Categories
NASIONAL

Nurul Izzah Sedia Beri Kenyataan Jika Dipanggil Jais

KUALA LUMPUR, 6 NOV – Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar bersedia memberikan keterangan kepada Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) berhubung kenyataan beliau pada forum bertajuk ‘Islamic State: Which Version? Whose responsibility?’ sekiranya dipanggil berbuat demikian.

Dalam pada masa yang sama katanya, akhbar Utusan Malaysia juga perlu dipanggil bersama untuk membantu siasatan kerana bertindak memutarbelitkan kenyataan beliau.

“Ya, saya harap dia (Jais) panggil Utusan Malaysia sekali sebab dia keluarkan kenyataan fitnah akidah tersebut,” katanya di Lobi Parlimen.

Jelasnya lagi, beliau turut dinasihatkan oleh pihak peguam untuk tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung perkara berkenaan.

“Saya mengajak semua untuk merujuk kenyataan saya dalam blog dan saya dinasihatkan oleh peguam untuk tidak lagi membuat kenyataan kerana peguam saya akan mengambil tindakan seterusnya,” tambah Ahli Parlimen Lembah Pantai itu.

Semalam, muka depan Utusan Malaysia menyiarkan artikel bertajuk ‘Melayu Bebas Pilih Agama?’ dengan memetik laporan portal Malaysiakini berhubung kenyataan Izzah.

Memetik akhbar Sinar Harian hari ini, Pengarah Jais, Datuk Marzuki Hussin berkata, tindakan memanggil Nurul Izzah hanya akan diambil sekiranya pihak Jais menerima maklumat berhubung perkara tersebut bagi membantu siasatan.