Categories
SELANGOR

Pasukan ‘Junior’ juara liga fantasi EPL September, bawa pulang RM500

SHAH ALAM, 30 SEPT: Pasukan ‘Junior’ menjuarai Liga Premier Fantasi (FPL) Menteri Besar Selangor untuk bulan ini apabila berjaya mengumpul 256 mata keseluruhan.

Kemenangan diumumkan menerusi Twitter FPLMBSelangor yang meminta pasukan yang dikelolakan Shao Jun Tan menghubungi penganjur pertandingan untuk menuntut hadiah kemenangan.

Berdasarkan kedudukan pasukan yang dikongsi penganjur, pasukan `Junior’ menduduki tempat pertama diikuti naib juara `Ikan Baung’  (255 mata) dan tempat ketiga ‘Boyz_Macho’ (250 mata).

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar Dato Seri Amirudin Shari mengajak peminat bola sepak menyertai FPL anjurannya.

Pertandingan tersebut menawarkan hadiah wang tunai RM500 untuk juara bulanan. Juara keseluruhan di penghujung musim bakal membawa pulang wang tunai RM2,500.

Categories
AGENDA NASIONAL SELANGOR

MB ajak peminat bola sepak sertai liga fantasi EPL

SHAH ALAM, 14 SEPT: Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengajak peminat bola sepak menyertai Liga Premier Fantasi (FPL) anjurannya sempena Liga Perdana Inggeris (EPL).

“Terima kasih kepada mereka yang menyertai Liga Fantasy Premier League MB Selangor.

“Setakat semalam telah mencatat 15,522 penyertaan. Baru selesai Gameweek 1, masih ada peluang untuk yang belum menyertai,” katanya yang merupakan peminat Liverpool menerusi Twitter.

Pertandingan tersebut menawarkan hadiah wang tunai RM500 untuk juara bulanan. Juara keseluruhan di penghujung musim bakal membawa pulang wang tunai RM2,500.

EPL musim 2020/2021 bermula Sabtu lalu dengan Liverpool memulakan langkah kanan mempertahankan kejuaraan menewaskan Leeds United 4-3.

Categories
SUKANKINI

Liverpool lakar rekod baharu catat enam kemenangan berturut

LIVERPOOL 23 SEPT: Mohamed Salah menamatkan kemarau jaringan musim ini dengan cukup sempurna apabila membantu Liverpool melakar rekod enam kemenangan berturut-turut dalam aksi Liga Perdana Inggeris selepas selepas membenam Southampton 3-0 di Anfield.

Gol sendiri Wesley Hoedt pada minit ke-10, diikuti jaringan Joel Matip (minit ke-21) dan Salah, tiga minit memasuki waktu kecederaan babak pertama membolehkan Reds mengekalkan rekod tanpa kalah dalam tujuh perlawanan musim ini (termasuk satu aksi Liga Juara-Juara).

Reds juga muncul kelab keempat berjaya memulakan kempen Liga Perdana dengan enam kemenangan berturut-turut, menyamai rekod Newcastle United (1994), Manchester City (2016) dan Chelsea pada 2005 serta 2009.

Kemenangan itu mengembalikan skuad bimbingan Jurgen Klopp di tangga teratas liga, namun kedudukan mereka mampu dipintas seandainya Chelsea menumpaskan West Ham menerusi jaringan besar, esok.

Ini adalah kali pertama sejak 1990/1991, Liverpool berjaya memulakan kempen musim baharu dengan tujuh kemenangan berturut-turut.

SUMBER: AGENSI

Categories
SUKANKINI

EPL: Chelsea rampas takhta pendahulu daripada Liverpool

OLEH AFIX REDZUAN

GLOBAL, 16 SEPT: Chelsea merampas takhta Liga Perdana Inggeris daripada Liverpool dengan kelebihan satu jaringan selepas membelasah Cardiff City 4-1 semalam.

Eden Hazard muncul wira The Blues apabila meledak hatrik pada minit ke 37, 44 dan 80 manakala Willian menambah jaringan keempat Chelsea pada minit ke-83 sekaligus memadam jaringan awal pelawat menerusi sepakan percuma Sol Bamba di minit ke-16.

 

Keputusan itu menyaksikan Chelsea melakar rekod tanpa kalah dalam lima perlawanan dengan mengumpul 15 mata bersama Liverpool.

Manchester City mengekori rapat di tangga ketiga dengan 13 mata selepas menang selesa 3-0 ke atas Fulham.

Leroy Sane, David Silva dan Raheem Streling meledak jaringan buat City dalam perlawanan di Stadium Eitihad.

Sementara itu, Arsenal terus melakar kemenangan ketiga berturut-turut apabila berjaya menewaskan Newcastle United 1-2 di St James Park.

