Categories
AGENSI SELANGOR

Lapan pelajar tajaan Yayasan Selangor terima komputer riba

SHAH ALAM, 29 APRIL: Yayasan Selangor menyumbang komputer riba kepada lapan pelajar tajaannya yang sedang melanjutkan pengajian di Universiti Utara Malaysia (UUM).

Pengarah kanan pendidikannya berkata sumbangan menerusi program Laptop4U memudahkan pelajar terbabit mengikuti pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) secara dalam talian selain membantu melaksanakan tugasan.

“Kita kenal pasti mereka tidak memiliki komputer riba sehingga sukar untuk belajar. Peralatan ini diagih secara berperingkat dan mungkin akan dibuat lagi dengan lebih meluas,” kata Zahura Zakry.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis memeterai kerjasama program pendidikan sempena ulang tahun ke-50 Yayasan Selangor di kediaman Dato’ Menteri Besar di sini semalam.

Sementara itu, penerima K Kavilan, 22, berkata sumbangan tersebut amat bermakna kerana tidak perlu lagi berkongsi peranti dengan abangnya.

Menurut penuntut tahun dua ijazah sarjana muda hal ehwal antarabangsa, dia menghadapi kekangan mengikuti kuliah secara maya dan komputer riba itu akan dimanfaat sebaiknya.

“Terima kasih kepada Yayasan Selangor dan saya berjanji mendapatkan purata nilai mata tinggi dalam peperiksaan serta menjadi pelajar cemerlang,” kata anak bongsu dari tiga beradik.

Seorang lagi penerima, Nur Afikah Karim, 22, menghargai komitmen yayasan dan tidak pernah meminggirkan pelajar tajaannya yang kurang berkemampuan untuk mendapatkan akses pendidikan dengan baik.

Pelajar semester tiga ijazah sarjana muda pentadbiran muamalat berkata sejak menyambung pengajian di institusi itu, dia menggunakan komputer riba abangnya yang dibeli enam tahun lalu.

“Keadaan itu menyebabkan emosi saya sering terganggu disebabkan komputer riba sering bermasalah sehingga menyukarkan proses pembelajaran,” katanya yang mendapat pembiayaan pendidikan Yayasan Selangor berjumlah RM28,000 bermula tahun lalu.

Categories
AGENSI SELANGOR

Yayasan Selangor perkenal buku dasar tentu hala tuju pendidikan

SHAH ALAM, 29 APRIL: Yayasan Selangor memperkenal buku dasar bertunjangkan falsafah pendidikan negara yang menjadi teras utama dalam menentukan hala tuju dan objektif pendidikannya.

Pengarah kanan pendidikannya berkata Buku Dasar Pendidikan memperincikan semua polisi berkaitan bahagian hal ehwal pelajar, pembiayaan dan asrama pusat yayasan itu.

“Kita memang memiliki keupayaan untuk setiap tatacara operasi piawai (SOP), jadi buku ini menunjukkan kita memang sudah lama dalam bidang pendidikan.

“Malah, ia disusun mengikut buku dasar kebangsaan dengan segala proses kerja lebih teliti dan berintegriti,” kata Zahura Zakry.

Pelancaran buku berkenaan disempurnakan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari pada majlis memeterai kerjasama program pendidikan sempena ulang tahun ke-50 Yayasan Selangor di kediaman Dato’ Menteri Besar di sini semalam.

Zahura berkata setiap proses pembentukan dasar mendapat pengesahan badan tertentu dan buku mempunyai lebih 200 halaman meliputi tiga bahagian akan ditambah baik pada masa depan melibatkan sebarang dasar baharu, dasar sedia ada termasuk proses kerja.

Categories
AGENSI SELANGOR

SPM ketika pandemik, Yayasan Selangor pantau keselamatan pelajar

SHAH ALAM, 20 FEB: Yayasan Selangor memantau tahap kesihatan dan keselamatan pelajar tajaannya yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mulai Isnin.

Pengarah Kanan Pendidikannya Zahura Zakry berkata perkara itu dititikberat bagi mengelak kejadian tidak diingini berikutan kes Covid-19 yang masih tinggi.

“Pandemik Covid-19 memberi kesan kepada pembelajaran dan persediaan pelajar menghadapi SPM, namun kita berusaha sebaiknya membantu mereka termasuk aspek kerohanian.

