Categories
NASIONAL

PPK perlu diurus dengan baik-Salahuddin

KOTA KINABALU, 14 JULAI: Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub mahu semua Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) di negara ini diurus tadbir dengan baik dan memastikan aktiviti yang dijalankan, memberi manfaat kepada rakyat.

Justeru, belia berkata, kementeriannya akan memantau aktiviti PPK di negara ini dan memastikan tiada penyelewengan berlaku.

“Mana-mana PPK yang berlaku penyelewengan, saya akan ganggu (pantau) dan PPK yang menjalankan urus tadbir dengan baik, saya tidak ganggu.

“Saya juga tidak mengira latar belakang pimpinan PPK, tetapi saya mahu mereka bekerja untuk rakyat kerana tujuan PPK ditubuhkan menjadi payung kepada rakyat,” katanya ketika berucap pada lawatan projek ternakan keli Afirka, udang kara air tawar, dan kerapu hibrid, di Kampung Sendil Putatan dekat sini, hari ini.

Pada lawatan itu juga, berlangsung majlis menandatangani Memorandum Pesefahaman (MoU) antara Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Putatan, PCB Biotech Sdn Bhd dan EZ Retail.

Ditemui pemberita selepas majlis itu, Salahuddin berkata terdapat 279 PPK di seluruh negara dengan keahlian seramai 960,000 dan PPK kini sedang dalam proses mengadakan mesyuarat agong dengan separuh daripadanya telahpun selesai mengadakannya.

“Tidak kira siapa mereka (lantikan baharu), saya akan pastikan mereka benar-benar profesional dan berminat dalam mengurus PPK dengan baik, untuk manfaat golongan peladang,” katanya.

Berhubung projek ternakan keli, udang kara air tawar dan kerapu hibrid itu, beliau berkata ia satu aktiviti pertanian yang memberi potensi cukup besar masa hadapan, khususnya kepada ekonomi setempat.

“Saya menggalakkan industri ini berkembang jauh kerana dapat memberikan pekerjaan kepada anak tempatan dan menambah nilai eksport untuk pertumbuhan ekonomi negeri ini dan negara,” katanya.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Denda maksimum RM6 juta vesel asing ceroboh perairan negara

KUALA LUMPUR, 3 JULAI: Denda maksimum bagi pemunya atau nakhoda vesel asing yang menceroboh perairan Malaysia akan dinaikkan dari RM1 juta kepada RM6 juta melalui pindaan terhadap Akta Perikanan 1985.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub berkata, penalti bagi setiap anggota kru juga dinaikkan dari RM100,000 kepada RM600,000.

“Jemaah menteri pada 26 Jun lalu bersetuju supaya kementerian ini meminda Akta Perikanan 1985,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Halimah Mohamed Sadique (BN-Kota Tinggi) berkaitan hasrat kementerian untuk meminda Akta Perikanan sedia ada bagi menangani pencerobohan nelayan asing.

Mengulas lanjut, Salahuddin berkata 1,182 vesel asing ditahan sejak 12 tahun lalu dengan penangkapan paling tinggi melibatkan 706 vesel dari Vietnam.

Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya akan bekerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mengambil tindakan terhadap individu atau penjawat awam yang terlibat memberi maklumat kepada vesel asing mengenai sebarang operasi yang dilakukan pihak berkuasa di perairan negara.

Beliau menjawab soalan tambahan Halimah berkaitan tindakan terhadap pemberi maklumat dalam kalangan nelayan terhadap vesel asing.

Salahuddin kemudian membentangkan Rang Undang-Undang Perikanan (Pindaan) 2019 bertujuan menaikkan penalti am bagi kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985, bagi bacaan kali pertama selepas sesi soal jawab lisan itu.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Penggunaan senjata api kawal populasi anjing dibenarkan

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 2 JULAI: Penggunaan senjata api bagi kawalan populasi anjing oleh Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) atau Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dibenarkan di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub berkata, pihaknya sudah mengemukakan surat kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berhubung kebenaran untuk memusnahkan bagi mengawal populasi.

“Kementerian ini (Pertanian dan Industri Asas Tani) melalui Jabatan Perkhidmatan Veterinar pada 19 Februari 2019 mengemukakan surat kepada KPKT mengenai kebenaran untuk memusnahkan mana-mana haiwan dengan menggunakan senjata api bagi tujuan kawalan populasi oleh pihak berkuasa yang dibenarkan di bawah undang-undang bertulis,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan lisan dikemukakan Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali pada sesi Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat.

