Categories
AGENDA SUKANKINI

Atlet negara teruja kembali ke Bukit Jalil

KUALA LUMPUR, 8 JUN: Beberapa atlet negara melahirkan rasa syukur dapat kembali menjalani latihan fizikal seperti biasa di Kompleks Sukan Negara, Bukit Jalil, sebagai persediaan menghadapi Sukan Olimpik Tokyo 2020 pada tahun depan.

Ratu terjun negara, Pandelela Rinong berkata beliau gembira dapat kembali meneruskan latihan di Pusat Akuatik Nasional setelah terpaksa menjalani latihan ringan di rumah susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan sejak 18 Mac lalu.

“Saya lega dan gembira dapat kembali ke persekitaran asal (latihan fizikal di Bukit Jalil) dan tak sabar untuk mulakan latihan.

“Sudah hampir tiga bulan saya tidak terjun, jadi saya rasa latihan perlu dijalankan segera bagi mendapatkan rentak terjunan sebelum menghadapi Sukan Olimpik pada tahun depan,” katanya kepada Bernama, hari ini.

Pada masa sama, pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 itu menjelaskan beliau sedia mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) termasuk mengehadkan pergerakan di sekitar Bukit Jalil, jarakan sosial satu meter serta penggunaan pencuci tangan bagi mengurangkan risiko jangkitan Covid-19.

Berkongsi pandangan sama adalah pemanah para negara, S. Suresh yang gembira dapat menjalani latihan fizikal di Padang Memanah Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil, setelah terpaksa mengehadkan sesi latihan di kawasan rumah susulan pelaksanaan PKP pada Mac lalu.

“Sebelum ini, saya sekadar menjalani latihan menggunakan tali getah dan sebagainya di rumah, tapi apabila MSN panggil saya kembali menjalani latihan seperti biasa, perasaan saya amat teruja.

“Jurulatih (Marzuki Zakaria) masih belum memaklumkan mengenai corak latihan, namun saya sedia mematuhi SOP yang dikeluarkan pihak terlibat bagi mengelakkan jangkitan Covid-19,” jelas anak jati Kedah itu.

Seramai 142 atlet, pegawai sukan dan staf sokongan dari MSN dan Institut Sukan Negara (ISN) melapor diri untuk kem latihan pusat program Road to Tokyo (RTT) 2020 di Bukit Jalil yang bermula hari ini.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Timbalannya, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal turut meluangkan masa meninjau kem latihan pusat berkenaan.

-BERNAMA

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Farah Ann teruja dapat kembali berlatih di gimnasium

SHAH ALAM, 26 MEI: Atlet kebangsaan Farah Ann Abdul Hadi tidak sabar memulakan latihan di Kompleks Sukan Negara di Bukit Jalil dekat sini selepas lebih dua bulan berlatih sendirian di rumah.

Ratu gimnastik negara gembira dengan kelonggaran kerajaan kepada atlet yang layak menyertai temasya Sukan Olimpik 2020 untuk berlatih mulai 1 Jun ini.

“Memang teruja dapat kembali ke lantai sebenar, memang ada perbezaan kerana tidak semua rutin dalam gimrama boleh dilakukan di sekitar rumah sahaja.

Foto Instagram Farah Ann Abdul Hadi

“Ada rutin tertentu hanya boleh dilakukan di gimnasium, paling penting untuk tingkatkan semula kecergasan seterusnya teknik-teknik,” kata atlet kelahiran Selangor kepada SelangorKini.

Farah meraih tempat ke Olimpik Tokyo 2020 apabila mempamer aksi cemerlang dalam Kejohanan Dunia Gimnastik Artistik di Stuttgart, Jerman.

Beliau mengutip 49,898 mata pada pusingan kelayakan sekali gus menamatkan kemarau 16 tahun atlet gimnas negara layak ke pentas Olimpik.

Temasya itu dijadual berlangsung pada 24 Julai hingga 9 Ogos ini sebelum Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa menangguhkannya kepada 23 Julai 2021 berikutan wabak Covid-19.

Mengenai sasarannya di temasya berkenaan, Farah tidak meletakkan harapan terlalu tinggi tetapi beliau bertekad melakukan aksi terbaik.

“Ini sukan Olimpik pertama saya sertai, cukup pada masa sekarang saya fokus untuk memberikan persembahan terbaik,” kata atlet berumur 26 tahun.

Pada 19 Mei lalu, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kelonggaran khas kepada atlet yang menyertai Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik di Tokyo.

Kelonggaran itu melibatkan 265 individu termasuk 57 atlet yang dijadual menjalani sesi latihan di tiga Kem Latihan Berpusat antara 1 hingga 30 Jun.

