Categories
NASIONAL

NGO Lapor Polis Salah Guna Kuasa 20 Ahli MIC Termasuk Samy Vellu

PETALING JAYA 28 OGOS : Bekas orang nombor satu MIC, Datuk Seri S Samy Vellu antara yang dinamakan dalam laporan polis yang dibuat Persatuan Kebajikan dan Hak Rakyat (Power) berhubung salah guna kuasa dan penipuan dalam penganugerahan kontrak-kontrak di Universiti AIMST Sg Petani, Kedah.

Daripada 36 individu terbabit 20 mereka adalah ahli parti MIC.

Penganugerahan kontrak tanpa tender terbuka itu melibatkan Maju Institute of Educational Development (MIED) dan beberapa pemimpin MIC.

Pengerusi Power, S Gobi Krishnan berkata pihaknya membuat laporan polis itu selepas Samy Vellu yang merupakan individu penting dalam penubuhan dan urus tadbir institut itu gagal memberi penjelasan seperti yang diminta NGO tersebut.

Sebelum ini, Gobi mendedahkan beberapa bukti dan dokumen salah guna kuasa yang berlaku di dalam pengurusan AIMST yang turut melibatkan pemimpin MIC.

Antaranya, kontrak penyediaan makanan tanpa tender terbuka kepada Jaya Cafe Holdings Sdn Bhd yang dimiliki oleh Bendahari Pemuda MIC Kebangsaan, J Dhinagaran.

Selain itu, kontrak ICT bernilai RM40 juta yang dianugerahkan kepada Maika Intellectual Resources Sdn Bhd yang berkait rapat dengan Ketua Pemuda MIC Kebangsaan, T Mohan.

“Kontrak itu menyebabkan institut itu mengalami kerugian sebanyak RM4 juta sedangkan Maika Intellectual mendapat keuntungan atas angin disebabkan kerugian itu kerana menganugerahkan semula kontrak itu kepada sub kontrak yang lain,” katanya ketika ditemui selepas membuat laporan di Balai Polis Tropicana di sini jam 11 pagi tadi.

Penyelewengan itu turut melibatkan penganugerahan kontrak landskap kepada Syarikat Nova Blooms Sdn Bhd yang melibatkan sebanyak RM27 juta tanpa tender terbuka.

Selain itu, penganugerahan kontrak penyelenggaraan kawasan terbuka secara terus kepada Syarikat Classic Sparkle Sdn Bhd sehingga menyebabkan kerugian sebanyak RM374,400 setahun.

“Begitu juga dengan pinjaman mudah tanpa faedah sebanyak RM9 juta diberikan oleh Samy Vellu menggunakan akaun MIED kepada rakannya, Tan Sri Hari Narayanan tanpa kelulusan Lembaga Pemegang Amanah MIED,” katanya.

Gobi yang juga Setiausaha Biro Polisi dan Strategi Nasional PKR memaklumkan pihaknya akan mengambil tindakan susulan sekiranya polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak membuat siasatan terperinci selepas laporan dibuat.

Gobi juga menyerahkan beberapa dokumen bukti kepada polis yang diperolehi daripada Mahkamah Tinggi Malaysia.

20 ahli MIC antara 36 penama yang dilapor polis antaranya Samy Vellu selaku Pengerusi Lembaga Amanah MIED dan Pengerusi AIMST serta Tan Sri Dr T Marimuthu selaku Ahli Lembaga Pengarah MIED.

Bagi Ahli Lembaga Pengarah Amanah MIED ; Tan Sri G.Vadiveloo, Datuk Seri S.Subramaniam; Datuk S Veerasingam; Datuk Saravanan; Datuk T.Rajagopalu dan Datuk K.S Balakrishnan.

Manakala bagi Ahli Lembaga Pengarah Universiti AIMST melibatkan Datuk Dr Vasan Sinnadurai; V.Venkatramanan; K.Puniamurthy dan Prof Dr N.Rajendran.

Selain itu, T.Mohan; J.Dhinagaran; Prof Charles Smales; M.Sandrasekaran; Tan Sri Narayanan; Tan Sri Dr K.Ampikaipakan; Tan Sri M.Mahalingam; V.Chitrakala; S.Vell Paari; T.Arasu; Susila Vasoo; Heama Latha Renggasamy; Sandra Mogan Karuppiah dan S.Meandy.

