Categories
AGENDA NASIONAL

KTMB perkenal tambang fleksi ETS bermula 1 Mac

KUALA LUMPUR, 30 DIS: Pengguna Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) bakal menikmati kadar tambang lebih berpatutan apabila Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) memperkenalkan struktur tambang fleksi bermula 1 Mac 2020.

Kementerian Pengangkutan dalam kenyataan memberitahu tiket bagi tambang fleksi itu mula dijual pada 15 Januari tahun hadapan bagi perjalanan ke semua destinasi perkhidmatan ETS dari 1 hingga 31 Mac 2020.

Menerusi pelaksanaan itu, pengguna ETS boleh mendapatkan tiket tambang perjalanan yang lebih menjimatkan mengikut cita rasa masing-masing, sekali gus memberi kelebihan kepada mereka untuk merancang perbelanjaan dan perjalanan dengan lebih baik.

“Contohnya bagi perjalanan pada musim perayaan atau cuti sekolah, pengguna yang membuat tempahan awal akan menikmati kadar tambang yang lebih rendah berbanding mereka yang membeli pada saat akhir.

“Pengguna juga berpeluang menikmati penjimatan berganda menerusi promosi yang bakal ditawarkan dari semasa ke semasa,” menurut kenyataan itu.

Sebagai pengenalan, KTMB juga menawarkan promosi ‘Seleksi Tempat Duduk’ percuma untuk penumpang membuat pilihan tempat duduk tanpa sebarang caj tambahan bagi perjalanan antara 1 dan 30 Mac 2020.

KTMB juga masih menawarkan harga tambang konsesi untuk pesara kerajaan dan isteri, warga emas, Orang Kelainan Upaya, kanak-kanak berusia 4 hingga 12 tahun, pelajar (pemegang kad KTM i-card), polis, tentera dan bomba.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Waktu operasi kaunter pembelian tiket ETS, Intercity dilanjutkan

KUALA LUMPUR, 29 DIS: Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan melanjutkan waktu operasi kaunter sehingga jam 10.30 malam untuk pembelian tiket awal bagi Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) dan tren Intercity.

Menurut kenyataan KTMB, pertukaran waktu operasi melibatkan 14 kaunter di Lembah Klang iaitu Pelabuhan Klang, Klang, Shah Alam, Subang Jaya, Kepong Sentral, Kepong, Sungai Buluh, Rawang, Tanjung Malim, Kuala Kubu, Batang Kali, Serdang, dan Kajang.

Perubahan jadual itu turut melibatkan tiga kaunter di Wilayah Utara iaitu Padang Besar (5 pagi-10.30 malam), Arau (5.30 pagi-10.30 malam) dan Parit Buntar (6 pagi-10.30 malam).

Waktu operasi kaunter bagi pembelian tiket awal perkhidmatan tren ETS dan Intercity sebelum ini adalah pada jam 8.30 pagi hingga 6.30 petang sahaja.

Perubahan jadual waktu itu juga melibatkan perkhidmatan kaunter di KL Sentral yang akan beroperasi dari 5.30 pagi hingga 12.30 malam dan Kuala Lumpur (6.45 pagi hingga 10.10 malam) manakala waktu operasi di Alor Setar, Sungai Petani, Bukit Mertajam, Butterworth dan Taiping dikekalkan seperti biasa.

Pengguna boleh mendapatkan keterangan lanjut berhubung waktu operasi kaunter bagi kedua-dua perkhidmatan tren itu dengan menghubungi Pusat Panggilan KTMB di talian 03-2267 1200.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Tiket ETS bagi Tahun Baharu Cina boleh dibeli mulai 2 Jan

KUALA LUMPUR, 25 DIS: Tiket Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) bagi perjalanan 1 Feb hingga 30 April 2019 boleh dibeli mulai 2 Jan 2019.

Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dalam kenyataan hari ini berkata jualan yang dibuka mulai 8.30 pagi hari berkenaan itu bagi membolehkan orang ramai membuat perancangan awal terutama bagi mereka yang bakal menyambut perayaan Tahun Baharu Cina dan yang akan pulang bercuti ke kampung halaman.

Menurut kenyataan itu, perkhidmatan ETS mengekalkan penyediaan 36 perjalanan sehari.

Ini disebabkan kerja menaik taraf infrastruktur dan sistem landasan berkembar Lembah Klang (KVDT) masih dalam fasa pelaksanaan.

Tiket boleh dibeli secara dalam talian melalui laman sesawang rasmi KTMB, www.ktmb.com.my atau aplikasi telefon pintar (KTM MobTicket) dan di kaunter tiket KTMB.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

KTMB sedia 4 ETS tambahan hujung minggu

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 22 DIS: Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan menyediakan empat perkhidmatan tambahan tren eletrik (ETS) untuk laluan Sungai Buloh-Ipoh-Sungai Buloh, pada setiap Sabtu dan Ahad, mulai esok.

KTMB dalam kenyataan berkata, laluan Sungai Buloh-Ipoh mengambil masa kira-kira dua jam 40 minit dengan dua masa perlepasan, iaitu 7.30 pagi dan 3 petang.

Sementara itu, katanya, perjalanan dari Ipoh-Sungai Buloh berlepas, pada jam 11.45 pagi dan 6.10 petang.

“Melalui perkhidmatan tambahan ini, orang ramai yang ingin membuat perjalanan ke Stesen Ipoh kini mempunyai pilihan untuk menaiki perkhidmatan ETS dari Stesen Sungai Buloh sebagai stesen permulaan tanpa perlu menempuh kesibukan ibu kota.

“Penumpang juga boleh menggunakan perkhidmatan tren KTM Komuter dan tren MRT untuk ke Stesen Sungai Buloh,” katanya.

KTMB memaklumkan, tiket boleh dibeli di kaunter tiket KTMB atau secara dalam talian menggunakan sistem e-Ticket, aplikasi telefon pintar (KTM MobTicket) serta agen tiket KTMB berdaftar.

Jadual lengkap bagi perkhidmatan ETS boleh didapati di laman sesawang rasmi KTMB di www.ktmb.com.my atau hubungi talian 03-22671200.

 

Categories
NASIONAL

Wan Azizah: Jangan besarkan isu makan dalam ETS

Oleh: AFEEQA AFEERA

ALOR SETAR, 14 OGOS: Semua pihak diminta tidak membesar-besarkan tindakan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail kerana makan di dalam tren komuter ke Ipoh, pada 12 Ogos lalu.

Wan Azizah berkata, ETS yang sepatutnya dinaiki untuk ke Ipoh dari stesen KL Sentral mengalami kerosakan teknikal dan terpaksa ditukar kepada koc biasa.

Beliau turut mendapat kebenaran dari Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) untuk makan di dalam koc.

wan azizah“Asalnya, kita naik ETS tetapi koc itu rosak, maka ditukar kepada yang biasa.

“Saya hanya makan sebungkus nasi lemak dan bersihkan selepas itu, bahkan mendapat kebenaran daripada pengurusan KTMB ketika itu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Jelajah Amanat Presiden di TH Hotel & Convention Centre, dekat sini, semalam.

Tindakan itu turut dipertahankan Naib Presiden PKR, Shamsul Iskandar Md Akin yang mengytakan makan di dalam ETS bukan isu besar kerana ia dibenarkan.

“Jangan besarkan perkara ini. Makan di dalam kereta api jadi isu, makan rasuah tidak pula jadi isu,” katanya.

Terdahulu, Wan Azizah yang juga Ketua Pembangkang memuat naik fotonya sedang menjamu selera di dalam komuter sewaktu perjalanan ke Ipoh.

Tindakan itu menyebabkan gambarnya di’troll’ dan menjadi viral serta dikecam pengguna laman sosial.

