Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Karya seni kreatif, segar mampu terus semarak industri

SHAH ALAM, 25 SEPT: Penggiat seni perlu memiliki daya kreativiti dan imaginasi tinggi selain memanfaat perkembangan teknologi ketika berkarya bagi terus merancakkan industri.

EXCO kebudayaan berkata golongan itu juga perlu memikirkan kesegaran falsafah seni yang menyentuh nilai estetika, bentuk, praktis, gaya, fungsi, tafsiran, perlambangan dan peluahan.

“Sejarah membuktikan gerakan, gaya dan konsep baharu dalam seni muncul hasil gabungan kemahiran praktikal dan kemantapan kreativiti dengan penerokaan dan kefahaman intelektual.

“Jika pengkarya, sarjana dan penggiat seni gagal mengikuti perkembangan falsafah dan pemikiran seni, saya bimbang kita tidak berjaya malah ketinggalan untuk meneroka dan mengemukakan hal baharu serta asli dalam seni,” kata Borhan Aman Shah.

Beliau mewakili Dato’ Menteri Besar merasmikan Seminar Antarabangsa Falsafah Seni 2021 (SAFAS21) anjuran Galeri Shah Alam, Persatuan Pendidikan Falsafah dan Pemikiran serta Universiti Teknologi Mara secara maya hari ini.

Bertemakan Kesenian dan Nusantara, seminar julung kali itu bertujuan menjalin makna kesenian dan falsafah dalam kehidupan masyarakat nusantara yang penuh dengan budaya dan tradisi.

Seminar berlangsung dua hari melibatkan 21 peserta termasuk dari Indonesia dan Taiwan akan membentangkan kajian, sorotan dan pemikiran mereka mengenai pelbagai aspek yang berkait dengan seni tampak.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Penyanyi nasyid hargai bantuan Selangor, naikkan semula populariti

SHAH ALAM, 8 SEPT: Rancangan Kerajaan Selangor menyediakan peruntukan RM250,000 bagi membantu kumpulan nasyid yang terjejas Covid-19 menunjukkan keprihatinan kepada penggiat seni.

Vokalis Hijjaz Munif Ahmad berkata inisiatif bukan hanya membantu dari aspek kewangan sebaliknya juga boleh menaikkan semula populariti mereka dalam kalangan peminat.

“Hampir dua tahun kami tidak dapat buat persembahan. Ini bukan beri kesan pada pendapatan semata tetapi kepada ‘nama’. Takut jika kami terus hilang dari persada seni.

“Jadi rancangan Kerajaan Selangor bantu kami rakam persembahan satu usaha yang sangat baik. Peminat boleh melihat kami semula. Harap bantuan dihebahkan supaya semua dapat mengambil peluang,” katanya kepada SelangorKini.

Ketua kumpulan Rabbani pula berkata bantuan seperti itu sememangnya dinanti dan berharap ia dijalankan bersama Majlis Usahawan Nasyid Malaysia (Munsyid Malaysia).

Jelas Azadan Abdul Aziz langkah itu sebagai usaha memastikan dana sampai kepada sasaran terutama penyanyi veteran yang kurang mahir berkenaan teknologi.

“Kita tahu sekarang semuanya menerusi online (dalam talian). Yang agak berusia dan kurang mahir teknologi sukar buat permohonan.

“Jadi bila ada kerjasama Munsyid, ia membantu semua. Segala maklumat dibawa ke mesyuarat jadi tak ada yang tertinggal. Biar semua dapat dibantu,” katanya.

Semalam EXCO Kebudayaan Borhan Aman Shah berkata penggiat seni akan terus dibantu dengan dana tambahan RM250,000 bagi membela kumpulan nasyid yang terjejas akibat Covid-19.

Menurutnya peruntukan itu digunakan untuk proses rakaman persembahan yang akan dimuat naik di laman sosial seperti Facebook dan Youtube.

Ketika ini Kerajaan Selangor sedang mengenal pasti kumpulan yang bakal terlibat.

Pada Ogos jumlah sama turut diperuntuk bagi membela nasib buskers dengan menempatkan mereka di pusat pemberian vaksin (PPV) terpilih termasuk empat PPV mega bawah persekutuan.

Menerusi Projek Kita Buskers Selangor selama sebulan mulai 15 Ogos turut memberi sejumlah wang sagu hati selain kutipan awam bagi membantu golongan itu meneruskan kehidupan.

Categories
EXCO SELANGOR

Bantu karyawan, Selangor bakal anjur persembahan seni secara maya

SHAH ALAM, 3 NOV: Kerajaan Selangor bakal menyusun persembahan seni tradisional secara maya bagi merancakkan semula industri yang terjejas susulan pandemik Covid-19.

EXCO kebudayaan berkata seni muzik, tarian dan teater melalui platform itu semakin mendapat permintaan tinggi masyarakat selain diharap menambah pendapatan karyawan.

“Penularan wabak melumpuhkan aktiviti seni yang menyebabkan kumpulan ini hilang pendapatan kerana tidak dapat menganjur persembahan.

“Kerajaan Negeri berharap inisiatif mengikut norma baharu ini sedikit sebanyak membantu mereka yang terjejas menjana semula pendapatan,” kata Borhan Aman Shah.

Beliau menjawab soalan wakil rakyat Rawang Chua Wei Kiat berhubung usaha membantu industri seni yang terkesan berikutan Covid-19 pada sidang Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri menganjurkan Selangor Xtiv Virtual Youth Busking bagi menyokong perkembangan aktiviti seni peringkat akar umbi, selain tempat penghibur jalanan menonjolkan bakat dan kreativiti.