Categories
SELANGOR SUKANKINI

Tiket percuma sempena FAS Ladies Night, hargai penyokong wanita

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 15 APRIL: Peningkatan ketara pembabitan wanita dalam arena sukan bola sepak tempatan mendorong Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) menganjurkan ‘FAS Ladies Night’, esok.

FAS melalui entri terbaharu di laman sesawang memaklumkan, pihaknya akan memberi kemasukan percuma untuk golongan terbabit bagi menonton perlawanan Piala FA menentang Felda United.

Katanya, FAS Ladies Night atau sinonim dengan gelaran ‘Malam Beli Jiwa’ itu bagi menghargai penyokong wanita terhadap skuad gergasi merah di luar sana selain menarik lebih ramai peminat wanita untuk turun ke Stadium Shah Alam.

“Terdapat beberapa langkah mudah yang perlu penyokong kami lakukan untuk menikmati faedah ini. Pertama, anda perlu memuat naik gambar anda di Instagram, Facebook atauTwitter dan tag @faselangor berserta hashtag #FASBeliJiwa.

“Kemudian anda hanya perlu menunjukkan bukti gambar anda sudah dimuat naik kepada petugas yang memeriksa tiket dan selepas itu anda akan dibenarkan masuk,” katanya.

Selain kemasukan percuma, FAS juga akan mengadakan ‘Jersey Giveaway’ khas untuk penyokong wanita selepas FA Ladies Night.

Peminat bola sepak di seluruh dunia mula memberikan tumpuan terhadap sukan bola sepak wanita seperti Piala Dunia Wanita dan Liga Juara-Juara Eropah Wanita.

Mulai 2015, gergasi besar pembuatan permainan video, EA Sport menyertakan pasukan wanita turut tersenarai dalam permainan FIFA 16 sebagai simbolik kapada sokongan mereka kepada bola sepak wanita.

Categories
GLOBAL SUKANKINI

Liverpool terima kekalahan pertama liga di tangan City

MANCHESTER, 4 JAN: Liverpool menerima kekalahan pertama dalam Liga Perdana musim ini apabila dibenam Manchester City, sekali gus menghidupkan peluang pasukan itu mempertahankan gelaran selepas kejayaan 2-1, di Etihad, sebentar tadi.

Gambar: AFP

Empat mata perbezaan antara City dengan skuad kendalian Jurgen Klopp hasil jaringan kemenangan Leroy Sane 18 minit sebelum tamat perlawanan selepas Roberto Firmino menyamakan jaringan Sergio Aguero, pada babak pertama buat tuan rumah.

Aguero membuka tirai jaringan buat tuan rumah pada minit ke-40, sebelum Firmino mengikat kedudukan pada minit ke-64, namun Sane muncul wira City apabila meledak gol kemenangan pada minit ke-72.

Sembilan kemenangan berturut-turut memberikan Liverpool kelebihan di persada liga ketika mereka bersedia menghampiri gelaran pertama sejak 1989/90 terutama selepas City mengalami kekalahan berturut-turut di tangan Crystal Palace dan Leicester, sebelum memulakan musim perayaan, memetik Berita Harian Online.

Nasib Liverpool masih bergantung kepada keupayaan mereka sendiri dan kini pasukan itu berdepan tekanan City yang mencipta gelaran dengan rekod 100 mata, musim lalu.

Bagaimanapun, Liverpool tampak lebih menyerlah pada babak permulaan walaupun City dilihat mendominasi pertembungan itu.

Liverpool masih kekal di puncak liga dengan meraih 54 mata selepas mengharungi 21 perlawanan, City di tangga kedua (50) dan Spurs (48).

Categories
SUKANKINI

MFL keluarkan kalender awal musim bagi 2019, 2020

KUALA LUMPUR, 23 DIS: Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) buat julung kalinya mengeluarkan kalendar pertandingan untuk dua musim iaitu tahun 2019 dan 2020, berbanding hanya satu tahun sahaja seperti tahun-tahun sebelum ini.