Categories
NASIONAL

Samy Salah Guna Kuasa Lantik Kroni Urus Projek RM35J

PETALING JAYA, 14 OGOS: Bekas Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S.Samy Vellu didakwa menyalahgunakan kuasa untuk melantik syarikat milik rakannya sebagai perunding satu projek pembinaan Universiti AIMST.

PKR, dalam satu sidang medianya hari ini menjelaskan, syarikat tersebut adalah TMI Nusantara Consultans (M) Sdn Bhd yang dimilik oleh Datuk Thasleem Mohamed Ibrahim.

“Syarikat ini dibayar RM35 juta untuk perkhidmatannya dengan bayaran bulanan sebanyak RM144, 497 dari mula kerja pembinaan sehinggalah tamat tempoh tanggungan kecacatan bangunan ini.

“Adakah ianya diberikan melalui tender terbuka?” kata Setiausaha Biro Startegi dan Polisi Kebangsaan, S Gobi Krishnan dalam sidang media yang diadakan di Ibu Pejabat PKR di sini hari ini.

Samy merupakan Pengerusi dan juga Kanselor Universiti AIMST.

Selain itu dalam sidang media sama, Gobi turut mempersoalkan penglibatan Samy dalam isu pemberian pinjaman tanpa faedah sebanyak RM9 juta kepada ahli perniagaan, Tan Sri Hari Narayanan oleh MIED (Maju Institute of Educational Development).

Sama seperti Universiti AIMST, MIED juga dipegerusikan oleh bekas Presiden MIC itu.

Pinjaman tersebut dikeluarkan kepada Hari yang diketahui rakan kepada Samy tanpa kelulusan ahli lembaga pengarah MIED lain.

Categories
NASIONAL

Kroni-Kroni Samy Kuasai Projek Runding Terus AIMST

PETALING JAYA, 14 OGOS: Bekas Presiden MIC, Datuk Seri S.Samy Vellu didesak menjelaskan peranan beliau dalam penganugerahan kontrak pembinaan dan penyelengaraan landskap di Universiti AIMST.

Menurut Setiausaha Biro Startegi dan Polisi PKR, S.Gobi Krishnan hari ini, kontrak bernilai RM27 juta itu telah dianugerahkan kepada Nova Blooms Sdn Bhd yang dimiliki oleh rakan Samy.

“Bagaimanapun, sejumlah RM31 juta telah dibayar kepada mereka sehingga November 2008,” kata beliau dalam satu sidang media yang diadakan di Ibu Pejabat PKR di Merchant Square hari ini.

Menurut Gobi, selain penganugerahan kontrak pembinaan dan penyelegaraan landskap, Samy juga didapati terlibat dalam penganugerahan kontrak penyelengaraan kawasan universiti sama.

Menurut beliau sebelum itu, kontrak untuk kerja yang sama telah dijalankan oleh sebuah syarikat lain dengan nilai kontrak jauh lebih rendah berbanding nilai kontrak yang dianugerahkan kepada syarikat milik kawan kepada Samy.

“Kontrak bagi penyelenggaraan kawasan lapang pada mulanya diberikan kepada Sisma International (M) Sdn Bhd untuk Jumlah RM18,000 sebulan atau RM225,000 setahun.

“Bagaimanapun, Samy menamatkan kontrak Sisma dan anugerahkan kontrak kepada syarikat milik kawannya, Classic Sparkle Sdn Bhd dengan harga lebih tinggi RM50,000 sebulan atau RM600,000 setahun.

“Mengapa serahkan projek ini kepada syarikat yang mengenakan bayaran tinggi, sedangkan ada syarikat lain menawarkan harga lebih rendah untuk kerja yang sama? Ujar Gobi lagi.

Dalam sidang akhbar sama, Gobi turut mengemukakan beberapa dokumen yang dianggap sebagai bukti terhadap penyalahgunaan kuasa bekas Menteri Kerja Raya itu.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Kerajaan Negeri Tawar RM3 Juta Beli Tanah Sekolah Effingham

 

SHAH ALAM, 31 MEI : Kerajaan Selangor bersedia membayar RM3 juta kepada MIC untuk mendapatkan semula tiga ekar tanah Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (Tamil) Effingham yang didakwa diberi kepada kepada parti itu ketika Datuk Seri S. Samy Vellu menjadi presiden.

Tanah yang terletak di Bandar Utama, Petaling Jaya itu kemudiannya digunakan untuk membina ibu pejabat MIC.

