Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Lebih 500 dos Vaksin Selangor habis disuntik di DUN Hulu Bernam

HULU BERNAM, 14 SEPT: Program Vaksin Selangor (Selvax) bergerak di DUN Hulu Bernam mendapat sambutan apabila hampir semua dos disuntik kepada penduduk sekitar hari ini.

Penyelaras Mohd Amran Syakir berkata sepanjang program bermula 9 pagi hingga 5 petang tadi, sebanyak 520 daripada 560 yang dibawa pihak pengurusan digunakan.

“Ini menunjukkan kesedaran orang ramai tentang pentingnya pelalian semakin meningkat, kebanyakan yang datang merupakan warga asing.

“Sebelum ini mereka tidak tahu boleh dapatkan vaksin percuma di Selvax jadi hari ini mereka ambil peluang bagi melindungi diri dan keluarga,” katanya ditemui di Dewan Orang Ramai Hulu Bernam.

Mohd Amran berkata orang ramai mula hadir seawal 7 pagi walaupun program hanya dijalankan dua jam kemudian.

“Kita sediakan kaunter ekspres untuk warga emas dan OKU (orang kelainan upaya) malah ruang khas disediakan dalam dewan untuk menyuntik mereka yang tidak boleh memanjat tangga bas.

“Individu yang mahu pelalian tetapi tidak dapat hadir hari ini digalakkan pergi ke Selvax bergerak DUN Batang Kali pada Khamis ini dan Kuala Kubu Bharu minggu hadapan ,” katanya.

Program Selvax bergerak dijalankan sejak 13 September bagi memastikan tiada rakyat negeri ini tercicir daripada menerima suntikan pelalian.

Untuk permulaan ia melibatkan 11 DUN dan program berlangsung dari 9 pagi hingga 5 petang selama seminggu.

Selain Hulu Bernam, DUN terlibat Bandar Baru Klang, Batu Tiga, Tanjung Sepat,, Gombak Setia, Bukit Antarabangsa, Batang Kali, Banting, Teratai, Dengkil dan Kampung Tunku.

Pakej Kita Selangor 2.0 yang diumumkan pada 9 Jun memperuntuk sebanyak RM200 juta untuk menjayakan Selvax Komuniti dan Selvax Industri yang akan memanfaatkan jutaan penduduk negeri ini

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Vaksin bergerak di Dewan Orang Ramai Hulu Bernam esok

SHAH ALAM, 13 SEPT: Program Vaksin Selangor (Selvax) bergerak diteruskan ke Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Bernam esok, di Dewan Orang Ramai Hulu Bernam.

Program bagi memastikan tiada penduduk negeri ini tercicir daripada menerima pelalian seterusnya akan berada di Dewan Orang Ramai Kampung Nakhoda, DUN Gombak Setia pada Rabu.

Berdasarkan infografik yang dikongsi EXCO Kesihatan Dr Siti Mariah Mahmud di Facebook, program bermula jam 9 pagi hingga 5 petang. Suntikan diberi secara percuma penduduk termasuk warga asing.

Program anjuran Kerajaan Negeri itu bermula di DUN Bandar Baru Klang semalam, diikuti Batu Tiga, Tanjung Sepat hari ini. Manakala, Bukit Antarabangsa dan Batang Kali pada 16 September, Banting, Teratai (17 September), Dengkil serta Kampung Tunku (18 September).

 

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Saringan Komuniti diteruskan di Kuala Kubu Baharu, Hulu Bernam

KUALA KUBU BAHARU, 8 JUN: Saringan Komuniti anjuran Kerajaan Selangor diadakan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu dan Hulu Bernam hari ini.

Program secara percuma berlangsung serentak di Dewan Merdeka Kuala Kubu Baharu dan Dewan Orang Ramai Hulu Bernam bagi DUN Hulu Bernam bermula 9 pagi hingga 4 petang.

Pendaftaran boleh dibuat melalui tiga kaedah iaitu aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah), pautan http://screening.selangkah.my atau terus mendaftar di lokasi.

Pendaftaran suntikan vaksin Covid-19 turut ditawarkan dalam program itu.

Sejak 8 Mei hingga 10 Jun, Kerajaan Negeri menjalankan program pengawasan Covid-19 secara aktif melalui saringan percuma di seluruh 56 DUN.

Program bawah Fasa Mitigasi Wabak Pandemik Covid-19 memanfaatkan rakyat yang berisiko, pernah menjadi kontak rapat, bergejala dan bimbang status kesihatan diri selesai dijalankan di 50 DUN sehingga semalam.

Kerajaan Negeri menyasarkan 100,000 individu disaring sehingga Khamis ini.