Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Usahawan Hijrah lega dikecuali bayar pinjaman dua bulan, guna duit baiki bengkel

SHAH ALAM, 21 JAN: Usahawan Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) memanfaatkan moratorium bayaran pinjaman dengan membaiki bengkel motosikal yang terjejas akibat banjir pada 18 Disember lalu.

Zakaria Zainal, 40, berkata penangguhan bayaran dua bulan meringankan beban kerana bengkel yang dibuka sejak 2001 di Kampung Seri Puchong, Batu 13 perlu dibaik pulih selepas ditenggelami air hingga paras paha.

“Setiap bulan saya perlu bayar sebanyak RM2,145 dan dengan penangguhan pinjaman ini dapat digunakan untuk baiki bengkel serta mengganti beberapa kelengkapan dalam bengkel.

“Saya bersyukur atas keprihatinan Hijrah dan memahami masalah serta bebanan ditanggung peminjam dengan melaksanakan moratorium,” katanya kepada SelangorKini.

Bapa kepada kepada dua cahaya mata itu berkata selain bengkel, beliau juga perlu membaiki semula tujuh motosikal pelanggan yang berada di bengkel.

“Kejadian pada 18 Disember terlalu pantas dan tidak sempat selamatkan apa-apa di bengkel. Namun, bersyukur pelanggan tidak marah dan memahami musibah yang melanda.

“Selain itu, saya juga perlu menguruskan rumah yang dimasuki air hingga paras dada mengakibatkan keseluruhan rumah musnah. Saya cuma sempat ambil dokumen penting dan baju anak-anak,” katanya.

Pada 21 Disember, Dato’ Menteri Besar mengumumkan penangguhan bayaran pinjaman selama dua bulan kepada usahawan Hijrah yang terjejas akibat banjir.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata susulan pengumuman itu Hijrah perlu menanggung kesan kewangan sebanyak RM15 juta.

Keadaan bengkel Zakaria Zainal selepas dilanda banjir pada 18 Disember lalu.
Categories
AGENSI BERITA UTAMA PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

Usahawan Hijrah: Moratorium bantu pulih perniagaan, kehidupan pascabanjir

SHAH ALAM, 19 JAN: Moratorium bayaran pinjaman selama dua bulan yang dilaksana Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) amat membantu usahawan yang terjejas banjir.

Amirul Fadzli Raduan berkata penangguhan itu sedikit sebanyak membolehkan beliau baik pulih kediaman dan perniagaan yang hampir 100 peratus musnah akibat banjir.

“Hampir semua perabot dan barangan musnah ditenggelami bah termasuk ‘food truck’ (kendera saji) yang diberi Hijrah juga tenggelam banjir. Sedih sangat kerana sudah tiga tahun trak ini berjasa bantu saya cari rezeki.

Usahawan Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) Amirul Fadzli Raduan

“Saya bersyukur apabila pihak Hijrah mengumumkan penangguhan dua bulan. Jadi, duit yang sepatutnya bayar pinjaman dapat saya beli barangan lain seperti tilam, perabot dan peralatan berniaga,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Amirul yang tinggal di Taman Sri Nanding Hulu Langat itu mula berniaga makanan jepun takoyaki sejak tahun 2019 menggunakan kendera saji di sekitar kawasan perumahannya.

Baharu sahaja mendirikan rumah tangga November lalu, Amirul reda dengan ujian menimpa dan berhasrat memulakan kehidupan semula dengan berniaga secara kecil-kecilan terlebih dahulu selepas kendera saji siap dibaiki.

“Harap (kendera saji) boleh dibaiki kemudian boleh saya kembali berniaga seperti biasa,” katanya yang hanya berniaga makanan itu di depan rumah buat sementara waktu.

Beliau yang meminjam RM50,000 bagi tempoh tiga tahun mulai tahun ini turut menyifatkan proses berurusan dengan Hijrah amat mudah, cepat dan mesra pelanggan.

“Setiap minggu saya bayar RM250, Sebulan RM1,000. Alhamdulillah sangat apabila Kerajaan Negeri umumkan moratorium baru-baru ini. Jika tidak sukar juga untuk saya bayar balik,” katanya.

Pada 21 Disember, Dato’ Menteri Besar mengumumkan penangguhan bayaran pinjaman selama dua bulan kepada usahawan Hijrah Selangor yang terjejas akibat banjir.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata susulan pengumuman itu Hijrah Selangor perlu menanggung kesan kewangan sebanyak RM15 juta.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Moratorium pinjaman: 921 usahawan Hijrah terima manfaat, guna duit untuk pulih perniagaan

SHAH ALAM, 3 JAN : Seramai 921 usahawan Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) yang terjejas banjir mendapat manfaat moratorium bayaran pinjaman selama dua bulan.

