Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

MBSA lulus permit sementara dua kumpulan pemuzik jalanan

SHAH ALAM, 23 FEB: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) meluluskan permohonan permit sementara dua kumpulan penggiat seni muzik jalanan (buskers) untuk mengadakan persembahan di premis makanan sekitar pentadbirannya bulan ini.

Timbalan Datuk Bandarnya, Mohd Rashidi Ruslan berkata pendekatan itu sebagai galakan kepada pemuzik jalanan untuk terus berkarya selain membantu menjana pendapatan tambahan ahli kumpulan berkenaan.

“Kita bersetuju (memberi permit sementara) kerana mahu mendedahkan kepada masyarakat bahawa mereka (buskers) ada bakat yang perlu diketengahkan dalam dunia hiburan.

“MBSA satu-satunya pihak berkuasa tempatan di Selangor yang melakukan usaha ini supaya mereka tidak lagi digelar pemuzik jalanan terbiar, sebaliknya mendapat pembelaan sepatutnya,” katanya ketika ditemui pada Festival Buskers 2020 yang melabuhkan tirai semalam di pusat beli-belah SACC Seksyen 14 di sini.

Festival yang diadakan sempena sambutan ulang tahun ke-20 bandar raya itu menghimpunkan penggiat seni muzik jalanan termasuk pelbagai segmen menarik antaranya diskusi ‘Perjalanan Hidup Seorang Buskers’, kelas vokal, bengkel seni persembahan pentas dan kendera saji.

Turut diadakan pertarungan ‘Battle of Acoustic’ yang menerima penyertaan seramai 52 kumpulan buskers dan 12 daripadanya layak beraksi di pentas akhir.

Antara artis jemputan yang hadir sepanjang dua hari festival berlangsung ialah Fauziah Ahmad Daud, DJ Fuzz, Caliph Buskers, Genji Buskers, Runs, Leaism dan Shaffiq Erwin.

Categories
PBT SELANGOR

Festival Buskers Shah Alam himpun penggiat muzik jalanan

SHAH ALAM, 21 FEB: Festival Buskers 2020 bakal berlangsung di pusat beli-belah SACC, Seksyen 14 di sini esok dan Ahad ini, kata ketua bahagian korporat dan perhubungan awam Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Bermula dari 9 pagi hingga 6.30 petang, Shahrin Ahmad berkata festival sempena sambutan ulang tahun bandar raya ini yang ke-20 menghimpunkan pemuzik jalanan dan menampilkan kumpulan terkenal Caliph Buskers.

 

Beliau berkata kumpulan-kumpulan akustik pula bakal berentap bagi merebut gelaran Juara Battle of Acoustic 2020 dan hadiah wang tunai keseluruhan RM14,000.

“Festival ini juga menjadi medium kepada orang kelainan upaya (OKU) untuk berkarya serta mengekspresikan seni masing-masing,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Shahrin berkata seniwati Fauziah Ahmad Daud pula dijadual berkongsi panduan menjadi artis, komposer DJ Fuzz mendedahkan teknik menarik minat syarikat rakaman serta artis Syaffiq Erwin mengadakan kelas vokal dan seni persembahan.

Acara lain yang dijangka menarik minat ramai adalah diskusi “Perjalanan Hidup Seorang Buskers”.