“Kita berharap pelajar kekal fokus di sebalik cabaran yang mendatang dan mendoakan mereka terus cekal,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Seramai 779 pelajar tajaan Yayasan Selangor dari 60 sekolah seluruh negeri dan Kuala Lumpur bakal menduduki SPM bermula 22 Februari.

Sijil Vokasional Malaysia (SVM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) turut berlangsung pada tarikh sama manakala Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) pada 8 Mac.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Yayasan Selangor tawar biasiswa pendidikan hingga RM1,000 setahun

PETALING JAYA, 26 NOV: Yayasan Selangor menawarkan biasiswa antara RM700 hingga RM1,000 setahun kepada pelajar tingkatan satu bagi Program Rancangan Khas Pendidikan 2021.

Pengarah Kanan Pendidikannya Zahura Zakry berkata program terhad kepada 420 orang pelajar dibuka mulai 1 hingga 14 Disember, yang boleh dimohon secara dalam talian.

“Selain biasiswa yang dibayar dua kali setahun, kami turut menyediakan bantuan kelas tambahan dan program jati diri bagi membantu pelajar,” katanya kepada SelangorKini.

Jelasnya program dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia sejak 1971 mengutamakan murid yang bersekolah di kawasan luar bandar di Selangor.

Selain itu, Zahura berkata pemohon atau ibu atau bapa mesti dilahirkan di negeri ini atau bermaustautin lebih dari 10 tahun.

“Yayasan Selangor juga menyasar keluarga yang mempunyai pendapatan per kapita sekurang-kurangnya RM2,000 sebulan. Saya harap peluang ini tidak dilepaskan dan isi borang dengan lengkap bagi mengelakkan ia ditolak,” katanya.

Permohonan secara dalam talian boleh dibuat melalui https://yayasanselangor.org.my/ atau mencetak borang berkenaan dan menghantar secara manual kepada Bahagian Hal Ehwal Pelajar Yayasan Selangor.

Untuk maklumat lanjut, hubungi talian 03-76691218, 03-76691158, 03-76691177, 03-76691150 atau 03-76691141.

Categories
AGENSI SELANGOR

Ramai murid tahun enam daftar e-pembelajaran

SHAH ALAM, 15 APRIL: Seramai 51,870 pelajar di negeri ini sudah mendaftar program e-pembelajaran percuma anjuran Kerajaan Negeri sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata pengarah kanan pendidikan Yayasan Selangor.

Zahura Zakry berkata pendaftaran tertinggi diterima adalah pelajar tahun enam yang akan menduduki Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dengan 32.28 peratus.

“22.71 peratus dipohon pelajar tingkatan tiga manakala 15.55 peratus pula pelajar tingkatan lima yang akan mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia,” katanya kepada Selangorkini hari ini.

Tambah Zahura bermula pelaksaan PKP fasa tiga hari ini pihaknya menyasarkan 100,000 pelajar akan mendaftar di lawan sesawang selangortutor.com itu.

Pada 1 April lalu Kerajaan Negeri menerusi Pakej Rangsangan Selangor Prihatin 2.0 mengumumkan program e-pembelajaran yang turut mendapat kerjasama Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI) manakala Yayasan Selangor selaku agensi penyelaras.

Lebih 130,000 soalan latih tubi disediakan dalam aplikasi yang mengikut piawaian kurikulum Kementerian Pendidikan Malaysia. Ibu bapa boleh mengakses program itu untuk memantau perkembangan pembelajaran anak masing-masing.

Categories
PENDIDIKAN SELANGOR

16,000 pelajar daftar ‘Smart Selangor Free Tuition’

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 21 JUL: Yayasan Selangor menerima peruntukan RM5 juta daripada Kerajaan Negeri bagi melaksanakan program tuisyen percuma, ‘Smart Selangor Free Tuition’.

Pemangku Pengurus Besarnya, Zahura Zakry berkata, sehingga kini seramai 16,000 pelajar mendaftar program yang mensasarkan pelajar tingkatan 4 dan 5 itu.

“Pada tahun ini, Yayasan Selangor mensasarkan 25,000 pelajar mengikuti program ini dan kami yakin sebelum berakhir 2018 seramai 25,000 pelajar mendapat manfaat daripada program tuisyen atas talian yang diberkan secara percuma ini.

