Categories
NASIONAL

Denggi catat peningkatan 236% kematian hingga 16 Julai

Oleh: HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 24 JULAI: Kempen “Perangi Aedes Habis-Habisan” yang dilancarkan Kementerian Kesihatan (KKM) baru-baru ini membuktikan komitmen berterusan dalam usaha memerangi dan membanteras wabak penyakit itu daripada berleluasa.

Perkembangan terkini berkenaan kematian akibat denggi amat membimbangkan dengan 94 kematian dilaporkan di seluruh negara dari Januari hingga 16 Julai lalu apabila mencatatkan peningkatan 236 peratus berbanding 28 kematian dalam tempoh sama, pada tahun lalu.

Gempur Aedes 01Dalam tempoh itu, 49,948 kes denggi dilaporkan iaitu meningkat 35,542 kes atau 24 peratus berbanding 14,406 bagi tempoh sama pada tahun lalu.

Kementerian turut menyeru semua pihak supaya memandang serius akan peningkatan kes denggi yang semakin membimbangkan.

Dalam kenyataan akhbar, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam, berkata hasil Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Kebangsaan Mengenai Denggi 2014 dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, memutuskan beberapa tindakan untuk tujuan berkenaan, pada 14 Julai lalu.

“Antara tindakan berikut adalah untuk merangka pelan tindakan bersepadu yang lebih komprehensif membabitkan pelbagai kementerian dan agensi, yang mana KKM bertindak sebagai urusetia. Pelaksanaan Pelan Tindakan Bersepadu tertumpu kepada Lembah Klang terutama empat daerah di Selangor iaitu Petaling, Hulu Langat, Gombak dan Klang.

Aedes“Pelan ini juga akan dilaksanakan di daerah Seremban, Negeri Sembilan dan beberapa kawasan di Kuala Lumpur dan Putrajaya,” katanya.

Subramaniam berkata, KKM akan terus memainkan peranan penting mempergiat dan meningkatkan aktiviti pencegahan serta kawalan denggi. melalui kempen “Perangi Aedes Habis-Habisan”.

Antara tindakan yang akan dilaksanakan dalam Pelan Tindakan Bersepadu bersama pelbagai kementerian dan agensi adalah memperkukuhkan pelaporan dan cara mendiagnosa kes denggi dengan mengedarkan Dengue Clerking sheet kepada Pengamal Perubatan swasta di Lembah Klang.

Selain itu, dengan memperluaskan penggunaan kit kombo kepada klinik swasta dan mobilisasi pasukan kawalan denggi daripada daerah lain untuk membantu dalam menjalankan aktiviti kawalan denggi di Lembah Klang, yang mana 77 pasukan kawalan membabitkan 265 anggota dari daerah lain digerakkan untuk jangka masa dua bulan sehingga Ogos ini.

“Pelaksanaan pelan ini akan dipantau dengan rapi bagi memastikan ia dilaksanakan dengan berkensan untuk mengurangkan kes denggi dalam tempoh dua bulan ini,” katanya.

-NFN-

Categories
NASIONAL

Siling Hospital Serdang runtuh 4 kali, Subramaniam perlu beri penjelasan

Oleh : Mohd Ezli Mashut

SHAH ALAM 15 NOV : Menteri Kesihatan, Datuk Dr S Subramaniam diminta memberi penjelasan berkenaan keruntuhan siling Hospital Serdang sebanyak dua kali, dalam tempoh dua bulan.

Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching, berkata Subramaniam perlu memberi penjelasan yang munasabah bukan jaminan ‘kitar semula’ seperti yang dilakukan bekas menteri, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

teo nie ching red 01“Saya ingin tanya, apakah siasatan atau arahan yang sudah beliau jalankan selepas berlakunya keruntuhan siling kali ketiga, baru-baru ini,” katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Nie Ching berkata, Hospital Serdang yang menelan kos pembinaan RM690 juta itu dilaporkan berlaku keruntuhan siling, pada 30 September lalu.

Hospital berkenaan mula beroperasi sejak Disember 2005 dan berlaku keruntuhan siling sebanyak empat kali dalam tempoh lapan tahun.