MFL dalam satu kenyataan memaklumkan pengedaran kalendar untuk dua tahun berkenaan dibuat bagi memudahkan perancangan dan persediaan awal pasukan-pasukan yang bertanding dalam Liga Malaysia untuk jangka masa panjang.

Selain itu, pengedaran kalendar berkenaan dapat membantu pasukan bertanding membuat persediaan awal dalam menyediakan dokumen-​​​​​​​dokumen pendaftaran, perancangan penggunaan stadium, persediaan bagi jendela perpindahan ​​​​​​​pemain, aktiviti komersial dan promosi pasukan.

MFL turut memaklumkan mereka akan mengedarkan kalendar bagi tahun 2021 pada penghujung musim 2019 bagi memudahkan pasukan bertanding dalam Liga Malaysia dapat membuat perancangan bagi setiap dua tahun akan datang.

“Pengedaran kalendar ​​​​​​​bagi jangka masa panjang ini dapat memudahkan kepada penaja dan juga bakal penaja yang berpotensi tinggi untuk merancang lebih awal sekali gus meningkatkan nilai bagi kesemua pertandingan,” jelas MFL.

Berdasarkan kalendar yang dikeluarkan MFL, kebanyakan perlawanan Liga Malaysia 2019 akan diadakan pada hujung minggu bagi memudahkan penyokong untuk hadir ke stadium bagi memberi sokongan kepada pasukan masing-masing.

Selain itu, aksi final Piala FA 2019 akan diadakan selepas tamat saingan Liga Malaysia, namun sebelum bermulanya saingan Piala Malaysia.

Saingan Liga Premier dan Super 2019 bakal membuka tirai pada 1 Feb depan.​​​​​​​

Kalendar berkenaan, jelas MFL, telah dimuktamadkan setelah mereka mengadakan perbincangan bersama pengurusan pasukan kebangsaan, sekaligus memberi masa mencukupi bagi barisan kejurulatihan kebangsaan untuk membuat panggilan latihan semasa ‘FIFA days.’

SUMBER: BERNAMA

 

Categories
SELANGOR

MB main bola sepak, santuni anak muda

OLEH HAFIZAN TAIB

SEPANG, 15 SEPT: Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari meluangkan masa mengetuai pasukan Pilihan MB menentang Belia Kampung Bukit Bangkong dalam perlawanan persahabatan bola sepak, sempena Jelajah Maju Bersama ke daerah Sepang, semalam.

Ternyata jadual padat dalam program lawatan itu bukan penghalang untuk Amirudin turun bersama pasukannya menyantuni anak muda di kampung berkenaan dalam perlawanan di padang Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Rawang, di sini.

Pilihan MB turut disertai Setiausaha Politik Menteri Besar merangkap Ahli Dewan Negeri (ADN) Tanjung Sepat, Borhan Aman Shah; ADN Dengkil, Adhif Syan Abdullah dan Timbalan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sepang, Muhammad Hafiz Shaari.

Bagaimanapun pasukan itu terpaksa akur dengan kekalahan 2-5.

Namun, keputusan perlawanan tidak menjadi ukuran dengan matlamat utama menjalin hubungan akrab antara Dato’ Menteri Besar dan pimpinan Kerajaan Negeri bersama masyarakat tempatan.

Categories
GLOBAL SUKANKINI

Ronaldo, Modric dan Salah calon Pemain Terbaik Lelaki UEFA 2017/18

OLEH AFIX REDZUAN

GLOBAL, 21 OGOS: Kesatuan Persatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) mengumumkan Cristiano Ronaldo, Luka Modric dan Mohamed Salah sebagai tiga calon Pemain Terbaik Lelaki UEFA 2017/18.

Pengumuman itu dibuat UEFA semalam menerusi kenyataan yang dimuat naik ke laman www.uefa.com dan pemenang bakal diumumkan bersama Pemain Terbaik Wanita UEFA 2017/18 serta kategori lain sempena undian peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Eropah, pada 30 Ogos ini.