Pengarah Eksekutifnya Dato’ Seri Mohamad Suparadi Md Noor berkata penangguhan bayaran bermula 22 Disember lalu dan diharap dapat meringankan beban mereka yang terkesan dengan bencana tersebut.

“Permohonan moratorium sudah ditutup 29 Disember lalu dan usahawan yang mendapat manfaat terdiri sektor pembekal, pemakanan, perkhidmatan, pertanian, penternakan dan pemprosesan.

“Kita harap inisiatif ini sedikit sebanyak meringankan beban. Semoga wang yang sepatutnya untuk membayar pinjaman itu juga dapat digunakan untuk pulih kembali kehidupan dan perniagaan pascabanjir,” katanya kepada SelangorKini.

Pada 21 Disember, Dato’ Menteri Besar mengumumkan penangguhan bayaran pinjaman selama dua bulan kepada usahawan Hijrah Selangor yang terjejas akibat banjir.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata susulan pengumuman itu Hijrah Selangor perlu menanggung kesan kewangan sebanyak RM15 juta.

Hujan lebat luar biasa antara 17 hingga 19 Disember lalu, lebih dua kali ganda taburan tertinggi sebelum ini iaitu kira-kira 180mm, mengakibat banyak lokasi di negeri ini ditenggelami air.

Categories
AGENDA NASIONAL

Peminjam terjejas pandemik masih boleh mohon moratorium

KUALA LUMPUR, 27 OKT: Permohonan moratorium di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) masih dibuka kepada peminjam yang memerlukan.

Timbalan Menteri Kewangan I Mohd Shahar Abdullah berkata bank-bank bersedia untuk memberi bantuan bayaran balik pinjaman yang terjejas dan memerlukan, justeru mereka hanya perlu menghubungi bank masing-masing.

“Bagi peminjam lain yang juga terkesan dan memerlukan bantuan bayaran balik pinjaman selepas pakej Pemulih tamat, bank-bank akan terus menyediakan pakej bantuan termasuk pengurangan bayaran ansuran bulanan mengikut kemampuan peminjam,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat di sini, pada Rabu.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Khalid Abd Samad (HARAPAN-Shah Alam) sama ada kerajaan akan melanjutkan pemberian moratorium kepada individu dan perusahaan di samping sama ada akan memperkenalkan pemberian moratorium tanpa faedah terakru.

Mohd Shahar berkata industri perbankan telah mengumumkan Skim Pengurusan dan Ketahanan Kewangan (Urus) bagi golongan 50 peratus terbawah kumpulan pendapatan (B50) iaitu isi rumah berpendapatan sehingga RM5,880 yang masih terkesan akibat pandemik Covid-19, pada 14 Oktober lepas.

Beliau berkata skim yang menyeluruh ini bukan sahaja membantu peminjam membuat pembayaran balik pinjaman mengikut kemampuan mereka, malah peminjam juga mendapat manfaat menerusi nasihat pengurusan kewangan yang boleh meningkatkan daya tahan kewangan mereka dalam jangka panjang.

“Di bawah program ini, peminjam golongan B50 yang memenuhi syarat akan mendapat pengecualian faedah selama tiga bulan dan juga pilihan untuk mengurangkan bayaran ansuran pinjaman sehingga 24 bulan keseluruhannya,” katanya.

Beliau berkata peminjam juga boleh memohon pelbagai program yang ditawarkan oleh Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) seperti Program Pengurusan Hutang, Skim Penyelesaian Pinjaman Kecil dan Skim Sokongan Daya Tahan Kewangan.

Program-program ini dilaksanakan dengan kerjasama dan sokongan institusi perbankan, dan mempunyai ciri-ciri seperti ansuran bulanan yang berkurangan, pelanjutan tempoh bayaran balik dan program sokongan daya tahan kewangan, katanya.

-BERNAMA

 

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Lebih 600 usahawan Hijrah buat penjadualan semula pinjaman

SHAH ALAM, 22 SEPT: Seramai 663 usahawan Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) yang berdepan masalah untuk membayar balik pembiayaan membuat penjadualan semula pinjaman berjumlah RM6.7 juta sejak awal Ogos lalu.