Subramaniam pada sidang medianya berkata, abatan Kerja Raya (JKR) akan melakukan pemeriksaan menyeluruh ke atas struktur bangunan Hospital Serdang bagi memastikan keselamatan bangunan itu terjamin, pada 16 Oktober lalu.

“Tetapi, sebulan selepas beliau memberi jaminan itu, siling Hospital Serdang mengalami keruntuhan buat kali keempat, semalam.

“Adakah beliau sekadar memberi akujanji kosong atau tidak serius dan tidak tegas dalam melaksanakan tugasnya dalam membuat pemeriksaan secara terperinci serta menjalankan kerja penyelenggaran sewajarnya.

“Jika beliau tidak dapat memberi penjelasan yang memuaskan, saya akan memberi usul memotong gajinya di sidang Parlimen nanti,” katanya.

-NFN-

 

Categories
NASIONAL

Kenyataan palsu: Subramaniam akan diheret ke JK Disiplin Parlimen

Oleh : NORHAYATI UMOR

KUALA LUMPUR 13 NOV : Pakatan Rakyat (PR) akan mengheret bekas Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr S Subramaniam ke Jawatankuasa Disiplin Parlimen ekoran memberi kenyataan palsu berhubung pengiktirafan kepada persatuan internal yang diwujudkan Maybank.

abdullah sani 01Ahli Parlimen Kuala Langat, Abdullah Sani Abd Hamid, berkata lebih menghairankan apabila persatuan itu mudah diluluskan dalam tempoh enam hari berbanding persatuan kerja lain yang sudah lama memohon.

Beliau turut melahirkan rasa hairan punca kerajaan berbohong dalam isu pengiktirafan ‘in house union’ yang digelar sebagai MAYNEU dan memberikan beban.

“Perlu tahu kes mahkamah yang ditolak itu adalah kes teknikal dan bukan kerana merit. Apabila ke mahkamah rayuan, ia mengambil atas teknikal dan mahkamah memberi pandangan yang tidak menjurus kepada hak kesatuan,” katanya pada sidang media, di lobi Parlimen, di sini, hari ini.

Abdullah berkata PR juga tidak akan teragak-agak untuk mengetengahkan isu berkenaan di jawatankuasa parlimen bagi membela nasib pekerja.

“Saya akan bawa masalah ini ke peringkat jawatankuasa dan akan buat cadangan mengikut perbincangan kami di peringkat Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dan kita setuju untuk hadapkan menteri ini ke jawatankuasa disiplin kerana dia berbohong.

“Kerajaan wajib bertanggungjawab terhadap perpecahan dan di dalam persatuan. Saya tahu persatuan dalam negara ini hanya lapan peratus yang mewakili jutaan mereka dan akan ada kesatuan dalam negara ini akan hancur, kalau mereka dibenarkan melakukan hal ini,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Ismail Abd Mutalib enggan mengulas lanjut isu itu kerana masih di bawah perbicaraan mahkamah ketika disoal Abdullah Sani dalam sidang Dewan Rakyat.

Sebelum ini MTUC dan Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (NUBE) mendakwa Kementerian Sumber Manusia meluluskan kesatuan dalaman di organisasi yang sudah ada kesatuan kebangsaan.

-NFN-

Categories
NASIONAL

Bajet defisit, Najib gagal lagi

Nurul-IzzahKUALA LUMPUR, 24 SEPT : Sasaran mengurangkan defisit negara kepada empat peratus seperti yang diusulkan dalam pembentangan bajet tahun lalu dijangka tidak mencapai sasaran sekiranya Kerajaan Pusat terus memohon peruntukan tambahan.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar berkata itu akan menyebabkan nisbah defisit belanjawan negara berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) melonjak daripada 4.5 peratus kepada 5.5 peratus.

“Sejak 1998, Malaysia sudah 16 tahun termasuk dalam belanjawan defisit walaupun sebelum itu pengurusan kewangan negara cukup sihat dengan belanjawan lebihan yang membanggakan.,” katanya di satu sidang media di ruang legar Parlimen, hari ini.

