Categories
SUKANKINI

EPL: Man City kian hampir dinobat juara

OLEH AFIX REDZUAN

STOKE, 13 MAC: Manchester City hampir merangkul kejuaraan Liga Perdana Inggeris apabila mudah menewaskan Stoke City 0-2 awal pagi tadi.

Dua jaringan daripada pemain tengah, David Silva di setiap babak sudah cukup buat City yang hanya memerlukan sekurang-kurangnya tiga lagi kemenangan dalam baki lapan perlawanan untuk mengesahkan kejuaraan.

Silva membuka tirai jaringan buat The Citizen pada minit ke-10 selepas menampan hantaran Raheem Sterling menerusi satu serangan balas pantas.

Masuk minit ke-50, Silva menjadikan kedudukan 0-2 kepada pasukan pelawat apabila melakukan gerakan satu-dua bersama Gabriel Jesus sebelum melepaskan rembatan rendah menewaskan penjaga gol Stoke, Jack Butland.

City dipersada liga dengan 81 mata dan mustahil mampu dicabar pasukan lain musim ini.

Categories
GLOBAL SUKANKINI

EPL: Matic pastikan kebangkitan Manchester United

OLEH AFIX REDZUAN

LONDON, 6 MAC: Ledakan minit akhir Nemanja Matic memastikan kebangkitan dramatik Manchester United untuk melakar kemenangan 3-2 ke atas Crystal Palace dalam aksi tunggal Liga Perdana Inggeris, awal pagi tadi.

Aksi babak pertama menyaksikan Palace terlebih dahulu di hadapan menerusi Andros Townsend, pada minit ke-11 selepas berjaya melepaskan rembatan dari luar kotak penalti menewaskan David De Gea.

Patrick van Aanholt menjadikan kedudukan 2-0 buat Palace, pada minit ke-48 apabila melakukan larian solo menerusi satu sepakan percuma pantas dan merembat rendah menewaskan De Gea.

Chris Smalling memulakan kebangkitan United menerusi gol pertama pada minit ke-55 selepas menanduk mudah hantaran Antonio Valencia.

Minit ke-76, Romelu Lukaku menyamakan kedudukan 2-2 buat United apabila memanfaatkan bola yang terlebih dahulu terkena palang hasil percubaan Alexis Sanchez sebelum melepaskan sepakan ke gawang Palace.

Ketika perlawanan seolah bakal berakhir dengan keputusan seri, Matic memastikan United pulang dengan tiga mata apabila melepaskan rembatan di luar kotak penalti yang terus menerjah jaring Palace.

Keputusan itu menyaksikan United kembali ke tangga kedua mengatasi Liverpool dengan 62 mata menjelang pertemuan kedua pasukan di Old Trafford hujung minggu ini.

Foto Kredit: Google.com

 

Categories
SUKANKINI

EPL: Arsenal tewas tipis 2-1

OLEH AFIX REDZUAN

LONDON, 5 MAC: Brighton & Hove Albion melakar sejarah mencatatkan kemenangan pertama 2-1 ke atas Arsenal selepas 36 tahun dalam aksi Liga Perdana Inggeris semalam.

Bertandang ke gelanggang lawan, skuad bimbingan Arsene Wenger tersentak dengan gol pembukaan Brighton seawal minit ketujuh menerusi Lewis Dunk yang berjaya melepaskan rembatan disebalik kekalutan dihadapan gawang.

Masuk minit ke-26, Glenn Murray menjadikan kedudukan 2-0 buat Brighton apabila berjaya menanduk masuk hantaran Pascal Gross ke dalam kotak penalti bagi menewaskan Petr Cech di gawang Arsenal.

Pierre-Emerick Aubameyang merapatkan kedudukan kepada 2-1 buat Arsenal pada minit ke-43 apabila mudah menolak masuk hantaran Granit Xhaka sebelum babak pertama ditamatkan.

The Gunners memperkemas corak permainan pada babak kedua tetapi benteng pertahanan Brighton kebal menangkis asakan lawan.

Masuk minit ke-66, perlawanan terpaksa dihentikan seketika apabila pemain Brighton, Ezequiel Schelotto rebah selepas bertembung dengan Sead Kolasinac hingga memaksa pemain tuan rumah diusung keluar.

Keadaan itu menyaksikan tujuh minit masa tambahan diberikan pengadil Stuart Attwell tetapi tiada tambahan jaringan disaksikan dan keputusan 2-1 memihak Brighton kekal sehingga tamat perlawanan.

