Categories
AGENDA NASIONAL

Perunding kewangan: Urus perbelanjaan ketika pandemik, elak ‘hutang jahat’

SHAH ALAM, 17 JUN: Seseorang perlu tahu membezakan antara keperluan dan kehendak ketika merancang kewangan saat negara dilanda pandemik Covid-19, kata perunding kewangan.

Firdaus Pay berkata mereka yang terjejas juga perlu mengelak hutang tidak perlu dan menyediakan tabung kecemasan untuk membantu menguruskan kewangan dengan lebih baik.

Perunding Kewangan Firdaus Pay

“Antara perancangan kewangan terbaik pada masa ini kita kena sediakan belanjawan supaya kita boleh senaraikan barang keperluan yang perlu diutamakan berbanding kehendak.

“Pada masa sekarang agak bagus untuk kita kurangkan hutang dan elakkan hutang yang tidak perlu iaitu utamakan ‘hutang baik’ dan elakkan ‘hutang jahat’,” katanya menerusi temubual secara langsung di Facebook Media Selangor semalam.

Beliau menjelaskan hutang baik ialah hutang yang boleh menambah baik pendapatan seperti pembelian rumah untuk disewakan, manakala hutang jahat seperti pinjaman peribadi yang menjadi beban dalam jangka masa panjang.

Graduan lulusan ijazah sarjana perakaunan forensik dan jenazah kewangan itu juga menyarankan setiap individu mempunyai tabung kecemasan yang boleh digunakan jika mereka dibuang kerja atau pendapatan terjejas.

“Paling penting kita perlu menyediakan takaful untuk perlindungan diri dan keluarga kerana ia boleh menolong kita dalam perbelajaan luar jangka seperti bayaran kos hospital,” katanya.

Beliau juga mengesyorkan simpanan dibuat di Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan Unit Trust dengan peruntukan sekurang-kurangnya 10 peratus daripada pendapatan setiap bulan.

“Simpanan ini boleh digunakan untuk jangka masa panjang dan jika ada kecemasan yang terdesak,” katanya lagi.

Categories
AGENDA NASIONAL

Moratorium Hijrah bantu kelangsungan hidup peniaga kecil

SHAH ALAM, 16 JUN: Moratorium pembayaran pinjaman kepada usahawan Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) merupakan usaha yang sangat baik bagi membantu peniaga kecil yang terjejas ketika pandemik.

Perunding Kewangan Firdaus Pay berkata inisiatif Kerajaan Negeri menerusi Pakej Kita Selangor 2.0
dapat membantu kelangsungan hidup peniaga kecil dan penjaja.

Perunding Kewangan Firdaus Pay

“Peniaga ini adalah golongan terkesan dan agak teruk dengan pandemik yang melanda kita sekarang, jadi moratorium selama sebulan setengah dapat membantu mereka meneruskan kelangsungan hidup.

“Kalau mereka betul-betul terjejas memang bagus untuk ambil moratorium ini. Jika mereka berniaga mereka ada pendapatan tetapi jika tidak, mereka tiada pendapatan,” katanya menerusi temubual secara langsung di Facebook Media Selangor.

Beliau juga menyambut baik moratorium bersasar dilaksanakan kerajaan ketika ini, mengatakan langkah itu membantu peminjam menggunakan peruntukan yang sepatutnya membayar pinjaman untuk kegunaan lain yang lebih penting.

Pada 9 Jun, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengumumkan seramai 40,000 usahawan Hijrah diberikan moratorium bayaran pinjaman selama satu setengah bulan di bawah Pakej Kita Selangor 2.0.

Pada 11 Jun, Pengarah Eksekutif Hijrah Dato’ Seri Mohamad Suparadi Md Noor berkata pihaknya menjelajah ke semua Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi menyegerakan pelaksanaan dasar itu memandangkan majoriti peminjam golongan B40.