawi, 88, selepas dikehendaki pihak berkuasa kehakiman Mesir bagi pendakwaan dan sabitan hukuman kerana dituduh menghasut serta membantu pembunuhan antarabangsa, membantu banduan melepaskan diri dari penjara, aktiviti vandalisme juga kecurian.

Beliau yang kini menetap di Qatar dituduh mempunyai kaitan dengan insiden kekecohan ahli kumpulan Ikhwan Muslimin di dalam penjara dan penentangan terhadap pemimpin diktator Mesir, Hosni Mubarak.

-NFN-