Ini merupakan kekalahan keempat berturut-turut buat Arsenal yang tewas 1-2 kepada Oestersunds FK pada aksi Piala Europa dan disusuli dua kekalahan 3-0 di tangan Manchester City.

 

Kredit Foto: Sports Illustrated.com

Categories
SUKANKINI

EPL: Empat kemenangan pemisah Man City julang kejuaraan

OLEH AFIX REDZUAN

MANCHESTER, 5 MAC: Manchester City hanya memerlukan empat lagi kemenangan daripada baki sembilan perlawanan untuk menjulang trofi Liga Perdana Inggeris musim 2017/18 selepas menewaskan Chelsea 1-0 awal pagi tadi.

Jaringan tunggal menerusi Bernardo Silva hasil hantaran David Silva pada permulaan babak kedua sudah cukup untuk mereka kekal di persada liga dengan kelebihan 18 mata.

Chelsea yang turun bagi menebus kekalahan kepada Manchester United minggu lalu beraksi dibawah tahap sebenar apabila hanya melakukan dua percubaan sepanjang perlawanan.

Kemenangan ini pastinya melegakan pengurus City, Pep Guardiola yang membawa pasukannya mengutip 78 mata selepas 29 perlawanan selain berjaya menjulang trofi EFL menewaskan Arsenal 3-0 minggu lalu.

Foto Kredit: Dailystar.co.uk

Categories
SUKANKINI

EPL: Jaringan Salah-Mane kembalikan Liverpool ke tangga kedua

OLEH AFIX REDZUAN

ANFIELD, 4 MAC: Liverpool kembali melonjak ke tangga kedua sekurang-kurangnya untuk tempoh 24 jam dengan kelebihan satu mata di hadapan Manchester United selepas berjaya mengatasi cabaran Newcastle United 2-0 di Anfield awal pagi tadi.

Beraksi di laman sendiri, Liverpool yang menguasai lebih 75 peratus perlawanan babak pertama nyata buntu memecah kekebalan pertahanan Newcastle walaupuln menampilkan trio serangan digeruni Roberto Firmino-Sadio Mane-Mohamed Salah.

Peluang terbaik Liverpool hadir pada minit ke-16 menerusi rembatan Mohamed Salah yang mencari bahagian tepi gawang lawan tetapi tidak menepati sasaran.

Sehinggalah ke minit-40, Mohamed Salah akhirnya menebus kehampaan dengan gol pertama perlawanan selepas tenang mengawal tolakan Alex Oxlade-Chamberlain sebelum menolak mudah melepasi penjaga gol Newcastle, Martin Dubravka.

Gol pertama perlawanan itu merupakan jaringan ke-32 Mohamed Salah bersama Liverpool dalam semua kejohanan setakat ini.

Menuju waktu rehat babak pertama, Mohamed Diame memaksa penjaga gol Liverpool, Loris Karius melayangkan badan untuk menolak keluar percubaan dari luar kotak penalti bagi keputusan 1-0 kekal selepas 45 minit permainan.

Bersambung babak kedua, Sadio Mane menjadikan kedudukan 2-0 pada minit ke-55 selepas berjaya melepaskan rembatan dalam kotak penalti menerusi gerakan bersama Roberto Firmino. Jaringan itu merupakan gol ke-200 Liverpool dibawah kendalian Jurgen Klopp.

Liverpool menggandakan asakan untuk menambah jaringan tetapi benten pertahanan skuad bimbingan bekas pengendali The Reds, Rafa Benitez kekal bertahan yang menyaksikan keputusan 2-0 kekal sehingga tamat perlawanan.

Selepas 29 perlawanan, Liverpool berjaya mengutip 60 mata dan bakal bertemu Manchester United di Old Trafford minggu hadapan.

Foto Kredit: Daily Express

Categories
GLOBAL SUKANKINI

EPL: Manchester United benam Chelsea 2-1, kembali ke tangga kedua

OLEH AFIX REDZUAN

MANCHESTER, 26 FEB: Manchester United kembali melonjak ke tangga kedua Liga Perdana Inggeris di hadapan Liverpool apabila bangkit membenam Chelsea 2-1 di Old Trafford, semalam.

Chelsea terlebih dahulu menggegar kubu tuan rumah menerusi tampanan Alvaro Morata yang singgah ke palang gol seawal minit keempat permainan.

