Categories
NASIONAL

Penjualan EDRA tidak patriotik, Najib terus menikus depan kuasa asing

Oleh : AFIX REDZUAN

PETALING JAYA, 27 NOV: KEADILAN menganggap langkah terdesak Perdana Menteri, Najib Abd Razak yang menjual keseluruhan aset startegik penjana kuasa Edra Global Energy (EDRA) kepada China sebagai tindakan tidak patriotik dalam menyelesaikan skandal hutang 1 Malaysia Development Berhad (1MDB).

Timbalan Presiden, Mohamed Azmin Ali, berkata langkah itu sangat tidak patriotik memandangkan pemilikan syarikat penjana kuasa merupakan kepentingan nasional.

MB Azmin“Beliau telah melutut dan menagih kepada kuasa asing. Penjualan EDRA kepada China kelihatan berkaitan dengan persoalan keselamatan Laut China Selatan dimana China secara agresif mendakwa memiliki Laut China Selatan di dalam ruang ‘Nine-Dash-Line’,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Kongres AMK dan Wanita Keadilan 2015 di Dewan Sivik MPSJ, hari ini.

Presiden dan Pengarah Eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy sebelum ini menjelaskan anak syarikat agensi pelaburan itu, Edra Global Energy Bhd, menjual semua asetnya kepada China General Nuclear Power Corp dengan nilai RM9.83 bilion.

Dalam masa sama, Mohamed Azmin berkata, Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP) yang telah dipersetujui Putrajaya harus dibahas secara terbuka demi untuk melindungi kedaulatan negara.

TPPA“Putrajaya gagal menampilkan kepimpinan sebuah negara berdaulat, merdeka dan bermaruah.

“Sidang Kemuncak ASEAN baru-baru ini juga gagal membentuk muafakat ASEAN berhubung dengan keselamatan Laut China Selatan yang mengancam kestabilan rantau ini.

“Ini adalah suatu tragedi, ASEAN mempunyai doktrin ZOPFAN (Zone of Peace, Freedom and Neutrality) yang dicetuskan oleh Allahyarham Tun Abdul Razak tetapi dicabuli oleh puteranya sendiri kerana Najib menikus di depan kuasa asing,” katanya.

-nR-

Categories
NASIONAL

MB: Blok pembangkang perlu bekerjasama

AFIX REDZUAN

PETALING JAYA, 27 NOV: KEADILAN menegaskan pendirian mereka untuk terus bekerjasama dengan parti komponen Pakatan Harapan yang terdiri daripada DAP dan Parti Amanah Negara (AMANAH) disamping meneruskan tahaluf siyasi bersama PAS dalam menentang Barisan Nasional (BN).

Timbalan Presiden, Mohamed Azmin Ali, berkata pembangkang perlu memastikan pertembungan satu lawan satu dalam PRU-14 meskipun terdapat percanggahan mutakhir ini.

MB Azmin“Walaupun ada perbezaan, kita mahu jamin pertembungan satu lawan satu.

“Walaupun ada dua platform berbeza, ia masih boleh dibincangkan,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Kongres KEADILAN AMK dan Wanita di Dewan Sivik MBPJ, di sini, hari ini.

Selain PAS, KEADILAN juga akan meneruskan kerjasama politik bersama PSM serta parti politik di Sabah dan Sarawak dan NGO yang menjuarai hak serta agenda rakyat.

Katanya, hanya dengan muafakat utuh tanpa dibelenggu prejudis serta prasangka yang menebal, pembangkang mampu mencapai kemenangan.

Jelasnya, muafakat dalam Pakatan Harapan bersama DAP dan AMANAH akan terus dibina di atas prinsip dan solidariti untuk menentang UMNO-BN seperti ketetapan yang diambil Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Khas yang bersidang pada 11 Oktober 2015 lalu.

“Datuk Seri Anwar Ibrahim seringkali mengingatkan pimpinan dan anggota parti supaya mempertahankan ideologi reformasi berteraskan prinsip keadilan, kebebasan dan pencerahan dengan mewujudkan satu muafakat besar (grand coalition) yang bersifat inklusif untuk menentang UMNO dan BN.

“Sebagai pemimpin dan anggota parti reformasi, kita mesti bersikap tawaddhu’ (humility) dan bukannya angkuh, sombong dan bengkeng,” katanya.