Luka Modric yang kekal bersama Real Madrid musim ini dipilih dalam senarai pendek selepas menjulang trofi Liga Juara-Juara musim lalu selain aksi cemerlang bersama Croatia, dalam kejohanan Piala Dunia Rusia 2018.

Beliau berjaya membawa Croatia mara ke perlawanan akhir sebelum tewas 2-4 kepada Perancis selain terpilih sebagai penerima anugerah FIFA Golden Ball.

Penyerang Portugal, Cristiano Ronaldo yang kini beraksi bersama Juventus di Serie A, Itali, terpilih apabila berjaya menjulang trofi Liga Juara-Juara buat kali kelima sepanjang karier dengan empat daripadanya menang bersama Real Madrid.

Lebih membanggakan, beliau menjadi penjaring terbanyak kempen Liga Juara-Juara untuk enam musim berturt-turut.

Sementara penyerang Liverpool, Mohamed Salah tersenarai dalam tiga calon pemain terbaik UEFA apabila mempamerkan prestasi cemerlang di peringkat domestik menerusi kemunculan musim pertama bersama The Reds.

Penyerang Mesir itu berjaya memenangi anugerah kasut emas Liga Perdana Inggeris dengan 32 gol dalam 36 penampilan.

Manakala dalam peringkat Liga Juara-Juara, Salah menghasilkan 10 gol dalam 13 perlawanan serta lima bantuan goal.

Berikut adalah senarai pendek pemain terbaik bagi kategori lain:

1) Penjaga Gol Terbaik Musim 2017/18: Alisson Becker, Gianluigi Buffon, Keylor Navas

2) Pertahanan Terbaik Musim 2017/18: Marcelo, Sergio Ramos, Raphaël Varane

3) Pemain Tengah Terbaik Musim 2017/18: Kevin De Bruyne, Toni Kroos, Luka Modric

4) Penyerang Terbaik Musim 2017/18: Lionel Messi, Cristiano Ronaldo, Mohamed Salah

5) Pemain Terbaik Wanita Tahunan: Pernille Harder, Ada Hegerberg, Amandine Henry

6) Pemain Terbaik Musim 2017/18 Piala Europa: Diego Godín, Antoine Griezmann, Dimitri Payet

 

Categories
SELANGOR SUKANKINI

SCL disokong, tingkat kualiti liga komuniti

OLEH HAFIZAN TAIB

BATU CAVES, 6 MEI: Kerajaan Negeri menyokong penganjuran Selangor Champions League (SCL) yang berjaya menghimpunkan kelab bola sepak dalam liga komuniti dan sosial di negeri itu.

Pengerusi Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS), Amirudin Shari berkata, SCL diilhamkan Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah, adalah inisiatif baik bagi kewujudan liga sedemikian rupa dengan kelab tersendiri.

“Ia sesuatu yang baik iaitu liga komuniti disertai banyak kelab yang diangkat martabatnya dan inisiatif Raja Muda Selangor memberi kesan positif dengan penyertaan kelab bola sepak yang mampu mendapat tajaan serta menghimpunkan penyokong mereka sendiri.

“Maka sebab itu, Kerajaan Negeri dan MSNS menyokong pembangunan SCL demi manfaat semua,” katanya selepas majlis pelancaran Akademik Bolasepak Merah Kuning (ABMK) di Padang Awam Kampung Baru Batu Caves, di sini, hari ini.

Exco Kerajaan Negeri itu berkata, SCL adalah salah satu kejohanan dengan tumpuan bagi melahirkan pemain bola sepak berkualiti di Selangor.

“Dengan adanya SCL, ABMK, program pembangunan bola sepak bawah 21 tahun dan yang lain termasuk pertandingan antaranya Piala Mokhtar Dahari dan Piala Raja Muda yang mana semuanya adalah usaha kita bagi tujuan sama,” katanya penyandang Dewan Undangan Negeri Sungai Tua itu.