Dalam masa sesingkat tiga bulan sahaja, Kerajaan Pusat semalam membentangkan usul perbekalan tambahan kedua sebanyak RM14 bilion lagi untuk menampung perbelanjaan mereka. Pada Julai lalu dibawah tahun fiskal 2012, Kerajaan Pusat mencari tambahan RM13 bilion.

Usul ini merupakan usul perbekalan tambahan pertama bagi tahun fiskal 2013, akibat sikap Kerajaan Pusat berbelanja lebih dari kemampuan pada suku pertama tahun ini.

Media melaporkan Perkhidmatan Am Perbendaharaan memerlukan pertambahan terbesar, iaitu melebihi RM11 bilion, manakala Jabatan Perbendaharaan juga memerlukan tambahan RM600 juta. Di samping itu, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kesihatan mendahului senarai kementerian dan memerlukan pertambahan sebanyak RM322 juta dan RM300 juta.

Perbendaharaan adalah dibawah tanggungjawab Menteri Kewangan Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak, manakala Kementerian Pendidikan dibawah Menteri Pendidikan 1, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Kementerian Kesihatan dibawah Menteri Kesihatan Datuk Seri S. Subramaniam.

“Najib gagal lagi kerana semalam baru usul perbekalan tambahan pertama. Selepas ini pasti akan ada tambahan lagi,” tegas Nurul.

Beliau berkata, perbelanjaaan tambahan bagi tahun 2013 juga berkemungkinan menyebabkan nisbah hutang awam melebihi had yang dibenarkan undang-undang. Katanya, pencapaian terburuk itu bakal meletakkan Malaysia sebagai antara negara yang mempunyai rekod defisit tertinggi di Asia Tenggara.

Perdana Menteri disarankan supaya mendengar dan mengambil intipati belanjawan alternatif 2014 yang akan diusulkan Pakatan Rakyat (PR) sebelum membentangkan bajet Kerajaan Pusat pada Oktober nanti.

Categories
NASIONAL

Menteri, Dua Ketua Pemuda BN Dikait Dengan Gangsterisme

KUALA LUMPUR, 5 OKT : Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr S Subramaniam, Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin dan Ketua Pemuda MIC, T Mohan antara yang didakwa mempunyai kaitan dengan kumpulan gangster berkaitan kaum India.

Sepucuk surat yang bertarikh 20 April 2012 ditulis oleh ‘Ahli Umno Selayang Baru’ dihantar ke peti surat pejabat Gabungan Hak dan Kebajikan Rakyat (Power) menyatakan, ketiga-tiga pemimpin terbabit menghadiri satu majlis Deepavali di The Mines, Sri Kembangan.

Surat tersebut diajukan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyatakan, majlis Deepavali itu dihadiri oleh 7,000 orang pemuda-pemuda India yang merupakan ahli geng kongsi gelap 36.

Turut dimaklumkan dalam surat berkenaan, tetamu kehormat yang hadir diberikan cenderahati dengan logo agama Hindu geng 36.

Pengerusi Power, S Gobi Krishnan berkata, beliau menerima surat berkenaan pada 3 Oktober lalu yang diletakkan pada peti surat pejabatnya di Sentul.

Khuatir dengan perkara berkenaan, beliau yang ditemani oleh Setiausaha NGO Warga Aman (Warga Aman), S Barathidasan membuat satu laporan polis di Balai Polis Travers bagi menggesa pihak polis menyiasat kesahihan surat berkenaan.

“Saya terkejut memandangkan surat ini memberitahu perkara ini dengan teliti.

“Saya minta polis menyiasat kebenaran adakah ketiga-tiga individu berkenaan terlibat dalam kumpulan gangster kerana ini adalah tuduhan berat,” katanya ketika ditemui di luar balai polis.

Terangnya lagi, perkara ini mampu menjejaskan negara dan ketenteraman awam.