-nR-

Categories
NASIONAL

Khalid bersaing rapat dengan Azmin, beza hanya 853 undi

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 14 MEI: Persaingan jawatan timbalan presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) 2014 semakin sengit berikutan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim merapatkan jurang undi dengan pendahulu, Mohamed  Azmin Ali.

Mengikut sumber, Abdul Khalid memperoleh 9,582 undi, kurang 853 undi berbanding Azmin yang mengutip 10,435 undi manakala seorang lagi calon, Saifuddin Nasution mendapat 6,586.

Keputusan tidak rasmi itu berdasarkan jumlah undi keseluruhan dan tiga cabang di Selangor yang tidak bermasalah atau dibatalkan.

“Ini keputusan di cabang yang tiada kekecohan. Keputusan bersih. Confirm,” kata sumber kepada Selangor Kini,  hari ini.

Tiga cabang itu ialah Puchong (Abdul Khalid, 861; Azmin, 22; Saifuddin, 20), Serdang (Abdul Khalid, 248; Azmin, 31; Saifuddin, 27) dan Petaling Jaya Utara (Khalid, 479; Azmin, 384; Saifuddin, 11).

Jumlah keseluruhan ketiga-tiga ialah  Abdul Khalid memperoleh 1,588 undi, Azmin (437 undi) dan Saifuddin (58 undi).

Keputusan itu sekali gus membayangkan pengaruh kuat Menteri Besar Selangor itu yang dikatakan lebih dekat di hati ahli akar umbi PKR negeri berkenaan seperti di Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Bagaimanapun, ia bertentangan dengan laporan Astro Awani yang mendakwa Azmin mengutip lebih 15,000 undi, jauh meninggalkan Abdul Khalid dipercayai memasukkan angka kawasan cabang bermasalah.

Jika pola sokongan di cabang yang keputusannya belum diperoleh dan ditangguh pengundian, menyamai corak tiga cabang itu, Abdul Khalid dijjangka mengatasi Azmin.

Dalam saingan Ketua Wanita PKR pula, satu sumber lain memberitahu penyandang jawatan, Zuraidah Kamaruddin mengatasi pencabarnya, Rodziah Ismail dengan perbezaan kurang 100 undi.

rodziahKemaraan Rodziah merapati Zuraidah dipercayai hasil entimen sama terhadap ahli akar umbi di Selangor.

Pertarungan tiga penjuru Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) pula menyaksikan, Amiruddin Shaari memungut 2,433 undi diikuti Nik Nazmi Nik Ahmad (2,275 undi) dan Nazree Yunus (1,494 undi).

Pada tahap ini, keputusan di sembilan cabang di Selangor yang tidak dibatalbelum diketahui.

Pada 11 Mei lalu, pemilihan 10 cabang di Selangor dibatalkan menjadikan jumlah keseluruhan 27 cabang yang perlu mengundi semula pada tarikh yang belum ditetapkan.

-NFN FZL

Categories
NASIONAL

Abdul Khalid yakin peluang menang Timbalan Presiden PKR cerah

SHAH ALAM, 14 APRIL: Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim percaya beliau mempunyai peluang yang sangat baik untuk memenangi jawatan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada pemilihan parti itu, Mei ini.

Beliau berkata, keyakinan itu berdasarkan rekod pencapaian dan pengalaman beliau mentadbir Selangor sepanjang enam tahun selain sokongan daripada akar umbi.

“Jika anggota parti di Sabah, Sarawak, Kelantan, Kedah dan kini Pulau Pinang memberikan sokongan mereka, saya fikir peluang adalah sangat baik,” katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Wawancara Bersama Calon Timbalan Presiden PKR, di Butterworth, semalam.

Abdul KhalidJawatan Timbalan Presiden PKR menyaksikan pertembungan empat penjuru apabila Abdul Khalid dicabar penyandang jawatan itu yang juga Ahli Parlimen Gombak, Mohamed Azmin Ali; Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail dan muka baharu, Datuk K Ramachandran.

Sementara itu, Abdul Khalid berkata, beliau sedia bekerjasama dengan Kerajaan Pusat jika sesuatu perkara itu membawa manfaat dan kebaikan kepada rakyat terutama di Selangor.

“Saya fikir jika mahu membangunkan negara dan menyelesaikan masalah, kamu mesti cuba mencari cara terbaik untuk menyelesaikan masalah itu. Malah, ada sesetengah orang yang tidak suka komunis tetapi bila tiba waktu untuk berdagang mereka bekerjasama.