=EZY=

Categories
SUKANKINI

Red Giants ‘dilumutkan’ Perak 0-3

OLEH HAFIZAN TAIB

LUMUT, 12 MAC: Perak mencatat kemenangan selesa 3 – 0 ketika berdepan Selangor dalam perlawanan Liga Super di Stadium TLDM, di sini, semalam.

Pasukan tuan rumah beraksi dengan yakin di gelanggang sendiri dan bermula baik melalui gerakan diatur bagi menggugat pertahanan lawan.

Beberapa percubaan dilancar ke kubu Selangor akhirnya memihak kepada Perak pada minit ke-21 hasil jaringan sendiri Ashmawi Yakin yang tertanduk bola ke dalam pintu gol sendiri.

Gol itu memberi keyakinan kepada skuad Mehmet Durakovic yang terus melancarkan serangan dan berhasil menambah jaringan menerusi Kenny Pallraj (m35).

The Bod Gaurus terus selesa meninggallkan The Red Giants dengan tiga gol apabila Gilmar Jose Da Silva mengambil giliran dengan satu tendangan kencang melepasi Khairul Azhan Khalid dalam masa tambahan babak pertama.

Memasuki separuh masa kedua, skuad P Maniam cuba bangkit dengan beberapa serangan dilancar dan peluang diperoleh melalui Joseph Kallang Tie (m63) tetapi berjaya dihalang pertahahan Perak.

Keadaan menjadi sukar buat Selangor apabila terpaksa berkais dengan sepuluh pemain selepas Willian Pacheco (m85) dilayangkan kad merah selepas menerima kad kuning kedua ekoran kekasaran ke atas Nasir Basharuddin.

Kekalahan itu adalah ketiga berturut-turut untuk Selangor dan kini turun ke tangga kelapan liga dengan enam mata manakala Perak keenam (tujuh).

Dalam satu lagi perlawanan, Melaka United menewaskan PKNP 2 – 0 di Stadium Hang Jebat dan melonjak pasukan itu ke tangga keempat (sembilan).

Kedua-dua gol pasukan tuan rumah dihasilkan penyerang import, Egor Zubovich.

=EZY=

Categories
SUKANKINI

Denda RM1.5 juta gagal daftar Liga Malaysia

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 8 MAC: Perkongsian Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) mengenakan denda sebanyak RM1.5 juta ke atas pasukan Liga Super yang gagal dan lewat melengkapkan dokumen pendaftaran Liga Malaysia.

FMLLP dalam kenyataannya berkata, pasukan 100PLUS Liga Premier yang gagal dan lewat melengkapkan dokumen pula akan dikenakan denda sebanyak RM 500,000.

Manakala hukuman sekatan perpindahan pula, hanya pasukan yang gagal melengkapkan dokumen pendaftaran sahaja akan dikenakan hukuman tersebut sehingga segala dokumen telah lengkap dan selesai.

“Bagi hukuman pemotongan mata, sebanyak 6 mata akan dipotong bagi pasukan yang gagal melengkapkan dokumen, manakala sebanyak 3 mata pemotongan bagi pasukan yang lewat melengkapkan dokumen.

“Namun, pemotongan mata tersebut merupakan hukuman tertangguh yang akan dilaksanakan jika pasukan terbabit melakukan apa-apa kesalahan mengikut Manual Liga Malaysia 2018 dan peraturan ditetapkan FMLLP dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bermula dari sekarang sehingga 31 Disember iaitu pada waktu pendaftaran untuk musim 2019,” katanya.

FMLLP sebelum ini pernah melanjutkan tarikh penghantaran dokumen sebanyak dua kali selepas tarikh asal pada 29 Disember 2017 iaitu pada 14 Januari dan kemudian 3 Februari lalu.

Terdapat 10 pasukan yang boleh dikenakan hukuman antaranya enam daripada pasukan yang lewat melengkapkan dokumen iaitu pasukan MIFA, UKM FC, Selangor, PKNS FC, PDRM dan Kuala Lumpur manakala baki empat pasukan lagi adalah yang gagal melengkapkan dokumen iaitu pasukan Kelantan, Kuantan FA, Sarawak dan Pulau Pinang.

