Categories
SUKANKINI

FMLLP dan 14 penganjur meterai perjanjian sertai Liga M5

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 25 MAC: Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) bersama 14 penganjur liga komuniti dan sosial memeterai perjanjian bagi menyertai Liga Malaysia Divisyen 5 (Liga M5) untuk musim 2018.

Satu majlis menandatangani perjanjian diadakan semalam di Hotel Forest City, Johor yang disaksikan Tunku Putera Johor, YAM Tunku Abu Bakar Iman Ibni Sultan Ibrahim.

Ketua Pegawai Eksekutif FMLLP, Kevin Ramalingam, berkata kewujudan Liga M4 dan M5 ini selaras dengan misi dan visi DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim selaku Tunku Pengerusi FMLLP yang mahukan bola sepak dikembalikan kepada rakyat kerana bola sepak Malaysia kini menjadi inklusif dan bukan eksklusif.

“Pembangunan Liga M4 & M5 ini, kita menyasarkan hala tuju bagi liga negeri dan liga sosial dalam bola sepak Malaysia. Perancangan 10 tahun ini dapat meningkatkan penglibatan pemain amatur serta meningkatkan tahap prestasi mereka.

“Sasaran kami juga, pasukan-pasukan Liga M5 ini dapat dipromosikan ke Liga M4, Piala FAM, 100PLUS Liga Premier Malaysia dan seterusnya ke unifi Liga Super Malaysia.” katanya.

Sebanyak 14 penganjur liga yang akan menyertai Liga M5, sembilan daripadanya dari sekitar Lembah Klang manakala dua dari Terengganu dan satu dari Johor, Melaka dan Pahang.

Katanya, banyak lagi pasukan bolasepak akan wujud dan ini akan memberi peluang kepada lebih ramai pemain dan rakyat secara amnya yang boleh terlibat dalam bola sepak di Malaysia.

 

Senarai 14 Penganjur menyertai Liga M5:

1. DD League (Cheras, Kuala Lumpur)
2. Liga Komuniti Puchong (Puchong, Kuala Lumpur)
3. Shah Alam League (Klang, Selangor)
4. Subang Football League (Subang, Selangor)
5. Sunrize Community League (Sungai Buloh, Selangor)
6. Klang Valley League (Shah Alam, Selangor)
7. Liga PBKL DIV 1 (Kuala Lumpur)
8. South Selangor League (Shah Alam, Selangor)
9. Selangor Social Premier League (Shah Alam, Selangor)
10. Melaka Div 1 – Melaka FA (Melaka)
11. Pahang Div 1 – Pahang FA (Pahang)
12. Piala Sultan – Johor FA (Johor)
13. Liga PBSNT – Terengganu FA (Terengganu)
14. Terengganu Amateur League (Terengganu)

Categories
SUKANKINI

MyMotor rakan rasmi FMLLP jaya Liga M

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 24 MAC: Portal atas talian, MyMotor, menjalin kerjasama dengan Perkongsian Terhad Liabiliti Bolasepak Malaysia (FMLLP) sebagai rakan rasmi Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

FMLLP dalam kenyataan memaklumkan, portal bagi penjualan kenderaan itu akan berganding bahu menjayakan empat pertandigan Liga M iaitu unifi Liga Super, 100PLUS Liga Perdana, Shopee PIALA FA dan unifi Piala Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif MyMotor, Justin Cheah, berkata pihaknya teruja menjadi rakan rasmi bagi pertandingan utama dalam arena bola sepak tempatan.

“Bola sepak adalah sukan yang tiada sempadan di mana semua kaum dan agama akan bersatu untuk menyokong pasukan kesayangan mereka.

“Dengan lebih 2.5 juta peminat menonton bola sepak samada di stadium, mahupun perlawanan disiarkan di TV3, TV9, unifiTV dan iflix, kita pasti ini adalah salah satu sukan sentiasa menarik perhatian ramai rakyat Malaysia.

“Dengan pengurusan FMLLP kini diterajui Tunku Ismail Sultan Ibrahim, MyMotor menyokong sepenuhnya untuk mengubah wajah bola sepak Malaysia dengan pendekatan yang berwawasan ke arah kemajuan,” katanya.

Beliau berkata, MyMotor gembira dapat bekerja rapat dengan FMLLP dalam membawa perubahan positif serta inovasi kepada salah satu daripada sukan kegemaran negara ini.

MyMotor adalah platform atas talian yang menghubungkan pembeli dan penjual kenderaan serta disokong penyedia perkhidmatan e-Kerajaan Malaysia EG Services Berhad (MYEG).

Orang ramai boleh melayari laman sesawangnya di https://www.mymotor.my

 

=EZY=

Categories
SUKANKINI

FMLLP: Geran tahunan dibayar Rabu, 10 pasukan terlepas bayaran penuh

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 12 MAC: 10 pasukan yang didenda antara RM500,000 hingga RM1.5 juta bakal terlepas geran tahunan penuh yang akan mula diberikan Rabu ini selepas Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) memutuskan untuk melakukan pemotongan terus.