“Penyelesaian saya dengan Barisan Nasional adalah memberikan yang terbaik untuk rakyat Selangor. Saya sangat gembira untuk berbuat baik dengan kawan dan musuh apabila keputusannya adalah yang terbaik untuk rakyat,” katanya yang dipetik daripada Bernama.

-NFN-

Categories
NASIONAL

Empat sah bertanding Timbalan Presiden PKR

Oleh: LIZAWATI MADFA

PETALING JAYA, 12 APRIL: Jawatan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) kini bakal disaingi secara empat penjuru pada pemilihan parti itu bermula hujung bulan ini selepas penarikan diri Tian Chua dan S Murali.

Pengarah Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP), Datuk Johari Abdul, berkata empat calon yang kekal bertanding adalah Azmin Ali, Tan Sri Khalid Ibrahim, Datuk Saifuddin Nasution dan Datuk K Rama Chandran.

Katanya, bagi jawatan Naib Presiden hanya satu sahaja calon yang menarik diri iaitu Elizabeth Wong dan menjadikan jumlah calon berkurangan menjadi 15 orang.

johari-abdul“Sementara itu, hanya 76 calon bertanding jawatan ahli Majlis Pimpinan Pusat selepas dua calon menarik diri iaitu Hamidi Abu Hassan dan Low Chee Chong.

“Bagi jawatan ahli Majlis Pimpinan Wanita Pusat, hanya seorang calon menarik diri iaitu Shiela Christine Devaraj dan jumlah keseluruhan pencalonan 29 orang,” katanya dalam satu sidang media, di sini, semalam.

Mengulas perkembangan proses pemilihan, Johari berkata, JPP mengambil langkah menetapkan tujuh garis panduan yang perlu dipatuhi semua calon.

“Sebarang tindakan berbentuk kekerasan, pemaksaan dan ugutan untuk meraih sokongan dilarang sama sekali selain tidak boleh melakukan perbuatan membeli undi melalui pemberian wang, barangan atau janji.

Kongres PKR 04“Setiap ucapan calon ketika berkempen harus berdasarkan rekod dalam parti dan tidak mengeji atau memfitnah pihal lawan. Sebarang perselisihan juga hendak dilaporkan terus kepada JPP bukannya kepada media atau umum,” katanya.

Proses pengundian dijadual bermula pada 26 April ini di Sarawak, Kelantan, Terengganu serta Pahang yang diikuti Sarawak, Johor, Melaka (27 April), Sabah, Kedah, Perlis (3 Mei), Sabah, Perak, Pulau Pinang (4 Mei), Wilayah Persekutuan, Negeri Sembilan (10 Mei) dan Selangor (11 Mei).

-NFN-

Categories
SELANGOR

Tian Chua sah rebut jawatan Timbalan Presiden PKR

Oleh: AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 28 MAC: Ahli Parlimen Batu, Tian Chua mengesahkan beliau akan bertanding jawatan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam pemilihan PKR 2014.

Beliau yang juga Penyandang jawatan Naib Presiden PKR mengumumkan perkara itu kepada Selangor Kini melalui khidmat pesanan ringkas.

“Ya, Saya akan serah borang pencalonan esok, ” katanya, di sini, hari ini.

Tian ChuaKeputusaan itu bakal menyaksikan pertembungan sengit tiga penjuru antara penyandang jawatan berkenaan, Mohamed Azmin Ali dan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim.

Tarikh penamaan calon pertandingan peringkat Pusat bakal berlangsung di ibu pejabat PKR, pada 29 Mac ini (esok).

Bagi peringkat Cabang, tarikh penamaan calon dibuat selama dua minggu mengikut zon masing masing, bermula 4 April hingga 13 April ini.

Tarikh pengundian pemilihan akan berlangsung selama tiga minggu mengikut pecahan zon bermula, pada 25 April dan berakhir 11 Mei ini.

Barisan kepimpinan PKR 14 akan diumumkan selewat-lewatnya 13 Mei ini selepas proses pengundian di seluruh negara selesai.

-NFN-

Categories
SELANGOR

MB umum tanding Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat

SHAH ALAM 28 FEB: Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengumumkan untuk bertanding sebagai Timbalan Presiden PKR dalam pemilihan kepimpinan parti itu.