FMLLP masih mengamalkan semangat kerjasama bersama pasukan dan atas nasihat Tunku Pengerusi serta dipersetujui oleh Lembaga Pengarah FMLLP, peluang diberi kepada semua pasukan untuk tidak dipotong mata serta merta tetap sebagai satu pengajaran kepada pasukan untuk lebih efisien pada masa akan datang.

Kesemua pasukan terbabit diberi masa 14 hari bagi membuat rayuan bagi pengurangan hukuman tersebut.

=EZY=

Categories
SUKANKINI

UEL: Pertembungan AC Milan-Arsenal bakal curi tumpuan

OLEH AFIX REDZUAN

EROPAH, 24 FEB: Undian peringkat kalah mati 16 pasukan terbaik Liga Europa (UEL) menyaksikan pertembungan epik dua gergasi Eropah, AC Milan dan Arsenal yang akan berentap mencari tempat ke suku akhir.

Kedua-dua pasukan pernah bertemu kali terakhir pada 2012 dalam aksi Liga Juara-Juara (UCL) yang memihak kepada Arsenal, 3-0.

Berdasarkan rekod enam pertemuan dalam perlawanan sejak Februari 1995, kedua-dua pasukan menang dua perlawanan sementara dua perlawanan lagi berakhir dengan keputusan seri tanpa jaringan.

AC Milan merekodkan kemenangan terbesar 4-0 terhadap The Gunners pada Februari 2012 manakala Arsenal membalasnya dengan keputusan 3-0 di laman sendiri menentang Rossoneri sebulan kemudian.

Lyon yang bakal menjadi tuan rumah untuk perlawanan akhir UEL musim ini dalam landasan terbaik untuk menjadi pasukan kedua memenangi kejuaraan di gelanggang sendiri apabila diundi bertemu CSKA Moskva.

Sebelum ini, Feyenoord pernah melakar sejarah menang di gelanggang sendiri pada 2002 selepas menewaskan Borussia Dortmund di Rotterdam tetapi sebaliknya berlaku kepada Sporting CP apabila tewas kepada CSKA Moskva di Lisbon tiga tahun kemudian.

Sementara juara sulung Piala Europa selepas penjenamaan semula dari Piala UEFA pada 2009, Atletico Madrid diundi bertemu satu lagi wakil dari Rusia, Lokomotiv Moskva.

Kesemua perlawanan peringkat pertama dijadualkan berlangsung 8 Mac dan pusingan kedua pada 15 Mac.

Kredit Foto: UEFA.com

Categories
SUKANKINI

Kejutan pasukan amatur, janji saingan menarik Piala FA

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 15 FEB: Beberapa kejutan dilakar pasukan liga amatur dan sosial dalam pusingan pertama Piala FA 2018, menjanjikan saingan menarik pada pusingan seterusnya.

Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) dalam kenyataannya berkata, dengan keputusan dicatat, tidak mustahil untuk pasukan dari liga berkenaan mampu melangkah jauh dalam kejohanan itu.

“Kemenangan ini membuktikan pasukan dari liga amatur dapat memberi saingan cukup hebat kepada pasukan liga profesional di negara ini.

“Ia satu perkembangan positif ditunjukkan pasukan dari liga amatur apabila mereka menggunakan peluang sepenuhnya diberikan FMLLP dengan menjadikan Piala FA 2018 sebagai batu loncatan ke arah kemajuan dan lebih berdaya saing.

“Selain hasrat mengembalikan bola sepak kepada rakyat, tujuan langkah ini diambil untuk merapatkan jurang persaingan liga amatur dan profesional supaya lebih banyak bakat baru dapat dicungkil dan diketengahkan sekali gus memberi perkembangan positif kepada bola sepak Malaysia,” katanya.

Pusingan pertama Piala FA 2018 mempertemukan pasukan dari Piala FAM dan Liga Komuniti / Sosial dan beberapa keputusan mengejut berlaku.