Pengarah eksekutifnya berkata inisiatif yang diperkenal selepas berakhirnya moratorium pada penghujung Julai lalu bertujuan meringankan beban usahawan yang terkesan dengan Covid-19.

“Kita tidak mahu membebankan usahawan dan kerana itu penting untuk kita memanjangkan had tempoh pembiayaan semula pinjaman supaya jumlah bayaran dapat dikurangan selain mengelak peminjam terbeban.

“Tempoh bayaran balik pinjaman itu dipanjangkan sehingga lima tahun berbanding enam bulan hingga tiga tahun sebelum ini,” katanya Dato’ Sri Mohamad Suparadi Md Noor.

Beliau berkata demikian dalam bual bicara Usahawan Hijrah: Bangkit depani Covid-19 yang disiarkan di Media Selangor, malam tadi.

Sebelum ini, seramai 40,000 usahawan Hijrah diberi moratorium bayaran pinjaman selama enam minggu yang berakhir 31 Julai lalu.

Inisiatif menerusi Pakej Kita Selangor 2.0 membabitkan impak kewangan berjumlah RM11.35 juta.

Categories
AGENDA NASIONAL

Yayasan Hijrah tawar susun semula pinjaman, ringan beban usahawan terkesan

SHAH ALAM, 8 SEPT: Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) menawarkan skim penjadualan semula kepada peminjam yang berdepan masalah untuk membayar balik pembiayaan menerusi Kempen Pemulihan Kredit.

Pengurus Promosinya Mohd Ridhwan Asmara berkata inisiatif yang bermula awal Ogos lalu bertujuan meringankan beban usahawan susulan dampak Covid-19.

“Kita memahami kesukaran dihadapi peminjam walaupun diberi moratorium secara automatik selama enam minggu sebelum ini.

Kebanyakan ada yang tidak mampu membayar balik dengan kadar sepatutnya.”Jadi, kita memutuskan untuk melaksanakan kempen ini dengan harapan agar dapat membantu usahawan yang terjejas,” katanya kepada Selangorkini.

Beliau berkata sejak kempen dilaksanakan, pejabat cawangan menerima kehadiran ramai peminjam yang berminat untuk membuat penstrukturan semula pinjaman mereka.

“Pegawai kutipan di 20 cawangan Hijrah akan menyemak dahulu nama-nama peminjam yang masih mempunyai baki pinjaman tertunggak sebelum menghubungi dan tawarkan inisiatif ini kepada usahawan,” katanya.

Sebelum ini, seramai 40,000 usahawan Hijrah diberi moratorium bayaran pinjaman selama enam minggu yang berakhir 31 Julai lalu.

Inisiatif menerusi Pakej Kita Selangor 2.0 membabitkan impak kewangan berjumlah RM11.35 juta.

Categories
BERITA UTAMA RENCANA

Pendapatan terjejas, usahawan jahitan harap lanjutan moratorium pinjaman Hijrah

SHAH ALAM, 26 JULAI: Sebelum pandemik, seorang usahawan jahitan mampu meraih pendapatan mencecah RM50,000 sebulan hasil tempahan jubah konvokesyen dari institusi pengajian tinggi.

Mariam Hassan, 40, yang mengusahakan perniagaan itu lebih 10 tahun bersama suami, Mohammad Syafiee Ambok Dalek, 38, bermula secara kecil-kecilan di rumah hingga mampu mebuka kedai jahit sendiri di Damansara Damai.

Akui setiap kali tibanya hari konvokesyen mana-mana kolej atau universiti, dia dan suami tidak menang tangan menerima tempahan hingga lebih 5,000 jubah perlu dijahit selain pakaian seragam atau korporat dari syarikat dan agensi.

Namun segalanya berubah sejak wabak Covid-19 melanda, arahan sekatan pergerakan penuh memaksanya menutup kedai dan kembali mengusaha perniagaan di rumah sejak awal tahun lalu.

Tidak sampai hati untuk memberhentikan tiga pekerja, Mariam dan suami memutuskan untuk terus mengupah mereka dengan mengambil tempahan pakaian seragam seperti jubah imam dan peguam.

Memasarkan secara dalam talian. Pemilik jenama Qabilah Design ini menarik pelanggan dengan mempromosi di Shopee, Instagram (qabilahtailor.official) dan Facebook (Qabilah Tailor).

Kini bukan sahaja keuntungan lima angka sukar dicapai malah untuk meraih RM2,000 pun sukar. Kasihan dengan nasib pekerjanya, beliau dan suami tekad teruskan perniagaan dan menampung apa yang termampu.

