Categories
ADN SELANGOR

Warga emas buang stigma negatif, terima suntikan vaksin Covid-19

GOMBAK, 15 SEPT: Seorang warga emas membuang stigma negatif berhubung vaksin Covid-19 yang pernah didengarnya sebelum ini dan memilih untuk terima pelalian itu semalam.

Muhammad Fuaad Abd Rahman, 60, berkata sebelum ini beliau sering mendengar berita individu divaksin boleh mati sehingga merencatkan niatnya untuk menerima pelalian.

“Dulu ketika awal-awal vaksin masuk Malaysia, banyak tular mesej dan video individu divaksinasi boleh meninggal dunia termasuk ia membahayakan kesihatan terutama kepada warga emas macam saya.

“Tetapi lama kelamaan saya melihat kes Covid-19 semakin tinggi, orang ramai juga mula mengambil vaksin termasuk anak-anak saya turut menasihatkan kami ambil pelalian. Jadi hari ini saya hadir dengan isteri untuk divaksinasi,” katanya.

Beliau antara 600 individu yang menerima suntikan pelalian itu menerusi program Vaksin Selangor (Selvax) bergerak di Dewan Rakyat Terbuka Padang Awam, Batu Caves semalam.

Pada masa sama, Muhammad Fuaad menyeru golongan anti-vaksin menangkis stigma negatif dan segera mengambil suntikan itu yang mana sedikit sebanyak membantu melindungi diri daripada dijangkiti wabak.

“Sekarang banyak sektor ekonomi seperti pusat membeli-belah, kedai, pasar hanya membenarkan individu lengkap vaksin sahaja masuk ke premis.

“Saya rasa perlu untuk terima vaksin jika kita mahu pergi ke tempat tersebut dan pada masa sama mungkin dengan suntikan boleh membantu memulihkan ekonomi dan kurangkan kemasukan pesakit ke hospital,” katanya.

Program Selvax bergerak dijalankan sejak 13 September bagi memastikan tiada rakyat negeri ini tercicir daripada menerima suntikan pelalian.

Untuk permulaan ia melibatkan 11 DUN dan program berlangsung dari 9 pagi hingga 5 petang selama seminggu.

Selain Gombak Setia, DUN terlibat Bandar Baru Klang, Batu Tiga, Tanjung Sepat, Hulu Bernam, Bukit Antarabangsa, Batang Kali, Banting, Teratai, Dengkil dan Kampung Tunku.

Pakej Kita Selangor 2.0 yang diumumkan pada 9 Jun memperuntuk sebanyak RM200 juta untuk menjayakan Selvax Komuniti dan Selvax Industri yang akan memanfaatkan jutaan penduduk negeri ini.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Wanita pulih rawatan bedah jantung teruja terima vaksin negeri

GOMBAK, 16 SEPT: Seorang wanita pulih daripada rawatan pembedahan jantung dialaminya baru-baru ini teruja menerima vaksin Kerajaan Negeri.

Low Yuh Hwa, 48, yang hadir bersama rakannya ke program Vaksin Selangor (Selvax) bergerak semalam berharap suntikan pelalian itu dapat membuka rezekinya untuk kembali bekerja.

“Hampir setahun tidak mengambil upah mengemas rumah orang kerana doktor nasihat untuk berehat dahulu, termasuk kebanyakan majikan juga takut untuk menerima individu tidak divaksin.

M Ramachandran menerima suntikan vaksin menerusi program Vaksin Selangor (Selvax) bergerak di Dewan Rakyat Terbuka Padang Awam, Batu Caves pada 16 September 2021. Foto SHEEDA FATHIL/SELANGORKINI

“Saya amat lega apabila rawatan jantung sudah pulih dan semoga apabila selesai suntikan saya dapat kembali bekerja seperti biasa,” katanya ketika ditemui di Dewan Rakyat Terbuka Padang Awam, Batu Caves semalam.