“Saya menawarkan diri untuk menerima tawaran saudara bertanding sebagai Timbalan Presiden PKR,” katanya yang segak bersongkok dan berbaju Melayu krim pada Majlis Kasih Bertaut yang  disambut sorakan gamat penyokongnya.

Antara pimpinan yang hadir ialah Senator Syed Shahrir Syed Mohamud, Pakar Perlembagaan Prof Dr Abd Aziz Bari dan bekas pengerusi PKR Perak Mustaffa Kamil Ayub.

Penyandang jawatan itu ialah Mohamad Azmin Ali yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Antarabangsa.

mb1BhkJcMKCEAE9mXKPemilihan pucuk pimpinan PKR diadakan pada 25 April hingga 11 Mei depan mengikut zon.

Pengundian dimulakan dengan Sarawak, Johor, Melaka, Kelantan, Terengganu dan Pahang pada 25 hingga 27 April depan, diikuti negeri Sabah, Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis pada 2 hingga 4 Mei.

Pemilihan bagi Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan diadakan pada 9 hingga 11 Mei.

Hari penamaan calon bagi jawatan peringkat pusat ditetapkan pada 29 Mac manakala 4 April bagi peringkat cabang.

Barisan kepimpinan baharu parti itu akan diumumkan selewat-lewatnya pada 13 Mei depan.

PKR mempunyai 500,000 ahli berdaftar dan Selangor, Sabah, Sarawak, Pulau Pinang serta Kedah mencatat keahlian tertinggi.

Ketika ditemui pemberita selepas pengumuman berkenaan, Abdul Khalid berkata, beliau sudah mendapat restu untuk bertanding dari pimpinan tertinggi PKR.

“Mereka tiada halangan saya bertanding,” katanya.

Mengenai peluang kemenangan, beliau sambil tersenyum berkata: “Rakan-rakan  mahukan kemenangan saya,” katanya.

Bagaimanapun, Abdul Khalid meminta penyokongnya memberi keutamaan kepada kemenangan Pilihan Raya Kecil (PRK) N25 Kajang berbanding pertandingan jawatan parti.

Categories
NASIONAL

PKR Parti Masa Depan, Ada Kerusi Di 14 Buah Negeri

min pix

PETALING JAYA 24 MEI :PKR adalah satu-satunya komponen Pakatan Rakyat yang mempunyai kerusi menang di kesemua 14 buah negeri di Malaysia.

Timbalan Presiden, Azmin Ali berkata, jika dahulu PKR tidak mempunyai satu pun kerusi di Sabah, tetapi kali ini PKR menang tujuh kawasan Dewan Undangan Negeri Sabah dan satu kerusi Parlimen di Penampang.

“Rakyat meletakkan harapan yang begitu tinggi kepada Pakatan Rakyat dalam Pilihan Raya Umum Ke 13 (PRU13) dengan mandat di 89 buah kerusi Parlimen adalah kejayaan muafakat Pakatan Rakyat.

“Keyakinan rakyat masih utuh bahawa Pakatan Rakyat mampu melakar perubahan. Kerana itu pimpinan Pakatan Rakyat tidak boleh melakukan kesilapan kerana ia mengkhianati cita – cita rakyat,” kata Azmin.

Beliau berkata demikian di hadapan kira-kira lebih 1,500 perwakilan Angkatan Muda Keadilan dan Wanita sempena Kongres Nasional PKR yang diadakan di Dewan Sivik Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MBPJ) di sini.

Tambah Azmin, PKR bukan bergerak hanya lima tahun sekali sahaja dalam pilihan raya tetapi adalah keazaman dan iltizam politik untuk melaksanakan perubahan besar negara.

Katanya, pembangunan parti secara keseluruhan penting daripada segi kepimpinan, pengkaderan, organisasi dan ekonomi.

“Penubuhan Institut Ta’dib Siyasi perlu ditubuhkan dengan tenaga pelatih yang wibawa, fasilitator yang tetap, kemudahan latihan yang berteknologi canggih serta sejumlah peruntukan yang dapat memenuhi keperluan institusi ini.

“Program ini harus melibatkan pimpinan dan anggota parti di semua peringkat dan ianya perlu berjalan secara berkala dengan sasaran 10,000 kader setiap tahun.

“Usaha ini perlu menjadi fokus Angkatan Muda dan Wanita yang berperanan sebagai nadi kepada usaha kaderisasi bagi membentuk satu gerakan massa yang progresif dan berdaya tahan,” kata Azmin.