Tanpa jaringan di babak pertama, The Gunners bangkit pada babak kedua hasil jaringan Granit Xhaka di minit ke-48 dan disusuli gol kedua dari Mesut Ozil di minit ke-59.

Newcastle cuba bangkit merapatkan jurang di minit akhir perlawanan hasil jaringan Ciaran Clark tetapi tidak mampu menyekat kemenangan skuad bimbingan Unai Emery untuk melonjak ke tangga ketujuh liga.

Dalam satu lagi perlawanan, Manchester United menggagalkan usaha Watford untuk melakar kemenangan kelima apabila menang 1-2 di gelanggang lawan.

Jaringan Romelu Lukaku dan Chris Smalling pada babak pertama sudah cukup memberikan tiga mata berharga walaupun tuan rumah berjaya merapatkan jaringan pada minit 65 menerusi Andre Gray.

 

Kredit Foto: Premier League

 

 

Categories
SELANGOR SUKANKINI

EPL: Liverpool terus kekalkan rekod tanpa kalah

OLEH AFIX REDZUAN

GLOBAL, 16 SEPT: Liverpool mengekalkan rekod bersih lima perlawanan awal Liga Perdana Inggeris apabila melakar kemenangan 1-2 menewaskan Tottenham Hotspurs di gelanggang lawan.

Menguasai permainan sejak minit pertama, The Reds bagaimanapun hanya membuka tirai jaringan pada minit-39 hasil tandukan Georginio Wjanaldum selepas bola melepasi garisan gol walaupun ditepis keluar penjaga gol Spurs, Michel Vorm.

Bersambung babak kedua, Spurs nyaris menyamakan kedudukan pada minit ke-50 menerusi Lucas Moura yang melakukan percubaan ke sebelah kiri tetapi tidak menepati sasaran.

Liverpool menjadikan kedudukan 0-2 pada minit ke-54 hasil tolakan Roberto Firmino yang mudah menolak masuk bola selepas tolakkan awal Sadio Mane gagal dikeluarkan kemas pertahanan tuan rumah.

Mohamed Salah yang dirantai kemas pertahan Spurs sepanjang permainan turut mencuri perhatian pada minit ke-80 menerusi rembatan kaki kiri yang berjaya ditampan kemas Michel Vorm.

Spurs hanya berjaya merapatkan jurang jaringan 1-2 pada minit akhir masa tambahan menerusi rembatan kaki kiri Eric Lamela bagi menewaskan Alisson Becker di gawang Liverpool.

Jaringan itu sudah terlambat untuk menyekat kemenangan Liverpool yang kini terus menghuni tangga teratas liga dengan 15 mata selepas lima perlawanan.

Categories
SUKANKINI

EPL: Chelsea selesa menang 2-0, kekalkan rekod tanpa kalah

OLEH AFIX REDZUAN

GLOBAL, 2 SEPT: Chelsea terus menghambat Liverpool bagi perebutan pendahulu Liga Perdana Inggeris apabila mencipta kemenangan selesa 2-0 menewaskan AFC Bournemouth semalam.

Tanpa jaringan di babak pertama, Pedro akhirnya berjaya meruntuhkan kekebalan benteng pertahanan Bournemouth pada minit ke-72 selepas menyempurnakan umpaman Olivier Giroud.

Eden Hazarad menjadikan kedudukan 2-0 pada minit ke-85 selepas berjaya melepaskan rembatan kencang hasil gerakan satu dua bersama Marcos Alonso.

Kemenangan itu menyaksikan The Blues turut mengekalkan rekod kemenangan empat perlawanan bersam The Reds namun dipisahkan dengan perbezaan gol di tangga kedua.

 

Kredit Foto: Premier League

 

Categories
SUKANKINI

EPL: Liverpool kekal pendahulu selepas empat kemenangan berturut-turut

OLEH AFIX REDZUAN

GLOBAL, 2 SEPT: Liverpool meneruskan momentum kemenangan untuk berada di puncak Liga Perdana Inggeris apabila menang 1-2 menewaskan Leicester City di tempat lawan semalam.

The Reds membuka jaringan 0-1 seawal minit ke-10 menerusi Sadio Mane yang menyudahkan hantaran Andrew Robertson dalam kotak penalti.

Ia merupakan jaringan ketiga Mane dalam aksi liga selepas empat perlawanan.

 

Di penghujung babak pertama, Roberto Firmino menjadikan kedudukan 0-2 buat Liverpool apabila menanduk masuk sepakan penjuru James Milner bagi gol pertama dirinya musim ini.

Bersambung babak kedua, kesilapan penjaga gol Liverpool, Alisson Becker mengundang padah apabila James Maddison berjaya merampas bola sebelum melorongkan kepada Rachid Ghezzal yang mudah menolak bola ke jaring bagi kedudukan 1-2.