Pasukan Liga Sosial, Southern FC mengalahkan Selangor United dari Piala FAM 2 – 1 dan akan bertemu pasukan Liga Super, Melaka dalam pusingan kedua.

Juara Selangor Champions League 2017, Axis-O2 FC juga menempah tempat ke pusingan kedua menentang Kuantan FA dari Liga Perdana, selepas menewaskan SRCC Kuala Kangsar FC 4-1 (pusingan pertama).

Pusingan kedua Piala FA akan berlangsung pada 2 hingga 4 Mac ini.

#Media Selangor
#SelangorKini

Categories
NASIONAL SUKANKINI

Liga Perdana: TFC II, Sarawak kongsi mata

OLEH HAFIZAN TAIB

KUALA TERENGGANU, 6 FEB: Sarawak berjaya mencuri satu mata apabila seri 1-1 dengan Terengganu FC II (TFC II) dalam aksi Liga Perdana, di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, di sini, malam tadi.

Gol jaringan Bobby Gonzales pada minit akhir perlawanan menafikan kelebihan pasukan tuan rumah bagi mengutip mata penuh di hadapan penyokong sendiri.

TFC II bermula dengan garang apabila mendahului pasukan pelawat seawal minit pertama melalui Akanni Sunday Wasiu yang menolak bola tepat ke dalam gawang.

Kelebihan gol itu memberi keyakinan kepada skuad Mustaffa Kamal Abdul Wahab yang mengasak dengan beberapa percubaan bahaya ke pintu gol lawan dikawal Mohd Iqbal Suhaimi.

Mohd Iqbal juga menafikan percubaan pemain import TFC II dari Haiti, Sebastian Thuriere (m22) yang menyepak kencang dari luar kotak penalti.

Ketinggalan dengan satu gol, Sarawak menggandakan percubaan dalam separuh masa kedua melalui barisan penyerangnya.

TFC II nyata hampa apabila asakan berterusan pasukan kendalian Ian Gillan membawa padah dengan jaringan Bobby Gonzales pada minit akhir perlawanan untuk gol penyamaan.

Selepas dua perlawanan, Sarawak kini mendahului Liga Perdana dengan empat mata manakala TFC II menghuni tangga kesembilan (satu mata).

Categories
SUKANKINI

Keputusan perlawanan bola sepak: Bundesliga, Ligue 1, Serie A

BERLIN: Berikut keputusan perlawanan Bundesliga Jerman yang berlangsung,

Mainz 0 Bayern Munich 2 (Ribery, m33, James Rodriguez, m44)

Hertha Berlin 1 (Kalou, m58) Hoffenheim 1 (Kramaric, m39-pen)

Schalke 1 (Konoplyanka, m24) Werder Bremen 2 (Kruse, m79, Junuzovic, m90+3)

Wolfsburg 1 (Origi, m24) VfB Stuttgart 1 (Gomez, m60)

Freiburg 0 Bayer Leverkusen 0

 

Keputusan Ligue 1

PARIS: Berikut keputusan perlawanan Ligue 1 Perancis yang berlangsung, awal pagi tadi.

Lille 0 Paris Saint-Germain 3 (Berchiche, m45+1, Neymar, m77, Lo Celso, m87)

Amiens 0 Saint-Etienne 2 (Debuchy, m62, Cabella, m85)

Montpellier 2 (Lasne, m43, Mbenza, m71) Angers 1 (Toko Ekambi, m20-pen)

Nice 0 Toulouse 1 (Gradel, m67)

Strasbourg 0 Bordeaux 2 (Sankhare, m4, Laborde , m53)

 

Keputusan Serie A

MILAN: Berikut keputusan penuh perlawanan Serie A Itali yang berlangsung, awal pagi tadi.

Sampdoria 1 (Torreira, m11) Torino 1 (Acquah, m25)

Inter Milan 1 (Eder, m23) Crotone 1 (Barberis, m60)

Borussia Moenchengladbach 0 RB Leipzig 1 (Lookman, m89)

SUMBER: AFP