Categories
AGENDA SUKANKINI

E-Piala Malaysia pupuk perpaduan menerusi bola sepak

SHAH ALAM, 25 SEPT: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dengan kerjasama penganjur sukan elektronik (e-sukan), Gamesbond secara rasmi melancarkan E-Piala Malaysia 2019 di Hotel The Saujana, Kuala Lumpur, hari ini.

Menampilkan lapan pemain e-sukan Malaysia di FIFA Global Leaderboard dan pernah beraksi di peringkat antarabangsa, semua peserta diundi untuk mewakili pasukan yang beraksi di suku akhir Piala Malaysia 2019.

Ketua Pegawai Eksekutif (MFL), Kevin Ramalingam berkata, penganjuran itu dibuat sebagai langkah memupuk perpaduan menerusi bola sepak.

“Melihat populariti e-sukan di Asia Tenggara melebihi 9.5 juta peminat, kami melihat e-sukan sebagai platform untuk memupuk perpaduan melalui bola sepak.

“Kami juga mahu generasi baru meminati bola sepak. Oleh itu, kami tampil ke hadapan untuk menyokong pemain e-sukan Malaysia,” katanya.

Katanya, salah satu fokus dalam pelan strategik Next50 yang dirangka adalah peminat dan mahu meletakkan mereka sebagai penyokong bola sepak negara.

Beliau berkata, e-sukan juga menjadi salah satu peluang untuk kelab menjana pendapatan menerusi kerjasama bersama penaja.

Antara pemain yang beraksi adalah Muhammad Luqman Haziq Hajiman; Nur Amirul Afandi; Muhammad Syahril Mispardi dan Kathireswaran Sugumaran.

Turut mengambil bahagian adalah Mirza Mohammad Nabil Beg Mirza Mohammad Taiyab Beg; Iskandar Mirza Mohd Mustafa; Ahmad Shahrin Shaharudin dan Putera Sufrie Nizam Subardron.

E-Piala Malaysia 2019 dimainkan menerusi permainan FIFA20 terbaharu menggunakan PlayStation 4 akan bermula 26 September untuk peringkat suku akhir, diikuti separuh akhir pada 17 Oktober dan perlawanan akhir, 2 November hadapan.

Format pertandingan adalah perlawanan timbal balik dengan aksi lima minit di setiap separuh masa bagi pusingan suku akhir dan separuh akhir manakala perlawanan akhir akan dimainkan dalam masa enam minit setiap separuh masa.

Perlawanan akhir E-Piala Malaysia 2019 akan berlangsung sebelum perlawanan sebenar di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Juara sulung E-Piala Malaysia 2019 bakal memenangi hadiah wang tunai RM5,000 dan piala serta berpeluang untuk menjulang trofi E-Piala Malaysia di Final Piala Malaysia 2019.

Kredit Foto: Facebook MFL

Categories
AGENDA SUKANKINI

MFL-Gamesbond anjur e-sukan hangatkan Piala Malaysia

SHAH ALAM, 14 OGOS: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dengan kerjasama Gamesbond Global Sdn Bhd (Gamesbond) bakal memperkenalkan kejohanan sukan elektronik (e-sukan), E-Piala Malaysia sempena saingan Piala Malaysia 2019 musim ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kevin Ramalingam berkata, pihaknya sentiasa terbuka dan teruja bagi memperkenalkan pendekatan baharu dengan mengadakan kejohanan berkenaan yang bakal dibarisi pemain e-sukan berstatus profesional negara.

Katanya, pihaknya enggan ketinggalan menyumbang terhadap e-sukan memandangkan sukan terbabit semakin mendapat perhatian serius dalam kalangan masyarakat, khususnya generasi muda.

“Kini, e-sukan menjadi kegilaan sebahagian daripada remaja dan ia dilihat mampu diketengahkan sebagai aktiviti yang boleh menjamin masa depan golongan belia,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, aktiviti itu bukan sekadar untuk mengisi masa lapang, malahan boleh mendatangkan ganjaran lumayan melalui pertandingan yang sering dianjurkan di luar negara.

“Saya percaya E-Piala Malaysia ini bakal menghangatkan lagi saingan kejohanan tertua di Asia Tenggara ini yang kini sudah memasuki saingan peringkat kumpulan.

“Selain itu kita juga merancang untuk menganjurkan pertandingan liga seiring dengan saingan Liga Malaysia musim depan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Gamesbond, Muhammad Fazli Razak berkata, pihaknya memilih beberapa pemain ranking terbaik tanah air yang dijangka bakal membuat penampilan di E-Piala Malaysia.

“E-Piala Malaysia kali ini bakal menggunakan permainan video FIFA 20, kita sudah senarai pendek dan memilih pemain e-sukan berdasarkan ranking rasmi serta pencapaian antarabangsa terbaharu,” katanya.