Alexis Sanchez berpeluang membuka tirai jaringan pada minit ke-28 tetapi tolakan lemah beliau berjaya ditangkap Thibaut Courtois.

Kredit Foto: Telegraph.co.uk

Masuk minit ke-32, Willian akhirnya merobek gawang tuan rumah selepas berjaya melepasi pertahanan United apabila tenang menyambut lorongan Eden Hazard sebelum melepaskan rembatan rendah menewaskan David De Gea.

Kelebihan itu hanya bertahan selama tujuh minit apabila Romelu Lukaku berjaya menyamakan kedudukan apabila menerima umpanan Anthony Martial sebelum tenang menolak bola ke gawang Chelsea.

Masuk babak kedua, Lukaku sekali lagi hampir meletakkan United di hadapan pada minit ke-66 menerusi tampanan kaki kiri hasil hantaran Sanchez hingga memaksa Courtois menolak bola keluar.

Pemain gantian, Jesse Lingard, hanya memerlukan 11 minit untuk kembali menceriakan penyokong tuan rumah selepas dibawa masuk dengan gol kedua pada minit ke-75 selepas berjaya menanduk masuk hantaran Lukaku bagi kedudukan semasa 2-1.

Morata hampir menjadikan kedudukan 2-2 pada minit ke-85 tetapi jaringannya dibatalkan kerana berada dalam kedudukan offside.

United kini berkelebihan dua mata di hadapan Liverpool dengan 59 mata sementara Chelsea turun ke tangga kelima dengan 53 mata.

Categories
SUKANKINI

EPL: Liverpool belasah West Ham, lonjak tangga kedua

OLEH AFIX REDZUAN

ANFIELD, 25 FEB: Liverpool melonjak ke tangga kedua Liga Perdana Inggeris sekurang-kurangnya untuk tempoh 24 jam selepas mencatakan kemenangan bergaya 4-1 ke atas West Ham United.

The Reds hampir dihadapan seawal minit kedua menerusi rembatan Mohamed Salah tetapi percubaannya dinafikan tiang gol.

West Ham juga hampir dihadapan pada minit ke-15 menerusi Marko Arnautovic yang berjaya melambungkan bola ke gawang Liverpool tetapi Loris Karius dapat menepis bola sebelum singgah ke palang gawang.

Kebuntuan jaringan akhirnya terlerai pada minit ke-29 menerusi tandukan Emre Can hasil sepakan penjuru Mohamed Salah bagi meletakkan Liverpool mendahului 1-0 pada babak pertama.

Jaringan itu merupakan yang ke-100 buat The Reds sepanjang musim ini dalam semua kejohanan domestik dan eropah.

Bersambung babak kedua, Mohamed Salah menjadikan kedudukan 2-0 selepas mudah memperdaya pertahanan lawan hasil lorongan Oxlade-Chamberlain bagi gol ke-31 beliau bersama Liverpool musim ini.

Roberto Firmino meletakkan tuan rumah bertambah selesa di hadapan dengan jaringan ketiga pada minit ke-57 selepas berjaya melepasi asakan pertahanan dan penjaga gol, Adrian sebelum tenang memastikan bola menerjah jaring.

West Ham kembali bangkit merapatkan kedudukan 3-1 menerusi Michail Antonio selepas berjaya melepasi perangkap offside sebelum melepaskan rembatan menewaskan Karius.

Sadio Mane yang sebelum itu terlepas beberapa peluang menjaringkan gol melebarkan pendahuluan Liverpool kepada 4-1 pada minit ke-77 selepas mudah menampan hantaran Andrew Robertson.

Liverpool melonjak ke tangga kedua liga dengan 57 mata selepas 28 perlawanan, kelebihan satu mata dihadapan Manchester United yang akan melayan kunjungan Chelsea di Old Trafford malam nanti.

Foto Kredit: Mirror.co.uk

Categories
GLOBAL SUKANKINI

UEL: 16 pasukan teruskan kemaraan

OLEH AFIX REDZUAN

EROPAH, 23 FEB: 16 pasukan mengesahkan kemaraan ke peringkat kalah mata Liga Europa (UEL) selepas mengatasi cabaran lawan masing-masing, awal pagi tadi.

Wakil tunggal Liga Perdana Inggeris, Arsenal mara selepas menang menerusi agreget 4-2 kepada Oestersunds FK.

Dalam aksi di Stadium Emirates pagi tadi, anak buah Arsene Wenger tunduk 1-2 kepada pasukan pelawat.

