Categories
AGENDA NASIONAL

E-LATiH tawar kursus percuma tanpa had untuk rakyat

PUTRAJAYA, 6 FEB: Hab e-pembelajaran baharu e-LATiH yang dilancarkan oleh Tabung Pembangunan Sumber Manusia (HRDF) menyediakan akses kepada pelbagai kandungan berasaskan pendidikan dan pembangunan kemahiran, dalam usaha membantu rakyat Malaysia yang terjejas oleh penularan Covid-19 menghadapi masa depan.

e-LATiH yang merupakan usaha sama di antara HRDF dan Go 1, antara pengagregat e-pembelajaran antarabangsa terbesar, tersedia untuk semua rakyat Malaysia bermula hari ini hingga 5 Feb 2022.

Semua rakyat Malaysia, khususnya pencari kerja, digalak mengakses kursus latihan dalam talian secara percuma itu menerusi https://elatih.hrdf.com.my/.

“Melalui kerjasama ini, e-LATiH menawarkan akses percuma kepada lebih 200 kursus latihan berasaskan keperluan industri di Malaysia. Semua kursus ini disediakan oleh sebuah pengagregat tidak berasaskan keuntungan antarabangsa, dan buat masa ini kursus ditawarkan dalam bahasa Inggeris,” demikian menurut kenyataan bersama HRDF dan Kementerian Sumber Manusia hari ini.

HRDF dijangka menawarkan lebih banyak kandungan pada minggu-minggu mendatang dalam pelbagai bahasa termasuk bahasa Melayu.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan dipetik berkata inisiatif itu diadakan bagi menggalakkan rakyat Malaysia menerima guna amalan pembelajaran dan mendapatkan ilmu sebagai sebahagian rutin harian.

“Rakyat Malaysia perlu terus berusaha meningkatkan diri dalam dunia yang semakin berdaya saing,” katanya, menambah hanya mereka yang bersedia untuk masa depan dapat membentuk asas demi kejayaan pada masa akan datang.

Sementara itu, Ketua Eksekutif HRDF Datuk Shahul Hameed berkata walaupun HRDF diwujudkan untuk menawarkan khidmat kepada pemegang taruh yang membayar levi, platform e-LATiH merupakan cara agensi tersebut mengembalikan faedah kepada semua rakyat Malaysia.

“Sebagai penjaga latihan dan pembangunan kemahiran di Malaysia, kami mahu menambah nilai pada kemahiran sedia ada yang dimiliki oleh setiap rakyat Malaysia,” katanya, menambah pekerja dan individu berpeluang memilih kursus pilihan mereka yang relevan, mencakupi pembangunan kemahiran serta perkembangan peribadi.

– BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Murid tahun enam paling ramai sertai e-pembelajaran

SHAH ALAM, 9 JULAI: Murid tahun enam paling ramai mendaftar di Portal Selangor Tutor sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan jumlah 10,730, kata pengarah kanan pendidikan Yayasan Selangor.

Zahura Zakry berkata jumlah itu bagi kategori sekolah rendah manakala tingkatan lima dengan pendaftaran 6,349 pelajar menguasai kategori sekolah menengah.

Pengarah Kanan Pendidikan Yayasan Selangor, Zahura Zakry. Foto SELANGORKINI

“Faktor berdepan peperiksaan besar Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menyebabkan ramai yang mendaftar berbanding pelajar lain.

“Secara keseluruhan hanya 33 peratus iaitu 82,279 pelajar negeri ini mengikuti pembelajaran secara maya ini,” katanya kepada Selangorkini hari ini.

Menurut Zahura, masalah peranti serta akses internet menjadi kekangan segelintir murid untuk menyertai program percuma selama dua bulan lebih itu.

“Program bermula April itu sudah ditamatkan pada pertengahan Jun. Ketika ini perbincangan sama ada ia diteruskan atau tidak sedang berjalan,” katanya.

Pada 1 April lalu Kerajaan Negeri menerusi Pakej Rangsangan Selangor Prihatin 2.0 mengumumkan program berkenaan yang turut mendapat kerjasama Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI) manakala Yayasan Selangor selaku agensi penyelaras.

Lebih 130,000 soalan latih tubi disediakan mengikut piawaian kurikulum Kementerian Pendidikan Malaysia.

Categories
AGENSI SELANGOR

Ramai murid tahun enam daftar e-pembelajaran

SHAH ALAM, 15 APRIL: Seramai 51,870 pelajar di negeri ini sudah mendaftar program e-pembelajaran percuma anjuran Kerajaan Negeri sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata pengarah kanan pendidikan Yayasan Selangor.

