Categories
SELANGOR

Selangor Kini portal berita tempatan pertama guna aplikasi vine

SHAH ALAM 24 SEPT: Selangor Kini, akhbar dan portal berita rasmi Kerajaan Selangor melancarkan aplikasi vine – video pendek berdurasi maksimum 30 saat.

Ketua Pengarangnya, Fazallah Pit, berkata aplikasi itu membolehkan orang ramai mengakses dan menonton rakaman aktiviti yang dimuat naik melalui media sosial khususnya twitter.

Beliau berkata, aplikasi itu lebih mudah dan cepat berbanding rakaman video yang kebanyakan durasi lebih panjang dan sukar atau lambat untuk diakses melalui telefon pintar.

Ia bermakna, katanya, Selangor Kini  dipercayai menjadi pelopor portal media tempatan yang mengguna pakai aplikasi dalam operasi penerangan kepada rakyat.

“Aplikasi itu dilancarkan bertepatan dengan pelantikan Datuk Menteri Besar Selangor ke-15, Mohamed Azmin Ali yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Antarabangsa,” katanya.

Fazallah berkata, paparan vine pertama dimuat naik jam 5 petang semalam dengan mengguna pakai paparan visual bergerak biodata pengenalan Mohamed Azmin.

“Beberapa pembaharuan lain akan dibuat dalam tempoh terdekat, seiring dengan kepimpinan Menteri Besar baharu,” katanya.