Hosam Aiesh dan Ken Sema memberikan pendahuluan selesa buat Oestersunds pada minit ke-22 dan 23 hasil gerakan Saman Ghoddos.

Sead Kolasinic merapatkan jaringan pada minit ke-47 buat Arsenal dan keputusan 1-2 kekal sehingga tamat perlawanan.

Foto Kredit: UEFA.com

AC Milan turut menempah kemaraan selepas menang ke atas Lugodorets Razgrad 1-0 di laman sendiri.

Jaringan tunggal Fabio Borini cukup membawa Milan mara dengan agreget 4-0.

Gol daripada Kevin Gameiro pada minit ketujuh sudah cukup untuk mengesahkan kemaraan wakil Sepanyol, Atletico Madrid dengan agreget 5-1 kepasa FC Koebenhavn.

Dalam satu lagi aksi, pendahulu Serie A, SS Napoli terpaksa melupakan saingan seterusnya apabila tewas menerusi kiraan gol tempat lawan walaupun terikat dengan agregat 3-3.

Dalam aksi pagi tadi, Napoli mencatatkan kemenangan 0-2 kepada RasenBallsport Leipzig (RB Leipzig).

Gol setiap babak daripada Piotr Zirlinski dan Lorenzo Insigne tidak mampu memadam kelebihan RB Leipzig yang menang 1-3 minggu lalu, di gelanggang Napoli.

Borussia Dortmund dari Jerman turut mengesahkan kemaraan dengan kemenangan agreget 4-3 walaupun terikat 1-1 dalam aksi kedua menentang Atlanta.

 

Categories
SUKANKINI

EPL: Liverpool benam Southampton, terus buru tempat kedua

OLEH AFIX REDZUAN

LONDON, 12 FEB: Liverpool terus mendekatkan jarak dengan Manchester United menerusi perbezaan dua mata bagi mengejar tempat kedua Liga Perdana Inggeris apabila mudah menewaskan Southampton 0-2.

Roberto Firmino menceriakan pasukan pelawat dengan gol pembukaan seawal minit keenam apabila menolak mudah hantaran Mohamed Salah bagi kedudukan semasa 0-1.

Southampton kembali memperkemas corak permainan dan sesekali menguji penjaga gol Liverpool, Loris Karius tetapi gagal menembusi pertahanan lawan.

Sebaliknya, Firmino melakukan aksi terbaik apabila melorongkan bola ke belakang menerusi gerakkan satu-dua bagi membolehkan Salah mencatatkan nama selaku penjaring gol kedua pada minit ke-42.

Bersambung babak kedua, Liverpool lebih menguasai permainan menerusi gerakkan Sadio Mane, Salah dan Firmino tetapi gagal menambah jaringan.

Sebaliknya, Jurgen Klopp menggantikan Firmino dan Salah pada 15 minit terakhir permainan sebagai persediaan bertandang ke FC Porto bagi aksi pertama pusingan kalah-mati Liga Juara-Juara Eropah minggu hadapan.

Keputusan 2-0 kekal sehingga tamat permainan dan Liverpool mengumpul 52 mata di tangga ketiga sementara Southampton menghuni kelompok tiga terbawah liga dengan 26 mata.

 

Foto Kredit: Telegraph.co.uk

Categories
SUKANKINI

EPL: Matt Ritchie ‘jampi’ Manchester United

OLEH AFIX REDZUAN

LONDON, 12 FEB: Jaringan tunggal Matt Ritchie sudah cukup untuk meleburkan ego Manchester United apabila tunduk 1-0 kepada Newcastle United semalam.

Walaupun pasukan pelawat menguasai 64 peratus permainan, Newcastle tenang mengekang asakan lawan yang melakukan 10 percubaan dengan lima daripadanya tepat ke gawang.

Tanpa jaringan pada babak pertama, Jose Mourinho yang membariskan Romelu Lukaku mengetuai jentera serangan buntu memecah benteng Newcastle.

Peluang terbaik Manchester memecah kebuntuan hadir pada minit ke-56 menerusi Alexis Sanchez tetapi pemain dari Chile itu gagal menolak masuk bola menerjah jaring meskipun penjaga gol, Martin Dubravka sudah tertewas.

Sebaliknya, Ritchie memanfaatkan umpanan Dwight Gayle dalam kotak penalti dengan rembatan rendah untuk gol tunggal perlawanan menewaskan David De Gea pada minit ke-66.