Manakala, seorang remaja Salsabila Ali, 18, berkata beliau terpaksa menolak janji temu yang pernah diterima menerusi aplikasi MySejahtera kerana tiada pengangkutan untuk ke pusat pemberian vaksin yang agak jauh dari rumah.

“Alhamdulillah hari ini (semalam) ada suntikan di sini yang mana hanya 10 minit dari rumah, tanpa berfikir panjang saya hadir terus bersama ibu yang belum divaksin.

“Kepada remaja yang belum divaksinasi saya nasihatkan segera ambil suntikan ini supaya kita dapat kembali menjalani kehidupan seperti sediakala,” katanya.

Selain itu, seorang warga emas kurang upaya, M Ramachandran, 81, berkata janji temu pernah diterima sebelum ini terpaksa dibatalnya kerana lokasi di Klang yang agak jauh dari kediaman beliau di Sri Damansara.

“Hari ini anak bawa saya ke sini untuk vaksinasi, proses sangat mudah dan tidak memakan masa yang lama, program ini patut diteruskan,” katanya.

Categories
ADN SELANGOR

Lebih 2,000 pek makanan diagih kepada penduduk Gombak Setia

GOMBAK, 16 SEPT: Lebih 2,000 bakul makanan diagih kepada penduduk sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Gombak Setia yang terjejas akibat Covid-19 setakat ini.

Penyelarasnya Rahim Kasdi berkata semua penerima mendapat makanan asas seperti beras, tepung, sardin, susu, minyak masak termasuk bantuan tunai.

“Sumbangan ini diagihkan dari semasa ke semasa bagi memastikan tiada individu terputus bekalan makanan terutama ketika pandemik Covid-19 melanda,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program Vaksin Selangor (Selvax) bergerak di Dewan Rakyat Terbuka Padang Awam, Batu Caves di sini semalam.

Pada 23 Ogos, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor mengingatkan semua wakil rakyat untuk turun padang mengesan penduduk memerlukan bantuan.

Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bertitah golongan ini perlu sentiasa dicari, bukan hanya ketika ingin mendapatkan undi sewaktu pilihan raya sahaja.

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

600 dos habis disuntik, Vaksin Selangor ‘laris’ di DUN Gombak Setia

GOMBAK, 15 SEPT: Sebanyak 600 dos vaksin negeri habis disuntik kepada penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Gombak Setia hari ini dalam tempoh beberapa jam.

Penyelarasnya Rahim Kasdi berkata program yang sepatutnya berlangsung sehingga jam 5 petang tamat tiga jam lebih awal berikutan sambutan luar jangka, termasuk dalam kalangan warga asing.

“Hasil tinjauan selepas jam 2 petang masih ramai beratur di luar dewan untuk mendapatkan vaksin. Ini menunjukkan kesedaran masyarakat mengenai pentingnya pelalian semakin meningkat.

Rahim Kasdi

“Jika perlu kita akan bincang dengan Selcare untuk anjurkan lagi program ini pada masa akan datang,” katanya pada program Vaksin Selangor (Selvax) bergerak di Dewan Rakyat Terbuka Padang Awam, Batu Caves di sini.

Rahim turut menyeru individu yang belum mendapat vaksin untuk menyertai Selvax bergerak DUN Bukit Antarabangsa dan Batang Kali esok.

Program Selvax bergerak dijalankan sejak 12 September bagi memastikan tiada rakyat negeri ini tercicir daripada menerima suntikan pelalian.

Inisiatif itu membabitkan 11 Dewan Undangan Negeri (DUN) sebagai permulaan dari jam 9 pagi hingga 5 petang selama seminggu.

Selain Hulu Bernam, DUN terlibat Bandar Baru Klang, Batu Tiga, Tanjung Sepat, Gombak Setia, Bukit Antarabangsa, Batang Kali, Banting, Teratai, Dengkil dan Kampung Tunku.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Vaksin bergerak di Dewan Orang Ramai Hulu Bernam esok

SHAH ALAM, 13 SEPT: Program Vaksin Selangor (Selvax) bergerak diteruskan ke Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Bernam esok, di Dewan Orang Ramai Hulu Bernam.

