Categories
NASIONAL

NGO Lapor Polis Salah Guna Kuasa 20 Ahli MIC Termasuk Samy Vellu

PETALING JAYA 28 OGOS : Bekas orang nombor satu MIC, Datuk Seri S Samy Vellu antara yang dinamakan dalam laporan polis yang dibuat Persatuan Kebajikan dan Hak Rakyat (Power) berhubung salah guna kuasa dan penipuan dalam penganugerahan kontrak-kontrak di Universiti AIMST Sg Petani, Kedah.

Daripada 36 individu terbabit 20 mereka adalah ahli parti MIC.

Penganugerahan kontrak tanpa tender terbuka itu melibatkan Maju Institute of Educational Development (MIED) dan beberapa pemimpin MIC.

Pengerusi Power, S Gobi Krishnan berkata pihaknya membuat laporan polis itu selepas Samy Vellu yang merupakan individu penting dalam penubuhan dan urus tadbir institut itu gagal memberi penjelasan seperti yang diminta NGO tersebut.

Sebelum ini, Gobi mendedahkan beberapa bukti dan dokumen salah guna kuasa yang berlaku di dalam pengurusan AIMST yang turut melibatkan pemimpin MIC.

Antaranya, kontrak penyediaan makanan tanpa tender terbuka kepada Jaya Cafe Holdings Sdn Bhd yang dimiliki oleh Bendahari Pemuda MIC Kebangsaan, J Dhinagaran.

Selain itu, kontrak ICT bernilai RM40 juta yang dianugerahkan kepada Maika Intellectual Resources Sdn Bhd yang berkait rapat dengan Ketua Pemuda MIC Kebangsaan, T Mohan.

“Kontrak itu menyebabkan institut itu mengalami kerugian sebanyak RM4 juta sedangkan Maika Intellectual mendapat keuntungan atas angin disebabkan kerugian itu kerana menganugerahkan semula kontrak itu kepada sub kontrak yang lain,” katanya ketika ditemui selepas membuat laporan di Balai Polis Tropicana di sini jam 11 pagi tadi.

Penyelewengan itu turut melibatkan penganugerahan kontrak landskap kepada Syarikat Nova Blooms Sdn Bhd yang melibatkan sebanyak RM27 juta tanpa tender terbuka.

Selain itu, penganugerahan kontrak penyelenggaraan kawasan terbuka secara terus kepada Syarikat Classic Sparkle Sdn Bhd sehingga menyebabkan kerugian sebanyak RM374,400 setahun.

“Begitu juga dengan pinjaman mudah tanpa faedah sebanyak RM9 juta diberikan oleh Samy Vellu menggunakan akaun MIED kepada rakannya, Tan Sri Hari Narayanan tanpa kelulusan Lembaga Pemegang Amanah MIED,” katanya.

Gobi yang juga Setiausaha Biro Polisi dan Strategi Nasional PKR memaklumkan pihaknya akan mengambil tindakan susulan sekiranya polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak membuat siasatan terperinci selepas laporan dibuat.

Gobi juga menyerahkan beberapa dokumen bukti kepada polis yang diperolehi daripada Mahkamah Tinggi Malaysia.

20 ahli MIC antara 36 penama yang dilapor polis antaranya Samy Vellu selaku Pengerusi Lembaga Amanah MIED dan Pengerusi AIMST serta Tan Sri Dr T Marimuthu selaku Ahli Lembaga Pengarah MIED.

Bagi Ahli Lembaga Pengarah Amanah MIED ; Tan Sri G.Vadiveloo, Datuk Seri S.Subramaniam; Datuk S Veerasingam; Datuk Saravanan; Datuk T.Rajagopalu dan Datuk K.S Balakrishnan.

Manakala bagi Ahli Lembaga Pengarah Universiti AIMST melibatkan Datuk Dr Vasan Sinnadurai; V.Venkatramanan; K.Puniamurthy dan Prof Dr N.Rajendran.

Selain itu, T.Mohan; J.Dhinagaran; Prof Charles Smales; M.Sandrasekaran; Tan Sri Narayanan; Tan Sri Dr K.Ampikaipakan; Tan Sri M.Mahalingam; V.Chitrakala; S.Vell Paari; T.Arasu; Susila Vasoo; Heama Latha Renggasamy; Sandra Mogan Karuppiah dan S.Meandy.