Keputusan itu menyaksikan Manchester United kekal di tangga kedua dengan 56 mata selepas 27 perlawanan.

=EZY=

Categories
SUKANKINI

EPL: Manchester City belasah Leicester 5 – 1, hampiri kejuaraan

OLEH HAFIZAN TAIB

LONDON 11 FEB: Manchester City mencatat kemenangan selesa dengan membenam Leicester City 5 – 1 dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) untuk menghampiri kejuaraan musim ini.

Kemenangan itu dibantu dengan empat gol oleh Sergio Aguero pada minit 48, 55, 77 dan 90.

Ia menjadikan perebutan Anugherah Kasut Emas menjadi menarik dengan penyerang Argentina itu kini mencatat 21 gol, ketinggalan dua gol kepada Harry Kane (Tottenham Hotspur).

Skuad Pep Guardiola mempamerkan aksi mantap dengan mendahului lawan seawal minit ketiga melalui Raheem Sterling yang menyudahkan hantaran Kevin De Bruyne.

Bagaimanapun, penyerang England, James Vardy (m24) berjaya mendapatkan gol penyamaan Leicester dengan mengatasi pertananan dan penjaga gol Manchester, Ederson untuk keputusan kekal 1 -1 pada separuh mada pertama.

Manchester bangkit pada babak kedua dengan Aguero mempamerkan aksi cemerlang apabila meletak Manchester di depan selepas tiga minit perlawanan bersambung.

Ia disusuli jaringan kedua pada minit ke-53 dan melengkapkan hatrik 24 minit kemudian ekoran kesilapan penjaga gol, Kasper Schmeichel.

Aguero menambah jaringan keempat pada minit akhir perlawanan dengan rembatan deras untuk Manchester mengatasi lawannya 5 – 1.

Keputusan itu mengukuhkan kedudukan Manchester di persada liga dengan 72 mata, meninggalkan pencabar terdekat, Manchester United (56) dengan kelebihan 16 mata.

=EZY=

Categories
SUKANKINI

EPL: Gol Kane buat Spurs atasi Arsenal 1 – 0

OLEH HAFIZAN TAIB

LONDON 11 FEB: Tottenham Hotspur berjaya mengatasi cabaran Arsenal dengan kemenangan 1 – 0 hasil jaringan tunggal penyerang England, Harry Kane.

Dalam perlawanan ‘London Derby’ di Stadium Wembley itu, Spurs nyata bersedia mengekang asakan The Gunners selain menebus kekalahan (2 – 0) di gelanggang lawan, November tahun lalu.

Gol Kane pada minit ke-49 dihasilkan melalui hantaran Ben Davies disudahkan dengan satu tandukan tepat menerjah jaring melepasi jangkauan penjaga gol, Petr Cech.

Selepas gol itu, Spurs seharusnya mampu mengatasi lawan dengan beberapa gol tetapi kecekapan Cech menghampakan barisan hadapan skuad kendalian Mauricio Pochettino.

Kane yang menjaringkan gol ke-23 dalam perlawanan itu terlepas peluang menambah jaringan pada minit ke-51 dan 53 selain percubaan Dele Alli (m72) serta Kieran Trippier (m76).

Arsenal yang menurunkan gandingan baru di bahagian serangan dengan kehadiran Henrikh Mkhitaryan dan Pierre Emerick Aubameyang, mencabar pada awal permainan dengan serangan pada minit ke-13 namun Aubameyang berada pada kedudukan ‘offside’.

Hector Bellerin (m40) juga mendapat peluang baik bagi menjaringkan gol tetapi tersasar.

Kemasukan Alexandre Lacazette (m65) menggantikan Mkhitaryan menambah bisa jentera serangan Arsenal yang mengharapkan jaringan gol penyamaan.

Lacazette hampir melakukannya dalam masa tambahan namun sedikit sipi di kanan pintu gol Tottenham yang jelas mengecewakan pengurus Arsenal, Arsene Wenger.

Kemenangan di hadapan 83,202 penonton menyaksikan Tottenham naik ke tangga ketiga liga dengan kelebihan tujuh mata mengatasi Arsenal (keenam).

KEPUTUSAN LAIN:

WEST HAM 2 – 0 WATFORD

SWANSEA 1 – 0 BURNLEY

STOKE 0 – 0 BRIGHTON

EVERTON 3 – 1 – CRYSTAL PALACE.