Categories
NASIONAL

Penjualan EDRA tidak patriotik, Najib terus menikus depan kuasa asing

Oleh : AFIX REDZUAN

PETALING JAYA, 27 NOV: KEADILAN menganggap langkah terdesak Perdana Menteri, Najib Abd Razak yang menjual keseluruhan aset startegik penjana kuasa Edra Global Energy (EDRA) kepada China sebagai tindakan tidak patriotik dalam menyelesaikan skandal hutang 1 Malaysia Development Berhad (1MDB).

Timbalan Presiden, Mohamed Azmin Ali, berkata langkah itu sangat tidak patriotik memandangkan pemilikan syarikat penjana kuasa merupakan kepentingan nasional.

MB Azmin“Beliau telah melutut dan menagih kepada kuasa asing. Penjualan EDRA kepada China kelihatan berkaitan dengan persoalan keselamatan Laut China Selatan dimana China secara agresif mendakwa memiliki Laut China Selatan di dalam ruang ‘Nine-Dash-Line’,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Kongres AMK dan Wanita Keadilan 2015 di Dewan Sivik MPSJ, hari ini.

Presiden dan Pengarah Eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy sebelum ini menjelaskan anak syarikat agensi pelaburan itu, Edra Global Energy Bhd, menjual semua asetnya kepada China General Nuclear Power Corp dengan nilai RM9.83 bilion.

Dalam masa sama, Mohamed Azmin berkata, Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) yang telah dipersetujui Putrajaya harus dibahas secara terbuka demi untuk melindungi kedaulatan negara.

TPPA“Putrajaya gagal menampilkan kepimpinan sebuah negara berdaulat, merdeka dan bermaruah.

“Sidang Kemuncak ASEAN baru-baru ini juga gagal membentuk muafakat ASEAN berhubung dengan keselamatan Laut China Selatan yang mengancam kestabilan rantau ini.

“Ini adalah suatu tragedi, ASEAN mempunyai doktrin ZOPFAN (Zone of Peace, Freedom and Neutrality) yang dicetuskan oleh Allahyarham Tun Abdul Razak tetapi dicabuli oleh puteranya sendiri kerana Najib menikus di depan kuasa asing,” katanya.

-nR-