Categories
AGENDA NASIONAL

Tiga gajah liar timbulkan konflik di Kota Tinggi ditangkap

JOHOR BAHRU, 8 OGOS: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Johor menangkap tiga ekor gajah liar yang dipercayai menimbulkan konflik di Kota Tinggi menerusi operasi di dua lokasi berasingan di daerah itu semalam.

Pengarahnya, Salman Saaban berkata tangkapan dua ekor gajah betina dan seekor jantan itu dibuat susulan daripada kejadian serangan sehingga menyebabkan satu kematian pada 27 Julai lepas dan kes tular gajah mengamuk pada 31 Julai dan kedua-dua kejadian berlaku di Batu 6, Jalan Mawai.

Katanya, tangkapan pertama melibatkan seekor gajah betina di Ladang REM Pasak pada pukul 12.30 tengah hari manakala seekor lagi gajah betina ditangkap di Ladang Felda Pasak pada 5.30 petang, disusuli gajah jantan di lokasi sama pada 7.15 malam.

Menurutnya, tangkapan dilakukan oleh Unit Tangkapan Gajah Johor dengan kerjasama Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah, Pahang dengan melibatkan kekuatan 12 kakitangan yang dipecahkan kepada dua kumpulan.

“Gajah-gajah liar ini merupakan sebahagian kumpulan gajah Panti yang menimbulkan konflik di sekitar kawasan Kampung Mawai, Kampung Lukut, Kampung Sendayan, Kampung Temenin, Felda Pasak, Felda Gugusan Lok Heng, Felda Gugusan Waha dan kawasan sekitarnya.

“Kita akan menjalankan pemantauan ke atas ketiga-tiga gajah ini sehingga dipindahkan ke habitat baharu,” katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata keadaan ketiga-tiga gajah liar itu sihat dan aktif.

Pada 27 Julai lepas, seorang lelaki warga tempatan berusia 56 tahun dan bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah lombong pasir di Jalan Batu 6, Mawai ditemukan maut akibat diserang gajah liar pada pukul 10.30 pagi.

Dalam kejadian 31 Julai kira-kira pukul 8 malam di lokasi sama, seorang wanita warga tempatan berusia 52 tahun sempat menyelamatkan diri apabila gerai buah-buahannya diserang gajah liar menyebabkannya kerugian kira-kira RM1,000 akibat daripada kerosakan yang dialami susulan daripada serangan itu.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Beruang matahari ditangkap dihantar ke Taman Negara

KUALA TERENGGANU, 23 JUL: Seekor beruang matahari atau beruang anjing yang ditangkap di Felda Belara malam tadi akan dilepaskan ke habitat semula jadi di Taman Negara.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu, Dr Abd Malek Mohd Yusof berkata, operasi pemindahan keluar beruang berkenaan selesai kira-kira 3.30 petang tadi dan terus dibawa ke Taman Negara selepas disahkan sihat oleh pegawai Jabatan Veterinar.

Beliau berkata, proses pemindahan yang menggunakan kenderaan pacuan empat roda Hilux itu mengambil masa agak lama dan mengalami sedikit kesukaran berikutan kawasan muka bumi yang curam.

“Perhilitan telah memasang perangkap dua minggu lalu selepas menerima aduan daripada penduduk tetapi baru hari ini mengena.

“Itupun selepas kami alihkan perangkap itu kira-kira 100 meter dari lokasi asal ia dipasang dan menggunakan umpan sarang kelulut,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Dr Abd Malek berkata, pihaknya akan memasang dua lagi perangkap dalam masa terdekat di kawasan berhampiran bagi menangkap dua ekor lagi beruang matahari yang masih berkeliaran.

Oleh itu, beliau menasihatkan penduduk Felda Belara supaya sentiasa berwaspada dan berhati-hati apabila masuk ke kebun atau menghampiri kawasan belukar kerana haiwan itu akan bertindak agresif sekiranya berasa terancam.

“Kami terima aduan ada tiga ekor beruang yang berkeliaran di kawasan kebun dan belakang rumah penduduk dan ia disertakan sekali dengan video daripada seorang penduduk.

“Kami tidak menolak kemungkinan beruang itu keluar ke kawasan penempatan penduduk untuk mencari makanan dan perlindungan kerana habitatnya terganggu,” katanya. – BERNAMA

Categories
NASIONAL

Masih ramai tidak tahu ada tabung mangsa serangan binatang buas

KUCHING, 6 Mac: Masih ramai di negara ini tidak tahu mangsa serangan binatang buas boleh memohon bantuan menerusi tabung khas yang diwujudkan pada 2005, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim.

haiwanKatanya bagi tempoh 2007 hingga tahun lepas, Tabung Bantuan Mangsa Serangan Binatang Buas membantu 348 mangsa di seluruh negara membabitkan jumlah RM1.7 juta.

Kedah mencatatkan penerima terbanyak dengan 123 orang, diikuti Kelantan (69), Sarawak (43), Terengganu (30), Perak (19), Perlis (14), Pahang (13), Negeri Sembilan (12), Selangor (8), Melaka dan Sabah (masing-masing 5), Johor (4) dan Pulau Pinang (3), katanya dalam sidang media, di sini hari ini.

Beliau berkata kes paling banyak membabitkan serangan ular (190 kes), buaya (42), babi hutan (36) dan beruang (2).

Dalam usaha meningkatkan lagi perlindungan, bermula tahun lepas liputan tabung itu diperluas kepada serangan haiwan akuatik seperti ikan pari dan obor-obor, katanya.

“Kadar bantuan berdasarkan kepada tahap kecederaan yang dialami mangsa dengan kadar maksimum RM20,000 bagi mangsa yang meninggal dunia, koma atau hilang upaya kekal. Bagi kes hilang upaya sebahagian, kadar bantuan ditentukan berdasarkan peratusan kategori kecederaan,” katanya.

Tabung yang diluluskan Kabinet pada 2004 itu diuruskan Jabatan Kebajikan Masyarakat manakala Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) bertanggungjawab menyediakan laporan terperinci kes untuk dijadikan asas permohonan bantuan.

Antara binatang yang melayakkan mangsa menerima bantuan ialah gajah, seladang, babi hutan, beruang, harimau, ular sawa, ular-ular berbisa dan primat (beruk, kera, siamang, ungka, lotong dan kongkang). (Bernama)