Categories
AGENDA NASIONAL

Gajah liar naik minyak, pijak mati lembu, rosakkan tanaman

GUA MUSANG, 3 APRIL: Kira-kira 30 penduduk Kampung Subong, di sini, mengalami kerugian mencecah RM50,000 apabila hasil tanaman pokok pisang musnah selepas diserang seekor gajah liar yang naik minyak, Khamis lepas.

Seorang penduduk, Zakaria Omar, 53, berkata sebanyak 300 pokok pisang musnah dan dua ekor lembu yang diternak juga mati dipijak gajah liar itu dalam kejadian yang berlaku antara pukul 10 malam hingga 3 pagi itu.

Zakaria berkata gajah liar itu dijumpai berkeliaran dalam kebunnya sejak dua minggu lepas dan didapati semakin mengganas sejak akhir-akhir ini, sehingga bertindak memijak dua ekor lembu ternakan yang dilepaskan meragut di sekitar kebun getah berdekatan.

“Mungkin selepas pijak lembu itu, gajah terbabit memusnahkan 150 pokok pisang yang saya usahakan, yang baru sahaja keluarkan hasil tiga bulan lalu dan belum sempat menjualnya,” katanya ketika ditemui di kebunnya di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Zakaria berkata susulan kejadian itu, penduduk berasa takut untuk memasuki kawasan kebun sama ada bagi kerja menoreh getah atau menebang pokok pisang kerana bimbang dengan keselamatan mereka.

Sementara itu, seorang lagi penduduk Mohd Nazri Hamzah, 52, berkata hampir setiap hari penduduk ternampak gajah liar itu berkeliaran di beberapa kawasan kebun penduduk termasuk di kebunnya.

“Kehadiran gajah liar itu berlaku pertama kali sejak penduduk membuka kebun pisang dan menanam pokok getah 30 tahun lepas…Saya yang terserempak beberapa kali dengan gajah itu termasuk pada waktu siang,” katanya.

Jelasnya, perkara tersebut telah dilaporkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dan berharap masalah itu diselesaikan secepat mungkin kerana kebanyakan penduduk bergantung kepada hasil tanaman pokok pisang dan kerja menoreh getah sebagai sumber pendapatan mereka.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Tiga gajah liar timbulkan konflik di Kota Tinggi ditangkap

JOHOR BAHRU, 8 OGOS: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Johor menangkap tiga ekor gajah liar yang dipercayai menimbulkan konflik di Kota Tinggi menerusi operasi di dua lokasi berasingan di daerah itu semalam.

Pengarahnya, Salman Saaban berkata tangkapan dua ekor gajah betina dan seekor jantan itu dibuat susulan daripada kejadian serangan sehingga menyebabkan satu kematian pada 27 Julai lepas dan kes tular gajah mengamuk pada 31 Julai dan kedua-dua kejadian berlaku di Batu 6, Jalan Mawai.

Katanya, tangkapan pertama melibatkan seekor gajah betina di Ladang REM Pasak pada pukul 12.30 tengah hari manakala seekor lagi gajah betina ditangkap di Ladang Felda Pasak pada 5.30 petang, disusuli gajah jantan di lokasi sama pada 7.15 malam.

Menurutnya, tangkapan dilakukan oleh Unit Tangkapan Gajah Johor dengan kerjasama Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah, Pahang dengan melibatkan kekuatan 12 kakitangan yang dipecahkan kepada dua kumpulan.

“Gajah-gajah liar ini merupakan sebahagian kumpulan gajah Panti yang menimbulkan konflik di sekitar kawasan Kampung Mawai, Kampung Lukut, Kampung Sendayan, Kampung Temenin, Felda Pasak, Felda Gugusan Lok Heng, Felda Gugusan Waha dan kawasan sekitarnya.

“Kita akan menjalankan pemantauan ke atas ketiga-tiga gajah ini sehingga dipindahkan ke habitat baharu,” katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata keadaan ketiga-tiga gajah liar itu sihat dan aktif.

Pada 27 Julai lepas, seorang lelaki warga tempatan berusia 56 tahun dan bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah lombong pasir di Jalan Batu 6, Mawai ditemukan maut akibat diserang gajah liar pada pukul 10.30 pagi.

Dalam kejadian 31 Julai kira-kira pukul 8 malam di lokasi sama, seorang wanita warga tempatan berusia 52 tahun sempat menyelamatkan diri apabila gerai buah-buahannya diserang gajah liar menyebabkannya kerugian kira-kira RM1,000 akibat daripada kerosakan yang dialami susulan daripada serangan itu.

– BERNAMA