Dr Noor Azmi meminta penjelasan berhubung kelulusan penggunaan senjata api oleh kementerian dan Lembaga Kebajikan Haiwan bagi mengawal kawalan populasi anjing.

Salahuddin berkata, bagi proses pemusnahan haiwan, ia perlu mematuhi dua peruntukan di bawah akta berkenaan iaitu Seksyen 30 (1) dan Seksyen 30 (2)(e).

Seksyen 30 (1) menyatakan bahawa tiada seorang pun boleh membunuh dengan menembak dengan senjata api mana-mana anjing, kucing atau mana-mana haiwan lain yang ditetapkan oleh Menteri melalui pemberitahuan dalam Warta, melainkan jika dibenarkan oleh pihak berkuasa veterinar dalam kecemasan atau bagi maksud kawalan penyakit.

Seksyen 30 (2)(e) menjelaskan bahawa pembunuhan mana-mana haiwan adalah dilarang melainkan jika pembunuhan itu dilakukan bagi maksud kawalan populasi haiwan oleh mana-mana pihak berkuasa yang dibenarkan di bawah mana-mana undang-undang bertulis.

Mei lalu, tular satu klip video berdurasi 1 minit 39 saat yang menunjukkan seorang penguatkuasa MBI mengacukan selaras senapang ke arah seekor anjing sebelum melepaskan tembakan.

Categories
NASIONAL

Salahuddin: Sedia henti penswastaan pembekalan jika wujud penyelewengan

OLEH NAZLI IBRAHIM

TANJUNG KARANG, 3 APR: Kerajaan tidak teragak-agak menamatkan konsesi pembekalan benih padi sah oleh pembekal swasta sekiranya siasatan mendapati terdapat unsur penyelewengan yang akhirnya memangsakan pesawah.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub berkata, beliau mendapat banyak maklum balas daripada pesawah bahawa benih padi selepas era penswastaan dimulakan kerajaan Barisan Nasional (BN) pada 2010 berkualiti rendah berbanding benih padi sah yang dibekalkan Jabatan Pertanian sebelumnya.

“Kita dengar dalam dialog bersama petani seluruh negara bukan sekali dan paling terkini pagi tadi di Kampung Sawah Sempadan, hampir semua bersetuju supaya benih padi sah ini dikembalikan kepada Jabatan Pertanian.

“Kita dengar, kita selidik, saya sendiri mengambil fakta ini dan saya minta pegawai dan jabatan bertanggung jawab mengkaji isu ini.

“Kesannya kepada pesawah kita dan oleh itu sebelum saya menoktahkan dengan membuat keputusan muktamad sama ada mengembalikan isu benih padi sah ini kepada Jabatan Pertanian seperti petani mahu yang sejarahnya membekalkan benih padi yang bermutu dan sah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pelancaran Kempen Penggunaan Benih Padi Sah Peringkat Kebangsaan di Pusat Pertanian Sungai Burong di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Salahuddin berkata, kerajaan Pakatan Harapan tidak bersikap anti perniagaan atau syarikat swasta tetapi sebaliknya mahu memastikan pihak diberikan tanggungjawab berkompromi dalam isu kualiti benih padi demi meraih keuntungan besar.

Katanya, pada masa ini terdapat sembilan syarikat pemegang konsesi membekalkan benih padi kepada pesawah.

Penggunaan benih padi tidak sah memberi beberapa kesan buruk seperti pertumbuhan pokok tidak seragam, risiko pencemaran benih rumpai dan benih berpenyakit, risiko pencampuran varieti, hasil padi berkurangan serta meningkatkan populasi padi angin.

Salahuddin turut melahirkan rasa kesal apabila isu bekalan padi sah masih berlaku selepas lebih 60 tahun negara mencapai kemerdekaan.

Categories
NASIONAL

Syarikat konsesi pembekal diberi amaran akhir, pastikan kualiti benih padi

OLEH NAZLI IBRAHIM

TANJUNG KARANG, 3 APR: Syarikat konsesi pembekal benih padi diberikan amaran terakhir supaya memastikan benih padi dibekalkan kepada pesawah mematuhi piawaian benih padi sah yang ditetapkan Jabatan Pertanian.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub berkata, perkara itu kerana terdapat pembekal daripada sembilan syarikat dilantik tidak mematuhi piawaian benih padi sah yang mengakibatkan pesawah menanggung kerugian disebabkan hasil padi rendah dan tidak berkualiti.

