Categories
NASIONAL

Salahuddin: ESH akan dinaikkan tahun depan jika ekonomi izinkan

GEORGE TOWN, 12 MAC: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani hari ini memberi jaminan Elaun Sara Hidup (ESH) untuk nelayan dan petani akan dinaikkan ke RM300 tahun depan berbanding RM200 sekarang jika keadaan kewangan negara mengizinkan.

Menterinya, Datuk Salahuddin Ayub berkata, kabinet telah membincangkan jenis bantuan tambahan yang bersesuaian untuk disalurkan akibat kejatuhan harga komoditi, keadaan cuaca tidak menentu dan musim kemarau.

“Saya memberi jaminan bahawa pihak kementerian akan usahakan untuk memastikan ESH kekal diberikan dalam jumlah RM300 dalam Belanjawan 2020 yang akan dibentang pada Oktober nanti,” katanya selepas merasmikan Hari Bertemu Pelanggan kementerian itu bagi peringkat negeri Pulau Pinang di Batu Maung dekat sini, lapor BERNAMA.

Beliau berkata, ESH yang sebelum ini berjumlah RM300 dikurangkan kepada RM150 bagaimanapun disemak semula kepada RM200 untuk tahun ini selepas mengambil kira pelbagai aspek.

Katanya, pemberian ESH itu membabitkan hampir 40,000 nelayan dan 320,000 pesawah yang layak di seluruh negara.

Sementara itu, Salahuddin berkata, pihaknya memandang serius isu pencerobohan bot pukat haram milik nelayan tempatan atau warga asing yang menangkap ikan di kawasan pantai yang disifatkan semakin membimbangkan.

Katanya, pihak berkuasa khususnya Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) kini mempunyai kekangan dari sudut aset untuk memantau dan bertindak terhadap aktiviti pencerobohan itu.

“Sehubungan itu, jawatankuasa kabinet yang ditubuhkan bagi membincangkan perkara ini akan bermesyuarat minggu depan bagi melihat langkah yang boleh diambil.

“Ini kerana masalah pencerobohan haram ini boleh dikatakan berlaku hampir setiap hari serta di kebanyakan kawasan pantai sepeti di Perak, Johor, Pantai Timur serta di negeri ini,” katanya.

Categories
NASIONAL

Lebih 32,000 nelayan seluruh negara layak terima ESH tahun ini

KUALA LUMPUR, 12 MAC: Seramai 32,316 orang nelayan seluruh negara layak menerima Elaun Sara Hidup (ESH) daripada kerajaan bagi tahun ini selepas pemutihan bantuan itu dilakukan.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub berkata, jumlah berkenaan berkurangan berbanding 35,233 orang penerima pada Disember tahun lalu.

Salahuddin berkata, terdapat kriteria yang harus diteliti oleh kementerian supaya mereka yang benar-benar layak sahaja mendapat bantuan itu.

“Yang layak tetap layak. Jangan ambil hak orang lain. Mengaku nelayan, mengaku pesawah untuk mengambil elaun. Ini tidak betul.

“Jadi bagi nelayan dan pesawah yang kita minta pegawai membuat pemutihan kita akan berikan selagi layak. Namun begitu mereka yang tidak memenuhi kriteria boleh merayu. Sekiranya menepati kriteria, kita akan bagi balik. InsyaAllah,” katanya pada Dewan Rakyat hari ini, lapor BERNAMA.

Salahuddin menjawab soalan tambahan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali (PAKATAN-Bagan Serai) yang ingin tahu jumlah sasaran dan jumlah petani serta nelayan menerima bantuan selepas pemutihan bantuan dilaksanakan.

Terdahulu ketika menjawab soalan lisan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (BN-Bera) sama ada kerajaan masih meneruskan bantuan dan insentif kepada nelayan, Salahuddin berkata, kerajaan masih meneruskan pemberian subsidi dan insentif kepada nelayan serta pesawah berdasarkan peruntukan kewangan semasa.

“Bagi sektor perikanan, sejumlah RM70 juta telah diperuntukkan untuk pemberian ESH iaitu sebanyak RM200 sebulan kepada pemilik vesel zon A, pekerja di atas zon A, B, C dan C2.

“Sejumlah RM3.5 juta pemberian ESH sebanyak RM200 sebulan kepada nelayan darat dan sebanyak RM17 juta bagi insentif hasil tangkapan ikan (IHTI),” katanya.

Bagi sektor beras dan padi, Salahuddin berkata, sebanyak RM232.5 juta bagi Skim Baja Padi Kerajaan Persekutuan (SBPKP), RM281.5 juta bagi Skim Insentif Pengeluaran Padi (SIPP) dan RM75 juta untuk Insentif Benih Padi Sah.

“Sejumlah RM516.5 juta bagi Skim Subsidi Harga Padi di mana jumlah insentif telah dinaikkan daripada RM300 satu metrik tan (mt) kepada RM360 mt,” katanya.