Categories
NASIONAL SELANGOR

Peruntukan Pembangunan Belia Dikurang Akibat Penyenaraian Felda

PETALING JAYA,12 JUN : Penyenaraian Felda Global Ventures Holdings (FGVH) di Bursa Malaysia menyebabkan peruntukan kepada pembangunan belia, generasi kedua dan ketiga di Felda akan mengalami pengurangan sebanyak 27 peratus.

Pengerusi Biro Pelaburan Dan Perdagangan PKR, Wong Chen dalam sidang media di ibu pejabat PKR berkata, pendapatan Felda akan mengalami kejatuhan sebanyak 64 peratus dengan keseluruhan peneroka kehilangan RM100 juta untuk bantuan kebajikan pada tahun ini.

Jelas beliau, menurut analisis yang dijalankan menunjukkan sebelum adanya FGVH setiap tahun Felda membelanjakan antara RM400 hingga RM500 juta setahun untuk kebajikan peneroka.

“Pada tahun 2011, Felda membelanjakan RM424 juta untuk peneroka.

Walaubagaimanapun, bagi tahun 2012, Felda bercadang untuk memotong belanjawan peneroka kepada RM326 juta,” katanya.

Jelas Wong, perbelanjaan ini termasuk dana bagi infrastruktur jalan, masjid, padang bola, perumahan, pendidikan, insentif Hari Raya dan insurans.

Apabila Felda memajak gadai tanah 350,000 hektar kepada FGVH, bermakna Felda  menyerahkan semua pokok dan hasil sawit kepada FGVH.

Ia menyebabkan pendapatan Felda jatuh mendadak.

“Pada tahun 2011, pendapatan Felda mencecah RM2.5 bilion tetapi selepas tanah dipajak, pendapatan 2012 dijangka turun ke RM900 juta sahaja,” katanya.

Tambah Wong, butiran yang didedahkan itu adalah daripada bajet rasmi Felda 2012.

Menurut butiran itu yang mengalami pengurangan peruntukan adalah pembangunan infrastruktur yang dikurangkan sebanyak 57  peratus daripada RM115 juta kepada RM50 juta.

Manakala insentif produktiviti untuk peneroka dikurangkan sebanyak 22 peratus daripada RM103 juta kepada RM80 juta.

Turut mengalami kesan adalah bonus Hari Raya yang dikurangkan sebanyak 25 peratus daripada RM40 juta kepada RM 30 juta.

Sementara  itu, pelan insurans bagi peneroka dikurangkan sebanyak 25 peratus daripada RM20 juta kepada RM15 juta.

“Jangan buli peneroka,ini bukannya caranya untuk membantu peneroka Felda,” katanya.

Categories
NASIONAL

Rafizi : Hanya 20% Pengurusan Tertinggi Felda Sokong Penyenaraian FGHV

PETALING JAYA,16 MEI : Hanya 20 peratus dari pengurusan tertinggi Felda yang benar-benar menyokong proses penyenaraian Felda Global Ventures Holdings (FGVH) di Bursa Saham Malaysia ,dedah Rafizi Ramli.

Beliau yang juga Pengarah Strategi PKR berkata, lebih separuh dari pengurusan Felda atau 55 peratus tidak bersedia untuk melalui proses penyenaraian itu.

“Pendedahan ini mengesahkan bahawa proses penyenaraian yang cuba dilakukan kerajaan BN mendapat tentangan hebat dari kalangan pimpinan tertinggi Felda sendiri.

“Ini memberi gambaran bahawa mereka yang lebih arif dan mengikuti proses dalaman sepanjang keputusan menyenaraikan Felda berpandangan penyenaraian ini lebih membawa keburukan daripada kebaikan kepada Felda dan peneroka,” jelas Rafizi dalam sidang media di Pejabat PKR di sini hari ini.

Tambah Rafizi, tentangan pengurusan tertinggi Felda ini akan menyulitkan proses penyenaraian dan membawa risiko bahawa ia akan gagal kerana tidak mendapat kerjasama kakitangan Felda.

“Adalah menjadi tanggungjawab Datuk Seri Najib Razak dan Tan Sri Isa Abdul Samad untuk memberikan penjelasan kenapa pandangan dan tentangan pengurusan tertinggi Felda ini tidak diambil kira dan penyenaraian Felda diteruskan jua.

“Mereka juga perlu memberi jaminan bahawa pengurusan Felda sedia ada tidak diketepikan dan muka-muka baru yang lebih akur dengan kehendak BN akan dilantik mengisi sebahagian besar jawatan baru di dalam Felda,” tegas Rafizi.

Beliau juga mendedahkan kira-kira 65 peratus dari pengurusan tertinggi Felda percaya proses penyenaraian ini akan gagal kerana Felda masih belum bersedia.

Kesimpulan itu dibuat oleh Boston Consulting Group (BCG) setelah menemuramah dan mengadakan kaji selidik melibatkan 30 orang pengurusan tertinggi Felda dalam bulan Oktober tahun lalu.

Pada 18 Oktober 2011 , pengurusan FGVH mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Penyenaraian FGV yang ketiga dipengerusikan oleh Isa.

Antara lainnya, mesyuarat tersebut membincangkan kesediaan pengurusan Felda dan pandangan mereka mengenai penyenaraian FGV dan penstrukturan korporat yang akan berlaku berikutan penyenaraian tersebut.