“Kita beri peluang kepada sektor swasta tetapi bila kita beri peluang mereka berkompromi tentang kualiti dan menghasilkan antaranya benih padi sah yang luarnya sahaja sah tetapi dalamnya haram.

“Saya tidak akan zalim, saya akan beri masa untuk mereka membaiki keadaan tetapi ini adalah amaran terakhir supaya mereka juga bertanggungjawab untuk memastikan tidak berlaku penipuan, penyalahgunaan semata-mata untuk keuntungan peribadi dan sesetengah pihak yang akhirnya mengorbankan pesawah dan petani kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pelancaran Kempen Penggunaan Benih Padi Sah Peringkat Kebangsaan di Pusat Pertanian Sungai Burong di sini, hari ini.

Majlis itu turut dihadiri oleh wakil syarikat konsesi pembekal padi yang dilantik ketika Kerajaan Barisan Nasional (BN) mula menswastakan pembekalan benih padi pada 2010.

Sementara itu, pada sidang media di majlis sama, Salahuddin berkata, kementeriannya menubuhkan sebuah jawatankuasa bagi menyiasat sebarang salah laku dalam pengurusan pembekalan benih padi sah.

Katanya, siasatan akan dijalankan secepat mungkin sebelum beliau mengeluarkan keputusan muktamad bagi mengakhiri isu ini.

“Saya tidak mahu tahun depan saya terpaksa lancarkan lagi kempen seperti ini kerana saya akan noktahkan masalah ini bagi membela nasib petani dan pesawah kita,” katanya.

Categories
NASIONAL

Lebih 32,000 nelayan seluruh negara layak terima ESH tahun ini

KUALA LUMPUR, 12 MAC: Seramai 32,316 orang nelayan seluruh negara layak menerima Elaun Sara Hidup (ESH) daripada kerajaan bagi tahun ini selepas pemutihan bantuan itu dilakukan.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub berkata, jumlah berkenaan berkurangan berbanding 35,233 orang penerima pada Disember tahun lalu.

Salahuddin berkata, terdapat kriteria yang harus diteliti oleh kementerian supaya mereka yang benar-benar layak sahaja mendapat bantuan itu.

“Yang layak tetap layak. Jangan ambil hak orang lain. Mengaku nelayan, mengaku pesawah untuk mengambil elaun. Ini tidak betul.

“Jadi bagi nelayan dan pesawah yang kita minta pegawai membuat pemutihan kita akan berikan selagi layak. Namun begitu mereka yang tidak memenuhi kriteria boleh merayu. Sekiranya menepati kriteria, kita akan bagi balik. InsyaAllah,” katanya pada Dewan Rakyat hari ini, lapor BERNAMA.

Salahuddin menjawab soalan tambahan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali (PAKATAN-Bagan Serai) yang ingin tahu jumlah sasaran dan jumlah petani serta nelayan menerima bantuan selepas pemutihan bantuan dilaksanakan.

Terdahulu ketika menjawab soalan lisan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (BN-Bera) sama ada kerajaan masih meneruskan bantuan dan insentif kepada nelayan, Salahuddin berkata, kerajaan masih meneruskan pemberian subsidi dan insentif kepada nelayan serta pesawah berdasarkan peruntukan kewangan semasa.

“Bagi sektor perikanan, sejumlah RM70 juta telah diperuntukkan untuk pemberian ESH iaitu sebanyak RM200 sebulan kepada pemilik vesel zon A, pekerja di atas zon A, B, C dan C2.

“Sejumlah RM3.5 juta pemberian ESH sebanyak RM200 sebulan kepada nelayan darat dan sebanyak RM17 juta bagi insentif hasil tangkapan ikan (IHTI),” katanya.

Bagi sektor beras dan padi, Salahuddin berkata, sebanyak RM232.5 juta bagi Skim Baja Padi Kerajaan Persekutuan (SBPKP), RM281.5 juta bagi Skim Insentif Pengeluaran Padi (SIPP) dan RM75 juta untuk Insentif Benih Padi Sah.

“Sejumlah RM516.5 juta bagi Skim Subsidi Harga Padi di mana jumlah insentif telah dinaikkan daripada RM300 satu metrik tan (mt) kepada RM360 mt,” katanya.

