Categories
AGENDA NASIONAL

60,000 pemandu e-hailing lulus PSV

LABUAN, 25 OKT: Lebih 60,000 pemandu e-hailing lulus Lesen Vokasional Malaysia (PSV) seperti yang diwajibkan Kementerian Pengangkutan, kata Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Seri Shaharuddin Khalid.

Katanya, pada masa ini selain pendaftaran bagi mendapatkan lesen berkenaan yang berterusan setiap hari, JPJ juga meluluskan kursus latihan secara dalam talian di beberapa pusat dibenarkan.

“Kami secara berterusan mengadakan pendaftaran, mengadakan peperiksaan secara ramai-ramai untuk pemandu e-hailing, jadi kami boleh mempercepatkan proses menyediakan mereka dengan lesen yang diperlukan.

“Di Lembah Klang sahaja, kira-kira 2,000 pemandu e-hailing menduduki peperiksaan setiap minggu, kami mendapat sambutan amat menggalakan daripada mereka yang menjalankan operasi perniagaan e-hailing.

“Kami tidak lihat sebarang masalah dan pada hujung tahun ini. Kami jangkakan, kesemua pemandu e-hailing akan mempunyai lesen PSV,” katanya selepas program JPJ bersama Media di sini semalam.

Sementara itu, Shaharuddin berkata sehingga kini sejumlah 74,876 kenderaan sudah didaftarkan JPJ di pulau bebas cukai dengan 1,577 buah kenderaan didaftarkan dari Januari hingga 24 Oktober.

“Ini menunjukkan pendaftaran kenderaan baharu di Labuan berterusan dan kami mahu memastikan kesemua kenderaan yang didaftarkan, mengikut peraturan dan undang-undang yang diperlukan,” katanya.

Shaharuddin berkata, bagi tempoh yang sama, seramai 1,801 pemandu baharu lulus lesen memandu masing-masing.

-BERNAMA

Categories
AGENDA JENAYAH

Pemandu e-hailing dipercayai edar dadah ditahan

IPOH, 17 OKT: Polis menahan seorang pemandu e-hailing dipercayai pengedar dadah dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM753,295 dalam serbuan di sebuah rumah kedai di Kampung Simee di sini, semalam.

Timbalan Ketua Polis Perak, Datuk Lim Hong Shuan berkata, lelaki berumur 24 tahun itu ditahan dalam serbuan yang dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri pada pukul 2 pagi.

“Polis menemukan serbuk dadah dalam paket minuman segera sebanyak 245 paket dengan anggaran seberat 15 kilogram, 50 biji pil ekstasi, ketamin seberat 11 gram dan cecair disyaki dadah beranggaran berat 2.77 liter di salah sebuah bilik di rumah kedai dua tingkat tersebut.

“Turut dirampas peralatan yang digunakan untuk membungkus dadah tersebut. Polis juga menyita sebuah kereta bernilai RM45,000,” katanya pada sidang media di IPK di sini, hari ini.

Lim berkata, ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine dan mempunyai rekod jenayah lampau di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Katanya, siasatan awal mendapati suspek mula menjalankan aktiviti itu sejak sebulan lepas dan bekalan dadah berkenaan dapat menampung antara 5,000 pengguna di sekitar pusat hiburan di sekitar bandar raya Ipoh.

Beliau berkata, suspek kini ditahan reman selama seminggu bermula semalam sehingga 22 Oktober ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sementara itu, Lim berkata sebanyak 10,050 ditangkap kerana terlibat dalam penyalahgunaan dadah di negeri ini bagi tempoh Januari hingga September tahun ini.

Katanya daripada jumlah itu, 2,099 individu ditangkap kerana membekal dadah manakala 5,499 orang ditahan kerana memiliki dadah serta 146 orang ditangkap di bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas).

“Sejumlah 65,297 gram dadah jenis heroin serta 4,431 gram dadah jenis syabu dirampas sepanjang tempoh tersebut,” katanya.

Menurutnya, nilai keseluruhan dadah yang dirampas sepanjang tempoh itu adalah RM2.1 juta manakala sitaan harta berjumlah RM5.3 juta.

– BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Penumpang e-hailing mengeluh tambang naik

KUALA LUMPUR, 13 JULAI: Walaupun tempoh masa bagi pemandu e-hailing memperoleh lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) dilanjutkan selama tiga bulan bermula Jumaat, beberapa penumpang e-hailing di Lembah Klang mengeluh kerana berdepan kenaikan tambang.

Beberapa orang penumpang ketika dihubungi Bernama hari ini mendakwa kadar caj naik sebanyak RM10 daripada biasa dan mereka terpaksa menunggu lebih lama untuk mendapatkan pemandu.

Sebelum ini, beberapa syarikat e-hailing menyuarakan kebimbangan berhubung kemungkinan penumpang membayar caj lebih tinggi ekoran tempoh akhir untuk mendapatkan PSV berakhir pada Jumaat dan pemandu yang tidak mempunyai lesen PSV tidak lagi dibenar untuk menyediakan perkhidmatan.

Bagaimanapun, pada hari yang sama, Menteri Pengangkutan Anthony Loke mengumumkan tempoh akhir itu akan dilanjutkan selama tiga bulan lagi.

Aishah Abdul Rahim, yang menggunakan perkhidmatan e-hailing setiap hari, berkata tambang Grabnya telah meningkat sebanyak RM10 jika menaiki Grab dari rumahnya di Kampung Datuk Keramat ke tempat kerja di Jalan Tun Razak.