Program bagi memastikan tiada penduduk negeri ini tercicir daripada menerima pelalian seterusnya akan berada di Dewan Orang Ramai Kampung Nakhoda, DUN Gombak Setia pada Rabu.

Berdasarkan infografik yang dikongsi EXCO Kesihatan Dr Siti Mariah Mahmud di Facebook, program bermula jam 9 pagi hingga 5 petang. Suntikan diberi secara percuma penduduk termasuk warga asing.

Program anjuran Kerajaan Negeri itu bermula di DUN Bandar Baru Klang semalam, diikuti Batu Tiga, Tanjung Sepat hari ini. Manakala, Bukit Antarabangsa dan Batang Kali pada 16 September, Banting, Teratai (17 September), Dengkil serta Kampung Tunku (18 September).

 

Categories
ADN SELANGOR

15 mangsa kebakaran di Sri Gombak dipindah ke dewan, surau

SHAH ALAM, 1 OGOS: Seramai 15 mangsa yang kehilangan tempat tinggal dalam kebakaran di Taman Sri Gombak malam tadi, dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di kawasan berhampiran.

Tiga daripada empat keluarga yang terlibat dalam kejadian ditempatkan di Dewan Orang Ramai Kampung Sri Makmur manakala bakinya di surau kampung berkenaan.

Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Gombak Setia berkata kesemua mangsa terselamat dan dipindahkan ke PPS dengan segera selepas kejadian itu.

“Selain itu, agihan barangan juga diberikan kepada mereka seperti toto, selimut, bantal dan barangan mandian.

“Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut terlibat menghulurkan bantuan perlu,” kata Rahim Kasdi kepada SelangorKini.

Beliau yang hadir ke lokasi kejadian bersama Ahli Majlis Majlis Perbandaran Selayang Anuar Jasmin juga menyalurkan bantuan makanan kepada mangsa.

Difahamkan, pihak bomba masih menjalankan siasatan mengenai punca kejadian pada kira-kira 9 malam itu yang memusnahkan sama sekali lima rumah, satu bengkel dan satu stor.

Bagaimanapun tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan.

Categories
ADN SELANGOR

Penyelaras DUN Gombak Setia agih 3,500 bantuan makanan, 16 komputer

SHAH ALAM, 20 MAC: Sebanyak 3,500 bakul makanan diagih kepada golongan berpendapatan rendah (B40) sekitar kawasan Gombak Setia setakat ini.

Penyelarasnya Abdul Rahim Kasdi berkata bantuan berupa beras, minyak, biskut dan gula itu sebagai langkah meringankan beban penduduk terjejas akibat pandemik Covid-19.

“Dalam masa sama kita turut agihkan barangan basah seperti ayam kepada 1,000 penduduk dalam usaha memastikan semua kebajikan terjaga.

“Bantuan diluaskan lagi dengan pemberian 16 komputer kepada keluarga yang benar-benar memerlukan ketika sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) yang berjalan sebelum ini” katanya kepada SelangorKini.

Menurutnya semua bantuan diserah melalui Pusat Khidmat Penyelaras DUN, ahli majlis atau ketua kampung serta program ziarah ke rumah.

“Cara ini dapat mengelakkan penularan Covid-19 selain memastikan ia sampai kepada golongan sasar,” katanya.

Categories
ADN SELANGOR

Penyelaras DUN Gombak Setia berazam bantu rakyat miskin, atasi isu setempat

SHAH ALAM, 22 SEPT: Penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Gombak Setia boleh mendapatkan pelbagai bantuan mahupun menyampaikan aduan melalui pusat khidmat rakyat DUN berkenaan.

Bertempat di Dewan Beringin, Jalan SG1/1, Taman Sri Gombak, Batu Caves, penyelarasnya Abdul Rahim Kasdi sedia memberi perkhidmatan kepada segenap lapisan rakyat.