Cadang Kerajaan Negeri melanjutkan moratorium pinjaman

Menurut Mariam, dia yang membuat pinjaman modal berjumlah RM30,000 amat berharap Kerajaan Negeri melanjutkan lagi tempoh bayaran moratorium itu.

“Sebelum ini saya bayar hampir RM300 setiap minggu. Namun, dengan keadaan pandemik ditambah dengan kurang tempahan, saya tidak rasa boleh untuk membayar hutang itu mengikut jadual.

“Kami harap Kerajaan Negeri dan Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) boleh melanjutkan inisiatif ini sekurang-kurangnya dapat kurangkan beban kami sebagai peniaga,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Pada 24 Julai lalu, EXCO Pembangunan Usahawan Rodziah Ismail memaklumkan moratorium bayaran pinjaman secara automatik kepada semua peminjam Hijrah dijangka dilanjutkan enam minggu lagi.

Menurut Rodziah, tempoh akhir moratorium itu yang sepatutnya sehingga hujung bulan ini wajar dipertimbangkan berikutan masih ramai peminjam yang masih terjejas pendapatan akibat Covid-19.

Pada 9 Jun, Dato’ Menteri Besar mengumumkan seramai 40,000 usahawan Hijrah diberi moratorium bayaran pinjaman selama satu setengah bulan menerusi Pakej Kita Selangor 2.0 membabitkan impak kewangan berjumlah RM11.35 juta.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata peruntukan tambahan berjumlah RM80 juta turut disalurkan bagi membantu 8,000 usahawan melalui modal awalan yang dikhususkan kepada individu hilang kerja akibat PKP.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Moratorium pinjaman Hijrah dijangka dilanjut enam minggu lagi

SHAH ALAM, 24 JULAI: Moratorium bayaran pinjaman secara automatik kepada semua peminjam Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) dijangka dilanjutkan enam minggu lagi.

EXCO Pembangunan Usahawan Rodziah Ismail berkata inisiatif itu wajar dipertimbangkan berikutan masih ramai peminjam yang masih terjejas pendapatan akibat Covid-19.

“Jika diikutkan, tarikh tamat penangguhan bayaran pinjaman pada akhir bulan ini, jadi kita akan beri sedikit kelonggaran dan angkat semula (cadangan penangguhan) mungkin enam minggu.

“Trend jangkitan Covid-19 sekarang semakin membimbangkan dan saya yakin walaupun peniaga sudah diberi ruang vaksin namun ekonomi bukan boleh pulih sekelip mata,” katanya.

Beliau ditemui ketika meninjau program Selvax Komuniti Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Tiga di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Hotel De’ Palma Seksyen 19 semalam.

Sementara itu, Rodziah berkata Hijrah berjaya menyediakan pembiayaan lebih RM80 juta kepada peniaga sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 hingga 3.0 meskipun tidak dapat membuat kutipan pinjaman.

“Kerajaan Negeri ingin melihat mereka terus berniaga, sekiranya ada masalah modal ini peluang untuk mereka buat pinjaman tambahan,” katanya lagi.

Pada 9 Jun, Dato’ Menteri Besar mengumumkan seramai 40,000 usahawan Hijrah diberi moratorium bayaran pinjaman selama satu setengah bulan menerusi Pakej Kita Selangor 2.0 membabitkan impak kewangan berjumlah RM11.35 juta.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata peruntukan tambahan berjumlah RM80 juta turut disalurkan bagi membantu 8,000 usahawan melalui modal awalan yang dikhususkan kepada individu hilang kerja akibat PKP.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB: Lebih 2,000 penyewa aset PBT terjejas PKP dapat moratorium

SHAH ALAM, 8 JULAI: Kerajaan Negeri meluluskan pemberian moratorium kepada penyewa aset pihak berkuasa tempatan (PBT) yang tidak dapat beroperasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata penangguhan bayaran itu dijangka dapat memberi manfaat kepada lebih 2,000 penyewa aset PBT seperti gerai.

“Keputusan pemberian moratorium ini baru diluluskan dalam mesyuarat Kerajaan Negeri hari ini (7 Julai). Moratorium bagi bulan Jun dan Julai diberikan kepada penyewa dan tidak ada dalam Pakej Kita Selangor 2.0.

“Ini menunjukkan Kerajaan Negeri sentiasa perbaiki dan mendengar keperluan orang ramai serta kalau ada kemampuan pasti dilaksanakan,” katanya pada ruang bicara di Facebook Bernama TV malam tadi.