Categories
NASIONAL

Elaun Sara Hidup Nelayan diteruskan

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 31 MEI: Kerajaan akan meneruskan Elaun Sara Hidup Nelayan untuk dinikmati 55,000 nelayan laut dan 5,400 nelayan darat.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Salahuddin Ayub berkata, ketetapan itu diambil selepas menyemak kementerian itu mempunyai bajet mencukupi untuk meneruskan pembayaran elaun.

“Kementerian juga akan mengkaji kenaikan elaun tersebut jika keadaan kewangan negara dapat dipulihkan dengan kadar segera.

“Sekiranya keadaan ekonomi negara dapat dipulihkan secepat mungkin dan kita dapat meningkatkan pendapatan negara, saya mengambil tanggungjawab memastikan elaun kumpulan ini dapat ditambah dan saya akan mohon bajet yang lebih untuk kementerian,” katanya.

Katanya, ketika ini nelayan zon A menikmati elaun sebanyak RM300 sebulan, manakala RM250 bagi nelayan zon B, C dan C2.

Perkara itu dijelaskan bagi menjawab isu yang mengaitkan elaun bulanan persatuan itu akan ditamatkan susulan perubahan pucuk pimpinan Kerajaan Persekutuan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Dalam pada itu, beliau berkata Kabinet hari ini turut meluluskan penubuhan Majlis Penasihat Pertanian Negara dan anggota majlis itu akan diperkenalkan selewat-lewatnya Isnin depan.

“Anggota majlis tidak lebih 10 orang. Peringkat pertama mungkin akan lantik lima hingga enam orang dan selepas itu kita akan lihat individu dan kepakaran tertentu yang akan kita isi kemudian,” katanya.

-Bernama

Categories
NASIONAL SELANGOR

‘Dakwa Geran Tanah Kg Tiram Jaya Diselesai BN, Noh Omar Tipu Orang Kampung’

Geran Tanah Kg Tiram Jaya

SHAH ALAM 2 APRIL : Kenyataan Noh Omar bahawa Umno-BN  yang membantu mendapatkan geran tanah penduduk Kampung Tiram Jaya di Permatang dan menafikan ia usaha Kerajaan Negeri tidak ubah seperti mengangguk di air keruh.

Kenyataan itu juga dilihat sebagai usaha Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu untuk mengelirukan dan memperbodohkan orang-orang kampung, ujar Penyelaras DUN Permatang, Yahya Sahri.

“Sepatutnya beliau bercakaplah sebagai seorang menteri, dan bukannya mengeluarkan kenyataan seperti budak sekolah rendah, bercakap juga biarlah dengan hujah dan fakta serta bukti jelas, bukan sekadar cakap-cakap kosong.

“Kenyataan yang dikeluarkan itu sangat kebudak-budakan, sangat tidak bijak, bodoh dan sombong, tidak setaraf dengan status dirinya sebagai seorang menteri dan Ahli Parlimen yang berpengalaman lima penggal,” tegas Yahya yang dihubungi Selangor Kini.yahya-shari-01

Sebaliknya, Yahya menjelaskan kebijaksanaan, ketelusan dan kecekapan Kerajaan Pakatan hari ini berjaya menyelesaikan pelbagai isu pemilikan tanah di Selangor yang berpuluh tahun tidak berjaya disempurnakan Kerajaan BN.

“Ini kerana, kerajaan dulu pentadbirannya bobrok dan berkepentingan, malah terdapat usaha jahat untuk memiliki tanah yang sepatutnya milik rakyat,” ulasnya lagi.

Pada 12 Mac lalu, seramai 139 penduduk Kampung Seri Tiram Jaya menerima geran tanah daripada Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Dalam pada itu, Yahya mencabar Noh menyelesaikan isu tanah di Kampung Lembah Pantai, Sungai Kajang yang sudah berlarutan lebih 40 tahun.

“Itu dalam kawasan beliau, dalam dua minggu ini, jika benar beliau jaguh rakyat yang hebat seperti di uar-uarkan, selesaikanlah masalah ini,” cabarnya.

Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang dalam satu ‘posting’ di laman sosial ‘Facebook’ menyatakan Kerajaan Negeri hanya mengeluarkan geran kepada penduduk, tetapi usaha dan pembayaran premium dilakukan sewaktu zaman BN lagi.