-NFN-

Categories
NASIONAL

Kak Wan imbau kenangan naik kereta api dengan Anwar

Oleh: AFEEQA AFEERA

KUALA LUMPUR, 12 OGOS: Dalam keterujaan menggunakan perkhidmatan terkini Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) iaitu ETS, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tidak pernah melupakan pengalamannya bersama suami tercinta.

Presiden PKR itu berkata, beliau masih ingat kenangan menaiki KTM bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk ke Singapura bagi tujuan libur.

Katanya, ketika itu Anwar masih menjawat jawatan sebagai menteri kabinet.

wan azizah“Kak Wan tak boleh lupakan pengalaman ke Singapura bersama suami dan anak yang ketika itu masih kecil.

“Walaupun status Anwar ketika itu adalah seorang menteri, beliau tidak menganggapnya sebagai halangan daripada menggunakan perkhidmatan awam sama seperti masyarakat lain,” katanya kepada Selangor Kini.

Beliau juga tidak boleh melupakan reaksi pemandu di Singapura yang terkejut apabila mendapati tetamu itu adalah Anwar.

“Pemandu yang menjemput kami terkejut apabila melihat pemimpin berjawatan tinggi ketika itu menaiki kereta api tetapi Anwar kata tidak salah baginya untuk merasa pengalaman menaiki pengangkutan awam itu,” katanya.

Kini selepas lebih 20 tahun, beliau ingin merasa pengalaman lalu dan berpuas hati dengan khidmat KTMB.

-NFN-

Categories
NASIONAL

Wan Azizah teruja naik ETS ke Ipoh

Oleh: AFEEQA AFEERA

KUALA LUMPUR, 12 OGOS: Jelajah Amanat Presiden PKR ke seluruh negeri diteruskan hari ini dengan memilih Ipoh, Perak sebagai destinasi.

Menariknya, perjalanan kali ini menyaksikan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail memilih menggunakan perkhidmatan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) iaitu ETS.

wan azizah 3Tetap manis berbaju kurung, beliau yang terkenal dengan kipas tangan sebagai ‘trademark’ tiba kira-kira jam 12.30 tengah hari di stesen KL Sentral.

Kehadiran Wan Azizah atau lebih mesra disapa Kak Wan ternyata mencuri perhatian apabila kebanyakan pengunjung berbilang kaum menyapanya untuk bergambar.

Menceritakan suasana menaiki kereta api, Kak Wan ternyata teruja apabila diberi peluang selepas lebih 20 tahun tidak menggunakan perkhidmatan itu.

“Semasa zaman sekolah, selalu juga saya naik kereta api dari Kedah ke Seremban untuk ke Kolej Tunku Kurshiah.

“Ketika itu, KTM tidak secanggih ini tetapi perkhidmatan yang ada sekarang lebih memuaskan kerana memiliki koc wanita dan lebih teratur,” katanya kepada Selangor Kini.

wan azizah1Ditanya mengapa memilih untuk menaiki ETS, beliau berkata ia adalah kerana kesempatan yang dimilikinya di sebalik kesibukan sebagai pemimpin dan ibu.

“Di sebalik kesempatan dan masa senggang yang ada, saya juga menggunakan kemudahan sebagai Ahli Parlimen kerana ia termasuk dalam peruntukan sebagai wakil rakyat,” katanya.

Turut bersama beliau dalam jelajah itu adalah Naib Presiden PKR, Shamsul Iskandar Mohd Akin dan Dr Shaharuddin Badaruddin; Bendahari Agung, Datin Paduka Dr Tan Yee Kew; Ketua Penerangan, Syed Ibrahim Syed Noh dan Ahli Parlimen Batu, Tian Chua.

Jelajah itu seterusnya memilih Kedah sebagai destinasi diikuti Terengganu dan berakhir di Bentong, Pahang pada 15 Ogos ini.

-NFN-