Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Ringgit dibuka 4.1115/1165 berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR, 16 MAC: Ringgit tidak berubah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) bagi hari kedua berturut-turut ketika dibuka pada Selasa berikutan dagangan kekal lemah menjelang mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Rizab Persekutuan AS (FOMC) pada 16 dan 17 Mac.

Pada 9 pagi, unit tempatan berada pada 4.1115/1165 berbanding dolar AS daripada 4.1110/1160 ketika ditutup pada Isnin.

Ketua Pakar Strategi Pasaran Global, Axi, Stephen Innes berkata bagaimanapun ringgit telah disokong oleh langkah swap kadar faedah (IRS) oleh Bank Negara Malaysia (BNM) yang berkuat kuasa pada Isnin.

“Langkah bank pusat itu akan membolehkan pelabur melindungi nilai portfolio bon secara lebih baik, memandangkan akses bank-bank dalam negara kepada pasaran derivatif yang dibenarkan ini akan menambah mudah tunai yang amat diperlukan dalam pasaran IRS Malaysia,” katanya kepada Bernama.

Pada Rabu lepas, BNM mengumumkan bank bukan pemastautin boleh memperdagangkan IRS dalam denominasi ringgit tanpa sebarang komitmen asas dengan mana-mana bank tempatan dalam negara atau Pejabat Luar Negara Dilantik (AOO) mereka.

Innes berkata selain itu, langkah BNM tersebut akan turut menangani beberapa kebimbangan lindung nilai yang dialami pelabur asing.

Ini berikutan FTSE Russell dijangka mengeluarkan ulasan pendapatan tetap dua kali setahun pada 29 Mac, memandangkan Malaysia masih berada dalam situasi berwaspada bagi senarai dipantau untuk kemungkinan pengecualian, katanya.

“Saya berpandangan risiko yang lebih baik secara umum membantu ringgit,” katanya.

Pada awal dagangan, mata wang tempatan diniagakan tinggi berbanding mata wang utama lain.

Ringgit naik berbanding dengan dolar Singapura kepada 3.0548/0592 daripada 3.0558/0602 ketika ditutup pada Isnin dan meningkat berbanding dengan euro kepada 4.9017/9093 daripada 4.9028/9106.

Unit tempatan juga stabil berbanding dengan yen Jepun kepada 3.7630/7687 daripada 3.7678/7727 serta tinggi berbanding dengan pound Britain kepada 5.7080/7162 daripada 5.7274/7361.

– BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Ringgit diniaga tidak berubah 4.1660/1720, tumpuan data perdagangan

KUALA LUMPUR, 28 SEPT: Urus niaga ringgit tidak banyak berubah berbanding dolar AS ketika dibuka pagi ini terutamanya menjelang pengumuman data perdagangan untuk September hari ini.

Pada 9.02 pagi, mata wang tempatan disebut harga pada 4.1660/1720 berbanding mata wang dolar daripada 4.1650/1700 ketika ditutup pada Jumaat.

Ketua Strategi Pasaran Global AxiCorp Stephen Innes berkata penyebab kepada sebarang halangan terhadap ringgit ialah data perdagangan itu yang dijangka lemah memandangkan pertumbuhan eksport mungkin perlahan berikutan pengukuhan mata wang tempatan.

“Tetapi sekiranya ada kejutan positif, ia baik untuk ringgit,” kata beliau kepada Bernama.

Selain itu, beliau berkata para peniaga mungkin mengambil masa seminggu atau lebih untuk melupakan bahawa Malaysia masih kekal dalam senarai pemerhatian FTSE walaupun ini telah dijangkakan.

“Dalam pada itu, data keuntungan perindustrian China amat menggalakkan ketika diumumkan pada hujung minggu dan seharusnya dapat membantu ringgit. Tetapi aliran perdagangan masih lagi menunjukkan kebimbangan berkenaan risiko pilihan raya AS yang menyaksikan para peniaga membeli dolar dan perbendaharaan AS. Ini melibatkan sebahagian besar ringgit akhir-akhir ini,” tambah beliau.

Pada Julai, perdagangan Malaysia merosot 2.2 peratus kepada RM159.9 bilion berbanding bulan sama tahun lepas.

Eksport terus merekodkan pertumbuhan positif pada Julai 2020, meningkat 3.1 peratus tahun ke tahun kepada RM92.5 bilion, paling tinggi sejak November 2018. Sebaliknya, nilai import turun 8.7 peratus kepada RM67.4 bilion.

Berdasarkan perbandingan bulan ke bulan, jumlah dagangan mencatatkan pertumbuhan dua digit sebanyak 10.4 peratus.

Berbanding mata wang utama lain, ringgit diniagakan bercampur-campur.

Ia mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.0252/0307 daripada 3.0264/0307 pada Jumaat tetapi lemah berbanding yen kepada 3.9514/9583 daripada 3.9490/9549.

Mata wang tempatan lebih tinggi berbanding euro kepada 4.8396/8483 daripada 4.8489/8564 sebelumnya tetapi lebih rendah berbanding pound Britain kepada 5.3141/3226 daripada 5.3008/3088.

-BERNAMA