Beliau yang dilantik pada minggu lalu turut menubuhkan kumpulan khas bagi menjejak golongan berpendapatan rendah untuk mengagihkan bantuan termasuk makanan, minyak dan gula.

“Sebagai penyelaras, saya akan memastikan kebajikan rakyat tanpa mengira kaum dan agama terjamin manakala segala bentuk bantuan sampai ke tangan mereka yang layak,” katanya.

Abdul Rahim juga berusaha untuk mengatasi masalah banjir kilat akibat hujan lebat di beberapa kawasan yang sudah dikenal pasti.

“Masalah ini akan cuba diatasi sebaik mungkin demi kebaikan semua pihak,” katanya lagi.

Ada tujuh kampung tradisi dalam DUN berkenaan.

Pusat khidmat itu boleh dihubungi melalui talian 03-61783170.

Categories
SELANGOR

Utamakan prasarana baharu kampung tradisi Gombak Setia

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 17 APRIL: Pembangunan prasarana baharu untuk kemudahan penduduk antara agenda yang akan diberi perhatian sebagai usaha memberdaya dan menaik taraf kampung tradisi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Gombak Setia.

Ahli Dewan Negerinya, Muhammad Hilman Idham berkata, terdapat tujuh kampung tradisi yang memerlukan kehidupan lestari antaranya Kampung Gombak Utara, Kampung Sungai Pusu, Kampung Sungai Cincin, Kampung Simpang Tiga, Kampung Tengah, Kampung Changkat termasuk Kampung Kerdas.

Beliau berkata, pihaknya bersama Majlis Perbandaran Selayang (MPS) sedang meneliti keperluan terhadap perkara itu bagi merealisasikan hasrat penduduk yang menetap di kampung Melayu tradisi.

“Kita sudah selesai membangunkan sebuah gelanggang futsal di Batu 11, Kampung Gombak Utara dan Kampung Simpang Tiga kepada generasi muda, malahan ada beberapa lagi perancangan lain yang sedang kita laksanakan.

“Kampung Melayu tradisi ini adalah kampung terkenal, cuma sebelum ini tidak kelihatan ekoran tiada tanda nama kampung, jadi saya sudah meluluskan peruntukan lebih RM150,000 untuk MPS melaksanakan kerja pembinaan tanda nama kampung untuk ketujuh-tujuh kampung berkenaan.

“Kita berharap sebelum tiba Syawal, kerja pelaksanaan ini sudah disiapkan dan keluarga yang pulang beraya di semua kampung tradisi dapat melihat perubahan di kampung mereka,” katanya kepada SelangorKini.

Sejak mengambil alih pentadbiran di DUN berkenaan, Hilman berkata, perkara pertama dilaksanakan ialah mencadangkan kepada MPS untuk menaik taraf Taman Greenwood melalui program Rejuvenasi.

“Langkah awal kita adalah menaik taraf Taman Greenwood seperti dataran, ‘green park’, ‘pedestrian walk’ selain memperindah kawasan itu dengan tanda nama ‘Greenwood’.

“Selepas itu, kita melihat terdapat keperluan disebabkan di hujung Taman Greenwood ada dua kampung iaitu Kampung Simpang Tiga dan Kampung Changkat,” katanya.

Categories
SELANGOR

Lebih 800 peserta sertai Program Merdeka Sihat 2018

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

GOMBAK, 17 SEPT: Lebih 800 peserta menjayakan Program Merdeka Sihat 2018 anjuran Majlis Perbandaran Selayang (MPS), di bawah kelolaan Jawatankuasa Penduduk (JKP) Zon 4 di Taman Tasik Seri Setia, di sini, hari ini.

Program julung kali diadakan itu bertujuan menyemarakkan Sambutan Hari Malaysia 2018, selain mempromosi gaya hidup dalam kalangan komuniti setempat.

Pengerusi JKP, Azahari Daud berkata, program terbabit dilihat mampu menjadi wadah penghubung bagi memperkukuh perpaduan dan mewujudkan muafakat antara masyarakat.