Ketua Pegawai Eksekutif FMLLP, Kevin Ramalingam berkata, tindakan itu diambil susulan kegagalan pasukan berkenaan melengkapkan pendaftaran musim ini.

“Duit geran tahunan akan diberikan kepada pasukan Liga Super dan Liga Perdana Rabu ini tetapi kami akan memotong jumlah bayaran mengikut jumlah denda masing-masing.

“Contohnya Selangor yang bermain dalam Liga Super sepatutunya mendapat RM3 juta geran tahunan tetapi hanya mendapat RM1.5 juta selepas ditolak duit denda.

“Bagaimanapun kami akan memulangkan semula geran tahunan itu jika jumlah denda dikurangkan selepas rayuan dibuat,” katanya yang dipetik Harian Metro.

Beliau berkata, rayuan kesemua pasukan akan diputuskan Ahli Lembaga Pengarah FMLLP dan berharap keputusan boleh diketahui sebelum kongres FMLLP 25 Mac ini.

Sebelum ini FMLLP mengumumkan 10 pasukan yang gagal menghantar dokumen berdasarkan tarikh ditetapkan adalah Kelantan, Kuala Lumpur, PKNS dan Selangor untuk Liga Super.

Manakala untuk Liga Premier pula melibatkan Kuantan FA, MIFA, Pulau Pinang, PDRM, Sarawak dan UKM FC.

=EZY=

Categories
SUKANKINI

Denda RM1.5 juta gagal daftar Liga Malaysia

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 8 MAC: Perkongsian Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) mengenakan denda sebanyak RM1.5 juta ke atas pasukan Liga Super yang gagal dan lewat melengkapkan dokumen pendaftaran Liga Malaysia.

FMLLP dalam kenyataannya berkata, pasukan 100PLUS Liga Premier yang gagal dan lewat melengkapkan dokumen pula akan dikenakan denda sebanyak RM 500,000.

Manakala hukuman sekatan perpindahan pula, hanya pasukan yang gagal melengkapkan dokumen pendaftaran sahaja akan dikenakan hukuman tersebut sehingga segala dokumen telah lengkap dan selesai.

“Bagi hukuman pemotongan mata, sebanyak 6 mata akan dipotong bagi pasukan yang gagal melengkapkan dokumen, manakala sebanyak 3 mata pemotongan bagi pasukan yang lewat melengkapkan dokumen.

“Namun, pemotongan mata tersebut merupakan hukuman tertangguh yang akan dilaksanakan jika pasukan terbabit melakukan apa-apa kesalahan mengikut Manual Liga Malaysia 2018 dan peraturan ditetapkan FMLLP dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bermula dari sekarang sehingga 31 Disember iaitu pada waktu pendaftaran untuk musim 2019,” katanya.

FMLLP sebelum ini pernah melanjutkan tarikh penghantaran dokumen sebanyak dua kali selepas tarikh asal pada 29 Disember 2017 iaitu pada 14 Januari dan kemudian 3 Februari lalu.

Terdapat 10 pasukan yang boleh dikenakan hukuman antaranya enam daripada pasukan yang lewat melengkapkan dokumen iaitu pasukan MIFA, UKM FC, Selangor, PKNS FC, PDRM dan Kuala Lumpur manakala baki empat pasukan lagi adalah yang gagal melengkapkan dokumen iaitu pasukan Kelantan, Kuantan FA, Sarawak dan Pulau Pinang.

FMLLP masih mengamalkan semangat kerjasama bersama pasukan dan atas nasihat Tunku Pengerusi serta dipersetujui oleh Lembaga Pengarah FMLLP, peluang diberi kepada semua pasukan untuk tidak dipotong mata serta merta tetap sebagai satu pengajaran kepada pasukan untuk lebih efisien pada masa akan datang.

Kesemua pasukan terbabit diberi masa 14 hari bagi membuat rayuan bagi pengurangan hukuman tersebut.

=EZY=

Categories
SUKANKINI

FMLLP sokong kenyataan TMJ isu pendaftaran pasukan

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 20 FEB: Sekretariat Perkongsian Terhad Liabiliti Bola Sepak Malaysia (FMLLP) menyokong kenyataan Pengerusinya, Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, berhubung isu dokumentasi dan pendaftaran membabitkan beberapa pasukan dalam Liga Malaysia (Liga M).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kevin Ramalingam, berkata tidak wujud perbalahan di antara pihaknya bersama Tunku Ismail berkaitan perkara itu dan kenyataan dikeluarkan adalah kekecewaan akan situasi bola sepak negara.

“Sekretariat FMLLP menyokong penuh kepimpinan Tunku dan kenyataan baginda adalah kekecewaan yang wujud hasil dari persepsi sesetengah pihak menunding jari kepadanya setiap kali wujud situasi di mana sesuatu hukuman bakal dilakukan,” katanya dalam kenyataan.

