Categories
NASIONAL

AMK: Kembalikan subsidi minyak, BR1M tidak membantu

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 10 FEB: Kerajaan persekutuan didesak mengembalikan semula subsidi minyak supaya rakyat tidak terasa dengan kenaikan harga bahan api itu.

Exco Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Selangor, Farkhan Yasin berkata, kerajaan sepatutnya mengembalikan subsidi bahan api kepada rakyat pada ketika harga minyak pasaran global menunjukkan peningkatan.

“Pada ketika harga minyak pasaran global meningkat, keuntungan hasil jualan minyak pasti meningkat. Kerajaan seharusnya berupaya merangka formula lebih baik dalam membantu meringankan beban rakyat.

“Jika dibandingkan harga minyak pada November tahun lalu dengan bulan ini, harga minyak Ron 95 naik lebih 20 peratus.

amk“Mengambil contoh pada 2015, pendapatan negara hasil daripada minyak dan gas susut sebanyak RM30 billion, namun demikian hasil kutipan kasar GST oleh kerajaan adalah kira-kira RM37 billion,” katanya dalam kenyataan.

Katanyanya, sistem pengangkutan awam negara yang masih berada pada tahap kurang memuaskan, maka pengangkutan persendirian masih menjadi pilihan utama rakyat.

“Kenaikan harga minyak secara langsung akan meningkatkan perbelanjaan rakyat.

“Tidak dilupakan juga bahawa Malaysia masih merupakan negara pengeluar minyak walaupun tidak sebesar pemain-pemain utama lain seperti Arab Saudi,” katanya

Difahamkan, Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani mengeluarkan kenyataan pada 9 Februari lalu, dengan menegaskan kerajaan tidak bercadang mengembalikan subsidi bahan api kerana kononnya ia tidak mampan kepada ekonomi negara.

Sebaliknya, bercadang menambah nilai BR1M bagi membantu golongan berpendapatan rendah atau menetapkan harga siling minyak sebagai langkah penyelesaian.

minyak-duniaFarkhan berkata, pemberian BR1M bukanlah penyelesaian yang menyeluruh dan rintihan golongan berpendapatan sederhana khususnya belia tidak boleh dipandang remeh kerajaan.

“Kerajaan harus sedar bahawa masih ramai rakyat terutamanya golongan belia tinggal di bandar tidak layak menerima BRIM kerana tidak menepati syarat kelayakan.

“Apa yang berlaku ketika ini, pendapatan isi rumah dibelanjakan untuk membayar hutang, dan kenaikan harga minyak pastinya lebih mengehadkan kebolehupayaan rakyat berbelanja,” katanya.

-nR-