“Kita mahu pastikan masyarakat supaya memberi penekanan terhadap aspek penjagaan kesihatan melalui semua aktiviti yang telah dirancang bagi program ini.

“Penglibatan luar biasa daripada lebih 800 peserta juga membuktikan bahawa masyarakat kita sedar keperluan terhadap program berbentuk kemasyarakatan yang dapat memupuk perpaduan.

“Justeru, melihat kepada sambutan di luar jangkaan, saya komited untuk meneruskan program sebegini secara kerap bersama penduduk,” katanya ketika ditemui SelangorKini.

Sepanjang program berlangsung, pelbagai acara dijalankan termasuk larian ‘FunRun’, ‘Fitness Test’, Zumba, pertunjukan silat dan sepak raga bulatan.

Sebelum itu, gimik perasmian program disempurnakan Ahli Dewan Negeri (ADN) Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham yang turut serta melepaskan peserta larian ‘FunRun’.

Sementara itu, Hilman memuji inisiatif diambil pihak JKP Zon 4 melalui pelaksanaan program membabitkan komuniti.

“Diharap penglibatan aktif ini dapat mengajak masyarakat semua untuk bersama memperkukuh tekad dan iltizam ke arah mewujudkan kehidupan sihat serta lebih produktif.

“Saya juga menggesa semua penduduk, khususnya di daerah Gombak supaya terus mengharmonikan kawasan ini,” katanya.

Categories
SELANGOR

Sambutan Aidilfitri di Gombak meriah

OLEH ERMIZI MUHAMAD

GOMBAK, 1 JUL: Seramai 10,000 warga Gombak Setia memeriahkan Majlis Sillaturrahim Eidul Fitri, peringkat Parlimen Gombak dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Gombak Setia, di Padang Taman Berjaya, Gombak, hari ini.

Program turut dimeriahkan dengan kehadiran Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Hadir sama Ahli Dewan Negeri, Gombak Setia, Mohd Hilman Idham.

Pengunjung yang terdiri daripada lapisan bangsa dan agama tidak melepaskan peluang beramah mesra bersama ketiga pimpinan utama itu.

Terdahulu, majlis itu dianjurkan sempena Aidilfitri bersama penduduk Gombak.

Penganjuran julung kali itu diadakan selepas kepimpinan pentadbiran Gombak Setia diterajui wakil rakyat baru.

Pada masa sama, majlis turut disusuli dengan pelancaran Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Gombak dan DUN Gombak Setia yang dirasmikan Mohamed Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak.

Operasi pusat khidmat di Taman Berjaya itu menawarkan perkhidmatan komuniti kepada warga setempat.

 

Categories
SELANGOR

Kebajikan rakyat terus jadi keutamaan

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 10 FEB: DUN Gombak Setia terus prihatin dan komited membantu rakyat di kawasan itu yang memerlukan perthatian dalam segala aspek.

Terbaru, Ahli Dewan Negerinya, Hasbullah Mohd Ridzwan menziarahi kediaman mangsa yang ditimpa dahan pokok dan mengakibatkan sebahagian bumbung rosak juga seorang remaja cedera di bahu selepas dihempap siling rumah di Batu 11 Gombak Utara.

Beliau berkata, mangsa kini dipindahkan ke Dewan Surau Silaturahim, di sini, selama tiga hari selain menerima rawatan.

“Sepanjang tempoh itu, kita menghulurkan sumbangan keperluan asas seperti makanan dan bantuan kewangan bernilai RM300 hingga RM500.

“Selain itu, bantuan baik pulih bumbung juga akan diberikan berdasarkan keperluan pemilikan tanah dan rumah berkenaan,” katanya kepada SelangorKini.

Pada masa sama, Hasbullah turut menyampaikan sumbangan kepada mangsa bencana tanah runtuh serta menziarahi masyarakat Tiong Hua, Chong Kim Sang, 70, yang menghidap penyakit kencing manis di Flat Pinggiran Batu Caves, pada 8 Februari lalu.

-AA-