“Semoga pelaksanaan program ini dapat membantu para pelajar semaksima mungkin, sejajar dengan penggunaan teknologi canggih dan penggunaan telefon pintar oleh pelajar memudahkan mereka mengakses program ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Yayasan Selangor Tahun 2017 di Intekma Resort & Convention Centre, di sini, hari ini.

Zahura berkata, Yayasan Selangor turut berkolaborasi dengan pelbagai pihak bagi meningkatkan kecemerlangan pendidikan pelajar di Selangor.

Antaranya, Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) melalui program Pelajar Berpotensi Tinggi (HIPERS).

Katanya, Yayasan Selangor juga akan menjalankan program penjenamaan semula dengan menyediakan program yang lebih relevan dan berkesan dengan sistem pendidikan semasa.

Categories
PENDIDIKAN SELANGOR

Yayasan Selangor peruntuk RM6.4 biasiswa sekolah dan IPT

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 21 JUL: Yayasan Selangor memperuntukan RM4.1 juta bagi menyediakan biasiswa kepada 5,000 pelajar sekolah menengah di bawah tajaannya pada 2017.

Pemangku Pengurus Besarnya, Zahura Zakry berkata, Yayasan Selangor turut memperuntukan RM2.3 juta bagi menyediakan pinjaman pelajaran kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang akan melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi awam dan swasta.

“Yayasan Selangor bertanggungjawab khususnya dalam bidang pendidikan sentiasa berusaha terus maju dan memakmurkan Selangor terutama menerusi pembangunan program pendidikan sepanjang hayat dengan menyediakan pelbagai program.

“Anak-anak tajaan Yayasan Selangor ini terdiri daripada sekolah rendah, sekolah menengah sama ada program akademi atau bukan akademi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Yayasan Selangor 2017 di Intekma Resort & Convention Centre, di sini, hari ini.

Zahura berkata, dua program utama pendidikan dilaksanakan Yayasan Selangor adalah Program Rancangan Khas Pendidikan Kementerian Pendidikan Malaysia dan Yayasan Selangor (RKPYS) sejak 1970-an dan program ‘High Potential Students’ (Hipers) dilancarkan pada 11 Febuari 2014.

Katanya, RKPYS mensasarkan pelajar lepasan UPSR dari keluarga berpendapatan perkapita RM2,000 dan ke bawah.

Manakala, program Hipers pula disasarkan kepada pelajar daripada keluarga berpendapatan sederhana/rendah di peringkat sekolah rendah dan menengah.

Categories
SELANGOR

Yayasan Selangor tawar tuisyen dalam talian percuma

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 13 MAC: Kerajaan Negeri melalui Yayasan Selangor mengambil pendekatan baru menawarkan Program Tuisyen Dalam Talian Percuma (Free Tuition Online 2.0) kepada rakyat negeri itu.

Pemangku Pengurus Besarnya, Zahura Zakry berkata, program yang memasuki tahun kedua itu ditambah baik berbanding pelaksanaan pertama, tahun lalu.

“Kalau tahun lepas, tawaran pembelajaran hanya diberi kepada pelajar tingkatan lima sahaja, tetapi pada kali ini, pelaksanaan ini terbuka kepada pelajar darjah empat sehingga tingkatan lima.

“Dengan wujudnya ‘Tuition Online’ percuma, ia memudahkan pelajar mengulangkaji pelajaran mengikut topik dikehendaki melalui video rakaman pembelajaran menarik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Rasmi Program Smart Selangor Free Tuition Online 2.0, di Perpustakaan Raja Tun Uda, di sini, petang ini.

Beliau berkata, program itu dilihat akan menarik minat pelajar kerana cara penyampaian daripada tenaga pengajar melalui video rakaman berkenaan lebih mudah difahami.

“Pelajar zaman sekarang lebih berminat belajar berpandukan kepada ilustrasi dan demonstrasi, kerana ia akan menambahkan kefahaman mereka.

“Di samping video pembelajaran mengikut topik bagi setiap subjek, aplikasi ini turut menawarkan soalan latihan mengikut topik dan pelajar akan didedahkan dengan pelbagai soalan,” katanya.

Beliau menggesa pelajar yang akan menduduki peperiksaan besar iaitu Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Tingkatan tiga (PT3) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk memanfaatkan aplikasi itu sebaiknya.

Terdahulu, Majlis Pelancaran Rasmi Program Smart Selangor Free Tuition Online 2.0 dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri selangor, Tuan Nik Nazmi Nik Ahmad.