Categories
AGENDA SUKANKINI

Harungi tiga temasya setahun, Farah Ann akui berdepan cabaran getir

KUALA LUMPUR, 27 JAN: Ratu gimnastik negara Farah Ann Abdul Hadi mengakui berdepan cabaran getir dalam mencapai kemuncak prestasinya untuk mengharungi tiga temasya sukan utama tahun ini.

Farah Ann berkata kesemua temasya itu – Sukan Sea, Sukan Komanwel, Sukan Asia – berlangsung dalam tempoh agak dekat antara satu sama lain.

Sukan Sea di Hanoi, Vietnam akan berlangsung pada 12 hingga 23 Mei, diikuti Sukan Komanwel di Birmingham, United Kingdom pada 28 Julai hingga 8 Ogos serta Sukan Asia di Hangzhou, China pada 10 hingga 25 September.

“Agak sukar untuk capai kemuncak (prestasi) namun saya bersama-sama Majlis Sukan Negara (MSN), Institut Sukan Negara (ISN) dan jurulatih ada perancangan terbaik dalam memastikan saya sihat serta bersedia untuk bersaing dalam ketiga-tiga temasya.

“Namun, saya mahu fokus pada Sukan Sea dahulu dan kemudian diikuti Sukan Komanwel dan Sukan Asia,” katanya pada sidang media selepas menghadiri perhimpunan atlet dan jurulatih di sini, semalam.

Pemenang pingat emas Sukan Sea 2019 itu pada masa sama memaklumkan beliau kini kembali menjalani latihan sepenuh masa selepas melalui proses pemulihan sejak tahun lepas.

Atlet kelahiran Selangor itu juga menyambut baik langkah MSN menaikkan kadar elaun pemenang perak dan gangsa Sukan Sea serta Sukan Para Asean yang diyakini mampu melonjakkan semangat atlet untuk menampilkan prestasi terbaik ketika beraksi di Vietnam nanti.

Semalam, Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengumumkan pemenang perak akan menikmati kenaikan elaun daripada RM800 kepada RM1,500, manakala gangsa pula dari RM800 kepada RM1,000 sebulan.

Atlet berusia 27 tahun itu juga bertekad untuk menampilkan aksi mengagumkan pada temasya disertai tahun ini bagi memastikan dia kekal dalam program latihan kelolaan MSN selepas ini.

MSN kini menetapkan syarat kontrak yang ditawarkan tertumpu kepada persiapan menghadapi temasya sukan tertentu, dengan bentuk elaun latihan kembali berpaksikan kepada pencapaian seseorang atlet dalam temasya disertai.

-BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Tokyo 2020: Catat kedudukan ke-68, Farah Ann terlepas pusingan akhir

TOKYO, 25 JULAI: Gimnas negara Farah Ann Abdul Hadi terlepas peluang beraksi dalam acara all-around akhir selepas menamatkan saingan di kedudukan ke-68 daripada 85 peserta di Sukan Olimpik Tokyo hari ini.

Farah Ann yang tampil ceria dengan leotard berwarna jingga di Pusat Gimnastik Ariake mengumpul mata sebanyak 48.565 keseluruhan selepas melengkapkan empat rutin wajib.

Atlet berusia 27 tahun itu bermula agak goyah pada awalnya apabila hanya mengutip 11.600 mata dalam aparatus palang bertingkat dan 11.566 mata dalam palang imbangan.

Farah Ann kemudiannya mempamerkan aksi mengagumkan dalam disiplin senam lantai dengan memperoleh 12.233 mata sebelum melengkapkan aksi dengan mata 13.166 dalam disiplin melombol.

Hanya 24 gimnas, dengan maksimum dua wakil dari setiap negara layak ke peringkat akhir acara all-around yang dijadual pada Khamis (29 Julai).

Sementara lapan gimnas terbaik, dengan maksimum dua wakil dari setiap negara akan meneruskan cabaran di final aparatus.

Juara bertahan Simone Biles dari Amerika Syarikat (AS) mengungguli ranking keseluruhan hari ini dengan mengutip 57.731 mata diikuti Rebecca Andrade dari Brazil (57.399 mata) dan seorang lagi gimnas AS Sunisa Lee di tempat ketiga (57.166 mata).

Pada Sabtu, gimnas lelaki negara Jeremiah Loo Phay Xing gagal melayakkan diri ke final apabila menamatkan saingan di tempat ke-62 daripada 66 peserta dengan mengumpul 67.498 mata.

Atlet berusia 23 tahun itu memperolehi 13.100 mata dalam disiplin senam lantai, diikuti kekuda berpelana (12.266 mata), gelang roman (7.700 mata), melombol (12.466 mata), palang imbangan (10.200 mata) dan palang tunggal (11.766 mata) dalam pusingan kelayakan.

-BERNAMA

 

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Farah Ann teruja dapat kembali berlatih di gimnasium

SHAH ALAM, 26 MEI: Atlet kebangsaan Farah Ann Abdul Hadi tidak sabar memulakan latihan di Kompleks Sukan Negara di Bukit Jalil dekat sini selepas lebih dua bulan berlatih sendirian di rumah.

Ratu gimnastik negara gembira dengan kelonggaran kerajaan kepada atlet yang layak menyertai temasya Sukan Olimpik 2020 untuk berlatih mulai 1 Jun ini.

“Memang teruja dapat kembali ke lantai sebenar, memang ada perbezaan kerana tidak semua rutin dalam gimrama boleh dilakukan di sekitar rumah sahaja.

Foto Instagram Farah Ann Abdul Hadi

“Ada rutin tertentu hanya boleh dilakukan di gimnasium, paling penting untuk tingkatkan semula kecergasan seterusnya teknik-teknik,” kata atlet kelahiran Selangor kepada SelangorKini.

Farah meraih tempat ke Olimpik Tokyo 2020 apabila mempamer aksi cemerlang dalam Kejohanan Dunia Gimnastik Artistik di Stuttgart, Jerman.

Beliau mengutip 49,898 mata pada pusingan kelayakan sekali gus menamatkan kemarau 16 tahun atlet gimnas negara layak ke pentas Olimpik.

Temasya itu dijadual berlangsung pada 24 Julai hingga 9 Ogos ini sebelum Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa menangguhkannya kepada 23 Julai 2021 berikutan wabak Covid-19.

Mengenai sasarannya di temasya berkenaan, Farah tidak meletakkan harapan terlalu tinggi tetapi beliau bertekad melakukan aksi terbaik.

“Ini sukan Olimpik pertama saya sertai, cukup pada masa sekarang saya fokus untuk memberikan persembahan terbaik,” kata atlet berumur 26 tahun.

Pada 19 Mei lalu, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kelonggaran khas kepada atlet yang menyertai Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik di Tokyo.

Kelonggaran itu melibatkan 265 individu termasuk 57 atlet yang dijadual menjalani sesi latihan di tiga Kem Latihan Berpusat antara 1 hingga 30 Jun.