Ini merupakan kali pertama gawang Liverpool bolos selepas empat perlawanan.

Tuan ruma cuba bangkit untuk menyamakan kedudukan tetapi gagal menemui penyudah bagi menghalang skuad bimbingan Jurgen Klopp melakar kemenangan keempat berturut-turut musim ini.

 

Kredit Foto: Premier League

Categories
SUKANKINI

EPL: Mo Salah kekalkan momentum kemenangan Liverpool

OLEH AFIX REDZUAN

GLOBAL, 26 OGOS: Jaringan tunggal Mohamed Salah sudah cukup untuk melonjakkan Liverpool ke takhta Liga Perdana Inggeris selepas menewaskan Brighton & Hove Albanion 1-0 awal pagi tadi.

Liverpool menguasai permainan dilihat bergelut untuk merobek gawang lawan dalam perlawanan yang berlangsung di Anfield.

Roberto Firmino nyaris membuka jaringan buat The Reds pada minit kelapan tetapi tampanannya berjaya dihalang penjaga gol, Mathew Ryan.

Trent Alexander-Arnold turut menguji gawang Brighton sembilan minit kemudian menerusi sepakan percuma yang sekadar menggegar palang gol.

Jaringan yang dicari Liverpool akhirnya menjelma pada minit ke-22 menerusi rembatan terus Salah yang berjaya melepasi kawalan pertahanan selepas menerima tolakkan Firmino bagi kedudukan 1-0.

Bersambung babak kedua, tuan rumah menggandakan serangan untuk mencari gol kedua tetapi disiplin bertahan tinggi dipamerkan pemain Brighton.

Brighton juga berpeluang untuk meledak jaringan di minit akhir permainan menerusi tandukan Glenn Murray tetapi Alisson Becker bertindak lebih pantas menampan bola keluar.

Kedudukan 1-0 kekal sehingga tamat perlawanan dan merupakan kemenangan ketiga berturut-turut buat skuad bimbingan Jurgen Klopp tanpa melepaskan sebarang gol setakat ini.

Kredit Foto: Facebook Liverpool FC

Categories
SUKANKINI

EPL: Kejuaraan sah milik Mahchester City

OLEH AFIX REDZUAN

GLOBAL, 16 APR: Manchester City dinobatkan sebagai juara Liga Perdana Inggeris 2017/18 susulan kekalahan 0-1 Manchester United kepada West Bromwich Albion awal pagi tadi.

Jaringan tunggal Jay Rodriguez pada minit ke-73 sudah cukup untuk meranapkan harapan United mengejar City dengan baki lima lagi perlawanan.

Kemenangan cukup penting West Brom yang berusaha untuk keluar daripada zon penyingkiran walaupun peluang itu dilihat tipis.

United kekal di tangga kedua dengan 71 mata, satu mata mengatasi Liverpool di tangga ketiga dan berkelebihan satu perlawanan.

City yang berjaya menewaskan Tottenham Hotspur 1-3 semalam kini mengumpul 87 mata selepas 33 perlawanan sekaligus menjadikan kejuaraan ketiga peribadi Pep Guardiola dalam tiga liga berbeza.

Beliau sebelum ini pernah menjulang kejuaraan La Liga bersama Barcelona dan Bundesliga bersama Bayern Munich.

Sementara itu, Newcastle United bangkit daripada ketinggalan satu gol untuk menewaskan Arsenal 2-1 di St James Park semalam.

Alexandre Lacazette membuka jaringan buat Arsenal 0-1 pada minit ke-14 selepas menampan umpanan Pierre-Emerick Aubameyang.

Gol pendahuluan itu tidak bertahan lama apabila Ayoze Perez menyamakan kedudukan 1-1 buat tuan rumah selepas menampan kemas hantaran DeAndre Yedlin pada minit ke-29.

 

Bersambung babak kedua, Newcastle menggandakan serangan dan hasilnya Matt Ritchie menjadikan kedudukan 2-1 pada minit ke-68.

Bermula daripada umpanan Perez, Ritchie yang tidak dikawal tenang melepaskan rembatan rendah melangkaui jangkaan penjaga gol Arsenal, Petr Cech.

Tuan rumah berpeluang menggadakan jaringan tetapi ia gagal disudahkan dan keputusan 2-1 kekal memihak Newcastle sehingga tamat perlawanan.

 

Kredit Foto: theguardian.com

Categories
SUKANKINI

Pogba tunda impian Man City julang EPL

OLEH AFIX REDZUAN

GLOBAL, 8 APR: Manchester United menangguhkan hasrat Manchester City untuk menjulang kejuaraan Liga Perdana Inggeris apabila mempamerkan kebangkitan mengagumkan dalam ‘Manchester Derby’ untuk menang 2-3.