Zahura Zakry berkata pendaftaran tertinggi diterima adalah pelajar tahun enam yang akan menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dengan 32.28 peratus.

“22.71 peratus dipohon pelajar tingkatan tiga manakala 15.55 peratus pula pelajar tingkatan lima yang akan mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia,” katanya kepada Selangorkini hari ini.

Tambah Zahura bermula pelaksaan PKP fasa tiga hari ini pihaknya menyasarkan 100,000 pelajar akan mendaftar di lawan sesawang selangortutor.com itu.

Pada 1 April lalu Kerajaan Negeri menerusi Pakej Rangsangan Selangor Prihatin 2.0 mengumumkan program e-pembelajaran yang turut mendapat kerjasama Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI) manakala Yayasan Selangor selaku agensi penyelaras.

Lebih 130,000 soalan latih tubi disediakan dalam aplikasi yang mengikut piawaian kurikulum Kementerian Pendidikan Malaysia. Ibu bapa boleh mengakses program itu untuk memantau perkembangan pembelajaran anak masing-masing.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Pengetua, PIBG puji inisiatif e-pembelajaran, elak tercicir belajar

SHAH ALAM, 3 APRIL: Sistem e-pembelajaran yang diwujudkan Kerajaan Negeri mampu membantu pelajar yang tercicir dalam pelajaran meneruskan pembelajaran sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata pengetua Sekolah Menengah Tengku Ampuan Jemaah (SMTAJ) Klang.

Shukri Zakaria berkata beliau menzahirkan terima kasih kepada Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari yang sentiasa prihatin dalam membantu pelajar tidak dapat hadir ke sekolah terus belajar di rumah melalui e-pembelajaran.

“Saya berharap mereka dapat gunakan masa di rumah dengan belajar melalui sistem itu dan pada masa sama ibu bapa boleh memantau anak mereka,” katanya kepada SelangorKini.

Pengerusi Pergerakan Ibu Bapa dan Komuniti Selangor Melaka, Dato’ Shuhery Shuib berkata ada kelebihan dan kekurangan berhubung e-pembelajaran itu iaitu berkaitan penggunaan internet.

“Tidak semua golongan mampu dan mungkin ada dalam kalangan mereka tiada sambungan internet di rumah atau mempunyai bilangan anak bersekolah yang ramai. Saya cadangkan perkara itu juga perlu ditumpukan Kerajaan Negeri.

“Bagaimanapun, dalam keadaan mendesak ini ia adalah satu inisiatif yang terbaik dari Kerajaan Negeri untuk pelajar manfaatkan sepanjang tempoh PKP,” katanya.

Pelajar SMTAJ, R Shamelan, berkata sistem itu membantu pelajar menjadi lebih kreatif sekali gus mengasah kemahiran dalam bidang teknologi.

“Walaupun terpaksa belajar di rumah tetapi tutorial yang diberikan dalam e-pembelajaran mudah difahami dan e-buku juga boleh dimuat turun secara percuma,” kata pelajar tahun lima.

Pada 1 April, Kerajaan Negeri menerusi Pakej Rangsangan Selangor Prihatin 2.0 mengumumkan program e-pembelajaran yang turut mendapat kerjasama Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI) manakala Yayasan Selangor selaku agensi penyelaras.

Lebih 130,000 soalan latih tubi disediakan dalam aplikasi yang mengikut piawaian kurikulum Kementerian Pendidikan Malaysia. Ibu bapa boleh mengakses program itu untuk memantau perkembangan pembelajaran anak masing-masing.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

E-pembelajaran percuma bantu pelajar hadapi PKP

SHAH ALAM, 2 APRIL: Kerajaan Negeri menawarkan program e-pembelajaran percuma kepada murid tahun satu hingga tingkatan lima menerusi laman sesawang selangortutor.com, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata aplikasi tersebut boleh diakses dengan mudah menggunakan pelbagai peranti seperti komputer dan telefon pintar bermula esok.

“Program ini digunakan sebagai salah satu kaedah untuk memastikan momentum pengajaran dan pembelajaran murid terus kekal sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan pencapaian cemerlang dalam peperiksaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata lebih 130,000 soalan latih tubi tersedia dalam aplikasi ini dan ia mengikut piawaian kurikulum Kementerian Pendidikan Malaysia malah ibu bapa juga boleh mengakses program itu untuk memantau perkembangan pembelajaran anak dari semasa ke semasa.

Inisiatif hasil kerjasama Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI) dan Yayasan Selangor selaku agensi penyelaras program antara intipati Pakej Rangsangan Selangor Prihatin 2.0 yang diumumkan semalam.