Categories
AGENSI SELANGOR

100,000 pelajar daftar Selangor Tutor, 3 juta soalan latihan disalur

SHAH ALAM, 8 DIS: Program pembelajaran dalam talian, Selangor Tutor menerima 100,000 pendaftaran pelajar sejak mula dilaksanakan pada April lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Selangor, Eddie Ahmad Khodzali berkata program yang tamat September lalu telah menyalurkan tiga juta soalan kepada pesertanya.

“Program ini bukanlah medium utama kepada pelajar, namun ia penambah nilai kepada kurikulum sedia ada. Tetapi menariknya sejak pandemik Covid-19 melanda negara, Selangor Tutor berjaya meraih minat orang ramai.

“Disebabkan itu kita lanjutkan program berkenaan, awalnya ia hanya bermula pada April hingga Mei tetapi dilanjut hingga September lalu,” katanya pada pada program bual bicara Strategi Selamatkan Pendidikan, Bela Pelajar anjuran Media Selangor di sini, malam tadi.

Turut sama ialah Dekan Hal Ehwal Pelajar Universiti Selangor, Amidi Abdul Manan.

Bagaimanapun Eddie berkata jumlah peserta Selangor Tutor daripada pelajar yang menerima tajaan Yayasan Selangor dilihat masih rendah.

“Kita menaja biasiswa kepada 3,000 pelajar tingkatan satu hingga lima, tetapi yang menyertai Selangor Tutor hanyalah 10 peratus sahaja daripada jumlah berkenaan.

“Oleh itu, Yayasan Selangor akan mengkaji situasi ini dan melihat kekangan yang berlaku, sama ada mereka kekurangan peranti mudah alih ataupun data, kita akan kajinya,” katanya.

Inisiatif Selangor Tutor diumumkan menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi Selangor Prihatin Fasa kedua oleh Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari pada 1 April.

Categories
AGENSI SELANGOR

Pertandingan video pendek untuk pengguna Selangor Tutor

SHAH ALAM, 29 APRIL: Yayasan Selangor menganjurkan Pertandingan Video Pendek Terbaik ‘Portal E-Learning selangortutor.com’ yang terbuka kepada murid serta pelajar sekolah di negeri ini.

Menerusi hantaran di Instagramnya hari ini, penyelaras Selangor Tutor tersebut berkata peserta terlebih dahulu perlu mendaftar di selangortutor.com dan mengikuti Facebook serta Instagram (IG) Yayasan Selangor.

“Muat naik video kreatif anda di IG dan tag (menanda) IG Yayasan Selangor mengenai apa-apa paparan animasi, pandangan dan lakonan tentang kelebihan penggunaan portal selangortutor.com.

“Sertakan tanda pagar #ContestSelangorTutor semasa memuat naik video dan video paling kreatif akan dipilih sebagai pemenang,” katanya.

Ia membabitkan dua kategori iaitu terbuka kepada murid sekolah kebangsaan dan rendah serta pelajar sekolah menengah di negeri ini dengan penyertaan dibuka sehingga jam 11.59 malam, 3 Mei 2020.

Laman web Selangor Tutor menyediakan lebih 130,000 soalan latih tubi mengikut piawaian kurikulum Kementerian Pendidikan Malaysia.

Inisiatif hasil kerjasama Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI) dan Yayasan Selangor itu adalah antara intipati Pakej Rangsangan Selangor Prihatin.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA

E-pembelajaran : Lebih 4,000 pelajar mendaftar setakat ini

SHAH ALAM, 3 APRIL: Seramai 4,295 murid tahun satu hingga tingkatan lima mendaftar program e-pembelajaran percuma menerusi laman sesawang selangortutor.com sebaik ia diumumkan Dato’ Menteri Besar semalam, kata pengarah kanan Pendidikan Yayasan Selangor.

Zahura Zakry berkata pembelajaran secara dalam talian yang bermula 1 April sehingga 31 Mei, menyasarkan 250,000 pelajar di bawah pengurusan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

“Selari dengan teras perniagaan Yayasan Selangor, kita tekad memastikan semua pelajar di negeri ini tidak ketinggalan dalam pembelajaran walaupun dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Meskipun KPM mengumumkan pelbagai bentuk bantuan pelajaran dalam talian, namun inisiatif yang digerakkan Kerajaan Negeri bakal memberi nilai tambah terhadap pelajar kerana kita mahu mereka tetap merasai pembelajaran secara berterusan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Rabu lalu Kerajaan Negeri menerusi Pakej Rangsangan Selangor Prihatin 2.0 mengumumkan program e-pembelajaran yang turut mendapat kerjasama Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI) manakala Yayasan Selangor selaku agensi penyelaras.

Lebih 130,000 soalan latih tubi disediakan dalam aplikasi yang mengikut piawaian kurikulum KPM. Ibu bapa boleh mengakses program itu untuk memantau perkembangan pembelajaran anak masing-masing.

Berikut cara pendaftaran selangortutor.com :

1) Layari laman sesawang selangortutor.com
2) Klik butang daftar
3) Pilih nama sekolah dan peringkat
4) Isi maklumat ibu bapa dan anak
5) Klik butiran langganan
6) Pendaftaran berjaya

Cara layari selangortutor.com :

1) Layari laman sesawang selangortutor.com
2) Log masuk
3) Laman Profil
4) Klik modul – pilih subjek
5) Pilih topik
6) Mula membuat latihan
7) Keputusan serta merta
8) klik subjek dan laporan