Sebelum ini, FMLLP mahu mengenakan potongan mata dan hukuman kepada persatuan bola sepak tidak melengkapkan dokumen pendaftaran pasukan yang bertanding dalam Liga M.

Beliau berkata, kekecewaan itu kerana baginda bekerja keras memastikan liga dan setiap pasukan terjamin untuk jangka masa panjang dengan pelaburan berjaya diperolehi serta secara realiti harapan semua di dalam Liga M mahu melihat kemajuan dari segi profesionalisme.

“Bola sepak Malaysia sudah berada di landasan betul, pelaburan yang sudah mula masuk dengan nilai lumayan.

“Adakah pihak berkaitan tahu mereka sedang menghalang kemajuan dengan mengeluarkan kenyataan bijak pandai mereka yang serba tahu bukan sahaja mengenai pengurusan FA dan liga malah Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan Gabungan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA),” katanya.

Dalam kenyataan, Tunku Ismail meluahkan kekecewaan dan berpandangan FMLLP tidak perlu mengambil tindakan sedemikian serta membiarkan sahaja penaja melihat sendiri kenapa liga bola sepak negara tidak boleh berkembang.

Pasukan yang gagal melengkapkan dokumen pendaftaran mengikut tarikh ditetapkan ialah dua pasukan Liga Super iaitu Kelantan dan Kuala Lumpur serta empat pasukan Liga Perdana, Sarawak, Pulau Pinang, Kuantan FA dan PDRM.

Dua pasukan Liga Super pula, Selangor dan PKNS FC juga MIFA dan UKM FC (Liga Perdana) melengkapkan proses pendaftaran melepasi 3 Februari lalu.

FMLLP melanjutkan tarikh penghantaran dokumen sebanyak dua kali selepas tarikh asal pada 29 Disember 2017 iaitu pada 14 Januari dan kemudian 3 Februari lalu.

=EZY=

Categories
SUKANKINI

FMLLP: Lengkap daftar pemain, jendela perpindahan ditutup

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 11 FEB: Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) menetapkan jendela perpindahan untuk Liga Malaysia (Liga M) 2018 akan ditutup hari ini.

Sehubungan itu, FMLLP mengingatkan semua pasukan mengemas kini pendaftaran pemain agar pemain dalam pasukan dapat disenaraikan bagi menghadapi perlawanan liga.

“Jendela perpindahan pertama musim 2018 akan berakhir dengan tempoh diberikan selama 12 minggu bermula dari 20 November 2017 hingga hari ini akan ditutup secara rasmi pada jam 11.59 malam.

“Kegagalan pasukan melengkapkan proses pendaftaran mengikut masa ditetapkan akan menyebabkan pemain tidak layak didaftarkan di dalam Liga M 2018,” katanya dalam kenyataan.

FMLLP memaklumkan jendela perpindahan kedua akan dibuka semula pada 14 Mei hingga 10 Jun nanti.

=EZY=

Categories
SUKANKINI

Patuh peraturan, elak potongan mata

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 10 FEB: Perkongsian Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) mengingatkan semua pasukan Liga Malaysia (Liga M) musim ini melengkapkan dokumen pendaftaran dan mengatasi masalah pembayaran gaji pemain bagi mengelak pemotongan mata.

FMLLP berkata, peringatan itu diberi berulang kali dan pihaknya berharap tindakan terhadap empat pasukan, pada musim lalu tidak berlaku tahun ini.

“Harapan kita untuk tidak mengulangi hukuman sebegini tetapi pasukan harus memberi kerjasama melengkapkan dokumen serta menjelaskan gaji pemain, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) jika ada tunggakan sebelum 31 Mac ini.

“Masih ada pasukan yang tidak melakukannya dan ada yang langsung tidak menghantar dokumen itu walaupun notis serta peringatan dikeluarkan secara bertulis juga melalui telefon,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, perkara itu bukan sesuatu yang baru dan termaktub dalam undang-undang bola sepak sejak sekian lama, selain dibuat sebagai batas pasukan daripada melakukan kesalahan.

Justeru, FMLLP berharap pihaknya tidak dipersalahkan lagi jika tindakan diambil ke atas pasukan yang gagal berbuat demikian.

“Adakah kita ingin menyokong usaha pihak yang menghalang kemajuan industri bola sepak tempatan secara keseluruhan atas perbuatan memberi imej negatif, mengendahkan peraturan, salah urus kewangan serta menguruskan pasukan tanpa perancangan dan integriti?” soalnya.

Katanya, lebih menyedihkan apabila momentum pemain turut terjejas ekoran hukuman dikenakan kepada pasukan dan menimbulkan rasa marah penyokong kepada FMLLP, seolah hukuman hanya perlu ditanggung pengurusan.

Musim lalu, Kelantan dan T-Team yang beraksi dalam Liga Super serta Perlis dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) (Liga Perdana) dikenakan hukuman pemotongan mata kerana tidak melunaskan tunggakan gaji pemain, juga gagal melengkapkan dokumen pendaftaran, pada tarikh akhir Disember 2016.