Pada 9 Jun, Amirudin mengumumkan seramai 40,000 usahawan Hijrah diberikan moratorium bayaran pinjaman selama satu setengah bulan di bawah Pakej Kita Selangor 2.0.

Inisiatif yang memberi impak kewangan berjumlah RM11.35 juta disalurkan susulan Kerajaan Negeri memahami kesukaran golongan itu akibat pelaksanaan PKP yang menjejaskan perniagaan dan gangguan aliran tunai.

Categories
AGENDA NASIONAL

Moratorium: Tiada faedah terkompaun, caj lewat bayar

PUTRAJAYA, 29 JUN: Bank tidak akan mengenakan faedah terkompaun dan caj penalti lewat bayaran bagi moratorium enam bulan di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih), kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Ketika menegaskannya, beliau berkata kerajaan membangkitkan perkara itu dan telah mendapat persetujuan bank-bank dalam pertemuan mereka baru-baru ini.

“Buat laporan serta aduan sekiranya pihak bank bertindak menaikkan faedah terkompaun serta caj penalti (ke atas moratorium itu),” katanya pada sidang media hari ini.

Semalam, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan kemudahan moratorium enam bulan yang diberikan kepada semua peminjam individu yang melibatkan semua peringkat pendapatan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Moratorium automatik enam bulan kepada semua peminjam

SHAH ALAM, 28 JUN: Kerajaan melaksanakan semula moratorium pinjaman bank selama enam bulan kepada semua peminjam tanpa mengenakan sebarang syarat, kata perdana menteri.

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata inisiatif diluluskan secara automatik itu diberikan kepada semua golongan B40, M40, T20, dan usahawan mikro yang terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Tiada lagi syarat seperti pengurangan pendapatan, kehilangan kerja dan dokumentasi perlu dikemukakan untuk memohon.

“Permohonan mulai 7 Julai dan pemohon hanya perlu menandatangani perjanjian pindaan syarat-syarat pinjaman,” katanya ketika mengumumkan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) hari ini.

Bagaimanapun perdana menteri berkata permohonan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tertakluk kepada semakan dan kelulusan pihak bank.

Senarai penangguhan bayaran balik pinjaman lain:

1. Pemberian moratarium bersasar selama tiga bulan kepada peminjam PTPTN.

2. Penangguhan bayaran balik pinjaman JPA dan bayaran tuntutan ganti rugi penerima biasiswa Persekutuan selama enam bulan.

3. Penangguhan bayaran pinjaman pelajaran Mara untuk tiga bulan atau penjadualan bayaran pinjaman dengan ansuran serendah RM100 selama 12 bulan.

4. Penangguhan bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK) selama tiga bulan.

 

Categories
AGENDA SELANGOR

Pelanggan batal tempahan jubah konvokesyen, pendapatan tukang jahit terjejas

SHAH ALAM, 18 JUN: Pandemik Covid-19 yang melanda negara hingga pelbagai peraturan diperketat seperti larangan perhimpunan beramai-ramai memberi kesan kepada perniagaan seorang tukang jahit jubah konvokesyen.

Mariam Hassan, 41, berkata tempahan berkurangan selain dibatal pelanggan menjejaskan pendapatan bulanan yang kebiasaan mencecah RM50,000 kini hanya sekitar RM15,000.

“Sejak tahun lalu perniagaan terjejas, namun paling ketara selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 awal tahun ini, orang dengar nak PKP terus berhenti tempah.

“Pendapatan terjejas sampai gaji tiga orang pekerja mampu bayar separuh sahaja, namun saya syukur mereka faham situasi yang sedang dialami,” kata pemilik Qabilah Tailor itu ketika dihubungi.

Mariam yang dibantu Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) berkata dalam situasi terdesak ketika ini juga dia masih perlu membayar secara penuh sewa kedai kerana pemilik masih mengekalkan kadar sama.

“Saya bersyukur kerana beban berkurangan melalui pemberian moratorium seperti yang diumum Pakej Kita Selangor 2.0. Sekurang-kurangnya boleh digunakan untuk kelangsungan perniagaan,” katanya.

Sementara itu ditanya mengenai usaha yang dilakukannya bagi memastikan perniagaan terus bertahan, katanya kini 100 peratus kaedah jualan atas talian digunakan terutama melalui Shopee.

“Ada jubah yang disewa pelanggan, ada yang beli kerana mahu merakam gambar kenangan memakainya  bersama keluarga,” katanya yang turut membuat jubah peguam.