Menurut Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr Xavier Jayakumar, bayaran RM3 juta itu adalah setimpal dengan harga premium tanah yang dibayar MIC kepada kerajaan negeri ketika itu.

Beliau berkata, MIC perlu mengambil perhatian terhadap perkara ini kerana ia membabitkan kepentingan kaum India terutama kepada murid-murid di sekolah berkenaan.

“Tanah seluas enam ekar telah diperuntukkan pemaju Bandar Utama kepada sekolah sebelum ini, namun hanya tiga ekar sahaja yang mereka dapat. Kita gesa MIC untuk serahkan tanah itu kepada Kerajaan Negeri bagi membolehkan kita menyerahkannya kepada Sekolah Effingham untuk diwartakan,” ujarnya.

Sebelum ini, tanah seluas 6 ekar diperuntukkan pemaju Bandar Utama iaitu See Hoy Chan Holdings Group kepada sekolah mengikut peraturan dan dasar Kementerian Pelajaran serta peraturan perancangan bandar.

Bagaimanapun, difahamkan lot 28814 seluas enam ekar dipecah dua kepada lot 50222 yang dimiliki Sekolah Effingham, manakala bakinya diambil MIC.

Ahli Parlimen Subang, R.Sivarasa juga sebelum ini pernah memaklumkan, mengikut peraturan Kementerian Pelajaran, sekolah rendah sepatutnya mempunyai keluasan sekurang-kurangnya enam ekar, manakala sembilan ekar bagi sekolah menengah.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Manikavasagam Ditawar Jadi Presiden MIC Jika Keluar PKR

SHAH ALAM, 24 MEI : Usaha terdesak MIC, untuk mempelawa MP Kapar S Manikavasagam melihatkan pemimpin parti komponen Umno-BN itu menawarkan jawatan presiden partinya kepada beliau sebagai sogokan.

Manikavasagam mendakwa seorang pemimpin MIC tersebut yang juga bekas Timbalan Menteri, pernah berkata parti itu akan menyingkir Tun S Samy Vellu yang pada masa itu presiden MIC dan memberikan jawatan itu padanya.

Sogokan tersebut dibuat oleh pemimpin MIC itu semasa perjumpaan dengan Manikavasagam di pejabat beliau pada tahun 2009.

“Kita tidak mahu Samy Vellu, kita mahu YB Manika. Kita akan terus masukkan YB Manika. Umno kawal MIC.

?Jadi kita tidak mahu Samy Vellu dan kita mahu YB Manika, terus masuk jadi Presiden MIC. Tawaran macam ini semua ada,” katanya di dalam satu temurah program ?Terus Terang?.

Program tersebut dihostkan pengarang TVSelangor Mat Zahari Ali di studio TVSelangor di sini hari ini.

Sebelum ini, dakwaan Manikavasagam akan meninggalkan Pakatan dan PKR tercetus kembali ekoran satu laporan di dalam blog pro-Umno.

Artikel tersebut mendakwa Manikavasagam meminta RM10 juta daripada bekas Ketua Umno Selangor Dr Mohamed Khir Toyo untuk keluar dari PKR.

Ekoran daripada laporan itu, Manikavasagam berkata beliau akan memfailkan saman terhadap, Dr Mohd Khir dan penulis blog tersebut, M Zakrul Adam.

Tambah Manikavasagam, beliau memegang amanah dan tanggungjawab yang diberikan pengundi di kawasannya dan masih setia dengan Pakatan.

“Apa yang berlaku kepada saya mesti berlaku kepada mereka yang melompat. Mesti ada sogokan nak lompat.

?Macam isu pasir saya pun kecewa bila Ahli Parlimen Wangsa Maju (Wee Choo Keong) yang telefon saya menyatakan sedia membantu selesaikan masalah tetapi tiba-tiba dia lompat (keluar parti).

“Saya ada pendirian saya. Saya menyertai PKR iaitu parti pertama saya. Saya bukan bekas ahli MIC, IPF atau PPP, saya dibawa masuk ke dalam PKR oleh bekas Ketua AMK, Ezam Mohd Nor tetapi sekarang beliau pun sudah lompat, sudah lari. Dulu dia selalu cakap perjuangan tetapi apa makna perjuangan?,” soalnya.

Program Terus Terang Akan Mula disiarkan pada awal Jun.