Vincent Kompany memastikan City mendahului 1-0 pada minit ke-25 menerusi tandukan hasil sepakan penjuru Leroy Sane walaupun cuba dihalang Chris Smalling.

Selang lima minit kemudian, Ilkay Guendogan menjadikan kedudukan 2-0 apabila tenang melakukan sepakan leret yang gagal dihalang penjaga gol United, David De Gea.

Raheem Sterling mempunyai dua peluang keemaasan untuk menjadikan kedudukan sekurang-kurangnya 4-0 di babak pertama walaupun hanya berdepan De Gea tetapi gagal menyudahkannya.

Paul Pogba menjadi watak penting kebangkitan United apabila merapatkan jurang pada minit ke-53 apabila tenang menampan bola umpanan Ander Herrera bagi kedudukan 2-1.

Dua minit kemudian Pogba sekali lagi melenyapkan sorakan penyokong City apabila berjaya menyamakan kedudukan 2-2 buat United selepas berjaya menanduk masuk sepakan percuma Ander Herrera apabila melepasi perangkap offside.

Chris Smalling menebus kesilapan babak pertama apabila menampan sepakan percuma Alexis Sanchez bagi meletakkan United mendahului di hadapan 2-3.

Keputusan itu menyaksikan City hanya akan dinobatkan selaku juara Liga Perdana Inggeris sekiranya menang minggu hadapan sementara United kekal di tangga kedua dengan 71 mata selepas 32 perlawanan

Kredit Foto: Premier League

Categories
SUKANKINI

EPL: ‘Merseyside Derby’ berakhir tanpa jaringan

OLEH AFIX REDZUAN

GLOBAL, 7 APR: Ketangkasan penjaga gol Everton, Jordan Pickford dan Loris Karius di gawang Liverpool menyaksikan kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan 0-0 dalam ‘Merdeyside Derby’ di Goodison Park.

Liverpool yang baru sahaja melakar kemenangan ke atas Manchester City dalam aksi Liga Juara-Juara Eropah (UCL) pertengahan minggu ini turun tanpa beberapa pemain yang direhatkan bagi menghadapi perlawanan kedua minggu hadapan selain kecederaan tonggak utama, Mohamed Salah.

Danny Ings hampir meletakkan The Reds dihadapan pada minit ke-16 tetapi Pickford bertindak tangkas menepis percubaan itu.

Yannick Bolasie juga berpeluang meletakkan tuan rumah di hadapan menerusi percubaan jarak jauh pasa minkt ke-23 tetapi berjaya dikawal Karius di gawang Liverpool.

James Milner turut menguji Pickford pada minit ke-30 menerusi hantaran lintang mengelirukan yang berjaya di tolak keluar.

Peluang terbaik Everton hadir di penghujung permainan menerusi Michael Keane tetapi beliau terlebih dahulu berada dalam keadaan offside selain percubaan tidak menepati sasaran dari Calvert-Lewin.

Kredit Foto: Independent.com

Categories
SUKANKINI

Harry Kane dijangka kembali awal April

OLEH AFIX REDZUAN

LONDON, 15 MAC: Penyerang Tottenham Hotspur dan England, Harry Kane dijangka kembali menyertai latihan awal bulan hadapan selepas menjalani pemeriksaan awal susulan kecederaan ligamen buku lali kanan.

Akhbar tempatan melaporkan, Kane akan tersisih sehingga Mei selepas cedera ketika pasukannya mencatatkan kemenangan 1-4 ke atas Bournemouth dalam aksi Liga Perdana Inggeris Sabtu lalu dan ia bakal menjejaskan kedudukannya bersama skuad The Three Lions menghadapi Piala Dunia 2018.

Pemain berusia 24 tahun itu menerusi laman Twitter melahirkan kekecewaan susulan tidak dapat meneruskan baki perlawanan musim ini dan akan melakukan yang terbaik untuk kembali beraksi.

“Mengecewakan untuk keluar sehingga bulan depan tetapi kecederaan adalah sebahagian daripada permainan. Saya akan melakukan segalanya untuk kembali secapat mungkin,” katanya.

Kane bakal terlepas enam perlawanan termasuk peringkat suku akhir Piala FA Inggeris bertemu Swansea, Sabtu ini.

Beliau sebelum ini pernah mengalami kecederaan sama dua kali musim lalu ketika bertemu Millwall dalam perlawanan Piala FA pada Mac dan menentang Sunderland pada September 2017.

Keadaan ini pastinya menyukarkan jurulatih England, Gareth Southgate yang mempunyai pemain terhad di barisan serangan selain Raheem Sterling dan Jamie Vardy.

Foto Kredit: Skysports.com