Categories
NASIONAL

Duti eksais naik: Pengajaran pengundi percaya janji BN

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 10 APR: Pengundi diingatkan supaya mengambil pengajaran supaya jangan terpedaya lagi dengan janji bakal ditaburkan Kerajaan Barisan Nasional (BN) dalam manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 nanti.

Bekas Timbalan Pengarah Bank Negara Malaysia (BNM), Dr Rosli Yaakob, berkata hal ini berikutan banyak janji dalam manifesto BN pada PRU-13 lalu tidak ditepati.

Katanya, ia termasuk langkah menaikkan lagi 5 peratus duti eksais kenderaan pelbagai guna (MPV) yang menyebabkan harga kenderaan keluarga itu semakin meningkat.

dr_rosli_yaakob_“Ini pengajaran kepada pengundi bahawa mereka berjanji tetapi tidak menepati janji. Pengundi harus menganggap manifesto BN pada pilihan raya akan datang juga hanyalah pembohongan semata-mata.

“Ini bukan sekali tetapi dah banyak kali, takkan lah kita dah kena tipu nak tertipu lagi dengan orang yang sama,” katanya ketika dihubungi SelangorKini, hari ini.

Jelasnya, kerajaan sepatutnya mengkaji untuk menghapuskan duti eksais berikutan pada masa ini rakyat sudah dikenakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Katanya, langkah menaikkan cukai eksais menambahkan bebanan cukai kepada rakyat khususnya golongan keluarga berpendapatan sederhana dan rendah.

Terdahulu, Kerajaan mengumumkan menaikkan cukai eksais kenderaan MPV, kenderaan utiliti sukan (SUV) dan van berkapasiti1.5 liter ke bawah sebanyak 5 peratus daripada 60 peratus kepada 65 peratus berkuat kuasa 1 April.

-nR-