“Jarak dari rumah saya ke pejabat hanya kira-kira lima kilometer dan biasanya tambang sekitar RM8. Tetapi semalam, saya terpaksa membayar RM18, ” kata eksekutif berusia 23 tahun yang menggunakan perkhidmatan e-hailing setiap hari.

Aishah menambah dia terpaksa mencuba tiga kali sebelum mendapatkan pemandu dan perlu menunggu lebih daripada 10 minit, sedangkan sebelum ini dia hanya mengambil masa tiga hingga empat minit.

Pereka grafik yang dikenali hanya sebagai Amelia mendakwa bahawa tambang biasanya juga meningkat sebanyak RM10 untuk perjalanan dari Bangsar ke pejabatnya di Bukit Bintang dan dia perlu menunggu selama 20 minit untuk mendapatkan pemandu.

“Sebagai penumpang, saya terpaksa menerimanya, kerana jika tidak, saya perlu mencari pilihan lain untuk ke tempat kerja. Saya harap isu ini tidak berterusan, ” katanya sambil mengeluh.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pemandu Grab Malaysia, Arif Asyraf Ali ketika ditanya mengenai dakwaan tersebut berkata beliau belum menerima sebarang aduan berhubung kenaikan tambang, tetapi ada aduan yang diterima mengenai kekurangan pemandu e-hailing.

Sementara itu, di Melaka, seorang penumpang tetap Grab, Muhammad Zakiyudin Yusof, 30, berkata tidak berlaku kenaikan tambang di negeri ini dalam tempoh dua hari ini dan dia membayar kadar tambang yang sama.

“Setakat ini, kadar tambang masih sama, saya masih membayar kurang daripada RM10 seperti sebelum ini,” kata pengurus kedai runcit yang menggunakan perkhidmatan itu dari Melaka Raya ke Aeon Bandaraya Melaka setiap hari.

Seorang penjawat awam yang berpangkalan di Johor Bahru, Nur Aqeela Arbaen, 27, meluahkan rasa lega kerana dia tidak berdepan kenaikan tambang di kawasannya sambil berkata tambang hanya akan naik pada waktu puncak, yang dianggapnya perkara biasa.

“Semasa di luar waktu puncak,tambangnya hanya RM5, tetapi pada waktu puncak, tambangnya boleh melonjak sehingga RM10. Pada masa ini, tiada berlaku kenaikan tambang dan tambangnya masih M5 untuk ke pejabat saya,” katanya.

Di Terengganu, pemandu Grab sepenuh masa, Mohd Faez Mohd Fozi berkata tambang di negeri ini kekal stabil kerana banyak pemandu telah mendapat lesen PSV dan mematuhi peraturan.

“Permintaan di Terengganu tidak sama seperti di Lembah Klang. Oleh itu, masalah di Lembah Klang tidak berlaku di Terengganu, ” katanya.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Lesen PSV e-hailing masih kurang sambutan

SEREMBAN, 26 MEI: Pengambilan Lesen Kenderaan Pengangkutan Awam (PSV) dalam kalangan pemandu perkhidmatan e-hailing setakat ini masih kurang, walaupun Kementerian Pengangkutan memberi kelonggaran masa untuk berbuat demikian.

Timbalan Menteri, Datuk Kamaruddin Jaafar berkata, kerajaan mengalakkan pemandu e-hailing mendapatkan lesen PSV sebelum tarikh penguatkuasaannya 12 Julai ini.

“Kita mengalakkan supaya mereka yang terlibat menjadi pemandu e-hailing ini segera melalui proses perolehan lesen PSV.

“Masih belum ramai lagi. Jadi kita cuba mengalakkan malah memberi kemudahan kepada mereka melalui proses ini,” katanya kepada Bernama selepas Majlis Infaq Ramadan di sini, malam tadi.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai sambutan pemandu perkhidmatan e-hailing, terhadap langkah yang diambil kementerian itu yang bersedia memberi kelonggaran masa kepada mereka untuk menghabiskan kursus enam jam bagi mendapatkan lesen PSV.

Antara perkara yang dipermudahkan ialah membolehkan pemandu e-hailing menjalani kursus dalam talian dan tidak perlu ke kelas, diberi masa anjal menghabiskan kursus selama enam jam secara berperingkat serta satu jam peperiksaan ujian berkomputer.

Mengulas lanjut, Kamaruddin berkata susulan langkah berkenaan tiada alasan untuk mereka tidak mengambil lesen PSV.

Beliau juga berkata tindakan undang-undang akan dikenakan terhadap pemandu e-hailing yang didapati tidak memiliki lesen PSV selepas ia dikuatkuasakan.

“Kementerian telah membuat keputusan bahawa hanya pemegang lesen PSV sahaja boleh menjadi pemandu e-hailing. Sekiranya mereka tidak mempunyai lesen secara tidak langsung, mereka telah melanggar peraturan menjadi pemandu.

“Semua ini tertakluk dalam undang-undang Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sama ada mereka adalah pemandu teksi dan pemandu e-hailing tidak mempunyai lesen, maka kesalahan dan hukuman tetap sama,” katanya.

Terdahulu, pada majlis itu, Kamaruddin turut menyampaikan sumbangan barangan keperluan harian kepada 121 golongan asnaf dari seluruh negeri ini.

-BERNAMA