Categories
NASIONAL

NGO Lapor Polis Salah Guna Kuasa 20 Ahli MIC Termasuk Samy Vellu

PETALING JAYA 28 OGOS : Bekas orang nombor satu MIC, Datuk Seri S Samy Vellu antara yang dinamakan dalam laporan polis yang dibuat Persatuan Kebajikan dan Hak Rakyat (Power) berhubung salah guna kuasa dan penipuan dalam penganugerahan kontrak-kontrak di Universiti AIMST Sg Petani, Kedah.

Daripada 36 individu terbabit 20 mereka adalah ahli parti MIC.

Penganugerahan kontrak tanpa tender terbuka itu melibatkan Maju Institute of Educational Development (MIED) dan beberapa pemimpin MIC.

Pengerusi Power, S Gobi Krishnan berkata pihaknya membuat laporan polis itu selepas Samy Vellu yang merupakan individu penting dalam penubuhan dan urus tadbir institut itu gagal memberi penjelasan seperti yang diminta NGO tersebut.

Sebelum ini, Gobi mendedahkan beberapa bukti dan dokumen salah guna kuasa yang berlaku di dalam pengurusan AIMST yang turut melibatkan pemimpin MIC.

Antaranya, kontrak penyediaan makanan tanpa tender terbuka kepada Jaya Cafe Holdings Sdn Bhd yang dimiliki oleh Bendahari Pemuda MIC Kebangsaan, J Dhinagaran.

Selain itu, kontrak ICT bernilai RM40 juta yang dianugerahkan kepada Maika Intellectual Resources Sdn Bhd yang berkait rapat dengan Ketua Pemuda MIC Kebangsaan, T Mohan.

“Kontrak itu menyebabkan institut itu mengalami kerugian sebanyak RM4 juta sedangkan Maika Intellectual mendapat keuntungan atas angin disebabkan kerugian itu kerana menganugerahkan semula kontrak itu kepada sub kontrak yang lain,” katanya ketika ditemui selepas membuat laporan di Balai Polis Tropicana di sini jam 11 pagi tadi.

Penyelewengan itu turut melibatkan penganugerahan kontrak landskap kepada Syarikat Nova Blooms Sdn Bhd yang melibatkan sebanyak RM27 juta tanpa tender terbuka.

Selain itu, penganugerahan kontrak penyelenggaraan kawasan terbuka secara terus kepada Syarikat Classic Sparkle Sdn Bhd sehingga menyebabkan kerugian sebanyak RM374,400 setahun.

“Begitu juga dengan pinjaman mudah tanpa faedah sebanyak RM9 juta diberikan oleh Samy Vellu menggunakan akaun MIED kepada rakannya, Tan Sri Hari Narayanan tanpa kelulusan Lembaga Pemegang Amanah MIED,” katanya.

Gobi yang juga Setiausaha Biro Polisi dan Strategi Nasional PKR memaklumkan pihaknya akan mengambil tindakan susulan sekiranya polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak membuat siasatan terperinci selepas laporan dibuat.

Gobi juga menyerahkan beberapa dokumen bukti kepada polis yang diperolehi daripada Mahkamah Tinggi Malaysia.

20 ahli MIC antara 36 penama yang dilapor polis antaranya Samy Vellu selaku Pengerusi Lembaga Amanah MIED dan Pengerusi AIMST serta Tan Sri Dr T Marimuthu selaku Ahli Lembaga Pengarah MIED.

Bagi Ahli Lembaga Pengarah Amanah MIED ; Tan Sri G.Vadiveloo, Datuk Seri S.Subramaniam; Datuk S Veerasingam; Datuk Saravanan; Datuk T.Rajagopalu dan Datuk K.S Balakrishnan.

Manakala bagi Ahli Lembaga Pengarah Universiti AIMST melibatkan Datuk Dr Vasan Sinnadurai; V.Venkatramanan; K.Puniamurthy dan Prof Dr N.Rajendran.

Selain itu, T.Mohan; J.Dhinagaran; Prof Charles Smales; M.Sandrasekaran; Tan Sri Narayanan; Tan Sri Dr K.Ampikaipakan; Tan Sri M.Mahalingam; V.Chitrakala; S.Vell Paari; T.Arasu; Susila Vasoo; Heama Latha Renggasamy; Sandra Mogan Karuppiah dan S.Meandy.