Categories
AGENDA SUKANKINI

Covid-19: Atlet Greece kecam jawatankuasa tak tangguh Olimpik 2020

SHAH ALAM, 18 MAC: Pemenang pingat emas Sukan Olimpik Rio 2016 Katerina Stefanidi mengkritik keputusan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) meneruskan acara itu di Jepun, Julai ini, di sebalik kembimbangan penularan Covid-19.

“Tiada penangguhan atau pembatalan tetapi mereka (IOC) meletakkan kesihatan kami dalam bahaya. Kita semua mahu Olimpik Tokyo berlangsung tetapi apa rancangan lain jika ia tidak berlaku?” kata atlet lompat pagar Greece berusia 30 tahun itu, lapor Reuters.

IOC dalam kenyataan sebelum ini mengulangi komitmennya untuk meneruskan acara bertaraf dunia itu seperti dijadualkan dari 24 Julai hingga 9 Ogos.

“IOC kekal komited terhadap penganjuran Sukan Olimpik Tokyo 2020 dan berbaki empat bulan lagi sebelum temasya bermula, tidak perlu sebarang keputusan drastik buat masa ini.

“Sebarang spekulasi pada masa ini tidak produktif. IOC turut menggalakkan semua atlet untuk melakukan persiapan bagi menghadapi Sukan Olimpik Tokyo 2020 sebaik mungkin,” katanya, kurang sejam selepas Kesatuan Bola Sepak Eropah mengumumkan penangguhan Euro 2020 selama setahun.

Setakat ini, 57 peratus daripada 11,000 atlet sudah mengesahkan tempat untuk beraksi pada Olimpik Tokyo 2020.

Categories
AGENDA SUKANKINI

Olimpik Tokyo 2020 mungkin tangguh susulan Covid-19

MOSCOW, 11 MAC: Sukan Olimpik Tokyo 2020 mungkin ditangguhkan antara satu hingga dua tahun ekoran wabak Covid-19, kata ahli lembaga jawatankuasa penganjur Haruyuki Takahashi lapor agensi berita Sputnik.

“Saya tidak fikir kejohanan itu boleh dibatalkan (tetapi) ia mungkin akan dilewatkan sahaja,” kata Takahashi dalam temu bual dengan Wall Street Journal.

“Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa bakal berdepan masalah andai acara itu dibatalkan. Televisyen Amerika sahaja sudah menyediakan peruntukan yang besar,” katanya.

Takahashi berkata kelewatan selama dua tahun dilihat pilihan terbaik kerana kebanyakan jadual sukan untuk 2021 sudah diputuskan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA SUKANKINI

Olimpik Tokyo: Skuad berbasikal trek miliki peluang cerah

KUALA LUMPUR, 3 MAC: Skuad berbasikal trek kebangsaan dilihat mempunyai peluang cerah pada Sukan Olimpik Tokyo 2020 susulan prestasi cemerlang ditonjolkan pada Kejohanan Dunia 2020 yang berakhir di Berlin, Jerman, kelmarin.

Ketua Jurulatih Kebangsaan John Beasley berkata dua pingat gangsa, satu rekod Asia dan tiga rekod terbaik peribadi yang dicatat anak buahnya dalam kejohanan dunia itu antara persembahan terbaik yang dicapai negara walaupun hanya memiliki satu velodrom.

“Malaysia pastinya sangat teruja melihat pasukan pelumba kita mempunyai peluang di Tokyo. Ia sangat berbeza dengan keputusan yang dicapai pada Kejohanan Dunia tahun lalu,” katanya dalam hantaran terkini di Facebooknya.

Beasley menyifatkan keputusan positif anak buahnya di Berlin menjawab kritikan segelintir pihak terhadapnya, berikutan prestasi buruk yang dicapai pasukan kebangsaan pada Kejohanan Dunia 2019.

Jaguh trek negara Mohd Azizulhasni Awang memenangi dua pingat gangsa dalam acara keirin dan pecut, selepas memenangi pingat perak pada edisi 2009 di Poland.

Pelumba berusia 32 tahun yang dikenali sebagai ‘The Pocket Rocketman’ mencatatkan rekod Asia dan kebangsaan bagi acara pecut selepas menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 9.548 saat (s) pada pusingan kelayakan kejohanan dunia itu.

Catatan yang dilakukan Mohd Azizulhasni atau ‘Jijoe’ sekali gus memadam rekod 9.609s yang dicatat pelumba Jepun, Tomohiro Fukaya dan juga rekod kebangsaanya sendiri iaitu 9.760s.

Seorang lagi pelumba kebangsaan Muhammad Fadhil Mohd Zonis turut mencatatkan rekod kebangsaan bagi acara 1 kilometer ujian masa dengan catatan 1 minit 00.305s, sekali gus memadamkan rekod kebangsaan 1:01.658 s oleh Mohd Rizal Tisin iaitu bekas pelumba kebangsaan negara, yang merangkul pingat gangsa pada kejohanan dunia di Poland pada 2009.

-BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

Farah Ann tempah slot ke Olimpik Tokyo 2020

KUALA LUMPUR, 6 OKT: Ratu gimnastik negara, Farah Ann Abdul Hadi mencipta sejarah tersendiri apabila layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020, selepas mencatat keputusan memberangsangkan pada Kejohanan Gimnastik Dunia 2019 di Stuttgart, Jerman.

Atlet berusia 25 tahun negara layak ke temasya terbesar dunia itu selepas mengumpul keseluruhan 49.898 mata pada pusingan kelayakan acara all-around individu, sekali gus menamatkan kemarau 16 tahun skuad gimnastik negara ke pentas Olimpik.

Biarpun sekadar menduduki tempat ke-59 serta gagal layak ke pusingan akhir kejohanan dunia, namun kejayaan lebih manis berjaya dicipta apabila Farah Ann menjadi gimnas ketiga negara layak ke temasya Olimpik selepas kali terakhir pada 2004 di Athens.

Turut beraksi pada kejohanan itu Tan Ing Yueh yang menduduki tempat ke-90 dengan mengumpul 48.299 mata sementara Tracie Ang di kedudukan ke-107 dengan 47.399 mata.

Berdasarkan senarai terkini Persekutuan Gimnastik Antarabangsa (FIG), Farah Ann adalah antara 20 gimnas yang layak ke Tokyo dalam acara all-around individu di kejohanan dunia edisi tahun ini.

Kejohanan Gimnastik Dunia edisi 2018 menjadi pentas pertama para gimnas meraih slot ke Sukan Olimpik 2020 dengan tiga negara yang berakhir di podium dianugerahkan masing-masing empat tiket secara merit ke temasya itu.

Kali terakhir gimnas negara beraksi di temasya Olimpik adalah menerusi gimnas lelaki Ng Shu Wai di Athens 2004 manakala gimnas wanita pula menerusi Alexina Au Li Yen di Sydney 2000.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL SUKANKINI

Atlet mampu capai prestasi terbaik di Olimpik 2020 – KBS

BUKIT MERTAJAM, 14 APR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) percaya kontinjen negara mampu mencapai prestasi terbaik pada Sukan Olimpik Tokyo 2020 setelah penstrukturan semula program latihan sukan berprestasi tinggi.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim Chee Keong berkata, kementerian melalui Majlis Sukan Negara (MSN) sentiasa memberi sokongan penuh kepada atlet kebangsaan, malah peruntukan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 sudah dipertingkatkan agar kontinjen negara dapat mencapai matlamat tersebut.

“Melalui penstrukturan semula ini, apa kita mahu ialah peningkatan prestasi atlet. Kemudian, kita tidak berhenti memberi fokus pada Sukan Olimpik Tokyo sahaja. Kita mahu menjalankan strategi jangka panjang untuk bersedia menghadapi temasya sukan seterusnya,” katanya.

Beliau ditemui Bernama selepas merasmikan program Semai Harapan di Taman Eko Rimba di sini hari ini.

Steven berkata, KBS sentiasa menggalakkan dan akan memberi sokonggan kepada persatuan sukan tempatan untuk terus berusaha menganjurkan pelbagai kejohanan sukan peringkat antarabangsa di negara ini.

“Sebagai contoh, Le Tour de Langkawi (LTDL) berjaya membuktikan Malaysia mampu menjadi hab sukan pelancongan antarabangsa. Oleh itu kita menggalakkan agar lebih banyak temasya sukan antarabangsa diadakan di Malaysia,” katanya.

Terdahulu pada majlis itu, program Semai Harapan anjuran Pejabat Parlimen Bukit Mertajam dengan kerjasama Junior Chamber International (JCI) bertujuan untuk menanam 1,000 pokok setahun dalam jangka masa lima tahun.

“Program menanam pokok pada kali ini memfokuskan penglibatan daripada kanak-kanak untuk memupuk semangat cintakan negeri dan negara, mengajar anak-anak mengenai kepentingan pembangunan yang seimbang.

“Selain itu, ia juga untuk mengajar generasi muda melabur pada masa hadapan, tidak hanya boleh fikirkan kepentingan dalam jangka pendek,” katanya.

Program itu disertai kira-kira 100 murid berumur sekitar tujuh hingga 12 tahun daripada Sekolah Kebangsaan (SK) Juara, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Beng Teik dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Bukit Mertajam.

Steven berkata, inisiatif itu turut dibantu Jabatan Perhutanan Pulau Pinang yang bertanggungjawab menyediakan benih serta peralatan penanaman benih serta Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) yang bertanggungjawab menempatkan anak-anak pokok daripada penanaman benih hari ini di kawasan-kawasan sekitar Bukit Mertajam.

SUMBER: BERNAMA